Pelaung Keterbukaan Semangat Rasionalisme Islam

Oleh : Nur Arif Isa

Ketertutupan dan keterbukaan pemikiran umat Islam telah mengalami proses perdebatan yang panjang, baik perbincangan dalam dunia Islam sendiri mahupun di dunia Barat. Antara perbincangan klasik berkenaan hal ini ialah ketika zaman pasca-Ibnu Rusyd yang mengalami fasa terhenti daya kreativiti dengan tersebarnya seruan tertutup pintu ijtihad, sehingga ia menghilangkan semangat rasionalisme sejak abad pertengahan.

Terdapat dakwaan bahawa sanggahan Al-Ghazali di dalam Tahafut al-Falasifah terhadap bidang falsafah yang mengkritik kaum filsuf telah mengugat perkembangan tradisi rasional dunia Islam. Ia mempersoalkan pengaruh Neoplatonisme dan Aristotelianisme – sebagai dasar sandaran peripatetisme – terhadap tradisi falsafah Islam. Para filsuf seperti Al-Farabi dan Ibnu Sina adalah antara yang menjadi objek kritikan keras Al-Ghazali yang dianggap banyak melakukan kesilapan dalam logika pemikiran metafisik.

Namun setidaknya sanggahan Al-Ghazali adalah menyerang dua hal utama. Pertama, falsafah yang menentang prinsip-prinsipnya sendiri. Kedua, falsafah yang tidak bersesuaian dengan agama dan falsafah yang tidak memberi ruang pada agama. Anggapan bahawa Al-Ghazali telah mengakhiri riwayat perkembangan tradisi rasional dalam dunia Islam telah disanggah oleh sarjana orientalis seperti Oliver Leman, ia berpendapat bahawa sesungguhnya Al-Ghazali telah berusaha untuk memberikan landasan kendali bagi kaum filsuf serta telah memberikan dorongan perdebatan intelektual yang mencerdaskan.

Kedinamikan ini terus berkembang dengan kegairahan intelektual Ibnu Rusyd yang mengkritisi pandangan Al-Ghazali di dalam Tahafut at-Tahafut. Diakui dalam lingkungan Sunni, Ibnu Rusyd tidak mampu membendung pengaruh Al-Ghazali dalam perkembangan tradisi berfikir rasional dunia Islam.

Ibnu Rusyd sendiri mendapat tempat di Eropah sebagai rujukan utama Aristotelian pada abad pertengahan, sekali gus telah memberi pengaruh kepada jalur pemikiran Eropah – Averroisme Latin. Ibnu Rusyd telah melakukan satu rekonsiliasi (al-ukhtuar radlii’ah) perdamaian antara falsafah dengan agama, sebagaimana dilakukan oleh Al-Kindi, filsuf yang pertama memadukan keduanya.

Kemunculan Pembaharu

Naik turun perkembangan peradaban Islam terus berjalan dan rasionalisme pernah mendapat tempat ketika zaman Dinasti Abbasiyah di Baghdad. Kendatipun begitu, perkembangan tradisi rasional dunia Islam agak malap untuk mengalami sebarang pemugaran kembali, melainkan terdapat beberapa usaha yang dilakukan oleh para pembaharu-pemikir Islam yang terkemudian.

Antaranya Muhammad Iqbal telah membawa obor kebangkitan di tengah kemalapan intelektual umat yang berada dalam kongkongan kaum penjajah. Kepedulian dan kesungguhan Iqbal terhadap cita luhur umat ini diungkapnya dalam Asrar-i-Khudi;

Aku akan bawa kembali si pengembara
dan membakar si pemerhati dengan api keghairahan
dan mara memacu ke haluan baru
dan menjadi pemuka semangat baru

Kehadiran para pembaharu-pemikir ini adalah sebuah cita nurani bagi mereka yang mendukung ketinggian akalbudi, keluhuran insani, inspirasi Nahdah, bagi kebangitkan dan ketinggian budaya sesuatu bangsa, yang sesungguhnya mereka adalah penyambung leluhur kepada tradisi kemanusiaan sejagat.

Kita tidak dapat menafikan bahawa perubahan zaman akan tetap berlaku dan menjadi satu realiti yang tidak boleh ditolak kemunculannya. Malah ia menjadi satu tantangan besar bagi agama-agama, termasuk Islam, untuk menjawabnya. Sikap dan semangat keterbukaan terhadap rasionalisme ini telah dilaungkan sejak abad ke-19 lagi oleh salah satu tokoh pembaharu pemikiran Islam di India, iaitu Syed Ameer Ali.

Syed Ameer Ali

Sejak abad ke-19 lagi, tantangan besar dunia Islam adalah tantangan kolonialisme Barat yang menguasai hampir seantero dunia. Setelah redupnya keemasan dunia Islam yang ditandai dengan lemahnya keghairahan kreativiti intelektual, dunia Islam mengalami proses kemunduran. Berlakunya peristiwa penjajahan Barat ke atas beberapa tanah kaum muslimin. Situasi sebegini juga dihadapi oleh pemikir seperti Syed Ameer Ali, yang merupakan salah seorang daripada ahli perundangan dan juga seorang penulis yang terkenal di India.

Sebagai seorang berpendidikan tinggi di India yang terdedah dengan tradisi intelektual Barat, Syed Ameer Ali cuba merapatkan jurang kefahaman orang Barat terhadap peradaban Islam pada ketika zaman itu, dengan menulis karya-karya berkenaan tentang sejarah dan peradaban Islam ke dalam bahasa Inggeris. Antaranya, A Critical Examination of the Life and Teachings of Mohammed pada tahun 1873 dan The Spirit of Islam pada tahun 1891.

Melalui tulisannya sendiri dengan jelas mengangkat tradisi rasionalisme yang kemudiaannya dipadatkan dalam tradisi Islam klasik khususnya di India. Malah memberi pengagungan terhadap rasionalisme dengan membawa perwatakan Nabi Muhammad sebagai perwatakan rasionalisme sebenar dalam dunia Islam.

Pengusung Rasionalisme

Sumbangan besar diberikan oleh Syed Ameer Ali terhadap pembaharuan pemikiran dunia Islam, dituangkan dalam karyanya “The Spirit of Islam” dengan kembali kepada kesejarahan lama untuk membawa bukti bahawa Islam adalah agama rasional dan mampu membawa kepada kemajuan umat. Ia berkeyakinan bahawa Islam bukanlah agama yang membawa kepada kemunduran. Sebaliknya, Islam adalah agama yang mampu menggarap keadaan semasa dan memperhalusi ketinggian pengalaman kerohanian insani.

Sebagai pemikir yang meletakkan dirinya kembali ke kesejarahan masa lampau, ia dalam tulisannya banyak mengupas tentang ajaran-ajaran Islam seperti tauhid, ibadah, hari akhirat, kedudukan wanita, perhambaan dan sebagainya, dengan memberi hujahan-hujahan yang menyatakan ajaran Islam itu sendiri tidak bertentangan dengan kemajuan akal manusia. Turut memberi pencitraan manusiawi kepada kenabian Nabi Muhammad dengan sandaran nilai-nilai rasional. Kerana menurutnya, tidak wujud satu pun perkara ajaib yang dilakukan oleh baginda, melainkan Al-Quran sebagai panduan dakwah baginda.

Kehadiran Nabi Muhammad hanyalah sebagai manusia semata-mata, bukannya dewa mahupun tuhan yang kekal, kerana sejak kelahiran baginda telah menunjukkan kepada umat manusia tentang sebuah erti kegigihan untuk mencapai matlamat. Dengan memberi misalan sebelum diwahyukan, Nabi Muhammad sendiri mencari rezeki dengan mengembala kambing dan berdagang untuk menampung ekonomi keluarga baginda.

Malah selepas diwahyukan, baginda sendiri juga berdakwah selama 13 tahun tanpa bantuan sesiapa pun melainkan dengan mukjizat Tuhan yakni Al-Quran. Ini selaras dengan kritikan Syed Ameer Ali terhadap keadaan umat pada ketika itu yang hanya taksub kepada kepasrahan melulu, dengan membawa nilai saintifik dan perwatakan rasionalisme Nabi Muhammad, yang telah mengubah keadaan masyarakat Arab dari dibelenggu kejahilan setelah sekian berabad lamanya menyembah berhala, kepada sebuah ketamadunan insani yang unggul.

Kedudukan Wanita

Syed Ameer Ali juga tidak terlepas untuk memberi perhatiannya terhadap kelompongan isu kedudukan wanita, terutamanya mengenai sistem poligami yang sudah pun diamalkan sebelum kedatangan Nabi Muhammad. Menurutnya kebanyakan negara di Timur pada ketika itu mengamalkan sistem poligami khususnya dalam kalangan kerabat diraja. Kemunculan Nabi Muhammad telah meletakkan kedudukan wanita sama tinggi dengan lelaki.

Disebabkan amalan poligami sudah menjadi budaya pada zaman tersebut, Nabi Muhammad telah berusaha untuk mengekang sistem poligami dengan menghadkan bilangan maksimum perkhahwinan. Malah menurutnya, keperluan sistem poligami ini juga akan hilang mengikut peredaran zaman kecuali bagi golongan wanita yang benar-benar memerlukannya sebagai perlindungan kehidupan.

Merentas Jalan Pembebasan

Oleh itu, usulan pemikiran Syed Ameer Ali sama ada betul atau tidak, masih mempunyai ruang perdebatan intelektual yang sewajarnya dan perbincangan ini harus ada daripada sudut wacana idea yang telah dilontarkan terhadap dunia Islam. Hal ini kerana wacana idea tersebut telah memberikan impak pemikiran dalam sejarah Islam khususnya di India. Kerangka pemikiran ini telah berusaha sebagai sebuah penyesuaian acuan nilai kemodenan pemikiran umat Islam, terutamanya di India pada tempoh tersebut.

Sebagai pengakhiran, Iqbal telah mengungkapkan bahawa manusia sebagai mahkluk yang bebas dan unik dalam kemampuannya untuk membawa perubahan, seperti dalam syairnya;

Bangunlah pribadimu demikian hebat dan jayanya
sehingga sebelum Tuhan menentukan takdir-Nya yang sebenarnya
Tuhan menciptakan dunia dan manusia membuatnya lebih indah
Apakah manusia ditakdirkan menjadi saingan Tuhan?

Ini adalah refleksi bahawa anugerah kebebasan manusia harus diperanankan. Dan kebebasan ini merupakan manifestasi dari tanggungjawab manusia sebagai khalifah Tuhan di muka bumi untuk terus mewujudkan kebaikan bagi kehidupannya.

RUJUKAN

Syed Ameer Ali, Spirit of Islam Life and Teachings of Mohammed. Calcutta: S. K. Lahiri. Co., 1902.
_______________, Api Islam: Sejarah Evolusi dan Cita-cita Islam dengan Riwayat Hidup Nabi Nabi Muhammad. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang, 1980.


Nur Arif Isa berasal dari Melaka. Berkelulusan dalam bidang Pengajian Islam dengan Pembangunan Sumber Manusia daripada Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM). Beliau juga merupakan Felo Lestari Hikmah dan salah seorang penulis bagi buku Inteligensia Penyuluh Nusantara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *