Kuasa Berlebihan, Melebih-Lebihkan Kerosakan

Membaca Tragedi Intelektual Perselingkuhan Politik Dan Agama yang dikarang oleh Dr. Muhammad Abid Al-Jabiri merupakan satu pengalaman yang segar dan cukup menggugah pemahaman sejarah.

Kenapa dikatakan ia segar? Kerana sejarah yang ditulis bukanlah hanya sekadar yang punyai lambakan data sehingga menyebabkan pembacanya lesu lalu hilang minat. Sejarah yang dibentangkan di sini sarat dengan moral dan pemikiran-pemikiran yang radikal demi mencungkil pemahaman yang lebih mendalam terhadap peristiwa yang berlaku seperti yang diajukan oleh Howard Zinn,

“but I suppose the most revolutionary act one can engage in is… to tell the truth”

Selain menerangkan mengenai susur galur sejarah yang berlaku sepanjang sistem khilafah, penulisannya juga cuba untuk  merungkai keterlibatan kuasa politik sehingga menghukum intelektual dalam menyampaikan idea. Persoalan besar yang perlu dijawab di dalam buku ini, mengapa perlunya ada hukuman terhadap kaum intelektual?

Intelektual Dan Cabaran

Dalam mengungkap peranan dan maksud menjadi seorang intelektual Muhammad Abid Al-Jabiri menyebutkan,

seorang intelektual pada hakikatnya adalah kritikus sosial, dia adalah peribadi yang selalu berupaya mengidentifikasi, membuat analisis dan bertindak menyingkirkan segala rintangan menuju tercapainya sistem sosial yang lebih baik, lebih humanis dan rasional.”

Namun adakah mereka benar-benar intelektual organik kerana kata Antonio Gramsci ,

“Pada dasarnya, semua orang punya potensi menjadi intelektual, sesuai dengan kecerdasan yang dimilikinya, dan dalam cara menggunakannya. Tetapi tidak semua orang adalah intelektual dalam fungsi sosial.”

Jadi, adakah  hukuman yang menimpa para intelektual itu disebabkan mereka menjalankan fungsi intelektual atau tidak? Untuk menjawab persoalan, kita perlu menelusuri idea yang dipersembahkan di dalam buku ini yang mengaitkan dua tokoh gergasi dunia Islam iaitu Ibnu Hanbal dan juga Ibnu Rusyd. Walaupun kedua-dua tokoh ini mempunyai cara fikir yang berbeza, namun mereka mempunyai satu tujuan yang sama iaitu ingin meningkatkan kehidupan masyarakat ke arah lebih baik dengan melawan penindasan.

Persamaan yang lainnya pula kedua-duanya diperlakukan seperti anjing kurap demi mempertahankan kuasa politik yang dipegang oleh Bani Abbasiyah pada zaman itu. Perbuatan itu seakan membenarkan apa yang dikatan oleh Lord Acton power tends to corrupt, juga seakan membenarkan kata Saidina Ali,

“bahawa kekuasaan itu ibarat jalan bebas hambatan menuju penegakkan keadilan dan kebenaran.”

Hukuman Kepada Para Intelektual

Ibnu Hanbal dihukum, dipenjara, ditarik dengan kuda gara-gara tidak mahu mempersetujui apa yang dikatakan iaitu oleh ketua Khalifah iaitu al-Makmun dan al-Mu’tashim ketika itu bahawa “al-Quran itu adalah makhluk.”

Peristiwa itu sedikit sebanyak menggambarkan betapa kecenderungan kekuasaan telah memaksakan kepercayaan mereka kepada orang lain dengan cara yang keras semata-mata mahu meraih pengaruh supaya dinasti mereka terus disokong. Ekoran dari peristiwa itu dan selepas dibebaskan, Ibnu Hanbal tidak lagi muncul di majlis-majlis diskusi umum dan hanya melakukan pertemuan dengan para sahabatnya. Hal ini telah mempengaruhi banyak catatannya yang bernada keras sesuai dengan keadaan yang sedang diduduki.

Ibnu Rusyd pula menjadi mangsa kecemburuan dan ketakutan masyarakat setempat dan juga raja yang pada ketika itu dipimpin oleh Ya’qub al-Manshur. Sebelum beliau ditangkap dan dibuang, Ibnu Rusyd merupakan individu yang rapat dengan raja kerana beliau banyak membantu Ya’qub al-Manshur menterjemah karya falsafah Yunani baik Plato mahupun Aristotle.

Namun hidup tak selalunya indah, langit tak selalu cerah,  hubungan erat ini berubah sekelip mata apabila Ibu Rusyd mula mengkritik institusi pemerintahan ketika itu kerana raja yang kerap berfoya, diktaktor dan jauh dari keadilan lalu mengakibatkan masyarakat setempat dijarah oleh kekuasaan pemerintahan. Kesannya karya-karya falsafah beliau dibakar lalu dihancurkan. Ironinya sebelum itu, sang rajalah yang amat mencintai falsafah.

Tuduhan semberono yang mengatakan bahawa Ibnu Rusyd menyokong falsafah “bunga adalah salah satu dari Tuhan (dewa)” (Ungkapan falsafah Yunani yang berunsur pantheisme) yang dillemparkan hanyalah sebagai alasan untuk menangkap dan membuang Ibnu Rusyd seterusnya untuk menarik persepsi rakyat terus menyokong kekuasaan khalifah.

Kesannya sehingga kini dunia Islam tidak serius mengangkat falsafah walaupun ramai tokoh falsafah terhasil malah Ibnu Rusyd sebagai pemikir besar Islam tidak pernah diangkat sebagai pemikir seolah-olah seperti telah terwujudnya “budaya pensenyapan” dalam kalangan masyarakat Muslim selepas berlakunya peristiwa itu. Walhal di Eropah masing-masing berebut mahu membaca karya filasuf Muslim ini lalu menghasilkan pelbagai jenis buah fikiran.

Jika kita katakan bahawa peristiwa ini sudah tamat dan hanya berlaku ratusan tahun dahulu maka kita silap. Di Malaysia sendiri adanya penulis yang berhadapan dengan penghukuman teruk seperti ini. Pelbagai buku dan wacana ilmu yang telah diharamkan dan diganggu dengan alasan menggangu ketenteraman malah dilabel dengan pelbagai jenis label yang kadangkala tidak masuk dek akal.

Khatimah

Sebenarnya Ketenteraman yang dimaksudkan ini ketenteraman milik siapa? Kekuasaan atau masyarakat biasa?

Kenapa tidak diadakan diskusi bersama penulis sebelum sesebuah karya itu diharamkan jika benar-benar menggugat masyarakat? Mengharamkan buku ini seperti menggelapkan masa depan. Terbukti empayar yang tertegak dengan tidak mengangkat wacana dan buku tidak bertahan lama.

Sampai bila agaknya intelektual dipaksa duduk dibawah kekuasaan? Kerana sudah beratus tahun berlalu kisahnya masih sama.

Berbalik kepada ungkapan Saidina Ali “bahawa kekuasaan itu ibarat jalan bebas hambatan menuju penegakkan keadilan dan kebenaran” akan menjadi benar sekiranya penguasa benar-benar memikul amanah kuasa tersebut, bukankah kuasa diwujudkan untuk melindungi yang lemah, jika tidak untuk apa kuasa diwujudkan?

Namun sekiranya amanah itu tidak dipikul maka terbitlah kata Lord Acton tadi bahawa “power tends to corrupt”, lebih-lebih lagi pada mereka yang gemar menggunakan konsep “kebenaran” dalam semua yang mereka kerjakan tanpa boleh dikritik kemudian disokong lagi oleh masyarakat. Akhirnya akan timbul kata “Absolute Power Corrupts Absolutely.

RUJUKAN

Zinn, Howard, Marx In Soho : A Play On History. Cambridge, Mass: South End Press, 1999.

Gramsci, Antonio, Sejarah Dan Budaya. Jakarta: Pustaka Promethea, 2000.

Sayyid Husain Muhammad Jafri, Moral Politik Islam dalam Perspektif Ali Bin Abi Thalib. Jakarta: Pustaka Intermasa, 2003.

Muhammad ‘Abid al-Jabiri, Tragedi Intelektual Perselingkuhan Politik dan Agama. Jogjakarta: Pustaka Alieff, 2003.


Wan Noor Khuzairey, kelahiran Pontian merupakan Timbalan Pengerusi Lestari Hikmah. Berkelulusan BA Pendidikan Sejarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris. Penulisan beliau banyak diterbitkan didalam web dan akhbar tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *