Uraian Buku ‘Kesedaran Diri Dan Kekeldaian’

Oleh : Imran Rasid

Tidak sedikit masalah-masalah yang menimpa umat manusia hari ini akibat daripada  tindak-tanduk orang-orang “bodoh” di pundak kekuasaan. Kepimpinan yang bodoh, lantas sombong pula dengan kebodohannya, tidak sahaja mendatangkan bala dalam agenda pembangunan, bahkan mereka juga memacu proses pembodohan terhadap masyarakat yang dipimpin mereka. 

Hal-hal seperti ini begitu berleluasa di negara-negara membangun sehinggakan Prof. Dr. Syed Hussein Alatas, pemikir besar dari alam Melayu, mengungkapnya sebagai suatu fenomena sosial, diistilahkan sebagai gejala Bebalisme dan kepimpinan Jadong (singkatan ‘jahat, bodoh dan sombong’). Gejala inilah yang akhirnya merencatkan agenda pembangunan negara sekaligus membantutkan proses pembebasan masyarakat dari belenggu-belenggu yang mengikat mereka. 

Pemerhatian Prof. Dr. Syed Hussein Alatas ini sebenarnya berakar daripada tradisi panjang pemikir-pemikir  masyarakat dunia yang berusaha melawan agenda pembodohan yang dipaksakan terhadap masyarakatnya. Sebelumnya, seperti yang terungkap dalam karya terjemahan ini, wujud sosok seperti Ali Shariati (1933 – 1977) yang lantang melondeh nalar-nalar gerakan pembodohan dalam masyarakat Iran. 

Melalui penulisan-penulisan beliau, Shariati memperkenalkan istilah estehmār’ (kekeldaian atau pembodohan) sebagai salah satu bentuk penindasan yang bergerak seiring dengan esteţmār (eksploitasi ekonomi) dan estebdād (kekerasan politik). Ketiga-tiganya membentuk struktur cengkaman penindasan tiga penjuru; iaitu dalam ranah budaya, ekonomi, dan politik. Istilah-istilah ini diterokai dan diperdalam melalui pemerhatian tajam Shariati terhadap perilaku bangsanya, terutamanya golongan elit dan agamawan yang aktif mengawal naratif kebudayaan Iran ketika itu. 

Keluasan dan ketajaman gagasan pembebasan (baca: anti-pembodohan) Ali Shariati dalam penulisan “Kesedaran Diri dan Kekeldaian” terus kekal relevan untuk dibaca dan dikunyah sampai lumat oleh generasi hari. Cetusan pemikiran beliau yang termuat dalam karya ini menyediakan perspektif yang kekal segar untuk kita tanggapi arus pembodohan kontemporari, baik melalui wahana digital atau bercetak, dan sekaligus mengangkat agenda pembebasan yang kritis dan mandiri dalam masyarakat!”


Imran Mohd Rasid adalah anak kelahiran Kemaman yang kini sedang tekun mengkaji dalam bidang sejarah, ekonomi-politik, dan teori sosial. Dia juga adalah graduan dalam bidang Politik, Falsafah, dan Ekonomi dari University of Manchester (2012-2015) dan kini melanjutkan pengajian dalam bidang Politik dan Hubungan Antarabangsa di Ibn Haldun University. Imran adakalanya menulis hal-hal sejarah dan falsafah di ruangan Jentayu, laman sesawang bagi organisasi Malaysia Muda yang turut dianggotainya. Dia juga antara pengasas UTAM dan aktif melibatkan diri dalam kumpulan diskusi buku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *