Sejarah : Bebas Dan Membebaskan
Oleh : Nur Hisyam
“Sejarah datang dan pergi, namun hanya bangsa yang berjiwa besar sahaja yang tahu menangkap saat-saat sejarah.” – Sukarno
Perihal kisah lampau atau sejarah mampu disingkap daripada perspektif yang pelbagai. Bagi seorang pengamal undang-undang, sejarah adalah panduan untuk memahami peraturan-peraturan yang digunapakai pada masa kini serta sebagai rujukan menghadapi kejadian yang berulang dan juga yang baharu. Bagi politikus dan pengkaji politik, sejarah menjadi satu corak dan jalur untuk dipelajari bagi mengenal kemungkinan sebab dan akibat dalam membentuk masa hadapan. Manakala, bagi sejarawan, ia menyingkap kehidupan manusia daripada pelbagai sudut kemungkinan dan persoalan bagi mengenali kejadian dan peristiwa dalam ruang yang lebih luas.
Saat ini penulisan sejarah telah meningkat umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Lambakan penulisan sejarah pada hari ini bukanlah salah perkara yang tidak baik namun ia telah manipulasi untuk kepentingan pihak tertentu. Seharusnya sejarah dipelajari bukan untuk dimanipulasi demi kepentingan masing-masing sebaliknya dijadikan iktibar dalam meneruskan kehidupan di masa hadapan. Meminjam ungkapan Inggeris, “The past is where you learned the lesson. The future is where you apply the lesson.” Namun apakah benar kita belajar daripada sejarah atau sekadar bangga dengan hal-hal silam tanpa mengambil iktibar.
“Those who fail to learn the history are condemned to repeat it.” – Winston Churchill
Pengertian Sejarah Merentas Batas Waktu dan Pemikiran
Daripada sudut etimologi, Pusat Rujukan Persuratan Melayu memberikan erti sejarah sebagai asal usul (keturunan), salasilah, perisitwa yang benar-benar berlaku pada waktu lampau, riwayat, tawarikh serta cerita yang disangka dongeng itu menjadi fakta ~ sesudah dijumpai bukti-bukti mengesahkannya.
R.O. Winstedt mengatakan bahawa sejarah itu asalnya daripada perkataan Arab dan mengertikan sejarah itu sebagai salasilah dan tawarikh. Dalam bahasa asing pula, istilah sejarah itu disamakan dengan perkataan history yang berasal daripada perkataan Yunani purba iaitu historia yang membawa makna penyelidikan. Namun peralihan masa telah mengubah pengertian sejarah yang difahami. Wallace E. Cadlwell misalnya mengatakan perkataan historia yang bermaksud penyelidikan telah berubah menjadi peristiwa yang pernah berlaku pada masa lalu dan juga ingatan yang tercatat tentang masa lalu tersebut. Hal ini berikutan peredaran masa yang menyebabkan lebih banyak tafsiran daripada perkataan historia dan history itu sendiri.
Sejarah juga tidak luput mempunyai pelbagai takrif serta pengertiannya daripada sudut falsafah ataupun daripada sudut sejarah itu sendiri. Ini terbukti apabila Dionysius, seorang sejarawan Yunani mengatakan sejarah itu satu bentuk falsafah yang memberi pengajaran melalui contohnya. Al-Masudi pula mengatakan sejarah itu catatan yang terhimpun tentang keseluruhan ilmu pengetahuan manusia yang merupakan sains paling mulia. Bahkan Ibnu Khaldun, mengatakan sejarah adalah catatan atau maklumat tentang masyarakat manusia dan tamadun dunia. Hseuh-Cheng, sejarawan China kurun ke 8 pula menyebut sejarah bukan hanya merupakan usaha mengumpulkan dokumen ahli-ahli birokrasi, tidak juga merupakan hiburan bagi sarjana, ia harus ditujukan bagi memperbaiki dunia. Selain itu, E.H Carr pula mengatakan sejarah adalah satu proses interaksi berterusan antara ahli sejarah dengan fakta-faktanya, satu dialog yang tidak berkesudahan antara masa kini dengan masa lampau.
Walaupun wujud pelbagai tafsiran mengenai sejarah daripada ruang waktu dan pemikiran yang berbeza namun ia tidak pernah menidakkan sejarah itu fungsinya untuk menceritakan hal-hal yang benar terjadi walaupun tidaklah setepat seperti mana apa yang berlaku seperti dimahukan oleh Leopold von Ranke yang terkenal dengan sentimen wie es eigentlich gewesen. Namun ia harus dijadikan pegangan untuk para penulis sejarah agar menulis sejarah dengan sumber-sumber yang sahih dan tafsiran yang sesuai dan bukanlah pula persepi berdasarkan imaginasi mahupun untuk memuaskan hati sendiri dengan mereka-reka fakta dan kenyataan yang tidak sama sekali berlaku.
“Accuracy is a duty and not a virtue.” – A. E. Housman
Sebagai contoh, kisah Herodotus, sejarawan pertama Yunani yang turut digelar sebagai bapa sejarah. Karya beliau mengenai peperangan antara Yunani dan Parsi juga pernah satu ketika dituduh berlebih-lebihan oleh sejarawan Yunani yang lain. Bahkan Cicero dan Thucydides juga pernah menuduh beliau sebagai penipu dan penciplak. Hal ini hanya disebabkan Herodotus menulis peristiwa yang telah berlaku hampir satu kurun lamanya sebelum beliau dilahirkan. Walaupun demikian, berdasarkan kajian dilakukan sejarawan kemudian, mendapati Herodotus telah melakukan pendekatan dan kaedah sejarah bagi mendapatkan maklumat yang sahih ditambah pula dengan kaedah tradisi lisan dan pemerhatian beliau dalam penyelidikannya yang boleh dilihat daripada hasil pengembaraan beliau sehingga sampai ke Mesir. Walaupun tidak tepat namun beliau mempunyai sumber-sumber yang sahih bagi menyokong kenyataan beliau sekaligus menjadikan penulisan beliau itu penulisan sejarah pertama yang berautoritatif.
Sejarah Yang Mengikat Dan Membunuh Pemikiran
Sejarah ini merupakan satu pengetahuan yang berdiri daripada buah pemikiran manusia yang menafsirkan sesuatu peristiwa lampau. Ia tidak ubah seumpama pisau yang boleh membantu penggunanya dan orang lain namun mampu merosakkan serta membunuh orang lain mengikut kehendak penggunannya. Begitu jua dalam hal penulisan sejarah.
“ History is always written by the winners. When two cultures clash, the loser is obliterated, and the winner writes the history books, books which glorify their own causes and disparage the conquered foe. As Napoleon once said, ‘What is history but a fable agreed upon?” – Dan Brown
Sejarah hari ini rata-ratanya ditulis bukanlah untuk mengajar manusia untuk belajar daripada peristiwa masa lalu dan diaplikasikan untuk kegunaan di masa hadapan. Sebaliknya untuk memperteguhkan kekuasaan dan menundukkan manusia lain. Hal ini terbukti rata-rata pensejarahan yang dominan hanyalah perihal tentang golongan elit dan untuk kepentingan sesuatu kelompok masyarakat sahaja.
Keadaan ini boleh dilihat dalam beberapa siri penulisan sejarah yang banyak memutarbelitkan fakta melalui tafsiran mereka bahkan telah menyembunyikan dan meminggirkan fakta-fakta lain dalam memadamkan kejadian yang tidak ingin mereka tunjukkan kepada masyarakat terutama pembaca sejarah. Azhar Ibrahim, melihat hal ini adalah sebagai salah satu bentuk pendustaan dan pensenyapan sejarah. Keadaan ini dilihat sebagai satu bentuk pemaksaan untuk masyarakat menerima sejarah versi yang ditulis mereka sebagai sejarah rasmi dan utama bahkan satu bentuk penindasan dan pengabaian terhadap kisah dan peranan kelompok masyarakat tertentu.
Pensejarahan berbentuk feudal, nasionalis dan bermain sentimen agama pula digunakan untuk menundukkan dan merantai kelompok lain dalam masyarakat. Keadaan ini memperlihatkan sejarah tidak dijadikan alat untuk kita progresif sebaliknya lebih pasif untuk hanyut dalam kisah silam dan agresif menidakkan keperluan sejarah dalam dijadikan iktibar dalam meleraikan kejahilan dan menyelesaikan krisis kemanusiaan dan keadilan yang berlaku sekian lama.
Hal ini ini ditambah pula dengan sikap para golongan intelektual yang tidak berani berhadapan dengan entiti yang mempunyai kuasa dan sokongan yang kuat bahkan ada segelintir yang bersikap tidak ambil peduli. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan masyarakat terperangkap dalam naratif sejarah yang salah bahkan boleh menyebabkan kecelaruan sosial. Azhar Ibrahim berpendapat apabila wujud kelompok yang menghalalkan dan membutakan mata terhadap penyelewangan maka berlaku kerancuan yang mengikat dan membunuh kewarasan moral etika dan pemikiran masyarakat.
Dalam bidang pendidikan pula, tidak dinafikan perkembangan pemikiran terutama dalam sejarah telah diikat kemas sehingga pada satu tahap ia telah membunuh pemikiran generasi muda. Hal ini dilihat, melalui bagaimana sejarah itu diajar. Proses pembelajaran dan pengajaran sejarah berlaku hanyalah untuk dihafal para pelajar untuk peperiksaan semata-mata bukan pula diajar untuk diajar sebagai satu bentuk pengajaran bahkan tidak pula terbuka untuk kritikan tentang kesahihan naratif sesuatu perisitwa mahupun daripada konteks moral. Apa yang berlaku sejarah hanya dijadikan perakam yang relevan dalam mendukung kekuasaan pemerintah.
Hal ini akhirnya membentuk satu budaya laih dan pemikiran yang mandul dalam generasi anak muda. Hal ini dibangkitkan oleh Raja Ahmad Aminullah, melihatkan corak pemikiran dan budaya kerja generasi muda. Ini terbukti apabila golongan generasi muda hari ini terlalu ghairah dengan hal-hal bersifat permukaan dan menggunakan sejarah dalam naratif perkauman tanpa menilai sejarah daripada konteks kemanusiaan dan nilai moral. Hal ini berlaku kerana mereka sudah dibiasakan dengan corak pemikiran yang tidak kritis, pemujaan pada naratif sejarah yang sempit dan sejarah pula tidak ubah sebagai satu subjek wajib hafal sahaja.
Hal ini akhirnya, akan mengikat dan membunuh pemikiran masyarakat secara perlahan-lahan. Lantas menjadikan masyarakat pada hari ini tidak ubah seperti pandir yang diceritakan Syed Hussein Alatas yang terperangkap dalam dunia fanatisisme dan kekal dalam kebebalan tanpa mahu meneliti apa yang benar dan apa yang salah, apa yang baik dan apa yang buruk terutama dalam mengangkat sejarah sebagai satu bentuk pengajaran dan panduan di masa hadapan.
“ The most effective way to destroy people is to deny and obliterate their own understanding of their history.” – George Orwell.
Sejarah Berbeza Pemikiran Lebih Berdaya
“ Comment is free, but facts are sacred.” – C.P Scott
Dalam wacana sejarah memang tidak dinafikan akan wujud pertembungan idea-idea yang berbeza. Hal ini kerana, sejarah merupakan satu medan tafsiran fakta yang bebas untuk dihuraikan oleh pengkajinya selagi mempunyai fakta yang membenarkan ideanya. E.H. Carr sendiri mengatakan seorang sejarawan bebas untuk memilih fakta-fakta mana yang akan ditampilkan dan dalam susunan atau konteks apa hurainnya. Oleh sebab itu, kita disarankan untuk mengenali terlebih dahulu cara fikir seorang penulis sejarah sebelum meneliti buku yang ditulis mereka. Adakah pemikiran dan penulisan sejarah ini daripada perspektif kolonial, nasionalis mahupun dalam sudut agama?
Sebagai contoh perisitwa yang berlaku semasa pasca pembukaan Kota Konstantinople. Ia mempunyai naratif yang berbeza daripada sejarawan Islam dan sejarawan Barat. Masing-masing mempamerkan hujah dan fakta untuk membenarkan naratif mereka untuk menampakkan siapa baik dan siapa yang jahat.
Bagi yang condong kepada Islam, mereka akan menampakkan sisi baik Turki Uthmaniyyah. Contoh pertama daripada tulisan Shawqi Abu Khalil, menceritakan penaklukan Konstantinople itu telah membebaskan rakyat daripada ketidakdilan pemerintahan Byzantin dan berjaya menyebarkan keamanan dan mendaulatkan undang-undang terutama dalam hal ehwal sosial dan kehakiman yang dirumuskan akhirnya menjadi faktor ramai orang memeluk Islam di Konstantinople. Contoh kedua pula diambil daripada penulisan Hamka. Dikisahkan bagaimana seorang tentera Turki merosakkan lantai marmar gereja Aya Sophia lalu ditegur dan hampir mati dipukul oleh Sultan Muhammad Al-Fatih kerana merosakkan tempat ibadat orang Kristian tadi. Orang-orang Kristian yang tadinya sedang bersembahyang dengan rasa bimbang dibunuh akhirnya keluar daripada bersembunyi di dalam gereja tadi menghampiri Al-Fatih dan kerana terharu dengan layanan Al-Fatih ada yang terus memeluk Islam.
Namun bagi yang condong kepada Kristian, mereka akan menampakkan sisi buruk Turki Uthmaniyyah yang menindas masyarakat di sana selepas pembukaan kota Konstantinople. Contoh pertama daripada Chase F. Robinson, yang menjadikan penulisan Filippo da Rimimi sebagai sumber penulisan beliau.
“…raja kaum Troya (yaitu Sultan Turki) sangat bangga dengan kemenangannya…mencemari kuil Kebijaksanaan yang paling terkenal ( Gereja Hagia Sophia). Di sana, dia memerkosa seorang perawan muda, seolah-olah dia adalah binatang buas, dan memuliakan dirinya sendiri dengan membalaskan dendam nasib sang perawan Troya (Cassandra) yang diperkosa di kuil Pallas (Athena).”
Contoh kedua pula daripada Roger Crowley. Diceritakan bagaimana askar Turki memecahkan pintu Aya Sophia lantas diheret kesemua yang ada disitu tak kira lelaki atau wanita, tua atau muda untuk diikat. Segala alat dan simbol keagamaan dimusnahkan dan barang perhiasan dirampas sebagai rampasan perang.
Jika diperhatikan jelas terlihat betapa bercanggahnya naratif yang dibawa daripada dua perspektif sejarah iaitu satu daripada sejarawan Islam dan satu lagi daripada sejarawan bukan Islam. Mana-mana naratif sejarah ini boleh sahaja diterima selagi ia berdiri atas fakta yang sahih dan pertembungan antara dua naratif ini akan menimbulkan persoalan yang baru. Siapa benar? Untuk menjawab persoalan ini maka akan wujud satu penyelidikan yang lebih baharu sekaligus bagi mencari kebenaran dan secara tidak lagsung naratif sejarah juga akan diperbaiki agar menceritakan seperti mana ia berlaku seperti yang digagaskan Ranke. Oleh hal yang demikianlah E.H. Carr meletakkan sejarah sebagai satu proses interaksi berterusan antara ahli sejarah dengan fakta-faktanya, satu dialog yang tidak berkesudahan antara masa kini dengan masa lampau.
Melalui sejarah yang bebas ini akhirnya akan merancakkan lagi wacana sejarah dalam masyarakat. Kemunculan persoalan-persoalan baharu akan melahirkan lebih banyak tafsiran sejarah yang lebih segar, tepat dan dinamik dalam menjawab persoalan masyarakat serta menyuburkan kefahaman dan membebaskan cara fikir masyarakat dalam segala hal.
Penutup
Sedar atau tidak setiap sejarawan telah meletakkan sejarah sebagai satu ilmu untuk memandu manusia bebas daripada mengulangi kesilapan yang pernah berlaku di masa silam. Hseuh-Cheng, seorang sejarawan China sendiri meletakkan sejarah itu adalah untuk memperbaiki dunia. Bagaimana sejarah mampu memperbaiki dunia? Hal ini tidak lain tidak bukan melalui pengajaran yang diambil daripada kisah atau peristiwa sejarah itu sendiri. Pengajaran sejarah bukan sekadar satu hal seperti penerapan moral semata-mata tetapi mengenai apa tindakan seterusnya untuk mengelak hal-hal yang sama berulang semula dan hal ini sendiri dibuktikan dengan tertulisnya untuk tujuan apa Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ini ditulis.
“Hamba dengar ada hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa: barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, dan boleh diingatkan oleh segala mereka itu. Dan adalah beroleh faedah daripadanya.” – Sulalatus Salatin
Namun begitu, sejarah haruslah dibebaskan terlebih dahulu. Jika tidak ia hanya menjadi pisau yang membunuh kita. Oleh sebab itu, kita dapat melihat mereka yang membaca sejarah semakin lama semakin rasis dan ekstremis. Nilai-nilai sosial mereka makin terhakis. Pemikiran mereka pula semakin sempit.
Sesungguhnya sejarah yang bebas daripada kepentingan dan propaganda mampu membebaskan manusia daripada terjerat dalam krisis kemanusiaan bahkan mampu membina masyarakat yang kukuh dengan nilai kemanusiaan dan lebih maju. Jika naratifnya ditekan pada tempat yang sepatutnya ia mampu memberi pengertian tentang kepedulian sosial dalam masyarakat dan membina pemikiran yang lebih kritis. Sesungguhnya sejarah ini bebas dan harus dibebaskan dan barulah ia membebaskan kita semua.
Rujukan
- Samad Ahmad, Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2018
- Ahmat Adam, Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Histiografi Malaysia, Selangor: Strategic Information and Research Development Centre, 2016
- Azhar Ibrahim, Menyanggah Belenggu: Kerancuan Fikiran Masakini, Selangor: Strategic Information and Research Development Centre, 2016
- Chase F. Robinson, Para Pembentuk Peradaban Islam Seribu Tahun Pertama, Jakarta: PT Pustaka Alvabet, 2019
- Hamka, Sejarah Umat Islam, Selangor: PTS Publication, 2016
- Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian, Kaedah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2016
- Muhsin Mahdi, Falsafah Sejarah Ibnu Khaldun: Kajian tentang Dasar Falsafah Ilmu budaya, Kuala Lumpur: ITBM, 2014
- Raja Ahmad Aminullah, Minda Tertawan Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa, Selangor: Strategic Information and Research Development Centre, 2011
- Roger Crowley, 1453 Detik-Detik Jatuhnya Konstantinople ke Tangan Muslim, Jakarta: PT Pustaka Alvabet, 2018
- Shaqi Abu Khalil, Toleransi Dalam Islam: Prinsip Dan Aplikasi, Kuala Lumpur: ABIM, 2018
- Syed Hussein Alatas, Intelektual Masyarakat Membangun, Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2016
Nur Hisyam berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan pelajar BA Pendidikan Sejarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan mantan Presiden Kelab Debat Bahasa Melayu UPSI. Beliau kini adalah Felo Lestari Hikmah.