Perspektif Dan Kehilangan Jiwa Dalam Pendidikan
Oleh : Harith Aiman Raduwan
Baru-baru ini terdapat satu trend di TikTok di mana terdapat sebilangan guru membuat hantaran tentang pemarkahan kertas peperiksaan yang menunjukkan sebilangan pelajar yang membiarkan kertas mereka kosong dan ada juga yang menulis jawapan yang mengarut yang langsung tidak relevan pada soalan. Walaupun hanya sebilangan sahaja yang melakukan perkara-perkara ini, tetapi perkara ini agak membimbangkan. Situasi ini sangat sesuai untuk menggambar dua permasalahan mengenai pendidikan iaitu dari sudut perspektif dan ‘kehilangan jiwa’.
Perspektif Pendidikan
Permasalahan berkaitan pendidikan bukanlah satu perkara yang baharu tetapi perkara yang sudah lama diperkatakan oleh sarjana dan juga orang awam. Banyak perkara yang dapat dibahaskan mengenai permasalahan tersebut seperti kebolehpasaran graduan, pembentukan silibus, daya tarikan pendidikan, tenaga pengajar yang tidak kompeten dan sebagainya. Perkara-perkara berikut sudah tentu perlu dibincangkan dengan terperinci dan perlu mencapai penyelesaian. Mahupun begitu, pada pendapat saya, perkara yang paling penting adalah dalam pembentukan perspektif terhadap pendidikan. Perspektif yang dimaksudkan ialah sebuah persepsi yang positif, yang melihat pendidikan sebagai satu perkara yang amat penting yang merangkumi segala aspek kehidupan dan bukan hanya sebagai satu medium atau alat dalam mencapai keinginan materialistik semata-mata. Pembentukan persepsi ini sangat penting kerana apabila wujudnya sebuah perspektif, bermakna seseorang itu telah menerima sesebuah idea yang secara tidak langsung akan memandu tindakan mereka. Kehidupan kita banyak dipengaruhi faktor luaran yang membentuk perspektif kita terhadap sesuatu perkara dan antaranya adalah kerana sistem kapitalistik yang dominan dan gaya hidup mencari nafkah. Secara tidak langsung, ibu bapa, pelajar dan masyarakat membentuk satu perspektif di mana untuk belajar adalah untuk mendapatkan pekerjaan. Semasa kita membesar sudah tentu kita akan dengan penyataan seperti ‘belajar elok-elok, nanti senang dapat kerja’ ataupun ‘belajar tinggi-tinggi, nanti hidup senang’. Sudah tentu ada kebenarannya di dalam pemikiran dan penyataan berikut kerana dalam apa-apa bidang sekalipun memerlukan ilmu untuk melakukan tugasan dengan baik dan dengan betul terutamanya bidang yang teknikal dan profesional. Tetapi masalahnya wujud apabila perkara berikut menjadi fokus dan tunjang utama dalam proses menuntut ilmu seseorang kerana ianya akan menjadi panduan mereka. Pembelajaran hanya dilihat pada matlamat akhirnya dan bukan pada penghayatan proses. Kelas-kelas yang mereka hadiri adalah sebuah pengalaman yang ‘cetek’ kerana apa yang penting adalah apa yang ingin dicapai pada penghujungnya—keputusan peperiksaan, pekerjaan yang bagus dan sebagainya.
Wujud juga perspektif bahawa ada subjek yang bermanfaat dan bernilai dan yang sebaliknya dikalangan masyarakat dan perkara ini membuatkan sesetengah bidang ilmu dipandang rendah oleh masyarakat. Hal ini kerana bidang-bidang tertentu dianggap tidak memberi nilai pulangan yang tinggi—iaitu dalam kebolehpasaran graduan dan prospek kerjaya selepas habis belajar—dan dianggap sebagai membuang masa. Raja Ahmad Aminullah dalam bukunya, Minda Tertawan mengatakan bahawa ada tanggapan sesetengah orang dalam masyarakat yang mempunyai tanggapan mereka yang belajar falsafah, sastera ataupun sains sosial merupakan kegiatan yang mewah.(1) Mungkin ada kebenaran di dalam penyataan berikut jika kita menerima pakai perspektif bersifat utilitarian yang menganggap kursus-kursus tersebut sebagai tidak bermanfaat dan tidak bernilai kerana jika kursus-kursus berikut tidak mempunyai prospek kerjaya yang banyak, sudah tentu hanya orang kaya yang sanggup ‘membazir duit dan masa’ mereka bukan? Berdasarkan realiti, lebih rasionalnya untuk memilih kursus yang akan memberi peluang pekerjaan yang lebih baik, tetapi untuk menganggap sesuatu kursus itu sebagai ‘kursus orang kaya’, membazir masa dan duit itu sememangnya salah. Mungkin peluang pekerjaan dalam bidang tersebut tidak banyak dan gaji tidak begitu lumayan, namun, tidak sedikit pun membuatkan ilmu yang dipelajari itu tidak bernilai. Setiap ilmu ada nilainya dan cara seseorang memanfaatkannya akan memberi nilai kepada kursus yang mereka telah belajar.
Selain itu, perspektif lain juga wujud di mana kadang kala ada yang menyebut seperti ‘tidak perlu pun belajar tinggi-tinggi sebab orang tu berjaya sahaja walaupun tidak sambung belajar’. Perspektif ini selalu dikaitkan dengan orang-orang terkemuka misalnya Elon Musk, Mark Zuckerberg, Bill Gates dan sebagainya, tetapi kini remaja-remaja membentuk perspektif ini kerana pempengaruh (influencer) di sosial media. Melihat pempengaruh ini berjaya, membuatkan mereka ingin menceburi bidang ini. Apabila mereka melihat pendidikan hanya sebagai laluan kepada pekerjaan, maka untuk menjadi pempengaruh telah menjadi satu jalan pintas bagi mereka dan pendidikan dilihat tidak penting dan diketepikan. Perkara ini juga dapat diaplikasikan kepada pekerjaan lain yang tidak memerlukan syarat yang tinggi tetapi ianya lebih menonjol terhadap ‘bidang pempengaruh’.
Sudah pasti, wujudnya perspektif-perspektif ini bukanlah salahnya seratus peratus kepada pelajar atau remaja-remaja kerana perspektif yang wujud ini kadangkala tersebut secara tidak sedar atas faktor-faktor luaran yang bukan dalam penguasaan mereka. Institusi pendidikan juga memainkan peranan dalam pembentukan perspektif seseorang.
‘Kehilangan Jiwa’ Dalam Pendidikan
Pendidikan secara amnya bertujuan dalam mendidik masyarakat dan meningkatkan pengetahuan mereka dalam sesuatu perkara. Pendidikan ini luas dan boleh merangkumi pelbagai cara dan bentuk yang bukan hanya dapat mendidik masyarakat tetapi turut dalam pembentukan karakter dengan nilai-nilai murni, intelektual dan berakhlak. Demi mencapai semua ini, pendidikan perlu mempunyai ‘jiwa’ yang teguh. ‘Jiwa’ di sini merujuk kepada matlamat atau falsafah yang memandu terutamanya institusi pendidikan untuk membentuk masyarakat dengan elemen-elemen manusiawi yang menjadikan mereka insan yang holistik dalam segala aspek kehidupan. Negara kita juga mempunyai falsafah pendidikan iaitu Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menggariskan beberapa perkara iaitu:
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”(2)
Walaupun Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini menggariskan dengan baik apa yang kerajaan ingin capai, usaha pelaksanaannya sangat lemah serta pelaksanaan aktiviti pendidikan yang tidak sama sekali sampai untuk peroleh visi ini.
Kembali kepada situasi yang dinyatakan pada awal tulisan ini, kita dapat lihat bahawa sesetengah murid-murid sudah tidak mengambil serius pelajaran mereka terutamanya selepas pemansuhan UPSR dan PT3 yang menjadi suatu peperiksaan besar yang juga mempunyai nilai tambang bagi mereka yang ingin masuk ke asrama penuh dan MRSM misalnya. Tetapi apabila sudah tiada matlamat akhir bagi murid-murid ini, maka mereka tidak menganggap pelajaran sebagai perkara yang penting kerana tidak ada kepentingan atau nilai yang berguna kepada mereka. Inilah masalahnya jika perspektif murid kepada pelajaran adalah peperiksaan semata-mata dan apabila hilangnya matlamat akhir itu, maka lesaplah terus keinginan untuk belajar itu. Ini, bagi saya, bahawa hilangnya ‘jiwa’ pendidikan itu kerana tidak sepatutnya peperiksaan yang memandu murid untuk belajar, yang sepatutnya (secara idealnya) murid dipandu oleh keikhlasan dan semangatnya untuk menuntut ilmu dan menduduki peperiksaan itu hanya sebagai satu hal yang sekunder, untuk menguji ilmu pengetahuannya.
Di samping itu, mari kita lihat perkara ini dalam dua aras pendidikan, peringkat menengah dan tinggi. Pada peringkat menengah ataupun di sekolah menengah, sudah menjadi matlamat utama untuk pelajar-pelajar memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM kerana pada sijil inilah, terutamanya bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, amatlah penting bilangan ‘A’. Dengan SPM sebagai matlamat akhir bagi sekolah-sekolah, aktiviti-aktiviti pembelajaran dibentuk mengikut matlamat tersebut. Kebanyakan guru mengajar mula mengajar murid teknik-teknik menjawab mengikut skema dan hingga menjalankan bengkel dan seminar. Secara tidak langsung wujud budaya ‘latih-tubi’ dalam guru-guru dan pelajar yang di mana masa lapangnya diisi dengan menjawab soalan past year. Tidak dinafikan bahawa dengan teknik menjawab, bengkel dan seumpama dengannya sangat membantu pelajar dalam memperolehi keputusan yang cemerlang dalam SPM, tetapi masalahnya dalam penghayatan dan penyerapan ilmu dari subjek yang mereka pelajari itu tidak begitu efektif. Penekanan kuat terhadap peperiksaan semata-mata menyebabkan belajar itu menjadi perkara yang sekunder. Ivan Illich mengatakan bahawa antara ilusi besar sistem sekolah ialah pembelajaran selalunya hasil daripada diajar (di sekolah). Tetapi pada hakikatnya Illich mengatakan bahawa pembelajaran lebih banyak berlaku di luar sekolah.(3) Beliau juga ada mengatakan murid ‘disekolahkan’ untuk dikelirukan antara mengajar dengan belajar, peningkatan gred dengan pendidikan, diploma dengan kecekapan dan kebolehan, dan kelancaran untuk membolehkan mengatakan sesuatu yang baharu.(4)
Di universiti pula, saya tidak dapat huraikan secara penuh tetapi apa yang ingin saya tekankan adalah pada jumlah subjek yang pelajar perlu ambil. Bagi kursus saya misalnya, di samping subjek teras saya juga perlu mengambil subjek tambahan iaitu subjek wajib universiti—falsafah, etika dan peradaban serta keusahawanan. Setiap subjek mempunyai nilainya dan setiap ilmu itu berharga termasuklah subjek-subjek tersebut tetapi masalah disini bukanlah isinya tetapi lebih kepada jumlah subjek yang pelajar perlu ambil. Pelajar sememangnya perlu mengambil subjek teras sebagai ‘tiang utama’ kursus mereka dan setiap subjek teras itu mempunyai tugasan yang perlu mereka laksanakan. Apabila pelajar terpaksa mengambil subjek tambahan yang diwajibkan universiti maka mereka dibebankan lagi dengan tugasan subjek berikut. Penambahan subjek ini, pada pendapat saya, mengurangkan lagi kualiti pelajar dan hasil kerjanya. Dalam cubaan untuk menjadikan pelajar holistik tetapi malangnya menjadi simplistik. Walau dengan pengurusan masa yang baik, sudah tentu pelajar tidak mahu untuk menggunakan masanya hanya untuk buat tugasan. Ada yang ingin melaksanakan hobinya, membuat pembacaan yang tak terkait dengan kursusnya dan mungkin hanya mahu berehat. Memang benar masih boleh dilakukan apa sahaja aktiviti lain disamping menyempurnakan tugasan, akan tetapi subjek yang banyak menyebabkan pelajar lebih menghabiskan masa dan tenaga dengan tugasan dan kadang kala terlalu penat untuk melakukan hobi atau perkara lain. Lama kelamaan sesetengah pelajar mungkin berasa lesu upaya (burnout). Secara tidak langsung hilang ‘jiwa’ mereka ini bukan sahaja terhadap pelajaran tetapi juga pada kehidupan seharian.
Pelajar kini telah mencari satu ‘jalan pintas’ iaitu dengan penggunaan ChatGPT. Masalahnya bukanlah kepada ChatGPT itu sendiri tetapi pada cara penggunaan pelajar kerana ChatGPT merupakan satu alat yang amat berguna kepada pelajar di setiap peringkat. Kembali semula kepada permasalahannya iaitu ChatGPT sebagai jalan pintas. Dengan bebanan tugas yang banyak, ada sesetengah pelajar telah pilih untuk bergantung sepenuhnya kepada bot sembang itu untuk melaksanakan tugasannya sekaligus menyiapkan tugas mereka dengan pantas dan menjadikan tugasannya bukan hasil kerja yang dibuat atas kerahan asli pelajar itu sendiri. Perkara ini merupakan cabaran yang sedang dihadapi dalam dunia akademik walaupun wujud perisian bagi membendung perkara ini, tetapi pelajar masih pandai untuk mencari untuk mengelirukan perisian berikut. Dengan itu, pelajaran pelajar dan hasil kerja pelajar—semestinya bukanlah semua tetapi segelintir—itu tidaklah menghasilkan kerja yang berkualiti.
Pada pendapat saya, jika ingin dimansuhkan subjek wajib universiti berikut, tidak bermaksud ia patut dilenyapkan sepenuhnya. Subjek-subjek ini patut diberi pilihan kepada pelajar sebagai bentuk elektif bagi mereka yang minat terhadap subjek-subjek tersebut. Selain itu, falsafah dan etika juga jika tidak dijadikan subjek wajib, ianya dapat dibahaskan dalam subjek teras yang sedia ada. Contohnya, bagi kursus saya seperti teori hubungan antarabangsa ataupun analisis dasar luar dapat dimasukkan perbincangan etika, misalnya berkaitan realisme dan masalah seperti ‘matlamat menghalalkan cara’ (the end justifies the means). Universiti sepatutnya menjadi medan bagi wacana seperti ini untuk dibahaskan secara mendalam dan bukannya tempat untuk meresap apa yang diajar semasa kuliah dan ‘dimuntahkan’ semula pada kertas peperiksaan. Universitilah tempat pelajar untuk bertukar dan berbeza pendapat dan dari situlah dapat melahirkan masyarakat yang berfikiran kritis. Bukanlah pelajar tidak mahu atau tidak boleh berfalsafah tetapi mereka mungkin tidak mempunyai masa untuk ‘dibazirkan’.
Sudah semestinya institusi pendidikan bukanlah satu-satu tempat untuk belajar kerana setiap langkah kehidupan kita ini juga dapat kita pelajari secara sengaja atau tidak sengaja. Walau bagaimanapun, institusi pendidikan telah menjadi pilihan ibu bapa dan pelajar untuk mereka ‘meneruskan pelajaran’—bergantung kepada apa perspektif yang mereka pegang. Seperti yang telah saya huraikan pada awal tadi bahawa pelajaran itu telah hanya menjadi satu medium bagi sesetengah masyarakat untuk memperoleh pekerjaan. Sekolah menjadi tempat mereka bertungkus lumus melakukan latih tubi untuk keputusan SPM yang cemerlang kemudiannya masuk ke dalam universiti untuk dibentuk menjadi graduan yang ‘serba boleh’ dengan subjek yang universiti wajibkan. Semua proses ini penting supaya dapat menghasilkan produk graduan yang boleh dipasarkan kepada dunia pekerjaan. Masalah yang saya tekankan bukanlah untuk menghalang pelajar atau sesiapa untuk mendapatkan pekerjaan yang bagus tetapi lebih kepada menekankan bahawa institusi pendidikan yang telah hilang matlamatnya, yang kini ingin menjadi kilang dalam menghasilkan manusia yang robotik supaya dapat memenuhi kehendak tenaga kerja.
Soal pendidikan ini tidak akan pernah selesai kerana masalahnya sangat rumit dan mempunyai pelbagai dimensi, tetapi tidak bermakna perubahan positif tidak dapat dilaksanakan. Kerana sifatnya pelbagai dimensi maka pendekatan yang perlu diambil perlulah dari pelbagai sudut lapisan. Golongan intelektual perlulah memainkan peranan dalam mempertingkatkan lagi wacana mengenai perkara ini terutamanya dari sudut pandang akademik. Penggubal dasar sepatutnya mendengar cadangan dan luahan lebih-lebih lagi dari golongan intelektual dan memainkan peranan dalam menambahbaik keupayaan dan kredibiliti institusi pendidikan. Ibu bapa juga hendak memainkan peranan penting dalam menanamkan dalam pemikiran anak mereka sebuah perspektif yang tidak semata-mata berlandaskan pemikiran materialistik dan perlulah menyuntik semangat untuk belajar yang tidak terikat dengan matlamat duniawi semata. Kerana pada akhirnya, kita, iaitu diri tunggal ini yang membuat keputusan dan berusaha untuk mencapai kejayaan dan tanpa ilmu yang kukuh dan yang memberi makna dalam kehidupan, sudah tentu gelap masa hadapannya. Apabila diri-diri tunggal(5) ini semakin meningkat bilangannya maka barulah dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai jiwa yang memberi makna dalam diri supaya dapat memandu kemajuan masyarakat yang bukan hanya berteraskan kemajuan ekonomik semata-mata tetapi masyarakat yang kaya dengan akhlak dan budi bahasa.
(1) Raja Ahmad Aminullah. (2018). Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir, dan Kuasa (Hlm. 34). Strategic Information and Research Development Centre.
(2) Kementerian Pendidikan Malaysia. (2018). Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia. https://www.moe.gov.my/falsafah-pendidikan-kebangsaan.
(3) Ivan Illich. (2003). Redefining Education, Why We Must Disestablish School (Hlm. 23). Citizens International.
(4) Ibid
(5) Istilah diri-diri tunggal ini saya pinjam daripada Za’ba. Beliau juga menjelaskan lebih lagi peranan diri-diri tunggal dalam kemanjuan bangsa. Lihat Za’ba. (2016). Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri (Hlm. 9). Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bacaan Lanjut
Syed Hussein Alatas. (2016). Intelektual Masyarkat Membangun. Dewan Bahasa dan Pustaka
Syed Hussein Alatas. (2007). The Meaning of Progress in Contemporary Education [1999]. Dlm. Azhar Ibrahim Alwee & Mohamed Imran Mohamed Taib (Eds.), Moral Vision and Social Critique (hlm. 98-105). The Reading Group.
Syed Hussein Alatas. (2007). Education and The Captive Mind [1974]. Dlm. Azhar Ibrahim Alwee & Mohamed Imran Mohamed Taib (Eds.), Moral Vision and Social Critique (hlm.106-122). The Reading Group.
S. Munirah Alatas. (2022. Nov. 8). Seven deadly sins of Malaysia’s approach to education. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2022/11/08/seven-deadly-sins-of-malaysias-approach-to-education/
Ivan Illich. (2003). Redefining Education, Why We Must Disestablish School. Citizens International
Harith Aiman Raduwan berasal dari Cheras, Kuala Lumpur. Kini merupakan mahasiswa Pengajian Antarabangsa Dan Strategik Universiti Malaya.