Objektiviti Dan Penulisan Sejarah : Konsep Sejarah oleh Al Ghazali, Ibn Khaldun, Dr. Iqbal Dan Sejarawan Muslim Yang Lain

Oleh : Prof. Dr. Syed Hussein Alatas

Penterjemah : Harith Aiman Raduwan

“Demikian itu, masalah di sini bukanlah terletak di dalam sejarah dan cara nalar kita tetapi lebih kepada konsep kehidupan kita sendiri. Pertembungan pendapat terhadap sejarah dan objektiviti pada zaman sekarang mencerminkan kejadian yang sama dalam konsep kehidupan kita. Dalam percubaan untuk menyelesaikan masalah ini batas sejarah dan intelektual kita perlu dikembangkan kepada seluruh dunia dan bukan hanya kepada sesebuah tempat, seperti mana mereka yang mencadangkan penyelesaian hanya berdasarkan pengalaman oleh Eropah sahaja. Sosiologi dan psikologi sosial telah melakukan langkah ini, dan dengan harapan bahawa falsafah dan sains sejarah akan mengikut sama. Insan bukanlah sesebuah kelas, kaum, budaya, agama dan fahaman. Insan merangkumi kesemuanya di mana kita belum dapat memahaminya, dan pemahaman penuh atau separa itu akan bergantung kepada masa hadapan umat manusia”.

Al-Ghazali Memperkenalkan Era Baharu Dalam Sejarah Perkembangan Objektiviti.


Krisis dan kekeliruan di dalam dunia pemikiran yang menjadi ciri abad ke-19 telah disebabkan oleh pertanyaan falsafah terhadap alam dan makna akal, jirim dan kehidupan, yang meletakkan dirinya di pusat pertanyaan “Apakah yang membentuk pengetahuan objektif?” Disebabkan masa itu wujud zaman berzaman, perhatian insan telah tertarik kepada permasalahan ini. Tetapi ini bukan bermaksud masalah tentang pengetahuan objektif kini sama seperti zaman dahulu kala. Era baharu dalam sejarah perkembangan objektiviti diperkenalkan oleh ahli falsafah Muslim dan ahli hukum, al-Ghazali (m. 1111 M) semasa mencari asas yang kukuh untuk kepercayaan beliau. Al-Ghazali menyatakan bahawa ahli falsafah telah bertelingkah antara satu sama lain mengenai sistem masing-masing yang berdasarkan kepastian empirikal dan rasional. Dia telah merumuskan masalah tersebut dengan cara lain. Masalah itu, seperti yang al-Ghazali katakan, bukanlah untuk menjadi pasti terhadap kepercayaan sendiri tetapi pertama sekali untuk menjadi pasti terhadap apa itu kepastian. Sebelum kita katakan bahawa sesebuah ilmu itu meyakinkan dan boleh dibuktikan, yang membuatkan kita pasti akan apa yang sudah kita tahu setakat ini, hendaklah diterokai apa yang dimaksudkan dengan kepastian. Dalam kata lain, sebelum apa-apa pengetahuan dianggap sebagai objektif, kita hendaklah tahu apa makna objektif, dan apa sebenarnya yang membentuk objektiviti. Kini masyarakat tidak lagi membezakan antara sejarah yang objektif dan tidak objektif, tetapi antara apa itu objektiviti dan apa itu sejarah.


Percubaan Ibn Khaldun Dalam Memberikan Catatan Sejarah yang Objektif

Sejarah, seperti mana yang telah direncanakan dan ditulis sebelum ini, hanyalah sebuah gabungan peristiwa yang telah direkodkan secara rawak ataupun didorong oleh kepentingan dan pilihan penulis. Pada abad ke-14, ‘Abd al-Rahman Ibn Khaldun, sejarawan Muslim Afrika Utara (1332-1406), menulis karya agung beliau Universal History (Muqaddimah), di mana beliau sekaligus menetapkan prinsip sosiologi moden.(1) Beliau merencana sejarah bukan hanya sekadar siri-siri peristiwa tetapi sebuah proses yang disebabkan oleh sesebuah hukum yang beroperasi dalam masyarakat. Idea bahawa sejarah ini adalah sebuah proses mula diperkenalkan oleh Hegel, sejauh mana Eropah mengambil cakna. Inti sari Universal History oleh Ibn Khaldun ialah “rekod masyarakat dalam tamadun dunia; pada perubahan yang berlaku semula jadi dalam masyarakat tersebut, seperti kekejaman, kebolehsosialan dan solidariti berkumpulan; dalam revolusi dan kebangkitan oleh sekumpulan manusia melawan yang sekumpulan lain, dengan kemunculan kerajaan dan Negara, dengan kedudukan yang berbeza; pada lain-lain aktiviti dan pekerjaan manusia, sama ada untuk menyara kehidupan mereka ataupun dalam pelbagai sains dan kesenian; dan, umumnya, segala perubahan yang berlaku dalam masyarakat adalah secara semula jadi”.(2) Kita di sini bukanlah tertarik terhadap inti sari sejarah beliau dan makna yang terikat padanya, atau hukum yang beliau temukan yang beroperasi dalam masyarakat insan, tetapi dalam percubaan beliau memberikan catatan sejarah yang objektif.


Ibn Khaldun menyenaraikan tujuh prinsip sumber-sumber kesilapan di dalam penulisan dan merekodkan sejarah. Beliau menulis:


“Pertama daripadanya ialah sikap partisan terhadap sesebuah fahaman atau pendapat. Apabila akal menerima dalam keadaan yang neutral dan sederhana apa-apa maklumat, ia memberikan maklumat tersebut bahagian yang sewajarnya dalam penyelidikan dan kritikan, demi melepaskan kebenaran yang terkandung daripada kesilapan; akal, jika ianya cenderung kepada sebuah pendapat atau fahaman, ia secara terus menerima segala maklumat yang berpihak kepada pendapat berikut. Oleh itu, sikap partisan berfungsi sebagai sebuah penutup minda, yang menghalang daripada menyiasat dan mengkritik dan mencenderungnya kepada penerimaan dan penyebaran kesilapan.


Faktor kedua ialah keyakinan melampau terhadap bahan kita dan sumber mereka. Ketiga ialah kegagalan memahami apa yang dimaksudkan. Keempat ialah tersalah faham tentang kebenaran. Kelima ialah “ketidakupayaan meletakkan sesuatu peristiwa bertepatan dengan konteks sebenar, mengakibatkan kerumitan dan kekaburan situasi tersebut. Keenam, keinginan untuk meraih sokongan dan penerimaan sosial. “Sebab kesilapan ketujuh” disambung Ibn Khaldun , “dan yang paling utama dari kesemuanya, ialah kejahilan terhadap hukum yang mentadbir perubahan masyarakat insan. Segala sesuatu, sama ada objek mahupun perbuatan, adalah tertakluk kepada sebuah hukum yang mentadbir alam dan sebarang perubahan yang mungkin berlaku di dalamnya. Jika, oleh yang demikian, sejarawan yang memahami sifat sesuatu peristiwa dan perubahan yang berlaku di dunia, dan keadaan yang mentadbirnya, pengetahuan berikut akan membantu seseorang itu lebih dari segalanya untuk menjelaskan apa-apa rekod dan untuk membezakan kebenaran yang terkandung daripada kesesatan”.(3)


Percubaan Moden Dalam Catatan Sejarah yang Objektif


Sejak zaman Ibn Khaldun lagi, banyak faktor yang mempengaruhi objektiviti di dalam penulisan sejarah telah dikemukakan. Pengkaji saintifik telah membayangkan masih ada lebih banyak faktor yang akan diterokai. Oleh itu, konsep objektiviti adalah perkara yang bergantung pada perubahan sama seperti keadaan di mana perihal subjek yang cuba memberikan catatan objektif juga perkara yang bergantung pada perubahan. Sejarawan Belanda, Jan Romein menyenaraikan sebahagian faktor yang mempengaruhi objektiviti, iaitu kelas, persekitaran dan zaman di mana sejarawan itu terkait. Beliau juga menyatakan sesetengah faktor terpenting adalah secara umumnya dianggap sebagai masalah utama dalam epistemologi dan falsafah. Ini adalah seperti apa yang Karl Mannheim klasifikasikan sebagai collective unconscious, atau dorongan emosi dan tidak rasional dalam pemikiran insan yang membawa mereka menyusuri satu jalan sahaja dalam merencanakan kehidupan atau yang lain.(4) Akal kita, acuan oleh kuantiti dan kualiti yang tidak terbatas dalam fakta sejarah dibentuk menjadi proses sebuah peristiwa yang dapat difahami dan ditafsir, juga tidak bebas untuk dari pengaruh motivasi yang tidak rasional ini. Saya akan cuba untuk mengemukakan penyelesaian kepada permasalahan objektiviti yang  telah dikemukakan oleh sesetengah sejarawan dan lihat apa yang kita boleh lakukan dengannya. Tetapi, sebelum itu, mari kita mengenal pasti apa yang orang maksudkan dengan sejarah.

Makna Sejarah

Sudah tentu, secara umumnya diterima bahawa konsep sejarah kita juga dipengaruhi oleh konsep objektiviti kita. Sejarah Ibn Khaldun telah menutup segala ruang kepada yang tidak masuk akal dan mustahil seperti lagenda berkaitan Alexander the Great yang turun ke dasar laut di dalam sebuah peti kaca untuk menggambarkan raksasa laut yang menghalang baginda dari membina pelabuhan-pelabuhan Alexandria. Legenda ini telah direkodkan dan dipercayai oleh periwayat iaitu Mas’udi, di mana konsep objektivitinya berlainan daripada Ibn Khaldun dalam erti kata lain ianya kurang saintifik dan dengan itu memberikan pandangan sejarah yang berlainan. Untuk tujuan analisis, mari kita ketepikan faktor yang berpengaruh berinteraksi antara konsep sejarah dan objektiviti.


Pertama sekali, kesemua konsep sejarah, seperti semua konsep fenomena objek adalah pengabstrakan minda insan. Untuk merujuk kepada sebuah keadaan, mari kita buat sebuah analogi antara sejarah dan air. Pengetahuan kita tentang air sepatutnya tidak terbatas. Kita dapat faham mengenai air dari sudut pandangan kimia dan fizikalnya, tetapi bukanlah hanya kedua-dua ini sahaja. Sifat-sifat air seperti kebolehan melegakan dahaga, membasahkan tangan kita, menghakis tanah, menghasilkan bunyi, tidak terhingga jumlahnya. Demikian dapat kita memahami air dari pelbagai sudut pandangan tetapi tidak secara keseluruhan dan sepenuhnya. Sama seperti sejarah. Dalam perbincangan beliau bersama sejarawan Belanda, Pieter Geyl sedar akan sifat sejarah, Arnold Toynbee mengatakan dengan jelas karya beliau Study of History itu sebuah cubaan melulu. Beliau menulis :


“Saya tidak sepatutnya bermimpi untuk mengaku bahawa secara khusus tafsiran saya adalah yang satu sahaja berkemungkinan benar . Terdapat beberapa, saya pasti, banyak alternatif lain untuk menganalisis sejarah, di mana setiap satu itu benar secara hakikatnya dan menjelaskan sejauh yang ia mampu pergi, seperti mana dalam membedah sebuah organisma kamu didedahkan akan sifatnya dengan mendedahkan sepenuhnya sama ada tulang ataupun otot ataupun saraf mahupun peredaran darah. Tidak akan ada satu pun daripada pembedahan ini yang akan menggambarkan kebenaran yang menyeluruh, tetapi tiap satu membongkar sisi sebenarnya”.(5)


Kita boleh menulis tentang proses persejarahan dengan agama, sains, falsafah sebagai subjek utama yang dipilih dari keseluruhan dan realiti sejarah yang tidak terhingga. Di samping itu, setiap subjek yang dipilih akan memberikan kita makna dan tafsiran yang berlainan dan kadang-kadang berlawanan. Demikian, sejarah itu seperti sungai yang mengalir dalam pelbagai arah dan mengandungi elemen yang berbeza-beza. Para sejarawan adalah mereka yang telah bergegas ke tebing, setiap (dari mereka) membawa sebuah baldi di tangan. Baldi-baldi tersebut adalah dalam bentuk yang pelbagai dan air yang mereka ambil itu kadang-kadang berlumpur dan kadang-kadang jernih, bergantung kepada keadaan yang berkait dengan sungai itu. Ada kalanya baldi itu sendiri yang kotor, lantas membuatkan air bersih itu kotor. Para sejarawan ini kemudiannya bergegas pulang dan bersaing antara satu sama lain untuk menjual air yang telah dituang ke dalam botol-botol yang pelbagai bersama dengan pelbagai label.


Justeru itu, amatlah jelas kepada kita bahawa realiti sejarah dapat memberikan banyak kita banyak kemungkinan dalam interpretasi sejarah. Satu contoh yang jelas adalah tentang kejatuhan Rom dan Zaman Pembaharuan (Renaissance). Sejarawan tidak sepakat atas sebab kemunduran Rom dan kepada kepentingan dan sumbangan Zaman Pembaharuan. Setiap sejarawan menegaskan sebuah pandangan yang berbeza disokong oleh lambakan bukti yang dapat disangkal cara yang setanding oleh pihak lawan.


Konsep Sejarah Al-Ghazali, Ibn Khaldun, Dr. Iqbal dan Sejarawan Moden yang Lain


Arnold Toynbee melihat sejarah sebagai pembangunan dalam sistem-sistem agama dengan asas hukum cabaran dan gerak balas (law of challenge and response). Muhammad Iqbal menganggap sejarah sebagai usaha insan mengubah diri mereka menjadi individu hampir sempurna di mana pemikiran dan perbuatan, naluri dan nalar menjadi satu. Matlamat individu-individu ini dalam kehidupan adalah penciptaan berterusan keinginannya dan impian berdasarkan kesatuan Tuhan dan Insan. Karl Marx melihat sejarah sebagai sebuah perjuangan antara kelas-kelas berpusatkan kepada cara mereka memperoleh rezeki untuk sara diri. Benedetto Groce percaya sejarah sebagai tindakan untuk menghadam dan memahami syarat-syarat kehidupan praktikal dari segi moral, estetik, politik, saintifik dan bidang aktiviti yang lain.


Justeru itu, boleh kita tanyakan, mengapa kita masih tak dapat bersetuju apa itu sejarah? Mengetahui bahawa pertelingkahan berterusan berkenaan dengan aspek asas kehidupan kita sebagai sebuah konsep sejarah adalah tidak semula jadi dan tidak diingini, tetapi kita masih tetap dengannya. Adakah kesusahan itu wujud pada dirinya atau adakah kesilapan kita dalam memberi sejarah makna yang salah atau pengadaptasian sebuah cara pendekatan yang salah? Untuk menjawab kesemua soalan ini kita perlu mengambil kira dua faktor terpenting berkait dengannya. Pertama sekali, tiada konsep sejarah dapat wujud dengan sendirinya dan terasing daripada konsep kehidupan kita secara umum. Justeru itu, kebergantungan pada kepercayaan dan konsep sejarah telah terbentuk.

Kedua, disebabkan kebergantungan ini, sebuah konflik antara sistem kehidupan yang mencapah pada sebuah masa dan tempat yang telah ditentukan akan menghasilkan sebuah keputusan yang sama dengan cara sejarah dianggap oleh mereka yang hidup pada masa dan tempat tertentu itu. Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, sekarang mari kita cuba untuk menjawab soalan di atas. Kebenarannya ialah masalah itu bukan terletak pada kesusahan yang wujud dalam pembentukan konsep sejarah yang benar tetapi dalam usaha (pembentukan) sistem kehidupan yang benar. Dalam kata lain, solusi terhadap krisis dalam konsep sejarah kita terletak bukan pada teknik dan kaedah penulisan sejarah, iaitu, konsep dan metodologi yang digunakan, tetapi dalam penemuan sebuah sistem kehidupan yang diterima umum yang bukan didasarkan kepada pengalaman sesebuah kaum, negara mahupun kelas tetapi kepada insan sepenuhnya. Setiap percubaan untuk membentuk sebuah falsafah sejarah tak akan memberikan hasil yang berjaya kecuali latar belakang intelektual dan ideologi yang merupakan bahagian yang tidak dapat dipisahkan awalnya dibentuk dengan kuat dan kukuh. Ada kecenderungan sebahagian sejarawan untuk memisahkan penulisan sejarah dari kerangka penilaian dan intelektualnya. Mereka mengikut tabiat para saintis dalam membedah dan menganalisis pengalaman insan menjadi serpihan-serpihan yang bertempiaran dan dalam kompartmen. Percubaan sedemikian tidak akan menyumbang kepada penyelesaian masalah kita. Ia hanya mendedahkan kepada kita fenomena yang terletak jauh di dalam substratum intelektual dan emosi kita yang bergelora, keinginan mencari kelegaan dengan mengelak dari permasalahan sebenar. 

Permasalahan Objektiviti


Sekarang mari kita kembali kepada permasalahan objektiviti. Perkataan objektiviti itu mengandungi beberapa faktor dan aspek. Ianya dapat dibahagikan kepada dua bahagian untuk tujuan menganalisis. Ianya ialah teknik dan kaedah pada satu sisi dan nilai-nilai dan sikap pada yang sisi yang lain. Teknik dan kaedah yang saya maksudkan ialah alat konseptual dan prinsip taakulan di mana ianya digunakan untuk mencatat fakta-fakta sejarah tidak mempunyai pertimbangan nilai. Ianya bertujuan untuk mengelakkan kesilapan logikal dan ketidakseragaman. Teknik dan kaedah ini tidak dimiliki khusus oleh satu ataupun dua sejarawan tetapi hak milik umum. Sebagai contoh, konsep dan cara nalar yang digunakan dalam teori evolusi dapat digunakan oleh pelbagai ahli biologi untuk membuat kepastian pada konklusi mereka yang pelbagai dan kadang-kadang bercanggah. Sisi lain objektiviti ialah sikap dan nilai-nilai. Setiap konsep objektiviti merujuk kepada sebuah kriteria di mana ianya didasarkan. Oleh itu, ianya sebuah konsep yang mengandungi sesebuah hubungan tertentu. Dalam kata lain, apabila kita mengatakan sesuatu itu objektif, kita maksudkan bahawa ianya objektif dalam perbandingan dengan sesebuah nilai dan idea yang telah kita terima sebagai sebuah piawaian.

Sesetengah sejarawan, apabila berurusan dengan permasalahan objektiviti, hanya memasukkan teknik dan kaedah sebagai inti sari. Mereka mengelak sisi efektif dan penilaian objektiviti. Saya akan menerangkan dengan lebih lanjut dengan memetik sebuah contoh oleh Profesor Romein dalam tafsiran objektiviti. Sejarah objektif, dari kaca mata Profesor Romein adalah untuk memahami dan mematuhi pada syarat-syarat yang terhasil daripada lambang semangat zaman, iaitu daya paling dominan beroperasi di dalamnya. Kepatuhan ini dengan, dan pemahaman tentang, lambang semangat semasa itu bermaksud mengambil pertimbangan unit sosio-sejarah sepenuhnya dan dengan berpihak kepada daya dominan itu. Untuk memihak kepada daya ini Profesor Romein menganggap sebagai satu langkah kehadapan menuju objektiviti. Beliau menulis:


“Tepat sekali, dia memilih sebuah pihak membuatkan dia saksama kerana ia membuatkan dia boleh memahami semangat masa itu sebagai sebuah penyatuan penuh dan sekaligus mendorong dia memahami masa lampau, iaitu, untuk mendapatkan gambaran yang objektif, adalah untuk mempunyai keyakinan terhadapnya.”


Pihak yang dia telah pilih merupakan para petani dan buruh, di mana mereka melambangkan daya zaman kini.


“Bagi pihak saya, saya telah membuat sebuah pilihan. Saya melihat semangat sebenar zaman kini dalam perjuangan emansipasi bagi para buruh dan petani, dan selagi mana ianya wujud, bentuk pengetahuan kritikal yang terkait dengannya bagi saya ialah yang dialektik-materialistik. Pada pandangan saya, ianya mendedahkan kepada kita kemungkinan terbesar dalam darjah pengetahuan objektif tentang masa lampau.”


Profesor Reiman di sini mengasingkan nilai-nilai dan sikap yang di mana menentukan pilihan beliau dari aparatus metodologi dan konsep, yang beliau masukkan atau memperoleh dari dialektik materialisme. Konsep sejarah beliau tidak melambangkan kemajuan dalam permasalahan objektiviti dapat ditunjukkan dengan jelas. Untuk patuh dan memahami semangat masa itu, adakah itu yang betul-betul dimaksudkan untuk menjadi objektif? Sudah tentu bahawa tanpa mengambil kira semangat masa itu dan daya asasnya, seseorang itu tidak boleh berharap untuk memahami sejarah. Tetapi untuk meletakkan objektiviti hanya dengan menyekutukannya dengan semangat masa itu tiada lebih daripada merendahkan konsep itu sendiri, kerana itu kita mengeluarkan faktor lain dari objektiviti, yang di mana melebihi apa-apa semangat atau masa. Saya akan menerangkan perkara ini dengan lebih jelas. Pada tahun 1649, sebuah parti dipanggil sebagai Diggers muncul di England mewakili kelas yang dieksploitasi. Kesan pertelingkahan antara mereka dan Cromwell, sebuah buku telah ditulis oleh Gerald Winstanley pada tahun 1652 mendedahkan pandangan dan aspirasi Diggers. Gerald Winstanley inginkan sistem sosial komunis yang berdasarkan fahaman Kristian yang bukan sektarian dan bukan teokratik. Kebebasan sebenar, menurut gambaran dia, sepatutnya semua mendapat capaian yang sama rata kepada bumi dan hasilnya. Ianya juga bermakna kesamarataan ekonomi. Tanpa ini tidak akan ada kesamarataan kerana kekayaan memberi kuasa dan kuasa bermakna keupayaan untuk menindas.

Pandangan dan keinginan Gerald Winstanley tidak sama sekali patuh mahupun memahami semangat masa itu, di mana ketika itu ianya feudalistik dan prakapitalistik. Tetapi pandangan dan keinginan ini mengandungi banyak kebenaran dan manifestasi keadilan positif. Oleh itu, wujudnya sebuah pengasingan antara kebenaran dan keadilan pada satu bahagian dan daya yang melambangkan semangat masa itu pada bahagian yang lain. Untuk dinyatakan secara ringkas, daya yang mendominasi unit sosio-sejarah itu bukan selalunya pembawa kebenaran dan keadilan. Seperti mana dengan keadaan dengan feudalisme dan kapitalisme borjuis. Atas sebab ini sebuah konsep objektiviti tidak boleh dikaitkan sama ada dengan kapitalisme atau feudalisme. Perkara sama terguna pakai kepada emansipasi para petani dan buruh di mana Profesor Romein menggelarnya sebagai daya masa itu. Jika emansipasi itu tidak dengan sendirinya membawa asas-asas kebenaran dan keadilan positif, Profesor Romein sudah tentu tidak akan mengaitkan konsep objektivitinya dengannya seperti mana perbuatan beliau tidak mengaitkan objektiviti dengan feudalisme dan kapitalisme. Ini membuktikan bahawa sebahagian dari objektiviti yang mempunyai kaitan dengan kebenaran dan keadilan adalah mengatasi lambang semangat apa-apa masa. Ianya sebuah elemen yang amat diperlukan dalam konsep objektiviti kita yang tidak disentuh oleh daya itu yang di mana ramai sejarawan seperti Profesor Romein telah cuba untuk mengaitkannya. Daya masa itu hanya boleh menghalang atau membantu dalam merealisasikan kebenaran dan keadilan ini. Dakwaan utama Marxisme menentang kapitalisme ialah kapitalisme gagal untuk patuh pada syarat-syarat keadilan positif. Marxisme menyandang dirinya dan mengaku sebagai daya baharu dan muktamad dalam proses sejarah. Profesor Romein berkongsi fahaman dengan Marxisme, dengan penuh kebenaran, bahawa daya terpenting dan signifikan ialah proletariat dan golongan tani. Proses perubahan itu dicetuskan oleh daya baharu itu juga menggunakan sesetengah prinsip kebenaran dan keadilan yang telah lama wujud. Proses ini masih lagi berlaku. Disebabkan proses ini belum selesai, jadi dengan itu wajarlah untuk tunggu terlebih dahulu sebelum memutuskan penilaian kita. Kita tidak akan boleh dengan betul membuat penilaian kita terhadap sistem feudalistik sebelum ianya telah berlalu pergi dari babak sejarah itu. Perkara sama diguna pakai pada sistem kapitalistik.

Adakah ia, kemudian, wajar untuk terima pakai sikap yang sama terhadap sistem proletariat dan golongan tani? Jika ya, kenapa, kita mungkin boleh bertanya, adakah Profesor Romein menghubungkaitkan objektiviti dengan sebuah proses, iaitu proses emansipasi, yang di mana masih belum selesai? Jawapan kepada persoalan ini ialah beliau telah mengeluarkan elemen yang amat diperlukan dan mutlak berurusan dengan kebenaran dan keadilan dari konsep objektiviti beliau. Hanya dengan mengeluarkan elemen-elemen ini kita berupaya untuk mengaitkan objektiviti dengan sebuah proses sahaja, atau hukum perkembangan sejarah, seperti perjuangan untuk emansipasi, sama juga tabiat umum oleh materialis sejarah. Perkara ini hanya akan membawa kita, seperti pandangan Profesor Romein telah dedahkan di atas, sama ada kepada relativisme sejarah, yang tidak akan boleh diasaskan secara rasional, atau kepada skeptisisme kekal, yang merupakan sesuatu yang mustahil, atau kepada penilaian nilai-nilai yang melangkaui masa dan ruang, yang bermakna mengelak daripada teras masalah sepenuhnya. ‘Dengan membenamkan kepala ke dalam pasir, burung unta itu tidak menyelesaikan masalahnya’.


Kesimpulan


Analisis di atas telah menunjukkan bahawa konsep sejarah objektif tidak pernah dan tidak akan dapat diasingkan berdasarkan apa yang Mannheim gelarkan sebagai ‘the irreducible residue of human valuation‘. Penilaian ini, pula merangkumi bahagian yang tidak dapat dipisahkan dan amat diperlukan dalam konsep kehidupan kita. Ia mungkin boleh disusun dalam sebuah sistem ataupun tidak, tetapi faktanya kekal bahawa ianya sebuah konsep kehidupan di mana kita tidak boleh asingkan dari pandangan objektiviti dan sejarah kita. Sebenarnya ia merupakan sebuah bahagian komponennya. Demikian itu, masalah di sini bukanlah terletak di dalam sejarah dan cara naalr kita tetapi lebih kepada konsep kehidupan kita sendiri. Pertembungan pendapat terhadap sejarah dan objektiviti pada zaman sekarang mencerminkan kejadian yang sama dalam konsep kehidupan kita. Dalam percubaan untuk menyelesaikan masalah ini batas sejarah dan intelektual kita perlu dikembangkan kepada seluruh dunia dan bukan hanya kepada sesebuah tempat, seperti mana mereka yang mencadangkan penyelesaian hanya berdasarkan pengalaman oleh Eropah sahaja. Sosiologi dan psikologi sosial telah melakukan langkah ini, dan dengan harapan bahawa falsafah dan sains sejarah akan mengikut sama. Insan bukanlah sesebuah kelas, kaum, budaya, agama dan fahaman. Insan merangkumi kesemuanya di mana kita belum dapat memahaminya dan pemahaman penuh atau separa itu akan bergantung kepada masa hadapan umat manusia.

Nota Hujung

(1) C. Issawi, An Arab Philosophy of History. Pilihan dari daripada Prolegomena of Ibn Khaldun, London, 1950.

(2) Ibid

(3) Ibid

(4) Karl Mannheim, Ideology and Utopia

(5) Pieter Geyl dan Arnold Toynbee, Can We Determine the Pattern of the Past? hlm. 29.

*Penulisan asal bagi karya ini dipetik daripada majalah The Islamic Review keluaran Januari 1954 yang diterjemahkan oleh saudara Harith Aiman Raduwan, mahasiswa Pengajian Antarabangsa Dan Strategik Universiti Malaya.


Syed Hussein Alatas merupakan ahli sosiologi ulung tanah air. Beliau telah menulis berpuluh buah buku yang sentiasa dijadikan rujukan dalam bidang sains sosial seperti Rasuah, Cita Sempurna dan Intelektual Masyarakat Membangun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *