Rintihan Yang Indah Menemukan Kebenaran Beragama Siri – II

Oleh : Syazreen Abdullah

Tuhanku,

Kesombongan Manusia Seringkali Melanggari Hukum Agama

Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya dia melapangkan dadanya untuk (Menerima) Islam (Ketundukan). Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada  orang yang tidak beriman. ( Surah Al – An’am Ayat 125)

Dalam ayat di atas, terdapat dua golongan yang disebut. Pertama kelompok yang mendapat hidayah kerana melakukan kebaikan dan kedua adalah golongan yang sesat kerana mengingkari perintah-Nya. Bagi golongan yang mendapat petunjuk iaitu golongan yang sentiasa mencari kebenaran dan sedar akan keterbatasan ilmu yang harus dia ikuti sebagai seorang hamba. Maka dia akan berasa damai dengan segala perintah dan tanggungjawab sebagai seorang hamba untuk melaksanakan nilai-nilai kebaikan yang sudah terkandung di dalam ajaran kitab suci.

Al-Zamakhshari ketika mengulas ayat ini di dalam tafsirnya al-Kashshaf, menyebut bahawa mereka yang menemukan hidayah, hati mereka akan berasa lembut dan tertarik dengan ajaran Islam, lalu mereka menerima Islam. Menerima Islam adalah agama yang tunduk kepasrahan di atas ketinggian ilahiyyah. Ketundukannya (ad-din al-Islam) sebagai hamba dibuktikan dengan mengakui ketuhanan yang maha pencipta dan menguasai segalanya. Beriman bahawa tiada kuasa lain yang lebih tinggi daripada-Nya. Tunduk dan patuh hanya kepada-Nya walau apa jalan (sabil) dan pintu yang berbagai. Sesungguhnya sebagai hamba, dia yakin dan percaya bahawa Tuhan adalah maha mengetahui walaupun sebesar keyakinannya itu tidak boleh dilihat dengan pandangan zahir.

Sebagai seorang hamba, cukuplah dia mengakui bahawa jalan-jalan yang dianjurkan para nabi itu adalah sebaik-baik jalan untuk menemukan cahaya kebenaran. Jalan Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa juga Nabi Muhammad adalah jalan yang satu yang diakhiri penyempurnaan untuk mencapai kemuncak ilahiyyah. Lalu bagaimanakah dakwaan sebahagian manusia angkuh pada hari ini untuk menidakkan jalan para nabi sebelum Muhammad? Sudah tentu semua kelompok agama melalui semua jalan para nabi tersebut kecuali kelompok yang ingkar dan melakukan kejahatan. Kelompok inilah yang disebut di dalam ayat ini sebagai manusia yang disempitkan dadanya untuk menerima ketauhidan ilahi. Mereka inilah golongan yang engkar dan melanggar hukum agama dengan sengaja tidak mahu memahami segala petunjuk daripada Allah SWT.

Menurut Zamakhshari lagi, bahawasanya mereka ini adalah golongan yang sengaja menolak petunjuk Allah dengan memilih kekufuran berbanding keimanan. Seharusnya menurut pandangan manusiawi, mereka ini bukanlah seperti yang disebut oleh sebahagian mufassir terkebelakang sebagai kelompok Kristian, Yahudi, Majusi ataupun agama selain Islam, tetapi juga dimaksudkan kekufuran ini terjadi kepada orang-orang yang beragama Islam. Oleh itu, ayat ini harus dibaca secara universal dan tidak eksklusif bahawa hukum Tuhan terjadi kepada semua kelompok agama tanpa mengecualikan agama mana pun. Tafsiran ini membuktikan kasih sayang Tuhan juga untuk semua manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Sesungguhnya Allah maha adil dan mengetahui segala yang tersirat di dalam hati hamba-hamba-Nya. Pintu kerahmatan Allah tidak hanya untuk satu-satunya kelompok agama tetapi luas terbentang untuk semua manusia tidak kira dari mana agamanya. Namun sebaliknya kemurkaan Allah berlaku hanya kepada manusia yang sombong dan angkuh kepada kebenaran. Maka Allah menjadikan dada mereka sempit dan sesak ketika berhadapan dengan ketauhidan. Mereka sombong, tidak tunduk dan patuh pada ajaran di dalam kitab suci. Malah mengingkari dan melakukan kezaliman. Sebagai contoh, mereka suka menindas kepada golongan yang lemah dengan mencabuli hak-hak kemanusiaan. Mereka bertindak dengan tidak melakukan keadilan ke atas sesuatu perkara. Bagaimana cahaya kebenaran dan petunjuk Islam dapat diperolehi dengan sikap dan perilaku seperti ini.

KekasihMu Ibrahim, Musa, Isa, Muhammad Yang Mengajar Kebaikan

Islam adalah agama yang mengandungi makna universal. Sifatnya mendasari keimanan yang dinamis lalu menuntut secara alami konsep kepatuhan yang sejati. Ia tampil pada jalan relatif menuju absolut yang jelas. Justeru tidak akan jatuh ke dalam nihil. Kerana jalan lurus itu adalah jalan tertinggi kepada pencipta-Nya. Demikian ini menunjukkan inti semua agama adalah ketundukan kepada Tuhan. Agama mengajarkan kebaikan. Sedang itulah yang diperturunkan oleh Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad kepada umatnya. Kepada mereka yang beriman dan melakukan amal kebaikan, itulah orang-orang yang memperolehi ganjaran yang besar di sisi Allah. Sedangkan kelompok manusia yang melanggari hukum ketuhanan dengan melakukan kerosakkan di dunia ini, mereka inilah kelompok yang rugi dan akan menerima balasan yang setimpal dengan kejahatan yang dilakukan di dunia.

Secara asasnya, agama memberikan garis hukum yang harus manusia ikuti berdasarkan perintah ilahi. Perintah tersebut disepakati oleh para mufassir kehadapan ini adalah teruslah konsisten melakukan amal kebaikan dengan memakukan keimanan yang sejati dan beriman tentang hari pengakhiran. Pesan ini penting kerana inilah yang akan menundukkan keegoan dan kesombongan manusia tentang sesuatu kebenaran. Ini yang menjelaskan mengapa agama kadang-kadang menjadi sumber konflik kerana manusia sudah melupakan pesan-pesan universal yang telah diajar oleh para Nabi.

Mengulang kembali pesan al-Zamakhshari melalui kitab tafsirnya iaitu al-Kashshaf, kemuliaan iman itu diumpamakan seperti kedudukan langit yang tinggi. Menurutnya lagi bahawa manusia yang meninggalkan keimanan dan tauhid adalah diumpamakan sebagai orang yang jatuh dari langit yang sudah pastinya menemukan kebinasaan. Manusia tidak akan jatuh ke lembah kebinasaan jika mana mereka memasuki ke dalam Islam (kedamaian) yang sebenar

Hal ini dinyatakan oleh Muhammad Rasyid Ridha di dalam kitab Tafsir al-Manar bahawa lafaz aslama juga bermakna دخل في السلم (boleh dibaca kasrah dan fathah huruf sin) yang bermaksud kedamaian dan keselamatan. Beliau mengukuhkan tafsiran tersebut dengan ayat Quran :

وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا

Dan siapakah yang lebih baik agamanya dari pada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayanganNya. ( Surah Al- Nisa’ Ayat 125)


Mohd Syazreen merupakan penulis buku terkenal ‘Bercakap Dengan Quran’. Lulusan BA Usuluddin dari Universiti Yarmouk, Jordan dan sedang menyiapkan MA beliau tentang Tafsir Al Quran di Universiti Malaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *