Menghayati Tradisi Patriotisme Malaysiana
Oleh : Mohd Ashraf
Malaysia adalah sebuah negara yang diberkati dan bertuah dimana berada dalam satu-satunya rantau yang menerima banyak pengaruh ketamadunan besar dunia. Kawasan ini telah mengikat hubungan antarabangsa yang baik dengan kuasa-kuasa besar seperti Kerajaan Uthmaniah, Mughal dan Kerajaan China. Bahkan berpengalaman juga berdepan dan berinteraksi dengan imperialis dari timur dan barat seperti Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris. Rantau ini juga menjadi pusat pertembungan agama-agama besar dunia seperti Hindu, Buddha, Kristian dan Islam. Disini lah apa yang disebut oleh Prof Dr Wan Nor Wan Daud sebagai antara penting peranan orang Melayu dalam menubuhkan dan memajukan “Tamadun Antarabangsa” di rantau ini. Dalam makna lain beliau menulis;
“.. Kita di Malaysia boleh dianggap sebagai satu Alam Kecil daripada Alam Besar Dunia kerana terdapatnya hampir semua agama dan bangsa-bangsa besar di sini dalam nisbah yang agak besar. Jika kita berjaya menubuhkan dan mengekalkan satu negara yang adil dan bersatu padu berasaskan agama dan akhlak, maka kita telah mencapai satu kejayaan yang masih diimpi-impikan oleh banyak negara-negara masaitek (maju sains dan teknologi) di dunia.”
Dalam satu sesi soal-jawab Saturday Night Lecture Series (24 Ogos 2019) Prof Dr Zainiy Uthman ada mencadangkan supaya audiens untuk membaca buku “Bunga Rampai Bangsa, Kebangsaan & Patriotisme” dalam memahami dan merungkai persoalan-soalan yang ada dalam negara kita sekarang. Malah Prof Zainiy dalam makalahnya “Unsur-unsur Utama Pemupukan Kebangsaan dan Patriotisme” dalam perenggan awal menulis;
“.. Kestabilan dan Kemakmuran ini adalah natijah dari perpaduan yang kukuh dan semangat bersekutu aneka bangsa, pelbagai agama dan budaya, yang telah bersepakat demi memupuk keamanan dan ketenteraman yang dinikmati sejak kemerdekaan. Perpaduan di Negara ini meraikan ciri-ciri kepelbagaian bangsa dan kaum, tanpa meleburkan kaum etnik, hilang bahasa pertuturan dan budaya asal keturunan, anutan dan pembawaan agama, serta penyerapan budaya. Kehidupan beraneka ragam yang harmoni ini adalah hasil pemikiran jauh dan usaha serta iltizam yang kuat dengan penuh hikmah tokoh-tokoh ilmuan dan Pemimpin terdahulu yang telah merangka Perlembagaan Negara Malaysia dan Rukun Negara yang merangkumi dasar-dasar kebangsaan yang menjamin hak semua warganegara. Kesediaan masyarakat bangsa Melayu yang majoriti untuk menerima dengan hati terbuka keberadaan kaum-kaum lain yang minoriti untuk bersama hidup berkongsi bumi tanah ini adalah dengan segala bentuk cabaran yang tidak diduga ketika itu adalah satu kenyataan sifat murni yang luhur.. “.
Sempena bulan kemerdekaan kita tahun ini wajar kita renungi tulisan Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, 15 PETUNJUK utama Patriotisme Malaysia, iaitu:
1. Menghormati Agama Islam sebagai agama Persekutuan dan hak-hak agama lain.
2. Menghormati Bendera Malaysia, Lagu Negaraku, dan Rukun Negara.
3. Menghormati Institusi Raja, Perlembagaan, dan Undang-undang.
4. Menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam semua urusan rasmi dan kemasyarakatan.
5. Mengiktiraf keahlian dan kepakaran dalam semua bidang mengikut kepentingan agama, bangsa, dan negara.
6. Menjaga orang tua dan keharmonian keluarga.
7. Membayar cukai pendapatan dan mengamalkan perbelanjaan berhemah.
8. Memupuk kerjasama antara agama dan kaum.
9. Menyokong Sekolah Kebangsaan dan Kebudayaan Kebangsaan.
10. Bersopan satun dan beradab dalam semua perkara.
11. Menunaikan semua amanah dan kerja dengan cekap dan sempurna.
12. Memelihara kebersihan, kesihatan diri, keluarga, dan institusi.
13. Mengenali sejarah negara, negeri, dan kampung halaman.
14. Mengenali dan memelihara alam sekitar, flora fauna, dan haiwan tempatan.
15. Menghormati undang-undang, budaya serta adat resam pelbagai negara, dan menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.
(Dipetik daripada halaman 25-26, makalah Patriotisme Adil di Zaman Global, “Bunga Rampai: Bangsa, Kebangsaan dan Patriotisme”, suntingan Prof Dr Muhammad Zainiy Uthman)
Mohd Ashraf berasal dari Kuala Terengganu dan mendapat pendidikan di dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor. Sekarang beliau merupakan jurutera di Shah Alam, Selangor.