Rintihan Yang Indah Menemukan Kebenaran Beragama – Siri I

Oleh: Mohd Syazreen Abdullah

Aku Menghadap-Mu, Menanti Kasih-Mu,

Di saat pernah mengalami kesempitan hidup, pada ketika itu, seluruh kemampuan kita tidak berdaya. Apatah lagi untuk melawan. Lidah kita menjadi kelu dan gerak laku terbatas. Ditanya tentang keresahan dan kesedihan. Sesungguhnya tidak dapat digambarkan seolah-olah hati yang sakit ditindas dan dizalimi tanpa sifat manusiawi. Begitu juga hati yang keharuan pada masa itu sangat merindukan sang kekasihnya Ya Allah. Sepertimana saat Musa bertanya kepada Allah. “Di mana aku harus mencari-Mu? Lalu Allah menjawab, carilah aku di antara orang-orang yang hancur hatinya! Begitulah, kerana pada hati yang hancur, saat itu kita sangat merinduinya dan merasa sangat dekat.

Dengan Keterbatasanku,

Walau sesiapa pun dari agama mana pun, saat seseorang melalui kegoncangan hidup, pasti Tuhan akan menjadi tempat dia berserah segala kudrat yang dia miliki. Dia sedar, sebagai manusia, kemampuannya terbatas. Kerana keterbatasan pengetahuan tentang Tuhan, dia harus sedar, tunduk kepatuhan kepada Allah dan pada hukum alam. Keterbatasan tersebut, bukanlah bermakna harus menjadi orang yang berputus asa dan diam untuk menemukan kebenaran. Kerana tidak semua pengetahuan kita tentang agama yang juga pengetahuan Tuhan. Makna lain bahawa manusia hanya terbatas pada wilayah pengetahuan Tuhan, tidak pada pengetahuan agama. Maka kefahaman agama sifatnya tidak sakral dan sentiasa sifatnya (kefahaman agama) yang berubah-ubah.

Dengan Hati Yang Hancur, Mengharapkan Pertolongan

Lantas seorang hamba yang merintih kerinduan pada Tuhan-Nya, harus dia mengerti. Tuhan mendampinginya dengan erat, bukan untuk menjadi hamba yang mudah berputus asa untuk mencari kebenaran. Sebaliknya seperti pemikir Islam, Muhammad Iqbal mengatakan perlu diusahakan hukum agama yang mengajarkan dinamisme. Tidak bersifat statis, tetapi dapat berkembang sesuai dengan perkembangan zaman. Pemahaman agama tidak pernah tertutup malah perlu diperbaharui.

Lalu, seseorang harus membebaskan diri dari pengertian sempit bahawa ibadah bukan terbatas pada ruang lingkup ajaran-ajaran dogma semata seperti hanya solat, puasa, dan yang lainnya. Kesempurnaan ibadah tidak berlaku hanya antara hamba dan Tuhan. Tetapi kontradiknya, Tuhan menemukan hambanya pada ketakwaan yang sempurna dengan keterlibatan seseorang kepada sosialnya. Ibadah adalah kejujuran (dalam bentuk ketundukan, kepatuhan kepada Allah), iaitu bagaimana seseorang harus mempraktikkan dalam kehidupannya. Kesempurnaan itu membina kesatuan umat dan mengelakkan daripada perselisihan.

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ ۚ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۖ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ ۗ وَاللَّهُ يَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيم                

Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, – mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).      (Surah Al Baqarah: 213)

Wahai Kekasihku, Demi Haq,

Para Nabi diutuskan oleh Tuhan untuk menyelesaikan perselisihan perpecahan umat. Sesungguhnya fitrah tidak cukup untuk menyelesaikan perselisihan. Maka peranan para Nabi untuk menyatukan Wahdah-kesatuan semula untuk menjadi umat yang satu (ummatan wahidan). Jelas bahawa fitrah harus dilengkapi dengan kepatuhan (beriman dengan ketundukan kepada Tuhan) supaya manusia tidak jauh tersasar. Begitu juga di dalam saat ini, meraih jalan keimanan yang sempit bukanlah perkara yang mendatangkan kemajuaan dalam hidup beragama. Seperti bersikap angkuh, mendabik kesombongan di atas kebenaran yang kita miliki. Walhal agama, mengajar kita bersikap membuang keegoan dan saling membantu menawarkan kebaikan dalam kehidupan.

Yang Menjanjikan Jalan Yang Satu,

Demikian tersebut, Tuhan telah memberi panduan lengkap dan kebebasan menjadi seorang muslim tanpa kita menciptakan perselisihan dan perpecahan. Atas dasar ini, ayat-ayat lain seperti tentang keberagaman dan keselamatan adalah untuk kita lebih memikirkan hal-hal yang membawa keuntungan bersama menuju di akhirat selain melakukan kebaikan-kebaikan yang ada di dunia. Justeru, kita (semua agama) hendaklah menanam kebaikan ketika di dunia dan meyakini pasti ada ganjaran menanti di akhirat. Menjadi umat yang satu adalah puncak ketakwaan tertinggi. Asas ini dibina atas ketakwaan seseorang yang meyakini kehidupan akhirat. Maka bertepatan dalam Quran bahawa setiap kebaikan mestilah dihitung dengan ganjaran di akhirat. Inilah titik kesatuan yang meraih kesempurnaan jalan takwa.


Mohd Syazreen merupakan penulis buku terkenal ‘Bercakap Dengan Quran’. Lulusan BA Usuluddin dari Universiti Yarmouk, Jordan dan sedang menyiapkan MA beliau tentang Tafsir Al Quran di Universiti Malaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *