Prolegomena : Horizon dan Dilema Pengukuhan Demokrasi Liberal di Malaysia 1957-2018

Oleh : Helmi Othman

Malaysia adalah sebuah yang berdaulat, mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi dan raja berperlembagaan. Secara relatifnya demokrasi Malaysia adalah bersifat tidak sepenuhnya liberal atau demokratik. Para sarjana juga memberikan pelbagai takrifan terhadap demokrasi di Malaysia, ada yang mengelarnya pseudo democracy, semi democracy, demokrasi ala Asia, Illiberal demokrasi dan sebagainya. Malah ada dikalangan sarjana juga merumuskan sistem demokrasi kita berpaksikan kaum iaitu Ethnocracy (Wade 2014).

Dalam artikel ringkas ini penulis cuba menerangkan beberapa istilah berkaitan dengan tajuk di atas. Prolegomena bermaksud pengenalan, berasal daripada perkataan Yunani iaitu Prolegomenon. Horizon pula bermaksud batasan atau limitasi dan juga kekangan manakala dilema pula menurut kamus dewan edisi keempat sebagai satu keadaan yg menyebabkan sukarnya membuat pilihan antara dua al­ternatif (benda, orang, situasi, dll) atau lebih; keadaan serba salah.

Secara umumnya terdapat beberapa perkara pokok yang menjadi kekangan atau cabaran dalam usaha mengukuhkan demokrasi liberal di Malaysia selain itu menyingkap sisi aplikasi autoritarianisme di Malaysia. Antaranya ialah Pertama, perlembagaan dan unsur kemelayuan (Malayness). Kedua, pergerakkan sejarah dan citra Destini Bangsa. Ketiga, keragaman budaya, fabrik sosial dan masyrakat sivil. Keempat, pembangunan pesat ekonomi tidak selari dengan pembangunan demokrasi. Kelima, ideologi negara pembangunan (Developmental state) dan idea Negara Kuat (Strong State).

1) Perlembagaan Persekutuan Dan Unsur Kemelayuan (Malayness)

Perkara pertama iaitu merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan sebarang percanggahan dengan akan terbatal dan tidak terpakai, hal ini dapat dilihat dalam perkara 4 (1) yang menegaskan Perlembagaan Persekutuan “as supreme law of the land”. Dalam perlembagaan perkara 1 (1) menyebutkan persekutuan dinamai Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris. Manakala Perkara 3 (1)  menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Maka hal ini jelas bahawa Islam adalah agama negara.  

Bagi melindungi agama negara ini maka agama selain Islam tidak boleh disebarkan kepada Orang Islam, menurut perkara 11 (4) Undang-Undang Negeri dan berkenaan dengan wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Undang-Undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat perkembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam. Selain itu dalam perkara 12(2) yang mengizinkan penggunaan wang awam untuk tujuan-tujuan agama. Bertitik tolak kepada hujahan tersebut maka hal ini menjadi halangan kepada pembentukan Malaysia untuk menjadi negara demokrasi liberal yang mengiktiraf persamaan agama dan kebebasan untuk menyebarkan agama. Malah isu ini sering dijadikan justifikasi oleh badan penguat kuasa, Misalnya JAIS  (Jabatan Agama Islam Selangor) bagi merampas kitab Bible dalam bahasa Melayu bagi mencegah ia daripada disebarkan kepada orang Melayu.

Kedudukan Istimewa orang Melayu juga menjelaskan penolakan terhadap konsep persamaan atau sama-rata dan ini adalah positive discrimination yang bertentangan dengan prinsip demokrasi liberal yang menekankan konsep equality. Hal ini melihat beberapa pertimbangan iaitu orang Melayu sebagai penduduk asal dan majoriti di negara ini selain ia adalah konsensus atau dikenali sebagai kontrak sosial yang mana masyarakat bukan Melayu bersetuju menerima perkara tersebut asalkan Orang Melayu mengiktiraf kewarganegaraan mereka (quid pro quo). Hal ini dapat dilihat terdapat beberapa keistimewaan orang Melayu diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan antaranya, 10 (4) Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan perkara-perkara mengenai kedudukan, keistimewaan Orang Melayu melainkan pelaksanaannya ia jelas membataskan kebebasan bersuara dan hal ini pastinya bercanggah dengan prinsip kebebasan demokrasi liberal. Perkara 89 adalah peruntukkan mengenai Tanah Simpanan Melayu dan perkara 153 mengenai perizaban kuota mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam, mengenai biasiswa, permit perniagaan dan kuota kemasukan ke universiti. Tuntasnya kesemua peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini bukan sahaja  bertujuan melindungi orang Melayu tetapi juga memperteguh Kemalayuan (Malayness) iaitu agama Islam, Bahasa Melayu, dan keistimewaan orang Melayu sebagai son of the soil.

2)  Pergerakkan Sejarah Dan Citra Destini Bangsa

Perkara seterusnya ialah faktor sejarah dan latar belakang budaya yang unik, Hal ini dapat dilihat bahawa demokrasi adalah sistem yang lahir di Barat dan mengalami tribulasi ratusan tahun. Kemudianya secara misteri hilang dan muncul kembali ketika Eropah menerima fajar pencerahan(enlightenment) iaitu pada awal akhir abad ke 17 dan awal abad ke 18. Barat begitu teruja untuk menyebarkan demokrasi seolah-olah lupa bahawa demokrasi bukanlah dibina secara sekelip mata. Malah kita juga biasa terdengar mengenai kata-kata oleh Mohamed El Baradei iaitu Democracy is not an instant coffee. Genesis demokrasi bermula dengan demokrasi secara langsung (direct democracy) jika disorot ia bermula pada zaman Yunani iaitu negara kota Athens adalah pengasas kepada sistem demokrasi ini. Namun begitu kata orang Rome not build in one day, demokrasi di Athens juga dimulakan pada zaman Solon, pengukuhan pada zaman Cleisthenes dan kemuncak pada zaman Pericles. Tokoh tokoh filasuf  ulung sezaman seperti Socrates, Plato dan Aristote amat kritikal dan pesimistik mengenai sistem demokrasi ini pada zaman mereka.

 Hal ini juga dapat dilihat apabila Barat mengambil masa hampir 450 tahun dari proklamasi Magna Carta 1215 hingga membawa kepada pemerintahan dengan kuasa monarki terhad dan kedaulatan Parlimen  (Anwar Ibrahim: 1997). Sebenarnya, jika kita melihat dengan lebih teliti masyarakat Eropah mengalami beberapa titik perubahan atau rujukan dalam sejarah yang memberi makna (defining) kepada mereka dan menggolongkan mereka dalam satu kesatuan tamadun. Manifestasinya  ia melahirkan satu set budaya dan agama yang hampir seragam di seluruh Eropah. Iaitu bermula dengan tradisi zaman hallenik, empayar Rom, Perang Salib, zaman feudal atau dark ages menuju kepada Renaissance kemudian Zaman reformasi agama Kristian dan melahirkan Protestant seterusnya zaman Pencerahan, revolusi industri dan zaman moden.

Zaman Halenik > Empayar Rom > Perang Salib > Zaman Kegelapan > Renaissance > Reformasi > Zaman Pencerahan > Revolusi Industri > Zaman Moden.

Hal ini  pastinya tidak sama dan jauh berbeza jika disbanding dengan dengan masyarakat di Asia terutamanya pada Asia Tenggara, yang bermula sebagai kerajaan agraria atau maritim tertakluk kepada kedudukan geografi sesebuah negara dan seterusnya mereka mengamalkan sistem pemerintahan beraja yang bersifat ketuhanan dan berkuasa mutlak dan hal ini banyak dibicarakan oleh  Francis  Fukuyama dalam karyanya iaitu Origin of The Political Order : From Prehuman Times To The French Revolution yang menyebutkan sebagai oriental despotism iaitu kedaulatan undang-undang adalah di bawah kedaulatan raja (ruler). Raja berkuasa untuk membuat undang-undang mengikut kemahuannya serta kebal dari sebarang pendakwaan mahupun kesalahan (Francis Fukuyama 2011).  

Selain itu, konsepsi mengenai Raja-Raja dalam konteks Asia Tenggara terutama di alam Melayu Nusantara dianggap kudus dan sakral. Pada zaman Hindu Buddha konsep Devaraja atau  Chakravartin dikultuskan sebagai ideologi negara bagi memusatkan kuasa dan kepatuhan rakyat jelata, raja digambarkan sebagai wakil tuhan atau jelmaan dewa Visnu dan Siva. Setelah kedatangan Islam konsep ini dingantikan pula dengan kosep Daulat dan Tulah serta Raja sebagai bayangan Allah di muka bumi, Zillullah fil-alam dan Zillullah fil-ardh.

Budaya politik yang patrimonial dan parokial ini telah membentuk pandang dunia dan juga etos masyarakat di Asia Tenggara sejak zaman purba lagi. Pada abad ke 15 hingga abad ke 20 sejarah negara di Asia dicorak oleh penjajahan oleh negara Eropah, kolonialisme dan Imperailisme menjadi dasar luar Eropah yang terpenting pada ketika itu dan masyarakat tempatan sebagai reaksi sepanjang tempoh penjajahan tersebut bergelut dan menumpukan usaha untuk pembebasan dan kemerdekaan tanah air. Malaysia juga pernah dijajah oleh kuasa Eropah bermula pada 1511 oleh Portugis sehingga mencapai kemerdekaan dari tangan British pada 1957.  Sebagai tambahan,  Kishore Mahbubani (2013) menghujahkan bahawa kuasa Asia yang terkuat dan terbesar pada ketika itu iaitu China dan India telah dikuasai dan dibuli oleh kuasa Barat, China misalnya melalui perjanjian memalukan akibat kekalahan Perang Candu Pertama dan dipaksa memetrai perjanjian Nanjing dan beberapa wilayah yang berdaulat di serah kepada British. Manakala India pula seluruhnya tergadai kepada British.

Kerajaan Maritim/agraria > Zaman Feudal (Oriental Despotism) > Zaman Penjajahan > Kemerdekaan

3) Keragaman Budaya, Fabrik Sosial Dan Masyarakat Sivil

Perkara dan persolan pokok yang seterusnya ialah fabrik sosial iaitu di Malaysia, Malaysia adalah sebuah negara masyarakat majmuk atau pluralistik yang mempunyai jumlah penduduk 32.6 juta orang pada tahun 2019, umumnya Melayu merupakan kelompok etnik majoriti, iaitu mewakili 63 peratus manakala Cina mewakili 22.8 peratus dan India dan lain-lain pula sekitar 6.9 peratus (Awani Online). Malaysia juga memaparkan masyarakat heterogeneous dan pendekatan yang diambil oleh kerajaan Malaysia adalah bersifat akomodatif dalam menangani kepelbagaian dan mengiktiraf identiti etnik masing-masing hal ini jauh berbeza dengan pendekatan yang diamalkan di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia yang mana masyarakatnya diasimilasikan dan identiti etnik dihapuskan bagi mencapai matlmat kesatuan negara bangsa.

Sentimen primordial adalah unsur terpenting kewujudan parti politik yang bersifat perkauman seperti UMNO untuk orang Melayu, MIC untuk orang India dan MCA untuk orang Cina dan ini telah memmbawa kepada Politik Permuafakatan (Consociationalism). Politik permuafakatan ini ternyata mampu bertahan hampir 60 tahun lamanya sebelum diganti oleh politik gabungan Pakatan Harapan.

Namun begitu bukan hanya parti politik sahaja yang bersifat ‘kaum’ malahan masyarakat sivil juga yang sepatutnya memperjuangkan isu universal dan tidak melampaui batas etnik, namun apa yang berlaku di Malaysia adalah sebaliknya. Menurut Kartini Aboo Talib (2012), gerakan sivil di Malaysia bertunjangkan identi kaum dan sentimen primordial yang masih menebal walaupun masyarakat dikatakan telah mengalami proses perubahan yang besar dan peningkatan kelas menengah yang ketara. Oleh yang demikian, pertubuhan berdaftar mengikut kaum seperti PERKASA, ABIM, ISMA, GPMS ialah pertubuhan bagi kaum Melayu manakala Dong Jiao Zong, Dewan Perhimpunan Cina, ACCIM mewakili kaum Cina dan HIDRAF, Malaysia Hindu Sangam, Majlis Belia Hindu bagi kaum India. Selain parti politik dan masyarakat sivil bersifat kaum yang dominan kelihatan juga sistem pendidikan nasional juga yang bertanggungjawab sebagai acuan terbaik membentuk integrasi masyarakat juga berbentuk kaum dengan kewujudan sekolah-sekolah vernakular.

Kerencaman ini juga memberi makna bahawa isu-isu sensitif perkauman cuba dikawal oleh pemerintah dan sebarang provokasi dengan memberi kebebasan yang melampau, seperti tindakan menghasut dan menimbulkan kebencian kaum misalnya, persoalan mempertikaikan hak-hak Orang Melayu yang diberikan oleh perlembagaan boleh menimbulkan ketegangan kaum dan mengancam kestabilan negara.  

4) Pembangunan Pesat Ekonomi Tidak Selari dengan Pembangunan Demokrasi

Selain itu faktor Pertumbuhan ekonomi dan keupayaan Malaysia dalam membasmi kemiskinan juga antara faktor yang menyumbang kepada situasai perlahannya pendemokrasian di Malaysia. Sebagai sebuah negara muda yang baru sahaja mencapai kemerdekaan, pastinya persolan yang menjadi keutamaan pemerintah dan juga rakyat adalah persoalan pembasmian kemiskinan dan menyedikan peluang pekerjaan dan juga usaha mengukuhkan ekonomi. Pada era Dr Mahathir, Malaysia dikatakan mengamalkan sistem demokrasi ala Asia dan menolak tesis Barat (demokrasi liberal). Menurut beliau untuk menjadi sebuah negara yang kuat dan maju, Malaysia memilih demokrasi yang cocok baginya dan untuk menjadi negara maju tidak semestinya mencotohi Barat. Beliau  juga sering mengecam dan berkonfrantasi dengan Barat hal ini berbeza dengan dasar-dasar Perdana Menteri sebelumnya.

Jika disorot urutan sejarah, Malaysia pernah mengamalkan ‘demokrasi liberal’ dan ‘ekonomi liberal’ pada zaman kemerdekaan dan pada sepanjang era pemerintahan Tunku Abdul Rahman, dasar demokrasi liberal dan ekonomi liberal yang diwarisi daripada Inggeris ini akhirnya membawa kepada tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.  Peristiwa ini kemudianya diakatakan sebagai punca kepada kemunduran dan kejatuhan demokrasi liberal di Malaysia. Kerajaan Perikatan pada ketika itu telah dijenamkan semula oleh Tun Razak pasca 13 Mei yang dikenali sebagai Barisan Nasional (BN). Menurut naratif umum kelihatanya punca utama tercetusnya 13 Mei ialah rasa tidak puas hati rakyat dan berlaku kesenjangan ekonomi antara bandar dan luar bandar, kemiskinan orang Melayu sebagai etnik majoriti yang tinggal di luar bandar  dan kekayaan minoriti Cina yang berpusat di bandar telah menimbulkan kecemburuan sosial sehingga tercetusnya rusuhan kaum. Bertitik tolak daripada hal tersebut maka pihak kerajaan telah menggubal Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Menurut Shamsul Amri Baharudin (2012) dalam syarahannya di USIM bertajuk Merdeka dengan Ilmu menyatakan menurut Institute of Developing Economy berpusat di Jepun yang banyak menulis dan mengkaji  tentang Malaysia yang diketuai oleh Takashi Tori mengkaji mengenai perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru, Beliau menekankan dua perkara, pertama kemiskinan yang berjaya dikurangkan dari 50 % kepada 5 % dalam tempoh tiga puluh tahun, dan ini tambah beliau tiada satu negara dalam dunia yang mampu mencapai rekod yang amat menakjubkan. Kedua, keupayaan mencipta kelas menengah yang agak besar dalam tempoh tiga puluh tahun itu merupakan kejayaan Malaysia. Dasar Ekonomi Baru adalah satu bentuk positive discrimination dan Affirmative Actions yang diusahakan oleh pemerintah bagi membasmi kemiskinan sekali gus menyusun semula masyarakat dan mengagih kekayaan yang serta, dan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang menakjubkan itu  turut diakui oleh Bank Dunia.

5) Ideologi Negara Pembangunan (Developmental state) Dan Idea Negara Kuat (Strong State)

Faktor yang seterusnya ialah Malaysia mengamalkan ideologi negara pembangunan (Developmental state) dan memeluk idea Negara Kuat (Strong State). Idea campur tangan pemerintah yang meluas dalam pembangunan ekonomi dianjurkan oleh John Maynard Keynes dianggap satu revolusi ekonomi, malah hal ini telah mendorong kebanyakkan negara Eropah melaksanakan konsep “negara kebajikan” ala sosialis demokrat, bagi rakyat mereka manakala bagi negara pasca kolonial dan baru mencapai kemerdekaan mereka pula melaksanakan model negara pembangunan (World Bank 1997).

Konsep campurt tangan kerajaan yang meluas dalam pengurusan ekonomi ini, bukanlah sesuatu perkara yang baru, Malah ketika kemelesetan Besar 1930an, Presiden Franklin Delano Roosevelt (FDR) telah melancarkan New Deal pada 1933 bagi mengatasi kemelesetan tersebut. Campur tangan aktif kerajaan bagi mengembalikan dan memulihkan semula ekonomi gergasi Amerika Syarikat. Kesan ketara ialah AS mengakui hakikat bahawa perlunya campur kerajaan dalam bidang ekonomi (Shakila Yacob: 2005).

Melalui model negara pembangunan ini, peranan kerajaan menjadi lebih luas, perkara yang menjadi keutamaan pemerintah ialah pertumbuhan ekonomi dan kurangnya perhatian terhadap hak asasi mahupun masyarakat sivil, pembangkang yang lemah dan sentiasa ditekan, mementingkan kestabilan politik dan meningkatkan taraf kehidupan. Politik Pembangunan juga menekankan kuasa eksekutif yang kuat. Selain itu ia juga dikatakan selari dengan fahaman strukturalis atau statis iaitu pemerintah perlu campur tangan khususnya bagi merancang pertumbuhan ekonomi bagi mengatasi kemunduran ekonomi dan kebajikan awam (Sity Daud : 2002).

Selain itu, negara pembangunan juga  turut menekankan persoalan pengukuhan agenda politik pembinaan negara bangsa bukanya hanya tertumpu pada peralatan negara dan pertumbuhan ekonomi semata-mata. (Abdul Rahman Embong: 2003). Menurut Sity Daud, satu kajian mengenai negara pembangunan di Malaysia menghujahkan bahawa terdapat beberapa persamaan dengan model Jepun dan Korea Selatan iaitu antara lain memperkasa sektor industri berat, mewujudkan kementerian khas bagi urusan perdangagan antrabangsa dan melakukan penswastaan secara besar-besaran tambahan lagi memperuntukkan sebahagian besar belanjawan negara bagi tujuan pendidikan. Namun begitu, terdapat perbezaan yang ketara dalam konteks Malaysia iaitu memperkenal dasar-dasar yang pro kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera salain menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara.

Justeru itu, kajian Nadzri Mohd Nor (2009) menyatakan bahawa politik neo feudal memainkan peranan penting dalam menghambat demokrasi liberal di Malaysia. Sikap dan nilai neo feudal ini kemudianya mengukuhkan lagi  politik neo patromonialistik UMNO atau politik penaung-dinaung umumnya tidak dianggap oleh pemerintah dan rakyat sebagai berlawanan dengan nilai demokratik sebaliknya dianggap sebagai sesuatu yang normal dan sebati dalam masyarakat.  Merujuk kepada Syed Hussien Al Attas, neofeudalisme Melayu adalah penerusan amalan feudalisme Melayu tradisional pada zaman moden. Hal ini dilihat selari dengan hujahan bahawa dalam politik pembangunan dalam konteks negara Asia Tenggara berlaku apa yang dikenali sebagai developmental corruption iaitu rasuah bersifat pelincir kepada pembangunan. Iaitu rasuah yang membantu mengatasi kerenah birokrasi di negara tersebut.

Dr Mahathir yang bertanggungjawab dalam memperluaskan konsep Strong State dan memeluk konsep negara pembangunan dan Nilai Asia (Asian Values) (diringkas sebagai NA) menjadi dasar  politik dan ekonomi serta sekali gus mewarnai landskap Malaysia selama 20 tahun berikutnya.  Mahathirisme ini telah menjadi kupasan oleh ramai sarjana termasuklah Khoo Boo Teik (1995) dan John Hilley (2008) yang menulis Malaysia: Mahathirisme, Hegemoni Dan Pembangkang baru menjustifikasikan tindakan-tindakan Dr Mahathir yang bersifat memaksa (coercive) dan dominan (hegemon) menerusi penggunaan undang-undang bersifat autoritarian dan draconian telah berjaya mengurangkan masalah perkauman dan seterusnya membawa kepada kestabilan politik. Dr Mahathir juga turut menjurai konsep dan wacana NA adalah satu ideologi konserverstisme versi Asia. Francis Fukuyama dalam pengantar Laporan Hitchcock menyebutkan bahawa genesis perdebatan mengenai NA ini dimulakan oleh Dr Mahathir Mohamad dan Lee Kuan Yew pada akhir dekad 1980-an. Fukuyama mempersoalkan bahawa wacana tersebut menimbulkan soal motif politik bahawa ia telah digunakan untuk mempertahankan kepentingan politik bahawa ia adalah untuk mempertahankan kepentingan politik dan keabsahan kepada dasar-dasar pemerintah. Selain itu menurut Mahbubani (2008), beliau berhujah:

The Asian value debate, fortunately is the most miss title. The Asian Value come about at end of the cold war, because there wasn’t Asian reaction to Western triumphalism. I mean i was there, i went to Europe, i went to America and those mean the Western intellectual were just plan cookie then they had to do to address to the rest of the world “ hey the cold has ended the west has won” know the rest of the world you have only one road of this stream (history). You all have to become cultural clones of the west and that what Asians rejected. It said no we will become cultural or political clone of the west this is reactions to Asians Value debated…….. because the society that tried to go overnight, Yugoslavia for example , was devastated thousands of people die because of this experiment in democracy, that has imposing Yugoslavia, think wonder, 800.000 people die because you tried to converted democracy without paying attention to the underlying ethnic fabric down there.

Rumusannya yang pasti penilaian mengenai NA dalam sesuatu masyarakat adalah sesuatu yang subjektif dan relatif. Tidak boleh sesiapa yang boleh memberi jaminan sesuatu nilai itu hanya berada dalam sesuatu masyarakat dan tidak ada dalam masyarakat lain. Menurut Profesor Ken Booth (2014) dalam syarahannya  Why International Relations Matter to Every One of Us bahawa NA adalah bersifat relatif dan tidak hanya dipunyai oleh Timur atau Asia tetapi juga turut dimiliki oleh Barat misalnya menghormati orang yang lebih tua. Menurut Hitchcock (1997), terdapat beberapa ciri-ciri Nilai Asia iaitu kepatuhan kepada autoriti, keutamaan terhadap keharmonian, permuafakatan dan ketenteraman, kepentingan awam mengatasi kepentingan individu.

Malah Dr Mahathir (1999) juga mengakui bahawa kebanyakan daripada nilai-nilai Asia tersebut pernah menjadi nilai-nilai Barat sebelum kemerosotan sistem sosial serta nilai kekeluargaan dan kemasyarakatan di Barat yang kehilangan pada masa kini. Oleh itu bagi beliau sesetengah nilai seperti “kepentingan keluarga” dan ‘kepatuhan autoriti” yang pernah menjadi nilai konservatif di Barat diterima oleh rakyat Malaysia dalam menuju kejayaan di samping beberapa nilai liberal barat seperti kepentingan individu mengatasi masyarakat akan dicabar dan diketepikan.  Perspektif Malaysia, Nilai Asia juga mengandungi unsur Islam yang progresif dan sederhana, ideologi pembangunan dan nasionalisme kebudayaan.

Sumber: (Naisbitt 1997.54)

KESIMPULAN

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi pascakolonial yang masih muda. Meminjam analisis Hegelian Dialectic. maka demokrasi Malaysia adalah pada tahap transisi atau reformasi dan sedang menuju konsolidasi. –Work On Progress– Pemerintahan Konservatif UMNO zaman Dr Mahathir menuju kepada Neo Konservatif  iaitu pada era Abdullah Badawi dan Najib Razak apabila hegemoni BN semakin lemah dan terhakis  pasca PRU 12  dan 13 maka transformasi dijalankan bagi mengembalikan sokongan dan keyakinan rakyat selain mengikut rentak dan realiti dunia yang semakin terbuka. Tuntasnnya perubahan adalah secara incremental menuju kepada pendemokrasian iaitu demokrasi liberal tidaklah mengancam politik Malaysia.  Sebaliknya melemahkan hegemoni Barisan Nasional dan membuka paradigma baru politik Malaysia. Tekanan oleh golongan konservatif telah memperlahankan usaha reformasi. Perkara fundamental mengenai pendemokrasian di Malaysia ialah bukan sepantas mana Malaysia menjadi Demokrasi liberal tetapi adakah demokrasi yang ingin dicapai itu benar-benar membawa kesajahteraan dan keadilan kepada rakyatnya. Demokrasi dan ekonomi yang manusiawi bertunjangkan kedaulatan undang-undang, Kestabilan sosial  dan kerajaan yang berakauntabiliti.


Muhammad Helmi Othman berasal dari Melaka. Mendapat pendidikan awal BA dan MA di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Kini beliau merupakan calon phd di universiti dan dalam bidang yang sama sebelumnya. Penulisan dan kajian beliau tertumpu kepada kenegaraan, politik Islam, demokrasi dan peradaban. Muhammad Helmi berpengalaman sebagai pegawai tadbir, Felo Kolej Ungku Omar UKM dan juga pensyarah di UKM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *