Politikus Feudal

Oleh : Aliff Naif Mohd Fizam


Aku penat melihat politikus menjadikan orang yang uzur dan golongan rentan sebagai prop politik. Dibuatnya orang-orang tua ini menggigil mendaki pentas untuk bantuan yang tidaklah seberapa. Ketimbang pergi ke rumah-rumah untuk menyerahkan bantuan, politikus celaka ini semua lebih gemar mengadakan majlis-majlis besar.


Ini tidak lain tidak bukan adalah saki baki semangat feudal yang tersisa dalam masyarakat kita. Sisa ini tidaklah berbentuk institusi seperti yang wujud zaman dahulu kala, namun berbaki dalam psikologikal masyarakat. Inilah yang ditermakan sebagai Feudalisme Psikologikal.


Pada 1968, pemikir ulung Malaysia, Syed Hussein Alatas menulis kertas “Feudalism in Malaysian Society: A Study of Historical Continuity”. Tujuannya satu, untuk melihat kesinambungan dalam masyarakat kita — apa yang wujud di zaman feudal yang masih kekal sehingga ke dunia politik moden.


Bagaimana kita boleh melihat kesinambungan dalam perjalanan sejarah ini? Melalui sistem nilai. Namun, nilai yang bagaimana yang boleh dikatakan sebagai bahagian yang tersisa dalam masyarakat kita? Di sini kita boleh sebut bahawa nilai-nilai tersebut ialah idea yang diamalkan dalam kejadian sosial dan politik Malaysia.


Soal nilai harus dibahaskan terlebih dahulu. Masyarakat kita berbentuk heterogenous; dibentuk oleh pelbagai kumpulan dan sub-kumpulan. Namun, hal yang boleh kita lihat dan fahami secara umum ialah nilai masyarakat terbahagi kepada dua kelas — kelas atasan dan kelas rakyat. Pegangan dua kelas ini berbeza. Rakyat, sebagai contoh lebih berpegang kepada nilai kemasyarakatan manakala golongan aristokrat pula lebih menurut kepada nilai individualisme. Soal bagaimana nilai ini terbentuk tidak akan kita bahaskan di sini.


Menurut Wertheim, masyarakat perlu difahami sebagai bahagian yang sentiasa berkonflik. Tiada integrasi harmoni antara dua kelas masyarakat yang berbeza ini. Percanggahan yang berlaku antara kelas ini adalah satu kebiasaan. Ini juga merupakan asas kepada dialektika yang dihuraikan Marx dan pengikutnya. Setelah ada konflik, pastinya akan ada sintesis dan sintesis inilah yang dikatakan sebagai kesinambungan sejarah dalam bentuk nilai.


Nilai juga perlu dilihat sebagai “idea yang mempengaruhi hidup kita.” Ini perlu dibezakan daripada idea yang hanya kekal ideal dan tidak memberi kesan langsung dalam sistem masyarakat. Sistem kerah, sebagai contoh. Ia merupakan idea yang memberi kesan langsung dalam masyarakat feudal – kendatipun tidak disukai oleh golongan yang dikerah. Golongan aristokrat sudah tentu menyukai sistem ini dan menggunakan buruh secara paksa untuk urusan peribadi mereka. Namun, hakikatnya sistem kerah dibenci golongan rakyat, dan nilai sistem kerah ini secara jelas mempengaruhi hidup rakyat.


W. E. Maxwell mencatat sewaktu lawatannya ke pedalaman Kedah mendapati bahawa dalam kalangan golongan rakyat ada yang sanggup melarikan diri masuk ke dalam hutan apabila ternampak kelibat gajah sang raja melalui kawasannya – semata-mata ingin mengelakkan diri dari menjadi mangsa sistem kerah. Sistem kerah sebagai idea itu satu perkara. Namun bagaimana ia mempengaruhi hidup rakyat, itu yang menjadi tumpuan sistem nilai.


Lalu, persoalannya adalah nilai yang bagaimana yang kekal dan membentuk Feudalisme Psikologikal? Syed Hussein Alatas menyatakan tiga nilai dalam catatan beliau; tiada garisan pemisah antara urusan atas kapasiti peribadi dan kapasiti rasmi, hubungan pemerintah dan orang bawahan, dan kecenderungan kepada majlis-majlis.


Urusan Peribadi dan Rasmi


Pada zaman feudal, tidak jelas bahagian urusan apa yang disebut sebagai rasmi dan kapasiti peribadi. Dalam urusan masyarakat feudal, kedua-duanya seringkali bercampur. Perkara yang sama, dibawa secara psikologikal dalam politik moden. Ini hal yang jelas terpampang. Syed Hussein, dalam tulisannya tahun 1960an, menyentuh tentang sikap politikus yang suka berjalan-jalan dan menelefon, dan bil telefon ditanggung kerajaan.

Dicatatkan jumlah bil yang dibayar kerajaan ialah sehingga ribuan Ringgit, sedangkan urusannya ialah urusan peribadi. Soal berjalan-jalan pula, walaupun perjalanan itu atas kapasiti peribadi – ke majlis itu dan ini – ia juga ditanggung kerajaan. Politikus tidak dapat melihat garis perbezaan antara rasmi dan peribadi kerana mereka merasa berhak untuk segala keistimewaan itu.

Namun, Alatas menyatakan perbuatan ini perlu dibezakan dengan perbuatan jenayah. Satu halnya ialah kerana politikus tidaklah menyorokkan perbuatan ini sepertimana perbuatan jenayah, dan juga kerana mereka merasakan mereka berhak ke atas semua itu.

Hubungan Pemerintah dan Orang Bawahan

Pemerintah kerap kali akan menjaga baik orang bawahannya, sekalipun orang bawahan itu mempunyai moral yang buruk. Dalam soal psikologi feudal, moraliti seseorang tidak ditentukan secara imperative tetapi ditentukan secara relatif oleh pemerintah.


Ini disebut oleh Erich Fromm, ahli falsafah dan psikologis sosial Jerman, sebagai Etika Autoritarian. Sesuatu perbuatan itu hanya dinilai sebagai jahat apabila pemimpin merasakan itu adalah jahat. Kayu ukuran moraliti bertimbal balik dengan pemimpin. Oleh itu, sekalipun dalam aksi menegakkan keadilan, keadilan itu sendiri boleh dinilai sebagai “jahat” jika dibenci oleh pemimpin. Maka dari itu, kejahatan paling mutlak semestinya adalah perbuatan melawan pemimpin.


Pemimpin akan menyimpan mereka-mereka yang celaka hanya kerana kesetiaannya, dan membuang mereka yang melawan walaupun golongan yang melawan cuba menegakkan keadilan. Pada zaman feudal dahulu, wujud golongan yang dipanggil “hamba raja”. Mereka adalah golongan penjenayah yang melarikan diri dari hukuman dengan berlindung di bawah raja atau aristokrat.


Mereka inilah yang kerap membuat onar dengan merampas hasil tanaman rakyat, seperti yang dinyatakan oleh Abdullah Munsyi. Kecelakaan mereka ini sehingga menyebabkan rakyat hilang motivasi untuk bekerja dan akhirnya lebih sanggup hidup susah. Di sinilah antara penyebab masalah kemiskinan dalam masyarakat Melayu. Walaupun ditindas, rakyat tidak boleh melawan. “Hamba raja” ini semua dilindungi raja. Bagi satu nyawa “hamba raja” melayang, tujuh nyawa lain akan menjadi galang ganti.
Sama bukan dengan zaman moden? Lihatlah dalam parti politik betapa ramainya orang celaka dan samseng yang dibela.

Mereka ini bukan sahaja disimpan, malah ada yang diangkat menjadi Senator dan diletakkan dalam Dewan Yang Mulia. Sewaktu zaman Syed Hussein sendiri, seorang Menteri Pendidikan dibicarakan dan dihukum bersalah oleh mahkamah. Walaupun terbukti bersalah dan celaka, dia masih disimpan dalam partinya. Malah, Kabinet Menteri sedia membayar yuran guamannya. Itulah kecelakaan yang tersisa.


Kecenderungan Untuk Majlis-Majlis

Ini jelas sekali dalam masyarakat kita. Ahli politik – dari peringkat yang paling rendah sehingga ke pemimpin negara – sungguh taksub dengan majlis. Beri bantuan kepada orang susah juga nak dibuat majlis. Belum lagi sembang soal merasmikan balai rakyat, merasmikan surau malah paip air sekalipun. Sedia maklum tugas mutlak ahli politik ialah bersidang di Parlimen, namun dilihat usaha untuk turun menghadiri majlis itu lebih bersungguh. Mungkin seronok disambut walaupun tiada sumbangan besar. Laksana golongan feudal zaman dahulu yang turun menghadiri majlis majlis, itulah yang berlaku pada zaman kita.


Kesinambungan sejarah zaman feudal ke zaman moden akan terus berlaku. Selagimana nilai yang tersisa diangkat dan memberi kesan langsung dalam kehidupan kita, selagi itulah tabiat politik kita akan kekal sebegini. Tiga kesinambungan ini ialah apa yang dicatat oleh Almarhum Prof. Dr. Syed Hussein Alatas. Bagaimana pula dengan sisa psikologi feudal yang berbaki yang belum lagi dianalisa? Itu kita sendiri perlu memerhati dan menjawab.


Aliff Naif Mohd Fizam berasal dari Sungai Petani, Kedah. Beliau adalah Felo di Lestari Hikmah dan merupakan penuntut BA Sains Politik di International Islamic University Malaysia (IIUM). Penulisan dan penglibatan beliau banyak tertumpu dalam gerakan politik dan kepimpinan di Malaysia. Penulisan beliau diterbitkan di Malaysia dan Indonesia seperti IBTimes.id, Solidaritas dan Alternatif.Press.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *