Agama Dan Falsafah : Pertembungan Dalam Mencari Kebenaran

Oleh : Nur Hisyam

Kemunculan falsafah di nusantara terutama di Malaysia seringkali dianggap sebagai tinggalan atau propaganda  barat untuk memesongkan dan merosakkan aqidah umat Islam. Falsafah sering sahaja dimomok-momokkan sebagai satu aliran berbentuk teori dan ideologi kemasyarakatan dari barat yang memperjuangkan cita-cita masyarakat tertentu dalam membentuk semula masyarakat ideal daripada pelbagai sudut seperti politik, ekonomi, perundangan, pendidikan dan beberapa hal lain sambil mengenepikan ajaran agama Islam itu sendiri.

Hal ini dilihat berlaku akibat kegagalan segelintir pihak untuk mengenali dan memahami apa itu sebenarnya falsafah, apa yang digagaskan dalam falsafah, dan akhir sekali kegagalan mereka untuk memahami sejarah pembentukan sesuatu falsafah. Kegagalan memahami konsep, struktur dan sejarah falsafah akhirnya akan melahirkan banyak salah faham, dan salah faham ini pula hanya menyebabkan merea tidak ubah seperti sekelompok bebalis dan orang pandir yang pernah disinggung Prof Dr Syed Hussein Alatas.

Kebenaran, Falsafah Dan Agama

Memahami falsafah, harus bermula dengan konsepnya terlebih dahulu. Perkataan falsafah itu sendiri lahir daripada perkataan Inggeris, philosophy yang asalnya merupakan gagasan daripada istilah Yunani iaitu philo (cinta) dan sophos  (hikmah, kebijaksanaan ) yang dirumuskan sebagai cinta kepada kebijaksanaan ( love of wisdom) atau kepada kebenaran. Maka, secara umum boleh sahaja falsafah ini dilihat sebagai berfikir. Walaupun begitu menurut Abdul Rahman, sekadar berfikir bukanlah berfalsafah namun berfalsafah merujuk kepada satu pemikiran yang kritikal dalam membuat pertimbangan baik dan buruk secara cermat, kemampuan berfikir secara universal iaitu dengan memandang daripada segenap sudut pandang yang tidak hanya khusus dalam sesuatu bidang atau disiplin ilmu dan akhir sekali berfikir secara integral iaitu secara bersepadu dan lengkap.

Jika dilihat daripada konsep dan pengertian falsafah secara ringkas, kita seharusnya tidak mempunyai masalah dengan pertembungan agama dan falsafah. Sebagai seorang hamba Allah, kita pasti yakin bahawa segala ilmu itu datang daripada Allah dan segala kebenaran itu juga milik Allah. Mencintai ilmu dan kebenaran tidak ubah seperti meyakini kekuasan Allah dan ajaran agama Islam yang suci dan murni. Hal ini kerana jika diperhati semua falsafah atau aliran pemikiran bergerak sebagai satu penawaran idea untuk memahami hakikat manusia, alam dan kehidupan di atas paksi ilmu dan kebenaran. Berasaskan daripada sebuah pertanyaan, ia akan membentuk beberapa siri soal – jawab yang akhirnya membentuk sebuah kerangka logik untuk menjustifikasi tentang hal yang mendasari segala hal berkaitan kehidupan manusia.

Dengan mendalami falsafah dan menggunakan falsafah dengan cermat akan saja kita menemui kebenaran dalam agama Tuhan tanpa sedikit menolak fungsi agama sebagai panduan dan cara hidup bukan hanya melihat agama sekadar soal ibadat dan kebudayaan berasaskan sunnah sahaja.

Asas Reformasi Pembawakan Agama

Hamka sendiri pernah mengkritik kelompok tegar demokrasi, liberalisme dan Marxist terutamanya yang memegang kata-kata keramat, “Agama itu candu.” Namun kritikan Hamka merupakan kritikan yang mendasari falsafah, beliau tidak memandang isu permukaan tetapi isu yang mendasari permasalahan. Kritikan tersebut bukan hanya untuk menegur kelompok tersebut tetapi mendasari persoalan kewujudan kelompok tersebut di Indonesia. Hamka lantas melihat permasalah itu terjadi hasil wujud satu kelompok yang menggunakan agama untuk kekuasan dan untuk menundukkan masyarakat yang akhirnya melahirkan satu kelompok yang menyanjung tinggi falsafah barat sehingga meminggirkan agama.

Penemuan Hamka itu bukanlah hal yang luar biasa melainkan realiti yang masih terjadi sehingga ke hari ini yang boleh kita lihat dimana agama itu dimanipulasi untuk kepentingan pihak tertentu. Penyatuan falsafah dan agama bukan berniat memasukkan nilai falsafah barat ke dalam agama sebaliknya mengeluarkan ajaran Islam yang mendap tersembunyi untuk membuktikan bahawa Islam agama yang benar serta membela masyarakat daripada segenap sudut bukan hanya semata-mata perihal hukum-hakam, perihal ibadat dan kebudayaan sunnah yang sering mendasari pembawakan Islam itu sendiri. Penyatuan ini merupakan satu bentuk perlawanan yang bersifat profetik dalam melawan penindasan, ketidakadilan, kemiskinan serta beberapa krisis kemanusiaan yang bercabang daripada politik, ekonomi mahupun sosial itu sendiri.

Idea menyatukan falsafah dan agama bukan satu perkara baru namun perkara yang sudah sekian lama dibawa oleh tokoh seperti H.O.S Tjokroaminoto, K.H Ahmad Dahlan, Syed Syeikh al-Hadi dan Dr Moeslim Abdurrahman. Penyatuan falsafah dan agama tidak lebih tidak kurang merupakan satu seruan untuk mengamalkan ijtihad yang sebenar serta sebagai kaedah menstruktur semula pembawaan Islam sebenar sambil melawan golongan penunggang falsafah dan ideologi barat serta penunggang agama yang ingin memenuhi kepentingan peribadi. Usaha-usaha ini dilihat bagi membanteras pemikiran kononnya Islam yang membawa kemunduran kepada masyarakatnya. Islam yang menindas masyarakatnya, Islam sekadar candu untuk masyarakatnya bagi mengabaikan ketidakadilan di dunia dan sebagainya sambil melawan naratif pemujaan terhadap warisan dan idea barat seperti fahaman liberal, komunis, sekular dan beberapa fahaman lain lagi sehingga menjadikan agama hanya sekadar hal ibadat, yang turut dilakukan juga oleh agamawan yang segelintirnya cuba memisahkan agama daripada ilmu-ilmu sosial, sains dan ilmu yang bersifat keduniaan.

Menggali Falsafah Dalam Agama

Disaat manusia mampu berfikir dan membebaskan diri daripada belenggu untuk cenderung kepada kehendak peribadi, kekeliruan yang mendakwa-dakwi dan sentimen bersifat peribadi maka ia tidak menghalang kita untuk kembali mengangkat Islam itu agama yang benar. Mempertemukan dan menyatukan agama dan falsafah akan membuka satu jalan yang nyata bahawa itu Islam itu adalah tawaran kepada segala-galanya. Hal ini pernah diceritakan Hamka,

Pada suatu hari kawanku bangsa Indonesia yang telah memahami ajaran Karl Marx dan telah menjadi seorang Marxist yang utuh dan kuat, bertukar fikiran dari hati ke hati, yang tiada ditumbuhi hawa nafsu, hanya dalam rasa cinta akan kebenaran. Ku jelaskan pula kepadanya pendapat ini. Setelah tiga kali kami bertemu, terloncatlah dari mulutnya, di hadapan beberapa teman yang lain;

“Kalau begitu yang Islam, biarlah saya diakui sebagai orang Islam. Saya mahu menjadi Islam!”

Kisah ini membuktikan bahawa hanya dengan jiwa yang mencari kebenaran dengan akal yang sentiasa berfikir dan berfalsafah maka akan bertemu juga kita kepada kebenaran yang kekal iaitu ajaran daripada Allah yang diturunkan oleh Jibril kepada Muhammad sebelum disebarkan ke seluruh pelusuk dunia.

Di saat sesuatu falsafah hanya mampu berdiri untuk sesuatu isu tertentu, Islam telah menjadi sebuah payung besar yang mempunyai pelbagai falsafah di dalamnya. Malangnya, ia jarang sekali ditampilkan ke hadapan sehingga kita sering sahaja terpaksa melakukan Islamisasi pengetahuan untuk kita bercerita bahawa Islam itu ada segala-galanya. Bahkan ada segelintir pihak yang taksub dengan idea Bucailleism cuba membuktikan kebenaran Al-Quran dengan sains sedangkan tanpa mereka sedari segala yang terkandung dalam Al-Quran itu benar dan tidak perlu dibuktikan dengan sains.

Prof Dr Kuntowijoyo sebagai contoh telah mengagaskan pengilmuan Islam sebagai satu proses keilmuan yang bergerak daripada teks Al-Quran menuju konteks sosial dan kehidupan manusia. Dalam menelusuri soal krisis kemanusiaan (humanisme)  mahupun jauh ingin berceritakan mengenai gerakan wanita (feminisme), dalam ajaran Islam sendiri sudah ada agendanya cuma menanti untuk diceritakan dan dikembangkan dengan metode kemas dan sistematik. Malangnya tidak ramai yang tampil menawarkan hal sebegini kepada masyarakat sehingga masyarakat terpaksa mencedok falsafah dari barat yang dilihat lebih kemas dan sistematik dalam memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan dan lebih mendalam dalam menjustifikasi segala hal yang berlaku pada manusia dan ekologinya manusia itu sendiri.

Prof Dr Ahmad Syafii Maarif pernah menulis bagaimana dalam Al-Quran sendiri sudah tertegaknya prinsip persamaan, keadilan, persaudaraan dan tolenrasi melalui surah-surah dalam Al-Quran begitu juga KH Ahmad Dahlan yang terkenal dengan teologi Al-Maun. Kalau saja kita perhati sosok  fikiran ideologi seperti komunisme, sosialisme, liberalisme, nasionalisme, bahkan kapitalisme sendiri ada sedutannya di dalam Al-Quran dan hadis. Ini bermakna bahawa Islam sendiri sudah cukup menjadi panduan hidup dan sudah mempunyai gagasan yang bersifat sederhana dan tidak melampau dalam mengimbangi kehidupan manusia seperti istilah yang sering digunapakai Marxist iaitu borjuis-proletariat.  Islam itu sifatnya di tengah-tengah tidak meminggirkan proletariat dan tidak meminggirkan borjuis. Masing-masing ada fungsi masing-masing dan hak tersendiri yang perlu berlangsung dalam memenuhi perjalanan kehidupan sebuah sistem organisasi masyarakat dan ekonomi.

Oleh hal yang demikian, kita hari ini perlu menggali falsafah dalam agama bagi menampilkan tawaran Islam yang sebetulnya kepada masyarakat. Bagaimana Islam itu lebih sosialis, lebih humanis dan lebih adil dalam mengimbangi entiti dalam sebuah ekonomi berbanding komunis mahupun neoliberal itu sendiri. Kita harus sedar bahawa isme-isme yang lahir daripada falsafah hanyalah satu nama yang memayungi nilai-nilai melawan, nilai-nilai perjuangan, nilai-nilai kemanusian dan nilai-nilai idea semata-mata. Nilai-nilai ini pula ada sahaja dalam ajaran Islam makanya tidak ada masalah untuk menyatukan dan mencari nilai falsafah serta nilai isme di dalam agama itu sendiri.

Malangnya, apa yang terjadi adalah sebelah pihak dikuasai falsafah barat sehingga meminggirkan agama dan sebelah pihak lagi taksub kepada ajaran Islam yang dangkal sehingga dengan mudah menolak kepentingan falsafah dalam merangka sebuah sistem masyarakat yang baik. Keadaan inilah yang dilihat menyebabkan mereka yang berhempas pulas memikir dan cuba menampilkan kondisi Islam yang tidak sahaja menegak berhubung kepada Tuhan bahkan melintang hubungannya kepada manusia dan seisi alam terpaksa tampil dengan pembawakan nama Islam yang berbeza seperti Islam Sosialis, Islam Transformatif mahupun Islam Progresif dan paling terbaru Islam Rahmatan Lil Alamin. Ini disebabkan Islam sedia ada itu sudah dikuasai mereka yang terkena penyakit zaman seperti dikisahkan Hamka yang pernah dikatakan terlalu memandang tinggi agama dan tidak memijak ke bumi kenyataannya mengenai Islam sedangkan umat Islam sendiri bermasalah. Jawab Hamka, “Itu adalah penyakit zaman dan bukanlah penyakit agama.”

Yang terkena penyakit akhir zaman inilah yang memudahkan agama mengikut keperluannya dan menyempitkan agama bagi membuktikan bahawa dia sahaja benar sehingga dengan mudah menuduh orang lain sesat, wahabi, kafir dan liberal tanpa memahami apa itu sendiri makna gelaran yang diberi, apa yang menjadi punca gerakan yang mereka benci itu muncul. Boleh saja diperkirakan bahawa mereka terkena penyakit zaman ini sudah didiagnos oleh Prof Dr Syed Hussein Alatas dengan nama yang cukup istimewa iaitu bebalis dan pak pandir.

Kesimpulan

Pembawakan falsafah bukanlah hal yang jijik atau harus diasingkan. Saat mencari kebenaran itu dijadikan kiblat utama dalam mengenali dan mendalami falsafah maka diakhirnya bertemu jua kita dengan Islam. Falsafah kalau ditelusuri ianya ibarat pecahan daripada siri-siri hakikat hasil pemikiran manusia dan hanya akan bersatu dengan siri-siri yang lain di bawah gagasan pengilmuan Islam. Hal ini kerana Islam itu sendiri realiti yang sebenar yang selaras dengan segala ilmu dan bicara yang mengungkap persoalan realiti. Di saat kita menafikan sisi perbincangan falsafah sama sahaja kita menafikan kebenaran dalam agama yang membincangkan tentang manusia dan hal sekelilingnya. Moga saja kita mampu berfikir dan berfalsafah dalam mencari kebenaran dan tidak lagi redha menjadi bebalis dan orang pandir yang menanti wahyu daripada Tuhan tanpa sebarang usaha berfikir atau bekerja.

Rujukan

  1. Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Ilmu : Analisis Konsep-Konsep Asas Dan Falsafah Pendidikan Negara, Kuala Lumpur: Utusan, 2005
  2. Ahmad Syafii Maarif, Al-Quran, Realitas Sosial Dan Limbo Sejarah, Bandung: Penerbit Pustaka, 1985
  3. Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti, Agama Dan Falsafah, Kuala Lumpur: Nizamiyyah, 2018
  4. Hamka, Islam: Revolusi Ideologi & Keadilan Sosial, Shah Alam: Pustaka Dini, 2006
  5. Kuntowijoyo, Islam Sebagai Ilmu, Yogyakarta: Tiara Wacana, 2006
  6. Syed Hussein Alatas, Intelektual Masyarakat Membangun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2016

___________________________________

Nur Hisyam berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan pelajar BA Pendidikan Sejarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan mantan Presiden Kelab Debat Bahasa Melayu UPSI. Beliau kini adalah Felo Lestari Hikmah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *