Di Antara Negara Nilai Dan Negara Slogan

Oleh : Muhd Fakhri

“Perlaksanaan Undang-undang Syariah” atau “Negara Agama” merupakan antara istilah yang sering kali mendatangkan kontoversi dan debat yang tidak berkesudahan.  ‘Negara Agama’ sering kali digambarkan akan meragut kebebasan dan hak seterusnya akan menindas khususnya kepada yang bukan Islam.

Dalam masa yang sama negara yang dikatakan bukan ‘Negara Agama’ itu seperti Perancis, China, Myanmar, England, Amerika Syarikat mengganggu ruang dan hak orang lain. Misalnya Myanmar yang menindas Muslim Rohingya, China melakukan pembantaian terhadap Muslim Uighur dan Perancis dalam isu pemakaian hijab. Jadi apakah teori dan falsafah yang sebenar dalam memahami isu toleransi, kebersamaan,  majoriti – minoriti dan demokrasi.

Ruang dan hak masyarakat perlu diperjelaskan secara terperinci. Ruang keagamaan yang sepenuhnya, perkara ini merupakan komponen agama kepada orang yang beragama sahaja dan tiada kaitan dengan pembangunan negara, institusi awam, atau undang-undang , contohnya seperti hal-hal berkaitan kepercayaan dan isu halal dan haram atau isu-isu yang tidak berkaitan dengan negara dan undang-undang. Perkara ini bukan hanya fokus kepada Islam malah agama lain juga, dan setiap kumpulan agama bebas untuk mengamalkan agama mereka sendiri dalam ruang tersebut, selagi amalan-amalan agama tidak mengganggu ketenteraman awam.

Ruang sivil sepenuhnya, ini berhubung kait dengan negara dan institusi rasmi dan separa rasmi yang mana ia tidak bertindih secara langsung dengan agama, contohnya seperti pembentukan negara, pembahagian kuasa yang berbeza, dan undang-undang yang mengatur individu dan kumpulan yang tidak disebut secara terperinci dalam agama. Perkara ini mempunyai kaitan terhadap tingkah laku manusia atau urusan duniawi.

Keagamaan-Sivil, ini boleh dianggap sebagai bulatan atau “grey area” yang mana sivil dan agama dicampur bersama, atau dalam erti kata lain disana terdapat syarat terperinci yang khusus dari agama berkaitan dengan negara atau salah satu institusinya atau hubungan rakyat secara terperinci. Syarat-syarat agama ini secara asalnya bertujuan untuk menjadi undang-undang umum yang mampu dilaksanakan oleh semua orang.

Ada ruang lingkup keagamaan-sivil yang boleh dicapai kata sepakat antara Muslim dan non Muslim seperti isu pelacuran, perjudian dan kawalan arak. Dalam masa yang sama yang ada perkara yang berbeza dan tidak dipersetujui.

Dr Jasser Auda menyebutkan :

Jika kita melihat perkara ini melalui konteks doktrin yang dipanggil sebagai Dar aL-Islam, ulama mengatakan jika maksud tertentu dapat dicapai seluruh bumi akan menjadi Dar al-Islam, dan jika maksud lainnya tidak tercapai (tanpa mengambil kira tentang majoriti dan minoriti) maka Dar tersebut bukanlah Dar al-Islam. Ini merupakan perkara biasa dalam warisan kita. Isu majoriti ini tidak disebut oleh para ulama tetapi mereka lebih mentikberatkan tentang “undang-undang Islam” dan penyataan ritual, keselamatan, keadilan dan piawaian moral.

Bagi Rashid Ghannouchi seorang tokoh dari Tunisia misalnya memperkenalkan konsep ‘ruang untuk berijtihad’ (al faraghat) bagi isu demokrasi dan politik moden ini. Bagi beliau Islam melalui al Quran dan al Sunnah membawa konsep keadilan, toleransi, kemerdekaan akal yang insan perlu kaji sedalam-dalamnya. Ghannouchi menekankan bahawa yang lebih penting, nilai-nilai asas demokrasi yang dizahirkan di zaman Nabi dan al-Khilāfah ar-Rāsyidah dilaksanakan berlandaskan pada prinsip, dan bukan pada model.

Hal ini bertepatan seperti apa yang disebut oleh Dr Jasser Auda iaitu:

‘Banyak perkara berada di bawah kategori ‘urusan duniawi’ dimana Islam tidak memberikan sebarang panduan yang khas dan salah satunya adalah urusan politik/pentadbiran.’

Lihatlah tidak ada yang kekal dan statik dari perlantikan Khulafa Rasyidin hinga pemerintah yang seterusnya ada yang ditunjuki oleh sahabat Nabi yang utama, ada yang monarki semuanya berdasarkan ijtihad dan suasana semasa. Hal ini sesuai dengan apa yang disebut di dalam teori Qawaid Fiqhiyyah ‘perubahan suatu hukum itu boleh berlaku dengan berubahnya zaman dan tempat’.

Walaupun berada pada zaman yang berbeza semua manusia boleh bersepakat terhadap perkara yang dianggap sebagai ‘universal value’ seperti konsep keadilan, syura, kebersamaan dan kesetaraan.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah an-Nisa’, ayat 58)

“Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan shalat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka”. (Surah asy- Syura ayat 38).

Sudah tentu negara ideal itu adalah ‘Negara Nilai’ bukannya ‘Negara Slogan’.

______________________________________________________________________________

Muhd Fakhri berasal dari Shah Alam, Selangor. Mendapat pendidikan Diploma Bahasa Arab di Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa arab di Universiti Al Albayt Mafraq Jordan. Sekarang beliau sedang menyiapkan Ijazah Sarjana dalam al Quran Dan al Sunnah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *