Tekstualiti Kepengarangan: Sanggahan-Sanggahan Ke Atas Idea Kematian Pengarang Gagasan Roland Barthes Siri – I
Oleh: Ahmad Muziru Idham Adnan
PENDAHULUAN
“[T]he birth of reader must be ransomed by the death of the Author.”
(Roland Barthes dalam The Death of Author, 1967)
Idea kematian pengarang (death of author) adalah bermula daripada esei The Death of Author yang ditulis oleh Roland Barthers pada tahun 1967. Esei itu yang termuat dalam buku Image Music Text[1] hanyalah sekadar enam muka surat sahaja tetapi gagasannya itu telah menjadi suatu cetusan kepada idea-idea pascastrukturalis dalam soal pembacaan teks-teks kesusasteraan yang melibatkan kefahaman linguistik dan pemaknaan. Cetusan idea ini telah membawa kepada suatu polemik yang besar kepada dunia kepengarangan di mana Barthes membawakan suatu idea bahawa manusia tidak lagi menjadi subjek kepada hasil-hasil tulisannya, di mana subjek bagi sesebuah teks ataupun pengetahuan adalah tidak lagi terikat dengan pengarangnya sebagai objek kepada hasil tersebut.
Setelah sesebuah hasil karya sampai kepada tangan pembaca, pengarang sudah tidak lagi berfungsi terhadap karyanya sendiri dan dia bebas daripada beban pertanggungjawaban untuk mengikat makna teks kepada apa yang dikehendakinya ataupun terhadap pemaknaan teks yang difahami oleh pembacanya. Ketika itu, teks dan pemaknaan telah beralih kepada pembaca itu sendiri di mana teks menyalurkan bahasa ke dalam minda pembaca dan wujudnya proses pemaknaan ke dalam diri pembaca lalu pembaca melakukan interpretasi terhadap makna-makna yang terkandung di dalam mindanya.
Gagasan Barthes ini merupakan suatu antitesis terhadap kecenderungan sesetengah disiplin kritikan kesusasteraan (literary criticism) yang melihat bahawa pengarang memiliki suatu hak keistimewaan di mana dia menjadi sumber kepada pemaknaan sesebuah kerja kesusasteraan dan pengarang menjadi pusat dalam semua tindakan interpretasi.[2] Dalam masa yang sama, ia juga bertentangan dengan analisis strukturalisme yang melihat hubungan antara pembacaan teks dan pembacaan eksternal (sejarah, budaya, konteks, agama, ras, psikologi, dll) dalam memberi makna kepada teks dan bahasa itu sendiri, atau dalam erti kata lain, “…by the way in which he mentally experiences structure.”[3]
Sekalipun strukturalisme dan idea kematian pengarang ini cenderung dilihat mempunyai persamaan apabila mengetengahkan idea yang tidak berpusat kepada objek teks, tetapi masih perbezaan ketara yang dapat dilihat ialah apabila strukturalisme melihat kepada pertimbangan perkaedahan deskriptif (synchronic) dan pensejarahan (diachronic)[4] dalam memahami metabahasa (metalanguage),[5] manakala idea kematian pengarang adalah bersifat dekonstruktif yang menolak kesemua itu dan mempercayai bahawa sesuatu subjek adalah bebas kepada tafsiran pembaca dan subjek hanyalah sekadar penulis skrip (scriptor), dan bukannya pengarang (author). [Sebab-sebab yang menjadikan Barthes mewujudkan pemisahan subjek daripada author kepada scriptor akan dijelaskan pada subtopik yang seterusnya.] Subjek dan objek bukan sekadar dipisahkan, malahan objek itu sendiri telah dimatikan dan menjadikan subjek kekal subjektif dan relatif agar wacana bahasa tidak terikat dan sempit, seperti yang dikatakan oleh John M. Burke ketika menghuraikan gagasan Barthes,
“Man can longer be conceived as the subject of his works, for the subject of a text, or of knowledge is to assume a post ideally exterior to language.”[6]
Jika dilihat pada perkembangan pemikiran Barthes, ianya dapat dilihat dengan jelas antara seorang Barthes yang menulis esei The Structuralist Activity (1963)[7] dan esei The Death of Author (1967)[8]. Esei TSA (The Structuralist Activity) adalah lebih memaparkan pemikirannya yang strukturalis, dan esei TDA (The Death of Author) lebih menggambarkan dirinya yang pascastrukturalis (post-structuralism). Esei TDA seolah-olah telah memansuhkan idea dan pemikirannya sebelum ini yang lebih melihat perkaedahan linguistik yang menerima pengaruh besar daripada Saussure dalam membangunkan disiplin kritikan kesusasteraan. Dalam erti kata lain, TDA menggambarkan peralihan seorang Barthes daripada strukturalis kepada pascastrukturalis. Barthes menerima pengaruh daripada tokoh-tokoh pascastrukturalisme seperti Jacques Derrida, Julia Kristeva, dan Michael Foucault pada ketika itu yang memberi pengaruh besar kepada kebangkitan rakyat di Perancis lewat 1960 melalui penglibatan mereka secara langsung dalam demonstrasi rakyat.[9] Allen menyatakan bahawa,
“It needs to be noted that it is not the idea of the ‘death of the author’ which makes such an essay post-structuralist. With its focus on system rather than the traditional notion of work-and-author as site of meaning, structuralism had already dispensed with the figure of the author. What makes this essay post-structuralist is the emergence within it of the theory of the text and of intertextuality… which refers to language that does not posit or depend upon an ultimate signified. ”[10]
Daripada hal itu, secara langsung menggambarkan Barthes yang bergerak daripada idea dan pemikiran yang berasaskan pendekatan saintifik dan objektif kepada pemikiran intertekstual yang membawa kepada analisis tekstual. Dalam model intertekstualiti ini, konteks mungkin menjelaskan teks tetapi ianya adalah terpisah dan teks tidak terikat dengan apa-apa konteks dalam pentafsirannya. Projek Barthes adalah jelas untuk menekankan peranan pembaca dalam penghasilan makna daripada teks yang tidak terikat dengan konteks individu dan kesedaran pengarang, kerana teks adalah bersifat polisemi justeru pembaca memberikan makna kepada teks berdasarkan destinasi teks dengan lingkungan sistem linguistik dan kebudayaannya.
Namun begitu, pendekatan pascastrukturalisme Barthes dalam gagasan kematian pengarang ini dilihat mempunyai kelemahan dan paradoksnya yang tersendiri. Tanpa sedar, Barthes bukan sekadar membunuh pengarang, malahan pembaca sendiri turut dilemahkan sama sekali dalam mentafsirkan teks. Pada satu sisi, pendekatan intertekstual sudah tentunya penting dalam memahami teks kerana ianya adalah tidak dinafikan bahawa teks-teks adalah himpunan perkataan yang bersifat polisemi. Tetapi pada sisi yang lain, jika interteks itu tidak dibaca bersama dengan tekstualiti pengarang, pembaca akan kehilangan makna dalam pembacaan teks kerana sekadar bergantungan kepada relativiti interpretasi akan menyebabkan pemaknaan teks hilang daripada tujuannya. Alasan pembebasan teks daripada pengarang untuk mengelakkan daripada ketertutupan wacana adalah suatu alasan yang tidak kukuh. Pentafsiran yang tidak berdiri di atas lapangan yang dimaksudkan oleh pengarang akan menyebabkan makna yang sampai ke dalam imaginasi pembaca adalah tidak tepat. Ketidaktepatan makna yang sampai ke dalam imaginasi pembaca menyebabkan teks menuju kepada nihilisme. Sanggahan-sanggahan ini akan dihuraikan dengan lebih terperinci nanti.
PENGENALAN KEPADA IDEA KEMATIAN PENGARANG
Sebelum diteruskan kepada sanggahan-sanggahan terhadap idea kematian pengarang, untuk berlaku adil, perlulah kiranya untuk dibentang dan difahamkan terlebih dahulu secara terperinci terhadap konsep gagasan yang dibawa oleh Barthes melalui idea kematian pengarang ini. Setiap ideanya akan saya petik satu persatu petikan daripada esei TDA itu sendiri dalam menjelaskan faham dan sumbernya agar kefahaman itu dapat dilihat dengan lebih jelas pada bagaimana faham ideanya itu berakar daripada konsep yang dibawanya tersebut.
1. Pengarang hanyalah sekadar penulis teks (scriptor)
“[T]he author is never anything more than the man who writes, just as I is no more than the man who says I.”
Pemusatan teks kepada pengarang adalah suatu kebudayaan kontemporari yang bersifat tirani apabila kefahaman pembaca terhadap makna teks harus bergantung kepada hal-hal yang bergantungan kepada konteks kepengarangan. Kepengarangan moden ini menjadikan pemaknaan teks terperangkap dalam dunia hidup pengarang yang sudah tentunya terbatas pada lingkungan persekitaran yang kecil. Sebab itu pengarang (author) adalah tidak lagi wujud setelah menyiapkan teks kerana kepengarangan itu adalah sesuatu yang bersifat kekuasaan apabila ianya mewujudkan daya autoriti (author-ity) yang memaksakan pembaca untuk menerima sesuatu teks berdasarkan strukturalisme pengarang sama ada sejarahnya, minatnya, atau persekitaran budayanya.
Kewujudan autoriti kepengarangan sebegini menyebabkan wujudnya kedidaktoran yang mencengkam pembaca untuk keluar daripada kebebasannya dalam memahami teks dengan berdasarkan caranya sendiri. Pengarang adalah sebuah figura moden yang lahir daripada rasionalisme Perancis dan keimanan terhadap Reformasi dengan meletakkan kemuliaan terhadap individu. Jadi, tidak hairan apabila logik era Pencerahan yang positivisme dan objektivisme dibawa masuk ke dalam dunia kepengarangan yang menjadikan pengarang dan karyanya diangkat seiring dan tidak terpisahkan agar pembaca terperangkap dengan suntikan ideologi pengarang dan hanya sekadar mengikuti pemaknaan yang dipaksakan oleh pengarang ke dalam imaginasi pembaca.
Sebab itu, pengarang yang memegang autoriti terhadap teks perlu dikonstruksi dan diruntuhkan penguasaannya terhadap teks agar pengarang kembali kepada tugas asalnya, iaitu hanyalah sebagai penulis teks (scriptor). Sebagai penulis teks dan pencerita, apa yang ditulis oleh pengarang hanyalah sekadar rakaman idea dan peristiwa di sekelilingnya dan ianya tidak boleh mewakili masa dan tempat yang lain justeru sturukturalisme penulis teks tidak boleh dijadikan sandaran kepada pemaknaan teks.
Daripada hal itu, pengarang tidak lebih sekadar daripada manusia yang menulis, di mana “Aku” tidak lebih daripada sekadar seorang manusia yang mengatakan “Aku.”[11] Maknanya, bahasa teks adalah subjek yang berdiri di atas linguistiknya sendiri dan tidak ada perkaitan dengan penulis teks sebagai objek yang menulisnya. Subjek (teks) dan objek (penulis teks) adalah terpisah sama sekali dan penulis teks adalah mati dan tidak ada perkaitannya lagi setelah teks sampai ke tangan pembaca.
2. Teks adalah terbuka kepada tafsiran pembaca
“[T]he true locus of writing is reading.”
Pembebasan teks daripada autoriti pengarang menjadikan teks tidak terikat kepada sebarang disiplin kritikan (criticism) ataupun penguraian (decipher) teks. Apabila pengarang ditemukan, teks akan diperjelaskan justeru pengarang itu sendiri akan menjadi subjek kepada kritikan. Oleh sebab itu, disiplin kritikan harus dibuang sama sekali bersama-sama dengan pengarang daripada teks kerana teks tidak memerlukan lagi kepada sebarang penguraian ataupun kritikan. Pemaknaan sebenar sesebuah teks adalah apabila ia dibebaskan daripada sebarang “rahsia” yang perlu diuraikan dan pembaca berhak memahaminya dengan kefahaman masing-masing dan tidak perlu terikat dengan logik pengarang di dalam teks.
Teks adalah sekadar teks yang mengandungi perkataan-perkataan, tetapi bahasa dan linguistiknya terbuka kepada tafsiran pembaca yang memiliki rasionaliti dan logik yang berbeza. Ada orang memahami teks secara literal, ada yang memahaminya pada lapis makna yang lain. Tidak ada orang berhak memaksakan bahawa kefahamannya adalah lebih betul justeru kematian pengarang daripada teks menjadikan kekuasaan pengarang untuk memaksakan pembaca memahami teks dengan caranya adalah terhapus sama sekali. Pendekatan autoriti kepengarangan akan menyebabkan wacana dan pemaknaan teks akan terhenti dan tertutup lalu akhirnya teks tersebut akan terus mati.
Sebab itu pengarang perlu dimatikan daripada teks agar teks dapat terus hidup dan terbuka kepada perbincangan yang lebih luas. Penafsiran yang berterusan akan menjadikan teks dapat terus hidup dalam masyarakat dan intipatinya dimuatkan dengan konteks dan masa. Sekiranya teks ditutup dan dibekukan oleh konteks dan masa kepengarangan, teks tersebut hanya mampu hidup pada konteks dan masa hayat pengarang itu sahaja. Sebab itu karya-karya seperti William Shakespeare mampu terus hidup ratusan tahun, kerana pembaca membaca teks Shakespeare tanpa bergantung kepada konteks kepengarangan Shakespeare (sementelah biografi Shakespeare itu sendiri agak kabur dan masih diperdebatkan). Hal yang tersebut menjadikan wacana-wacana dalam teks Shakespeare tidak kekeringan idea untuk dibincangkan kerana pembebasan daripada objek kepengarangan menjadikan pembaca mentafsir teks dengan lingkungan semasa.
3. Polisemi teks ditentukan oleh destinasi kata (destination of words), bukan asal kata (the origin of words)
“[T]he unity of a text is not in its origin, it is in its destination.”
Teks adalah himpunan daripada perkataan-perkataan yang bersifat polisme, yakni tidak bersifat ketunggalan makna. Makna-makna yang dirangkaikan oleh perkataan-perkataan yang mengandungi linguistik tersendiri dan ianya tidak terikat dengan asal perkataan itu yang hadir daripada imaginasi penulis teks. Teks tidak lagi menjadi sebuah medium rakaman, perwakilan, ataupun pencerapan, yang mengumpulkan semuanya menjadi himpunan kata-kata yang membentuk teks.[12] Sebab itu pemaknaan teks tidak boleh ditemukan daripada asal katanya yang sempit itu, melainkan perlu ditentukan oleh destinasi kata itu sendiri, iaitu pembaca. Teks adalah sekadar teks yang tidak bermakna apabila ianya sekadar selesai ditulis oleh pembaca, melainkan destinasinya adalah pembaca itu sendiri yang akan memaknai teks daripada kefahaman makna yang sampai ke dalam imaginasinya. Dengan intipati teks yang bersifat polisemi, maka ianya tidak memiliki suatu pemaknaan mutlak mahupun naratif besar (grand narrative) yang boleh dicerap.
Ianya adalah umpama kisah 10 orang buta yang datang kepada seekor gajah dan cuba menggambarkan bentuk seekor gajah dalam keadaan mereka tidak dapat melihat bentuk gajah yang sebenar. Masing-masing menyentuh bahagian masing-masing pada gajah tersebut – belalai, kaki, telinga, kepala, perut, dan sebagainya. Selepas itu, masing-masing menjelaskan makna seekor gajah menurut kefahaman masing-masing pada bahagian gajah yang disentuh. Setiap orang memiliki kefahaman tentang bentuk gajah yang berbeza-beza.
Contoh tersebut menggambarkan sifat teks dan pengarang, di mana pengarang menemukan teks berdasarkan pengalaman struktural yang membentuknya, tetapi tetap akhirnya teks yang sampai kepada pembaca adalah difahami dengan makna yang berbeza apabila pembaca menemui makna yang lain setelah kefahaman linguistik dan budaya diterima oleh pembaca itu pada pemaknaan yang berbeza. Bentuk dan simbol yang dibawa oleh teks tidak lebih daripada sekadar alat yang menampung makna yang polisemi dan ianya tidak menjustifikasikan teks tersebut sebagai suatu fakta, di mana Leitch,
“All facts, data, structures, and laws are assembled descriptions, formulations, constructions – interpretations. There are no facts as such, only assemblages. There is always only interpretations.”[13]
Sebab itu gagasan Barthes ini menolak penghuraian metabahasa yang menggunakan pendekatan deskriptif dan pensejarahan dalam memahami teks, kerana metabahasa akan menjerat teks ke dalam suatu bentuk penghuraian makna yang berbentuk tetap.
4. Teks adalah subjek kepada multibudaya dan intertekstual
“[T]he text is a tissue of citations, resulting from the thousand sources of culture.”
Teks adalah bersifat jamak, di mana pemaknaan teks tidak terikat dengan beberapa makna, tetapi mempunyai kepelbagaian makna yang tidak wujud secara bersama.[14] Apabila teks sudah tidak lagi ditentukan oleh asal katanya, maka destinasi teks (pembaca) yang dibangunkan daripada persekitaran budaya yang tersendiri akan memahami teks berdasarkan kepada persekitaran dan pandangan hidupnya. Sebab itu perkataan-perkataan di dalam teks adalah hasil daripada ribuan sumber kebudayaan, kerana teks yang ditulis oleh penulis belum dikira sebagai hasil. Hasil kemenjadian sesebuah teks adalah apabila ianya tiba ke tangan pembaca dan pembaca mengeluarkan maknanya dengan pandangan hidupnya yang tersendiri. Dan teks tidak akan pernah selesai “disiapkan” kerana tugas-tugas pemaknaan teks akan berterusan apabila mendapat pembaca baru yang memahami teks dengan kefahaman yang baru.
Kemajmukan budaya yang terdapat dalam teks menjadikan pembacaannya adalah berdasarkan intertekstualiti, di mana setiap teks adalah dihubungkan dengan teks yang lain, di mana petikan-petikan teks (tissue of citation) adalah tidak bernama, tidak dilacak (berkaitan), dan “telah dibaca”.[15] “Telah dibaca” bermaksud naratif kehidupan manusia hanyalah sekadar kitaran dan pengulangan semula daripada apa yang telah berlaku justeru teks hanyalah sekadar suatu naratif yang diulang-ulang dan manusia hanya sekadar mengulangi rutin yang sama.
Kefahaman intertekstual Barthes ini mempunyai pengaruhan daripada Julia Kristeva yang mentakrifkan intertekstualiti sebagai pemindahan antara satu sistem penandaan (sign system) kepada yang lain, yang membawa kepada suatu tuntutan pengucapan yang baru.[16] Daripada itu, ianya difahami sebagai “tempat” pengucapan dan “objek” yang dirujuk tidak pernah tunggal, sempurna, dan beridentiti antara satu sama lain, justeru ianya sentiasa jamak, hancur, dan boleh diaturkan.[17] Sebab itu teks tidak mempunyai ketunggalan makna apabila intertekstualiti sentiasa menjadikan teks diberi nafas yang baru oleh pembaca dan pembaca menghubungkan antara tanda yang distrukturkan ke dalam imaginasi dan linguistik kebudayaan yang berada di sekeliling pembaca.
[1] Lihat Roland Barthes, (1977), Image Music Text: Essays selected and translated by Stephen Heath, Great Britain: Fontana Press
[2] Lihat Mohebat Ahmadi (2012), The death of the revivals of the author?, Academy Publisher, 2(12), 2670-2673
[3] Lihat Roland Barthes (1972), The structuralist activity, dalam Critical Essay, terjemahan daripada bahasa Perancis oleh Richard Howard, Evanston: Northwestern University Press
[4] Kaedah pensejarahan (diachronic) dan deskriptif (synchronic) adalah konsep linguistik yang digagaskan oleh Ferdinand de Saussure dalam Course In General Linguistics (1916). Diakronik bermaksud pendekatan kajian yang mengambil kira pembangunan kesejarahan melalui perbezaan tempoh masa untuk memahami bahasa, manakala sinkronik adalah sebaliknya, iaitu tidak mengambil kira pembangunan kesejarahan dan lebih mengambil kira bagaimana sesebuah bahasa digunakan pada waktu semasa.
[5] Metabahasa bermaksud sebarang bahasa ataupun sistem simbolik yang digunakan untuk membincangkan atau menerangkan bahasa ataupun sistem simbolik yang lain.
[6] Lihat John M. Burke (1989), The death and return of the author: Criticism and subjectivity in Barthes, Foucault and Derrida, Phd’s thesis, University of Edinburgh
[7] Barthes menulis esei The Structuralist Activity pada tahun 1963 tetapi disiarkan dalam buku himpunan eseinya, Critical Essay yang diterbitkan pada tahun 1972 oleh Northwestern University Press.
[8] Barthes menulis esei The Death of Author pada tahun 1967, tetapi disiarkan dalam buku himpunan eseinya, Image Music Text yang diterbitkan pada tahun 1977 oleh Fontana Press.
[9] Lihat Graham Allen (2003), Roland Barthes, New York: Routledge
[10] ibid.
[11] Lihat Roland Barthes (1977)
[12] ibid.
[13] Lihat Vincent B. Leitch (1983), Deconstructive Criticism: An Advanced Introduction, New York: Columbia University Press
[14] Lihat Roland Barthes, (1977), dalam esei From Work To Text.
[15] ibid.
[16] Lihat Julia Kristeva (1941), Revolution in Poetic Language, New York: Columbia University Press
[17] ibid.
Ahmad Muziru Adham merupakan graduan BA International Relations dari Universiti Malaysia Sarawak dan sekarang menyambung pengajian MA di Universiti Kebangsaan Malaysia.