Kebebalan, Kerancuan dan Minda Tertawan Sebahagian Individu Di Dalam Masyarakat Membangun

Oleh : Mohd Aiman

Istilah “bebalisme” masih segar dari buminya dan berkat kekhususan, bagi sesiapa yang mengajukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, ingin saya jelaskan  bahawa Istilah “Bebalisme” digunakan  dalam pengertian ilmiah dan deskriptif, dan bukan bermaksud untuk merendahkan, meskipun kata dasar iaitu “bebal” bermaksudkan sebegitu. “Bebalisme” merupakan perkataan yang berakar daripada perkataan bebal iaitu beerti bodoh: malas dan keras kepala. Bebalisme ini merupakan sikap yang mempunyai kepelbagaian manifestasi seperti ketidaktahuan, lamban, acuh tak acuh dan keras kepala, sebagai ganti dari usaha yang gigih.

Bebalisme merupakan IDEOLOGI TIDAK SEDAR yang terhinggap kepada sebahagian individu moden masyarakat membangun sehingga membawa kepada MINDA TERTAWAN atas individu moden tersebut, yang akan saya jelaskan selepas ini dengan membawa contoh kes. Wabak Ideologi Tidak Sedar ini akan tersebar dengan mudah, berlawanan dengan Ideologi Yang Disedari dan sistem kepercayaan. Ide-Ide mahupun ajaran agama misalnya kebiasaannya disebarkan melalui kepayahan penganut-penganut yang menyebarkan. Seperti di dalam Islam, umat Islam diwajibkan berdakwah akan risalah Islam kepada seluruh umat manusia melalui usaha dan tenaga berfikir. Berfikir dengan sedar itulah yang mendatangkan keyakinan yang jitu kerana iman bukan paksaan bahkan dibentuk dengan keikhlasan. Bebalisme boleh menjengah kepada setiap individu yang berada dalam semua bentuk kebudayaaan, segala ruang dan waktu.

Kemiskinan Intelektual

Orang-orang bebal ini tidak mempunyai daya antisipasi, tidak sedar perlakuan yang dibuat dan tidak bersifat asli. Maka mereka terperangkap dalam budaya moden penjajah yang masih tidak ditapis yang mana baik dan buruk nya. Syed Hussein Alatas menyinggung hal ini dengan menyebutkan masalah utama berakar umbi dari minda tertawan (captive mind). Golongan ini sentiasa mengambil mudah sesuatu perkara, tidak kritis berfikir, autoritarian, mudah terpesona apa yang datang dari Barat tanpa menilainya dan apabila mereka menjadi pemimpin mereka akan menjadi pemimpin jadong (jahat, bodoh dan sombong). Sudah tentunya mereka ini dipandu oleh Cita Bencana dan meninggalkan Cita Sempurna.

Maka membimbangkan jikalau kita masih terperangkap dengan kemiskinan intelektual. Memetik apa yang disebut oleh Raja Ahmad Aminullah,

“Kita dapat merasakan suasana kemiskinan intelektual ini sekiranya kita berada di kedai-kedai buku kita. Kebanyakan daripada kedai-kedai buku di negara ini pada umumnya menjual buku teks, tadika dan sekolah di samping buku yang bercorak motivasi, bagaimana untuk menjadi kaya dan seumpamanya. Di bidang agama pula, buku-buku yang banyak terdapat adalah bersifat amalan khusus, ritual, fiqh ataupun yang hanya melibatkan perbahasan yang mendatar atau di permukaan sahaja. Hampir tiada buku wacana yang membicarakan permasalahan kontemporari atau semasa dengan menggunakan prinsip yang dianuti tetapi ditafsir dan diaplikasikan pada realiti atau konteks semasa. Pembacaan teks agama juga bersifat membahaskan isu yang dirumuskan oleh sarjana zaman silam”

Akibat daripada rutin sehari-hari individu tersebut terperangkap di dalam proses cara berfikir dan berbudaya dengan ideologi tidak sedar “Bebalisme” ini, akan menyebabkan individu itu mempunyai MINDA TERTAWAN, lalu membawa kepada KERANCUAN DALAM BERFIKIR seperti yang dibahaskan oleh Imam al- Ghazali dalam karya agung beliau iaitu Kitab Tahafut al-Falasifah sekaligus pincang dalam mengutarakan apa-apa hujah dalam bentuk verbal mahupun non verbal.

Peranan Intelektual

Maka disinilah peri pentingnya intelektual untuk membangunkan minda masyarakat. Meminjam istilah Ali Shariati, golongan rausyanfikir inilah yang harus bersama dan menyedarkan massa bagi menggerakkan revolusioner intelektualisme, membangkitkan semangat “Islam Abu Zar” dan menumpaskan Firaun, Bal’am dan Qarun moden.

Dititipkan disini petikan dari karya agung Syed Hussein Intelektual Masyarakat Membangun semoga ianya tersemat di dalam sanubari dan pemangkin pencerahan kepada masyarakat.

“Oleh sebab situasi krisis, yang meluaskan peluang intelektual itu jarang terjadi, maka kaum intelegensia atau intelektual  yang tidak berfungsi didesak oleh dorongan untuk bertindak membentuk kelompok yang berfungsi. Kaum intelektual dilahirkan melalui proses tersebut dan tanpa peranan golongan intelektual akan sia-sialah untuk mengharapkan pemilihan persoalan serta penyelesaiannya secara cerdas dan sedar bagi masalah yang dihadapi masyarakat membangun.”

Rujukan

  1. Intelektual Masyarakat Membangun, Syed Hussein Alatas.
  2. Rekonstruksi Perdebatan al-Ghazali dan Ibnu Rusyd, Hisyam Addien.
  3. Islam And Others Faiths, Ismail Faruqi.
  4. “Minda Tertawan” Intelektual, Rausyanfikir Dan Kuasa, Raja Ahmad Aminullah.
  5. Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri, Za’ba.
  6. Penjelasan Budaya Ilmu, Wan Mohd Nor

Mohd Aiman anak kelahiran Terengganu merupakan siswa BA Fiqh dan Fatwa di Universiti Sains Islam Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *