Tekstualiti Kepengarangan: Sanggahan-Sanggahan Ke Atas Idea Kematian Pengarang Roland Barthes Siri – II

Oleh: Ahmad Muziru Idham Adnan

SANGGAHAN-SANGGAHAN TERHADAP BARTHES

Setelah diperjelas dan dihuraikan empat buah prinsip yang menjadi asas kepada idea kematian pengarang gagasan Barthes ini, saya melihat bahawa wujudnya beberapa kelemahan dan paradoks dalam ideanya yang sebenarnya bukan semakin menguatkan teks dan pembaca, tapi semakin melemahkan kedua-dua itu sendiri. Pada dasarnya, mungkin dilihat bahawa idea Barthes ini mantap dalam membawa logik yang menolak autoriti kepengarangan ke atas pembaca dalam membuka ruang dan kebebasan kepada pembaca untuk mentafsirkan kefahaman terhadap teks agar wacana teks tidak kaku dan terbatas pada konteks kepengarangan. Apabila objek kepengarangan dimatikan daripada teks, wacana tekstual akan berkembang dengan lebih luas kerana intertekstualiti akan menghubungkan teks dengan tanda-tanda yang memberi ruang kepada dekonstruksi dan pemaknaan yang baru. Namun begitu, pada sisi yang lain, idea kematian pengarang ini sendiri akan melumpuhkan pembaca untuk memahami teks dengan baik kerana sisi ideanya yang semakin mengaburkan hala tuju teks dan pembacaan. Oleh sebab itu, di sini didatangkan beberapa buah sanggahan terhadap idea kematian pengarang gagasan Roland Barthes tersebut.

  1. Pemesongan wacana teks

Kematian pengarang sebagai objek kepengarangan mengakibatkan kepada subjek wacana yang dibawa oleh teks telah kehilangan bentuknya yang asli. Keaslian subjek adalah bersumber daripada pengarang itu sendiri yang membawa idea dan tujuannya yang diterapkan ke dalam teks. Kehilangan bentuk menjadikan idea kabur dan sukar untuk dimaknakan oleh pembaca. Kebebasan mutlak kepada pembaca untuk menafsirkan teks sebenarnya adalah sesuatu yang melemahkan pembaca itu sendiri kerana pembaca tidak memiliki panduan dalam memahami teks.

Sekalipun Barthes mewujudkan teori intertekstualiti untuk mencantumkan “tisu-tisu teks”, tetapi sekiranya subjek asal teks itu sendiri sudah dileburkan oleh gagasan kematian pengarang, pembaca hanya akan sekadar memahami teks secara keawang-awangan dan keagak-agakan. Kesannya, teks terbunuh secara tidak langsung oleh kehilangan dasar wacana teks yang sebenar disebabkan oleh relativiti mutlak wacana teks yang tidak berjejak pada suatu kerangka besar sesebuah idea.

Permasalahan gagasan Barthes ini tidak bermula daripada kematian pengarang itu sendiri, tetapi ianya bermula daripada perendahan nilai kepengarangan terhadap teks apabila status pengarang direndahkan kepada sekadar penulis skrip, perakam peristiwa ataupun pencerita dongeng. Pada hakikatnya, kerja-kerja kepengarangan tidak sekadar menulis teks ataupun merakam peristiwa, tetapi ianya turut melibatkan penampungan dan pewacanaan idea yang dimaknakan secara langsung ataupun dengan penyuratan tanda-tanda.

Seorang penulis tidak akan menulis sesuatu melainkan ada idea yang hendak disampaikan walaupun kecil, apatah lagi jika ianya adalah seorang pengarang. Seorang pengarang tidak sekadar membicarakan apa yang ada di sekelilingnya ataupun terbiar dalam pengaruhan realiti semasa. Tetapi seorang pengarang melakukan kerja-kerja intelektual[1] sama ada melalui kepengarangan fiksyen ataupun non-fiksyen yang melibatkan hubungannya dengan masyarakat.

Sebab itu apabila objek kepengarangan dimatikan daripada subjek, subjek kepengarangan tidak dapat mandiri untuk menyampaikan maknanya kepada pembaca dan pembebasan fikiran pembaca tanpa dibentukkan dalam disiplin bentuk pewacanaan asal pengarang menjadikan teks itu sendiri terbunuh oleh ketiadaan wacana asas dan kehilangan fungsi pengarang yang menyimpan idea asli di dalam teks yang dihasilkan olehnya.

Ianya bukanlah pula bermaksud bahawa pembaca terkongkong fikirannya untuk membuka dan meluaskan perbincangan di dalam teks dengan interpretasinya sendiri. Tetapi yang dimaksudkan ialah interpretasi teks dengan memahami idea-idea asas dalam teks tersebut sebagai tunjang kepada pewacanaan idea yang lebih luas.

Peruntuhan makna teks dan membiarkan pembaca menafsirkan dengan sistem linguistik dan kebudayaan pembaca sepenuhnya akan menyebabkan makna sebenar teks yang dimaksudkan oleh pengarang telah hilang dan pembaca sekadar mengagak-agak makna teks. Sesetengah orang mungkin memikirkan bahawa ianya bukanlah suatu permasalahan untuk terwujudnya interpretasi yang lahir daripada keagak-agakan sebegitu asalkan yang lahir tetaplah sebuah idea baru yang berkembang daripada kefahaman teks. Tapi apa yang wujud sebenarnya ialah kelahiran idea pembaca itu sendiri hasil daripada pengaruhan teks ataupun cetusan daripada teks, dan apa yang sedang berlaku ialah tekstualiti teks telah dilemahkan dan penggalian dasar ideanya tidak benar-benar bertunjangkan idea teks yang sebenar.

Bukanlah bermakna idea teks itu sendiri memiliki nilai kebenaran yang hakiki untuk diterima secara penuh. Tetapi yang dimaksudkan ialah pemaknaan keaslian idea pengarang sebagai suatu perolehan dan pengumpulan pengetahuan daripada pemikiran pengarang terhadap karya yang dihasilkannya. Maka, ianya adalah dimaklumi bahawa keadaan yang sebegitu sebenarnya adalah suatu pembunuhan teks tanpa sedar, bukannya memampankan teks itu sendiri apabila wacana-wacana teks telah terpesong daripada kehendak asli pengarang itu sendiri.

  1. Kematian moraliti dan etika kepengarangan

Sesebuah teks tidak sekadar menampung pemaknaan idea dan imaginasi penulis, tetapi turut mengandungi ideologi yang menjadi makna diri pengarang sama ada ianya disengajakan ataupun tidak. Jika mengambil pengandaian daripada Barthes bahawa tulisan adalah sekadar rakaman peristiwa ataupun pemaparan imaginasi pengarang, maka sudah tentu ada perkara daripada peristiwa itu yang mempengaruhi diri pengarang sehingga ianya dianggap penting untuk ditulis, dan juga tidak mungkin imaginasi pengarang itu hadir dengan kekosongan makna jika tidak imaginasi itu adalah datang daripada apa yang pengarang percaya terhadap dirinya sendiri. Kepercayaan pengarang itulah yang menjadi makna kepada tulisan yang dikarang olehnya kerana setiap perkataan tidak akan keluar sekadar dengan kekosongan makna, melainkan ianya menyimpan maksud sesuatu yang perlu dihimpunkan menjadi suatu ayat, dan himpunan ayat-ayat tersebut dikarang sebagai mewakili suara dirinya untuk menjadi sebuah esei, puisi, cerpen, novel, ataupun karangan non fiksyen.

Kita dapat meneliti pengaruhan makna diri pengarang dalam karya-karyanya kerana pola pengkaryaan seseorang pengarang pasti akan mempunyai pola yang horizontal, kecuali apabila berlaku peralihan makna dirinya kepada sesuatu yang lain. Contoh paling terdekat adalah terhadap Barthes itu sendiri, di mana sebelum esei TDA itu ditulis, Barthes adalah seorang yang berpegang kuat kepada strukturalisme, sehinggalah Barthes menerima pengaruhan daripada tokoh-tokoh pascastrukturalis seperti Jacques Derrida dan Julia Kristeva yang membawa kepada peralihan gaya berfikirnya yang lebih bernada pascamodernisme.

Sebab itu apabila Barthes mengusulkan kepada pemisahan antara pengarang daripada teksnya, ianya bermaksud melepaskan diri pengarang daripada beban tanggungjawab terhadap pemikiran-pemikirannya sendiri yang diterapkan ke dalam teks-teksnya. Pengarang dibebaskan daripada tanggungjawab kefahaman pembaca terhadap teksnya dan membiarkan relativiti makna melepaskan tanggungjawab moraliti dan etika teks. Ianya adalah sesuatu yang palsu jika dikatakan bahawa sesebuah fiksyen hanyalah sebagai sebuah fiksyen. Sebab cerita-cerita dongeng rakyat itu sendiri pun tidak berdiri sekadar sebuah cerita melainkan ianya menampung makna dan moraliti yang menyerap ke dalam imaginasi pembaca.

Ianya dapat difahami bahawa Barthes yang berpegang kepada faham pascastrukturalisme menolak universaliti nilai ataupun naratif agung (grand narrative) sebagai faham kehidupan. Sebab itu Barthes mengusulkan pembaca yang menjadi pentafsir kepada teks berdasarkan kepada konteks linguistik dan budaya (cultural relativism). Tetapi apabila dekonstruksi teks bermakna pemisahan terus antara objek daripada subjek, maka pemaknaan teks itu sendiri telah mengalami kekaburan faham moraliti dan etika apabila dasar pewacanaan teks tidak lagi menjadi teras pemaknaan teks, justeru penilaian kebenaran ataupun kepalsuan moraliti dan etika akan menjadi kabur dan tidak berhala tuju. Hal ini demikian kerana faham makna diri pengarang itu sendiri tidak diambil kira dan dianalisis dalam memahami pemikirannya ketika membaca teks-teks tulisannya.

  1. Paradoks premis Barthes

Ketika Barthes melancarkan penolakan yang berterusan terhadap objek kepengarangan daripada teks, dengan alasan bahawa pengarang hanya mewujudkan autoriti kekuasaan terhadap teks dan menghalang kebebasan pembaca berfikir, tetapi sebenarnya tanpa sedar Barthes sendiri telah membina paradoks daripada premis yang dibinanya sendiri. Akhirnya kita akan bertanyakan kembali, “Bagaimana premis pemisahan objek dan subjek daripada teks boleh wujud?” “Siapa yang mengabsahkan premis tersebut dan kenapa ianya perlu diterima?” Barthes menolak idea pengarang sebagai figura moden yang meletakkan prestij dan kemuliaan terhadap individu, tetapi akhirnya apa yang sedang berlaku ialah Barthes meletakkan kemuliaan terhadap pembaca teks pula dan merendahkan kedudukan seorang pengarang. Pengangkatan kedudukan pembaca dengan perendahan kedudukan pengarang tidak menjamin teks dapat dibaca dengan baik, kerana akhirnya akan berlakunya pengaburan semiologi subjek dalam memahami tanda-tanda yang diucapkan di dalam teks.

Ianya dapat difahami bahawa dalam membina dekonstruksi terhadap teks, maka kedudukan pengarang perlu diruntuhkan agar dapat membuka ruang yang luas kepada interpretasi pembaca. Tetapi apabila Barthes mengandaikan bahawa teks-teks adalah bersifat intertekstual dan perlu dibaca secara intertekstualiti, maka sudah tentu teks-teks yang dikumpul bersama itu turut perlu dipertanggungkan maknanya oleh pengarang agar teks-teks tersebut tidak sekadar sebuah pencamtuman petikan yang sia-sia atau makna yang diagak-agak, melainkan rujukan daripada pensejarahan dan penalaran pemikiran pengarang perlu diambil kira juga.

Dengan melihat pergantungan kepada intertekstualiti tanpa dirujuk kepada tekstualiti kepengarangan, apakah masnawi-masnawi Jalaluddin Rumi yang penuh dengan metafora-metafora rindu dan cinta akan dapat difahami pada makna yang Rumi kehendaki jika tidak diteliti apakah konsep aliran mahabbah yang Rumi pegangi dan bagaimana Rumi menuturkan simbol-simbol kecintaan ke dalam masnawi-masnawinya itu? Kefahaman itu tidak akan berlaku dengan penisbahan kepada interteks kerana dekonstruksi semiologi yang tidak ditanggungjawabkan kepada faham Rumi hanya akan menjadikan masnawi-masnawinya dilemahkan maknanya dan ditafsir dengan tidak sewajarnya. Daripada hal itu, ianya kelihatan suatu paradoks terhadap gagasan Barthes dan pendekatan intertekstualitinya yang kelihatan keliru dalam melihat bagaimana kedudukan hubungan pengarang, teks, dan pembaca adalah hubungan tiga serangkai yang perlu seiring dalam memastikan teks tidak dijadikan alat yang dibaca tanpa hala tuju.

KESIMPULAN

Dalam menanggapi idea kematian pengarang gagasan Roland Barthes, ianya dapat disimpulkan bahawa pendekatan Barthes tersebut adalah agak bermasalah dalam menanggapi teks-teks, khususnya teks kesusasteraan. Pendekatannya yang radikal itu akan menyebabkan pengarang sebagai objek kepengarangan bukan sahaja dimatikan, malahan ianya turut melemahkan sekali subjek dan pembaca apabila berhubungan dengan teks. Mungkin pendekatan Barthes lebih mudah diterima oleh masyarakat pascamoden yang mengingini kebebasan dalam menggunakan fikiran mereka untuk mencerap teks-teks yang mereka baca. Tetapi akhirnya saya telah meletakkan sanggahan-sanggahan saya satu persatu dalam perbincangan di atas yang memaparkan bahawa kebebasan berfikir yang tidak berdisiplin itu hanya akan menyebabkan pemaknaan yang sampai ke dalam imaginasi pembaca adalah dipenuhi dengan keraguan, kekeliruan, dan kepalsuan. Mungkin akan timbul pula persoalan bahawa, “Siapakah yang menentukan bahawa faham itu adalah keliru, ragu, dan palsu? Bagaimana nilai-nilai itu ditentukan?” Maka sebab itu saya mendatangkan sanggahan-sanggahan ini agar perlunya tekstualiti kepengarangan tidak dileburkan sama sekali dalam memastikan pembacaan teks tidak tenggelam dalam penafsiran yang bersifat sebegitu. Pengarang tidak boleh diketepikan secara keseluruhannya daripada teks. Tekstualiti kepengarangan membina hubungan sfera antara pengarang, teks, dan pembaca dalam memastikan kefahaman makna teks tidak dalam agak-agakan, kekeliruan, dan kepalsuan (rujuk Rajah 1).

Rajah 1 itulah yang memaparkan idea tekstualiti pengarangan yang saya maksudkan, di mana sanggahan-sanggahan yang saya lakukan terhadap idea kematian pengarang gagasan Barthes tersebut bukan pula bermaksud pengarang harus diberikan autoriti sepenuhnya dalam memegang pemaknaan teks. Tetapi yang lebih tepat ialah perlunya kepada hubungan sfera antara pengarang, pembaca, dan teks dalam memaknai teks agar pemaknaan teks dapat diberikan secara tepat. Tidaklah pula bermaksud bahawa pengarang memiliki kunci kebenaran yang menjadikan teks adalah sesuatu yang benar. Tetapi pula tekstualiti kepengarangan menjadikan teks-teks melalui analisis kritikal yang mendalam dalam menafsirkan teks dan diberi penilaian yang sewajarnya. Teks tidak sekadar perlu dibaca dan ditafsir, tetapi turut perlu dianalisa secara kritikal untuk menguji pemaknaan subjek dalam menampung falsafah-falsafah kehidupan.

Sebab itu penerapan intertekstualiti itu turut menjadi suatu alat penilaian yang penting dalam memahami sesebuah teks namun dalam masa yang sama tidak menafikan perlunya kefahaman kepada biografikal pengarang agar dapat memahami persoalan, “Apakah teks yang ditulis?” dan “Kenapa pengarang menggunakan simbol-simbol yang digunakannya di dalam teks yang ditulisnya?” Mungkin Michael Foucault tidak bersetuju dengan persoalan-persoalan yang sentrik kepada objek teks yang dikira sebagai pengulangan-pengulangan persoalan yang memenatkan justeru beliau menyeru kepada persoalan yang lebih menyentuh kepada ragam kewujudan wacana dalam subjek dan bagaimana untuk mengisi ragam kepelbagaian fungsi dalam subjek.[2] Tetapi masih dalam membicarakan teks, persoalan tentang pengarang tidak juga boleh ditinggalkan malahan perlu disertakan bersama agar perbincangan teks akan lebih mendasari disiplin pemaknaannya yang lebih jelas dan pasti.

[1] Intelektual merupakan orang yang mengabdikan diri untuk memikirkan idea dan masalah bukan kebendaan dengan menggunakan kemampuan akliahnya.  Lihat Syed Hussein Alatas (1991), Intelektual Masyarakat Membangun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

[2] Lihat Michael Foucault (1997), What Is An Author? dalam Language, Counter-Memory, Practice: Selected Essays and Interviews (terjemahan), New York: Cornell University Press


Ahmad Muziru Adham merupakan graduan BA International Relations dari Universiti Malaysia Sarawak dan sekarang menyambung pengajian MA di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *