Melayunya Usman Awang : Menyanggah Yang Pincang, Membela Kemanusiaan
Oleh : Zarif Asyraf
Salam
tanpa visa
pasport
golf
warna
kemanusiaan rakyat
seluruh benua
—Salam Benua, Usman Awang (1970)
Usman Awang (12 Julai 1929 – 29 November 2001), nama besar kebanggaan tanah air merupakan sasterawan, intelektual juga seorang yang humanis, manusia tanpa prejudis dan prihatin terhadap nasib kelompok bawahan yang menderita sama ada ia dalam kalangan bangsanya mahupun kaum lain. Keberpihakan Pak Usman kepada golongan ini begitu jelas sekali. Karya-karya Pak Usman selalu bergulat membincangkan persoalan kemiskinan, kezaliman, kemunduran dan penindasan yang menimpa rakyat. Yang diharapkannya itu jelas;
“Harapan saya kini ialah agar tenaga baru dan suasana baru dalam negeri ini akan ditujukan kepada masalah-masalah besar seperti kemiskinan. Sungguh menyedihkan bahawa dalam sebuah negara yang kaya-raya hasil buminya, rakyatnya kaya dengan kemiskinan. Sungguh menyedihkan bahawa kawasan luar bandar masih mundur, sekolah-sekolah serba kekurangan, murid-murid serba ketiadaan dan perubatan serta doktor tidak berkecukupan. Sungguh menyedihkan bahawa kanak-kanak miskin masih banyak yang cicir dalam pelajaran, dan alangkah pilunya hati apabila hanya sebilangan kecil sahaja kanak-kanak perempuan yang dapat mengembangkan kebolehan mereka sepenuhnya dalam segala bidang pendidikan.
Bolehkah kita semua bersama-sama mengatasi segala masalah ini? Dan tidak kurang daripada semua ini, saya bermohon menyuarakan harapan agar korupsi, pilih kasih dan segala penyelewengan dalam bentuk apa pun yang menjadi beban serta merugikan rakyat dapat dihapuskan.”
Pak Usman menyebutkan hal ini puluhan tahun dahulu iaitu dalam Pidato Penerimaan Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1983 yang bertajuk “Suara Kemanusiaan Seorang Pengarang’’.
Sekarang, apa yang menjadi rintihan dan kegusaran Usman Awang masih bersaki baki, sama ada kita peduli ataupun tidak. Kemiskinan, kelaparan, kesempitan dan keterdesakan hidup masih menjadi realiti yang menghantui sebahagian besar masyarakat tidak kira latarbelakang kaum, agama dan warna kulit. Hatta tidak hanya di pelusuk-pelusuk kampung yang merasai, di ceruk-ceruk bangunan tinggi kota raya juga masalahnya tetap sama. Mentelah lagi di waktu harga barangan keperluan melambung naik, tangga gaji yang rendah, kadar pengangguran yang tinggi, sementara segolongan pak-pak menteri sibuk membelek katalog kereta mewah baru yang bakal mengusung mereka ke sana sini atau menggaji penasihat itu penasihat ini hasil dari kocek rakyat yang diperas dan dicuri.
Pak Usman mengungkapkan hal ini bukan hanya sebagai mewakili suara hati bangsa Melayu, tetapi rakyat Malaysia dan kemanusiaan seluruhnya.
Benar, Pak Usman seorang anak Melayu Jati yang berasal dari Kuala Sedili, Johor. Beliau pun begitu berbangga dengan jatidirinya sebagai seorang Melayu. Hal ini terakam jelas dalam puisinya yang bertajuk Melayu. Puisi tersebut jika dibaca sebagai satu-satunya karya Pak Usman, tanpa membaca keseluruhan karyanya, akan berhujung dengan masalah. Saya pernah melihat sajak Pak Usman yang satu ini dipergunakan untuk membangkitkan semangat kebangsaan yang mundur dan bukannya nasionalisme yang progresif. Kelompok populis kanan, peromantis sejarah bangsa, pengkagum zaman bahari dan ketuanan satu-satu kaum amat berminat sekali apabila membaca karya Pak Usman ini lalu mengambilnya sekerat-sekerat. Sedangkan di sebalik pujian dalam puisi itu, Pak Usman menitipkan pesan, kritikan dan persoalan besar yang perlu dijawab oleh bangsanya–yang beliau tahu benar akan kondisi serta realiti yang menimpa massa Melayu sejak dulu hingga kini.
Saya percaya, ini bukanlah hal yang dicita-citakan oleh Pak Usman sebagai mewakili minda dan sosok Melayu yang sejati. Hal ini kerana ia sangatlah berlawanan dengan sifat, sikap dan pemikiran Pak Usman yang diejahwantakannya dalam penulisan-penulisan beliau. Untuk mengetahui pemikiran seseorang pengarang, satu puisi, sebuah novel, beberapa halaman cerpen tidaklah mencukupi. Pengarang mempunyai gagasan besar dari sederetan banyak hasil kerjanya-dan untuk memahami gagasan tersebut, maka skop pembacaan juga haruslah luas untuk merangkumi keseluruhan idea pengarang.
Lalu, bagaimana sebetulnya sosok Melayu bernama Usman Awang ini?
Pak Usman menganyam kata untuk membela kemanusiaan sejagat, menghapuskan kebencian, prasangka buruk, perasaan perkauman, melawan ketidakadilan, melunyaikan korupsi dan melunturkan jiwa hamba. Hal ini berbeza dengan sikap segelintir daripada kita yang asyik bercerita dan mengangkat bangsa semuluk-muluknya, tetapi apabila berhadapan dengan persoalan semisal rasuah, mereka senyap dan menikus malah menganggapnya sebagai perkara biasa.
Seluruh kehidupannya sebagai seorang penulis, luah Pak Usman, telah digunakan “untuk menyuarakan hati nurani saya yang saya percaya ialah juga hati nurani masyarakat, maka dalam penyuaraan itu saya tidak membatasi golongan kaum, bangsa, kepercayaan dan warna kulit.”
Ungkap beliau lagi:
“Telah berulang-ulang saya nyatakan bahawa teriakan seorang anak penjual kuetiau di Petaling Street tidak ada bezanya dengan teriakan seorang anak penjual nasi lemak di kawasan Melayu Petaling Jaya atau di Kampung Baharu, Kuala Lumpur, dan begitu juga dengan teriakan seorang anak penjual tose di Jalan Brickfield. Begitu jugalah duka lara Pak Ngah Ali dan Pok Nik, pesawah serta nelayan di Pantai Timur, dengan derita pedih Ah Kau atau Ah Lim pekerja lombong di Lembah Kinta, atau pembina bangunan berpuluh-puluh tingkat di ibu kota, yang tidak berbeza dengan pilu rawan Ramasamy atau Kandaya yang membina jalan raya atau menoreh getah di ladang.”
Inilah suara hati seorang penyair rakyat, dan degungannya harus kita rasai dan hayati ketika ini. Iaitu ketika mana masih ada individu atau organisasi yang galak bersorak tentang ketuanan bangsa, tentang kemalasan kaum tertentu, dan ketika melaratnya diskriminasi bahasa, kaum dan gender di segenap lapangan, di saat pemerasan terhadap buruh-buruh, para migran dan pelarian masih membarah, juga ketika satu-satu kumpulan kelas masih duduk dalam kepompongnya sahaja. Maka, Usman Awang lebih kurang mengatakan; usah biarkan perbezaan yang melatari menjadikan kita alpa dan leka terhadap perkara yang lebih besar untuk kita lawan dan tenggelamkan.
“Musuh orang Cina bukan orang Melayu, dan musuh orang Melayu juga bukan orang Cina. Musuh bersama kita ialah kemiskinan, ketidak-setaraan dan penindasan.”
Pak Usman juga menyanggah sikap membesar-besarkan kejayaan dan menyuntik-nyuntik kekayaan untuk kesenangan orang perseorangan, sementara rakyat terbanyak masih melarat dan terabaikan. Dengan kononnya kita mahu melahirkan lebih ramai jutawan Melayu sebagai solusi ampuh untuk mengeluarkan orang-orang Melayu dari kemiskinan, atau kita mengukur kejayaan sekumpulan tauke-tauke Cina dan India sebagai lambang kesenangan masyarakat Cina dan India seluruhnya di negara ini, Pak Usman mengatakan perkara ini adalah kerja dan pemikiran yang aneh lagi tolol! Katanya:
“Dalam melihat dan mengukur kemajuan bangsa dan masyarakat, soal individu tidak dapat dijadikan ukuran. Adalah aneh dan tolol untuk mencipta 10 atau 12 orang Melayu atau Bumiputera menjadi jutawan sebagai bukti untuk mengatakan bahawa orang Melayu telah kaya raya. Dalam suatu sistem masyarakat yang memenangkan golongan kecil, individu tidak akan berkembang.”
Apa yang telah saya tukilkan disini hanyalah sebahagian kecil dari suara kemanusiaan seorang pengarang, sementara yang sudah dicatatkan oleh beliau sebagai peninggalan masih banyak belum tergalikan oleh kita. Baca saja suara-suara kemanusiaan itu dalam puisi-puisi beliau seperti Anak Jiran Tionghua (1962), Salam Benua (1970), Pak Utih (1954) juga banyak lagi yang tak mampu disenaraikan di tulisan kecil ini.
Dan suara kemanusiaannya Pak Usman akan kekal relevan selagi mana nyahkemanusiaan masih berleluasa dan tugas kita untuk menangkisnya. Jangan biarkan persoalan, pertanyaan dan harapan Pak Usman dalam karya-karyanya terkubur begitu saja. Kerana, itu jugalah persoalan dan harapan yang kita inginkan seperti yang diungkap Usman Awang di dalam petikan sebuah puisinya yang bertajuk Sahabatku (1979)—sebuah puisi yang didedikasikan kepada sahabat karibnya yang berbangsa India, Dr MK Rajakumar suatu ketika dulu:
Bilakah kita dapat memadamkan
Perbezaan keturunan yang kian membakar kita
Dan membiarkan curahan minyak yang kian menyala
Oleh mereka yang sering bermuka dua?
Bilakah kita dapat mempertaruhkan nasib
anak-anak kita yang tak berdosa
dan generasi akan datang keturunan kita
oleh mereka yang mementingkan laba dan kuasa?
Bilakah kita dapat menimbusi jurang perbezaaan
kemiskinan dan kelaparan dengan kekayaan berlebihan
Antara dua golongan dan darjat masyarakat
Suatu janji dari erti kemerdekaan rakyat?
Bilakah semua warga negara mendapat hak
layanan dan keadilan yang sama
Dikenal dengan satu rupa nama:
Bangsa Malaysia?
Zarif Asyraf berasal dari Sandakan, Sabah dan merupakan Felo Lestari Hikmah. Beliau merupakan lulusan Universiti Sains Malaysia dalam bidang pendidikan bermajorkan ilmu sejarah dan berminorkan sastera. Kini menyambung pengajian beliau di Universiti Malaya dalam Sarjana Sastera di Jabatan Asia Tenggara. Penumpuan beliau adalah sekitar ilmu sejarah dan pensejarahan, sastera, seni dan budaya nusantara. Beliau juga merupakan salah seorang penulis bagi buku Inteligensia Penyuluh Nusantara.