Keghairahan Boestamam Dalam Dunia Penulisan

Oleh : Ahmad Faizal

Suatu kelebihan buat pejuang-pejuang kemerdekaan aliran kiri ialah penguasaan mereka dalam dunia penulisan. Bidang penulisan tampaknya telah menjadi ruang buat mereka untuk meluah, mengajar dan memujuk rakyat jelata untuk bersama dengan perjuangan mereka. Jika diambil ungkapan A. Samad Ismail yang menyebutkan pejuang kemerdekaan kiri sebagai “berupa agiator atau penghasut rakyat untuk menentang penjajahan”. Maka Ahmad Boestamamlah yang ternyata telah menempa nama dalam dunia penulisan sehingga penghujung hayatnya. Sebermula dengan rencana di dalam persuratkhabaran sehinggalah karya-karya sastera yang berupa novel. Antara pejuang kiri yang terkedepan dalam dunia penulisan ialah Ishak Haji Mohamad atau Pak Sako. Namun penulisan Ishak agak lunak jika dibandingkan dengan Boestamam. Perkataan ‘Keghairahan’ yang dipilih menjadi tajuk dalam makalah ini diambil dari luahan Boestamam sendiri melalui autobiografinya.

Biodata Ringkas Boestamam

Dilahirkan pada 1920 di Behrang Ulu, Tanjong Malim Perak. Boestamam atau nama sebenarnya Abdullah Thani merupakan sosok yang sangat menonjol dalam politik radikal Tanah Melayu bermula tahun-tahun 1940-an. Dua parti yang sinonim buat alumni Anderson School Ipoh ini ialah Partai Kebangsaan Melayu Malaya.(PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API)., sehingga beliau ditahan selama 7 tahun. Namun, penglibatan Boestamam bukan setakat itu. Sekembalinya beliau dari penjara, beliau bangkit semula dengan keghairahan politik yang ada padanya dengan menubuhkan Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Marhaen dan Parti Keadilan Masyarakat (PEKEMAS), sebagai pusat gerakan politiknya yang baru.

Dalam dunia penulisan, Boestamam  telah banyak menghasilkan karya sastera dan autobiografi tentang kegiatannya dalam politik. Ahli sejarah telah banyak mengambil manfaat daripada autobiografinya untuk dijadikan bahan rujukan penting. Tulisan-tulisan inilah yang menggambarkan curahan rasa, peranan dan perjalanan karier politiknya dalam berhadapan dengan tekanan politik daripada penjajah, kerajaan dan masyarakatnya.

Kegiatan awal dalam dunia penulisan

Minat Boestamam dalam dunia penulisan bermula sejak di bangku sekolah lagi. Beliau menggunakan nama pena Ramu. Minatnya dalam membaca rencana-rancana di akhbar-akhbar telah mencetuskan idea beliau untuk menulis rencana-rencana lain pula. Disinilah bermulanya kegiatan Boestamam dalam bidang penulisan. Beliau bijak mencedok isi-isi dan isu-isu dalam rencana-rencana yang dibacanya untuk dijadikan tulisannya sendiri. Antara tokoh-tokoh inspirasi beliau Subhas Candra Bose dan Sukarno.

Namun, minat yang terlalu mendalam dalam dunia penulisan telah menyebabkan akademiknya turut terjejas. Kegagalannya dalam peperiksaan Junior Cambridge (JC) telah mengaibkan dirinya sendiri. Lebih-lebih lagi beliaulah yang telah banyak membantu kawan-kawannya untuk cemerlang dalam peperiksaan. Akan tetapi, beliau sendiri gagal dalam peperiksaan tersebut. Luah Boestamam;

“Sejak di bangku sekolah menengah lagi saya mula berkenalan dengan pembacaan akhbar. Dan kerana persuratkhabaran ketika itu rata-rata berperanan sebagai peniup semangat kebangsaan, maka saya pun ditulari oleh semangat ini. Lantas saya pun tercebur dalam kegiatan penulisan. Keghairahan menulis itu rupa-rupanya telah mengerdilkan keghairahan saya terhadap persekolahan”.

Atas faktor kegagalan ini, Boestamam telah berhenti sekolah lalu terus aktif dalam bidang penulisan. Lantas beliau telah bekerja di beberapa buah akhbar Melayu yang penting di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura. Antara akhbar yang telah menyiarkan tulisan Boestamam ialah Saudara, Warta Kinta, Majlis, Berita Perak dan Utusan Melayu.

Isu-isu berbangkit dalam Akhbar

Melalui penulisannya dalam akhbar, Boestamam bebas menulis mengenai fikirannya. Terdapat beberapa isu yang menjadi perhatian ahli sejarah dalam membaca pemikiran Boestamam dalam tulisannya. Sudah pastilah isu utamanya ialah konsep Melayu Raya. Bilakah Melayu Raya mula dilaungkan oleh Boestamam dalam tulisannya? Dalam akhbar Majlis beliau mula bercakap tentang Melayu Raya, iaitu konsep yang telah menjadi popular dalam tahun-tahun 1940-an. Boestamam menulis;

“Hubungan yang sebangsa sedarah, seadat resam yang senasib, oleh yang demikian tidaklah syak lagi bahawa kita semuanya ialah satu iaitu bangsa Melayu yang mengandungi kira-kira 65 juta penduduk.”

Kesedaran Boestamam mengenai konsep Melayu Raya itu selari dengan pemahamannya daripada bacaannya yang banyak dipengaruhi oleh buku-buku Indonesia, misalnya tulisan seorang tokoh politik Indonesia yang bernama Tan Malaka, seorang tokoh Partai Komunis Indonesia(PKI). Ramai pengkaji berpendapat bahawa tulisan Tan Malakalah yang telah banyak mempengaruhi pemikiran gerakan radikal di Tanah Melayu. Antara lain Tan Malaka menulis ;

“Satoe poesat persatoean antara seloeroh bangsa Indonesia jakni Indonesia kita, Semenadjoeng dan Philipina –… Satu perkoempulan orang-orang Indonesia jang bersama ‘Kesatoen Melajoe’ dan mesti kita perhatikan dengan segala perhatian jang sepenoeh-penoehnya..”.

Tan Malaka menggunakan istilah kesatuan Melayu yang telah merangkumi kepulauan Melayu nusantara yang pernah bersatu sejak zaman Srivijaya lagi. Konsep inilah yang telah digunakan oleh pejuang-pejuang radikal Melayu untuk memerdekakan tanah air ini dari tangan penjajah.

Karya agung Testament Politik API

Jalan radikal Boestamam terserlah apabila beliau menulis satu buku yang bertajuk Testament Politik API yang siap ditulis pada 21 Disember 1946. Tulisan ini bertujuan menaikkan semangat pemuda-pemuda ketika itu menentang penjajahan melalui jalan radikal dan memberi panduan kepada mereka tentang apa yang perlu dilakukan. Dalam tulisan ini juga diterangkan tentang ideologi API dan senarai orang yang bertanggungjawab di bawahnya. Disini kita boleh lihat pengaruh perjuangan pembebasan penjajahan di Indonesia. Perjuangan pemuda-pemuda Indonesia dalam mempertahankan kemerdekaannya diinspirasikan oleh Boestamam dalam tulisannya. Kata Boestamam;

“Kita tidak usah pergi jaoh-jaoh untuk menchari bokti-nya. Lihat sahaja-lah di-Indonesia sekarang. Bukankah pemuda-pemuda Indonesia yang berdiri di-belakang Negara Republic Indonesia, mempertahankan kemerdekaan itu? Ya! Pemuda-pemuda Indonesia-lah yang berjuang kerana melaherkan kemerdekaan Indonesia”

“Kita menghadapi penjajahan dengan revolutie. Kita tidak segan membasahi bumi ini dengan darah. Pemuda biar hanchor, asal tanah air menjadi lohor”

Statement Politik API ini juga terkenal dengan slogan Boestamam yang menggambarkan jalan radikal yang harus dilalui oleh pemuda-pemuda API. Ini juga turut menaikkan semangat pemuda-pemuda untuk berkeras menentang penjajahan.

                                     “Merdeka pasti Merdeka, Merdeka dengan Darah”

Atas sebab buku inilah, API telah menerima suatu penghormatan apabila menjadi sebuah parti politi yang pertama yang diharamkan oleh British.

Karya-karya sastera Boestamam

Boestamam telah menulis banyak novel-novel. Sejak pertama kali ditahan pada tahun 1948. Boestamam telah mengisi kebosanannya dengan menulis karya-karya sastera. Jari jemarinya tidak pernah lenguh mengetuk mesin taip kesayangannya. Mesin taip dihantar oleh isterinya selepas tiga minggu ditahan, menjadi teman rapatnya siang dan malam.

Boestamam telah meluahkan persoalan politik seperti kecurangan pemimpin yang memerintah, kepura-puraan pemimpin politik yang kononnya menjadi pembela rakyat, ketidakadilan politik, ekonomi dan kebobrokan budaya politik yang lain. Boestamam juga menyelitkan persoalan sosial masyarakat yang tertekan dengan soal pelacuran, rasuah, kecurangan suami dan isteri ataupun kesalahan anggota masyarakat. Gabungan kedua-dua unsur ini telah menjadikan novel Boestamam kelihatan menarik.

Antara novel yang dihasilkan ialah Konfrantasi, Kabus Pagi, Malam Tak Berbintang, Garis Hitam Membelah Langit, Merangkaklah Senja Menutup Pandangan, Sorong Makan Tarik Makan dan Api dan Airmata. Kesemua novel ini ditulis berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya dalam kehidupan seharian dan dunia politik.

Hampir kesemua novel Boestamam menonjolkan satu perkara. Boestamam gemar melukiskan hal-hal yang mengghairahkan dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Beliau dengan terus terang melukiskan bentuk badan wanita yang sangat menggoda . Perempuan bermoral rendah yang digambarkan oleh Boestamam mempunyai daya penarik. Imaginasi Boestamam ini terbawa-bawa sehingga beliau menulis satu buku yang bertajuk “Bagaimana menjadi seorang penulis?” yang sering memberi analogi hubungan lelaki dan perempuan sebagai daya penarik dalam bukunya. Antara lain Boestamam menulis;

“Gadis yang anda cintai tidak akan yakin bahawa anda benar-benar menyintainya sekiranya anda tidak menunjukkan keghairahan anda padanya. Nanti disangkakan anda mempermain-mainkannya saja lalu meninggalkan anda . Akibatnya maksud anda tidak kesampaian. Kalau anda tidak berazam bagaimanakah anda dapat memikat hati gadis yang anda cintai? Bila anda bertemu dengannya anda mengatakan cinta padanya. Tetapi bila lama tidak berjumpa dengannya jangankan hendak pergi menemuinya namanya pun sudah mulai anda lupakan.”

“Akibatnya si gadis akan dipunyai oleh seorang yang lebih berazam dari anda. Mungkin anda akan menemui dan seterusnya jatuh cinta pula pada gadis baru yang lebih menarik minat anda. Dan kerana ketiadaan azam anda mungkin dia pun akhirnya akan meninggalkan anda”.

Ketika menulis buku ini, Boestamam sebenarnya ingin para penulis menanamkan azam dan keghairahan yang tinggi untuk menjadi seorang penulis yang berjaya. Jika tidak ada kedua-dua unsur ini, maka aktiviti menulis akan menjadi hangat-hangat tahi ayam saja. Tujuan Boestamam kerap menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan dalam penulisannya ialah menarik perhatian para pembaca tulisannya untuk membaca karyanya sehingga habis.

Dengan latar belakangnya yang pernah bersekolah Inggeris dan banyak membaca buku-buku Inggeris. Boestamam telah menterjemahkan beberapa buku bahasa Inggeris untuk tatapan anak bangsa. Kesedaran aktiviti penterjemahan ini mungkin melihat kepada usaha Indonesia yang lebih kedepan dalam menterjemahkan buku-buku ke dalam bahasa mereka. Antaranya ialah karya penting mengenai gerakan kesedaran nasionalisme Melayu yang ditulis oleh W.R Roff yang bertajuk Malay Nasionalisme. Dalam buku itu Roff memasukkan semua nama-nama yang sering berkumandang bila berbicara mengenai geraka politik di Tanah Melayu terutamanya berkaitan dengan Kesatuan Melayu Malaya (KMM). Selain itu, Boestamam turut menterjemahkan buku-buku mengenai sejarah Asia Tenggara.

Penutup

Melalui makalah ini, maka dapatlah sedikit sebanyak untuk kita mengetahui mengenai ‘keghairahan’ Boestamam dalam dunia penulisan yang amat dicintainya semenjak di bangku sekolah. Ramai tokoh-tokoh yang berjaya menempa nama dalam dunia politik bermula dengan kegiatannya dalam bidang penulisan. Bidang ini menjadi ruang kepada sosok-sosok ini untuk mengeluarkan pendapat-pendapat dan segala curahan hati mereka. Paling tidak pun, menjadi tatapan buat anak bangsa yang cintakan sejarah tanah airnya.

RUJUKAN

Ahmad Boestamam. 2004. Memoir Ahmad Boestamam, Merdeka dengan Darah dalam Api. Universiti Kebangsaan Malaysia

_____________. 1979. Bagaimana Menjadi Seorang Penulis. Penerbitan Pena

_____________. 1972. Putera Setia Melayu Raya. Pustaka Kejora

Ahmat Adam. 2001. Partai Kebangsaan Melayu Malaya: Sebuah Mimpi Nusantara. Jebat

Ahmat Adam. 2011. Melayu, Nasionalisme, Radikal dan Pembinaan Bangsa. Universiti Malaya

Ishak Saat.  2011. Radikalisme Melayu Perak 1945-1970. Universiti Sains Malaysia

Ramlah Adam. 1994. Boestamam Satu Biografi Politik. Dewan Bahasa dan Pustaka

Rustam A.Sani. 2011. Asal Usul Sosial Golongan Kiri Melayu. SIRD


Ahmad Faizal berasal dari Slim River, Perak dan berkelulusan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam bidang sejarah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *