Malik Bennabi dan Krisis Intelektualisme
Oleh : Nur Arif Isa
Naratif perkembangan Islam terbina di atas naratif intelektualisme. Islam telah mewarisi pelbagai kerencaman khazanah keilmuan dalam pelbagai bidang. Permulaan Islam itu sendiri bermula dengan suruhan wahyu bacalah.
Sayyid Qutb membicarakan bahawa ayat ini dimulakan dengan menyebut secara umum salah satu dari sifat-sifat Allah iaitu sifat mencipta dan memulakan penciptaan. Kemudian diiringi dengan menyebut khusus tentang penciptaan dan asal mula kejadian makhluk manusia.
Tambah Sayyid Qutb lagi, dari titik darah beku yang melekat di dalam rahim, iaitu dari asal mula yang sangat kecil dan bersahaja, kemudian dengan kemurahan-Nya dan qudrat kuasa-Nya telah mengangkatkan segumpal darah itu kepada darjat manusia yang mengerti dan boleh belajar.
Di samping hakikat penciptaan manusia pada ayat itu juga menjelaskan hakikat mengajar, iaitu bagaimana Allah mengajar manusia dengan pena, kerana pena selama-lamanya merupakan alat mengajar yang paling luas dan yang paling mendalam kesannya terhadap kehidupan manusia.
Serta menjelaskan bahawa sumber pengajaran itu adalah sumbernya dari Allah. Manusia mengambil imu pengetahuan yang telah dan sedang diketahuinya. Dari Allah jugalah, manusia mengetahui segala rahsia alam yang dibuka kepadanya untuk mengetahui segala rahisa kehidupan dan rahsia-rahsia dirinya sendiri.
Jelas disini, al-Quran mengajak untuk kita membangunkan pemikiran ilmiah yang mana ia menganggap berfikir itu adalah satu ibadat, menuntut ilmu adalah satu kewajipan dan menjadikan manusia, sejarah dan alam semesta seluruhnya adalah pentas untuk merenung dan mengkaji.
Malik Bennabi
Justeru, Malik Bennabi antara pemikir yang turut membincangkan permasalahan mengenai keintelektualan dan mengingatkan kita bahawa persoalan yang masih belum diselesaikan adalah masalah kejahilan dan buta intelektual.
Pemikir kelahiran Algeria ini yang pada asalnya merupakan seorang jurutera. Biarpun begitu, beliau memiliki minat yang mendalam terhadap bidang falsafah sosial dan peradaban Barat, serta turut dimanfaatkan kepakarannya di dalam bidang saintifik, untuk menghasilkan sebuah teori bagi pembinaan sebuah peradaban dan ketamadunan Islam.
Pemikirannya mempunyai persamaaan dengan Ibn Khaldun dalam perbahasan tentang sejarah, sosiologi dan peradaban. Ibn Khaldun begitu menonjol dalam mengritik permasalahan umat pada ketika zamanya sekitar kurun ke-15. Sedangkan Malik Bennabi antara tokoh pemikir kontemporari bagi kurun ke-20 ini yang menjadi rujukan dalam perbahasan tentang falsafah sosial, peradaban dan ketamadunan Islam.
Diantara buku telah dihasilkannya ialah Al-Zahirah A-Qur’aniyah (Fenomena Al-Qur’an) pada tahun 1946, Shurut al-Nahdah (Prasyarat Kebangkitan) pada tahun 1948, Wijhah al-Alam al-Islami (Masa Depan Dunia Islam) pada tahun 1954, dan Mushkilat al-Afkar fi al Alam al-Islami (Kekalutan Pemikiran di Dunia Islam) pada tahun 1971.
Krisis Intelektualisme
Keintelektualan merupakan nadi kehidupan bagi sesebuah masyarakat. Mereka harus mempunyai kesedaran untuk menjadi sebuah masyarakat yang bertamadun. Tanpa pemilikan nilai-nilai intelektual ini, sudah tentu akan menyebabkan sesebuah masyarakat itu dianggap mundur. Perkara ini juga mendapat perhatian Malek Bennabi dengan memberi beberapa analisa sosial tentang masalah keintelektualan.
Bagi Malik Bennabi, faktor yang menjadi hambatan intelektual dan kemunduran Islam ialah; (1) tidak efektifnya usaha-usaha yang dilakukan oleh kaum Muslimin dalam melahirkan pencapaian-pencapaiannya, (2) usaha intelektual tidak diarahkan ke hadapan, tetapi ke masa lampau, (3) sifat melihat ke belakang telah memberi kesan kepada sifat retrospektif yang tidak sesuai dengan keadaan masa kini dan masa depan, (4) tidak memiliki kemahuan dan kesedaran untuk berubah. (5) berfikiran jumud dan mudah menyerah diri, (6) memiliki kekaburan pemikiran serta pelaksanaan kebijaksanaan yang kurang efektif.
Disinilah perlu adanya keterpanggilan pihak intelektual dalam sesuatu masyarakat tertentu untuk memberi panduan, teguran mahupun kritikan terhadap masyarakatnya. Agar dapat memberi pencerahan fikiran, penyelesaian masalah mahupun pencerahan bagi masyarakatnya daripada dibelenggui oleh kejahilan pihak-pihak tertentu.
Pencerahan di antara Kediktatoran
Sesuai untuk kita hayati apa yang telah Al-Kawakibi nyatakan tentang peri pentingnya sebuah pencerahan pengetahuan terhadap akal fikiran manusia. Kata Al-Kawakibi;
“…. ilmu merupakan percikan dari Allah. Allah menciptakan cahaya sebagai penyingkap, penjelas, dan perkara yang melahirkan kepanasan dan tenaga. Sebagaimana sifat ilmu-Nya, Allah juga menjadikan ilmu sebagai penjelas kebaikan dan pembongkar kejahatan. Dalam diri manusia, ilmu diungkap sebagai sifat ingin tahu yang kuat. Dalam kepimpinan pula, ilmu diungkapkan sebagai keberanian. Ilmu merupakan cahaya dan kezaliman pula merupakan kegelapan. Antara tabiat cahaya ialah memecahkan kegelapan. Sesiapa yang mengkaji keadaan setiap pemimpin dan pengikut pasti akan melihat bahawa kekuatan dan kelemahan setiap kuasa kepemimpinan adalah berdasarkan kekurangan dan kelebihan ilmu pengikut.”
Bagi Al-Kawakibi, intelektual juga berperanan untuk memimpin pencerahan dari terjebak kepada kediktatoran;
“… diktator juga membenci ilmu itu sendiri kerana pada ilmu terdapat kekuasaan yang lebih kuat daripada segala kuasa. Hal ini memestikan seorang diktator untuk merendahkan hatinya setiap kali dia bersemuka dengan orang yang lebih berilmu daripadanya. Oleh itu, seseorang diktator tidak suka melihat seorang ilmuwan dan intelektual yang mengatasi pemikirannya.”
Tambahnya;
“… hanya golongan intelektual yang boleh memimpin rakyat dengan pencerahan, ketenangan dan kelangsungan.”
Kefungsian Intelektual dan Imbangan Moral
Berikutan masalah ketirisan kepimpinan, penindasan dan ketidakmanusiaan. Jadi disini, apakah yang dimaksudkan dengan intelektual? Siapakah yang kita juluki sebagai intelektual?
Untuk itu, Syed Hussien Alatas di dalam Intelektual Masyarakat Membangun memberi pendefinisian bahawa intelektual merupakan orang yang mengabdikan diri untuk memikirkan idea dan masalah bukan kebendaaan (non-materi) dengan mengunakan kemampuan akliahnya.
Hal ini menurut Syed Hussein bahawa kefungsian intelektual itu dengan; (1) pengajuan masalah, (2) pentakrifan masalah, (3) analisis masalah, (4) penyelesaian masalah.
Nilai intelektual ini tidak seharusnya bersendirian dalam membangunkan akal fikiran manusia, tetapi memerlukan kepada nilai spiritual dalam membangunkan kesedaran moral dalaman setiap individu.
Seperti yang telah Malik Bennabi nyatakan bahawa kesedaran keintelektualan ini harus diperolehi oleh setiap individu melalui lingkaran kehidupannya dan lingkaran kesedaran rohani yang menguasai kewujudan dalaman individu. Kerana kelumpuhan moral boleh menyebabkan kelumpuhan intelek.
Jelas disini bahawa intelektual ditanggapi sebagai indikator terbaik bagi manusia dalam membangunkan dan memajukan sesuatu bangsa dalam sejarah peradaban.
Kaum intelektual haruslah mempunyai tujuan yang jelas untuk membolehkan perubahan yang positif dengan wawasan ideanya kepada masyarakat. Malik Bennabi mengingatkan bahawa masa depan merupakan tujuan yang berada jauh di hadapan dan merancang masa depan perlu dengan cara positif.
Turut dilontarkan oleh Dr Azhar Ibrahim, bahawa sekiranya sesebuah masyarakat itu ketandusan golongan pemikir, akan menyebabkan masyarakat tersebut gagal mendapat kefahaman yang jernih dan mendalam akan masalah yang dihadapi.
RUJUKAN
Abdul Rahman Al-Kawakibi, Tabiat Kediktatoran Dan Kerunduman Perhambaan, Kuala Lumpur: Maqasid Resources.
Ali Syari’ati, Tugas Cendekiawan Muslim, Jakarta: PT RajaGrafindo Persada.
Malik Bennabi, The Question of Idea in The Muslim World, Kuala Lumpur: Islamic Book Trust.
Malik Bennabi, Membangun Dunia Baru Islam, Bandung: Penerbit Mizan.
Malik Bennabi, Krisis Intelektual Muslim, Shah Alam: Karisma Publications Shd. Bhd.
Syed Hussein Alatas, Intelektual Masyarakat Membangun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Nur Arif Isa berasal dari Melaka. Berkelulusan dalam bidang Pengajian Islam dengan Pembangunan Sumber Manusia daripada Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM). Beliau juga merupakan Felo Lestari Hikmah dan salah seorang penulis bagi buku Inteligensia Penyuluh Nusantara.