Resensi Buku : Islam dan Sosialisme oleh Syed Hussein Alatas

Oleh : Juliyana Junaidi

Islam sebagai sebuah agama yang syumul (menyeluruh) memberi perhatian yang jitu terhadap hubungan manusia dengan Allah dan juga hubungan sesama masyarakat. Fokus yang terhad kepada hubungan kepada Tuhan tanpa mengambil kira hubungan sesama makhluk tidak menjadikan seseorang itu mukmin yang sejati kerana Rasulullah SAW membina jaringan hubungan dengan Pencipta dan juga sesama manusia dalam kehidupan baginda. Islam sebagai agama yang rahmah, memelihara hak-hak sesama makhluk. Sebagai contoh, dari sudut ekonomi, penetapan pembayaran zakat dalam rukun Islam, galakan untuk berinfaq, wakaf, dan sebagainya bertujuan untuk mencapai keadilan sosial yang merupakan salah satu cabang sosialisme.


Islam dan sosialisme kerapkali dianggap tidak senada dan ideologi ini dianggap seperti bermusuhan antara satu sama lain. Seperti banyaknya cabang dalam sesebuah ideologi, sosialisme ternyata mempunyai cabang-cabang pemikiran yang berbeza namun berada di bawah bumbung yang sama. Naskhah Islam dan Sosialisme merupakan karya antara ahli sosiologi terbaik di Malaysia, Syed Hussein Alatas yang aktif menyerlahkan kecendekiawanan beliau melalui pelbagai tulisan penelitian dan kritikan sosial kepada masyarakat. Beliau dilahirkan pada tahun 1928 dan meninggal dunia pada tahun 2007. Karya-karya beliau seperti Intelektual Masyarakat Membangun, Mitos Peribumi Malas, Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, dan lain-lain merupakan karya yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas kerana ia masih bersifat malar segar untuk menjentik renungan kemasyarakatan.


Buku ini dibahagikan kepada tiga bab. Bab pertama adalah Kata Pendahuluan, bab kedua, Islam dan Sosialisme dan bab ketiga, Sekali Lagi Dr. Mahathir. Dalam kata pendahuluan, Syed Hussein Alatas memegang pendirian bahawa pemikiran sosialisme dalam Islam telah berakar sejak satu abad yang lalu. Islam dan sosialisme tidak mempunyai pertentangan sekiranya difahamkan kepelbagaian cabang sosialisme itu sendiri. Pandangan ini juga seangkatan dengan Syed Jamaluddin Al-Afghani dan Tjokroaminoto, seorang pemikir Indonesia. Menurut beliau, orang Islam yang menyifatkan Islam tidak boleh disamakan dengan sosialisme ataupun isme-isme yang lain tidak memahami dan jahil akan ucapannya sendiri. Keterkaitan sosialisme dengan agama boleh dikategorikan kepada dua iaitu sosialisme yang tidak percaya pada agama, seperti ajaran Karl Marx yang memegang pendapat ‘agama adalah candu masyarakat’ dan juga sosialisme yang menghormati agama seperti Leo Tolstoy, Gandhi, dan Iqbal. Beliau juga menambah bahawa tokoh sosialisme kita adalah Nabi Muhammad SAW. Menurut beliau, kesilapan yang sering dilakukan para penulis Islam tentang falsafah dan tentang hakikat Islam adalah apabila menganggap sosialisme itu hanyalah aliran materialisme dialetik Karl Marx. Menurut Syed Hussein Alatas lagi, Islam juga amat mementingkan kebendaan dan beliau membawa contoh peringatan Saidina Ali kepada Malik Ashtar, gabenor Mesir yang beliau lantik, berkenaan kepentingan penghapusan korupsi dan penindasan.


Dalam karya beliau, beliau menekankan bahawa sosialisme Islam dan sosialisme barat tidak akan sama seratus peratus kerana sosialisme Islam adalah berteraskan wahyu dalam sejarah. Namun begitu, sosialisme berperanan menghapuskan penindasan dan kekejaman terhadap kelompok proletar dan yang lemah dalam masyarakat barat. Penentangan daripada penulis-penulis Islam adalah kerana mereka tidak pernah menyiasat apa yang pada tanggapan beliau sebagai kelemahan Barat. Tidak semua daripada barat itu wajar ditolak. Antara elemen yang perlu ditentang termasuklah penjajahan Barat, eksploitasi kapitalisme barat dan pengaruhnya yang meruntuhkan akhlak. Selain itu, beliau tidak ketinggalan menukilkan nama sosok yang bersikap anti tamadun barat yang kebanyakkannya berasal daripada India dan Pakistan seperti Iqbal, Maududi, Abul Hasan Ali Nadwi, dan juga Muhammad Asad, seorang Yahudi berasal daripada Austria yang masuk Islam sekitar 1926. Beliau mengulas lanjut pendapat-pendapat mereka yang bersifat anti tamadun barat telah memberi impak kepada pembantutan umat Islam daripada kemajuan. Antara keburukan tamadun barat yang sering dicanang mereka adalah :

1) tamadun barat menjajah Asia dan Afrika.

2) bersifat materialis, hanya mementingkan benda.

3) mempraktis hubungan seks yang longgar.

4) tidak mementingkan agama dan

5) tamadun barat akan runtuh.

Namun begitu, menurut Syed Hussein Alatas, terdapat juga beberapa kebaikan tamadun barat yang sering ditutup mereka seperti:

1) tamadun barat memulakan zaman baru dalam sejarah peradaban dengan mengembangkan ilmu sains dan teknologi moden.

2) berhasil memberi bekalan makanan yang cukup.

3) menemukan penawar penyakit yang dahulunya membawa maut.

4) melaksanakan susun atur masyarakat ke arah yang lebih adil dan

5) membuktikan kebolehan manusia menjejaki bulan.

Beliau juga menekankan bahawa pendekatan yang perlu diambil adalah mendekati tamadun barat dengan penuh kewaspadaan serta berpegang teguh dengan ajaran Islam.


Dalam bab yang kedua iaitu Islam dan Sosialisme, penulis membuka perbincangan dengan mengusulkan takrifan sosialisme yang menurutnya paling tepat daripada Emile Durkheim, “Sosialisme itu bukan satu sains, bukan satu sosiologi kecil, ianya satu raungan kesedihan, kadangkalanya kemarahan; diucapkan oleh mereka yang amat merasai akan penyakit (malaise) kita bersama. Sosialisme dan fakta-fakta yang menyebabkannya dapat disamakan dengan rintihan seorang sakit yang disebabkan oleh penyakitnya dan keperluan-keperluan yang menyeksanya”. Selain itu, penulis juga menyenaraikan ciri-ciri utama sosialisme sebelum meneruskan penghujahan berkenaan sosialisme dalam Islam. Antara ciri-ciri tersebut adalah kepercayaan kepada pemerintahan berhukum, perjuangan hak ke arah keadilan dan kebajikan untuk rakyat, mengutamakan kepentingan bersama, penolakan terhadap kemiskinan, kritikan berat terhadap sikap malas, pembatasan terhadap kuasa pemilikan harta, dan pengakuan bahawasanya ketidakadilan mungkin dilakukan ke atas orang lain dalam proses memperoleh kekayaan.

Syed Hussein Alatas memulakan penerangan beliau menerusi tindakan-tindakan Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW yang merupakan contoh dan ikutan terbaik telah mempraktikkan perjuangannya mencapai keadilan sosial sewaktu tempoh beliau menjadi nabi dan juga pemerintah. Dalam hasrat Rasulullah SAW, baginda melihat satu masyarakat dalam mana tidak lagi terdapat kemiskinan. Penulis menukilkan sebuah hadith yang direkodkan dalam Sahih al-Bukhari untuk membuktikan perkara ini. Rasulullah SAW bersabda bahawa satu masa akan tiba bilamana seseorang mencari insan untuk disedekahkan hartanya namun tiada yang dapat menerimanya. Dalam Islam, hak orang miskin boleh didapati dalam kekayaan si berada, yang mana agama Islam yang cakna keadilan sosial ini telah menetapkan kewajipan zakat sebagai salah satu rukun asas agamanya.


Antara tokoh lain yang menyokong keterkaitan Islam dengan sosialisme menurut penulis adalah Tjokroaminoto, seorang pemimpin politik Sarekat Islam sekitar tahun 1920an. Tjokroaminoto membezakan jenis-jenis sosialisme kepada sebuah falsafah bertunjangkan agama dan tanpa agama. Penulis menukilkan bahawa asas-asas sosialisme itu telah wujud dalam interaksi pada zaman Rasulullah SAW. Pemilikan alatan produksi yang berada dalam ideologi sosialisme adalah mengikut ajaran Islam. Islam telah menghalang riba’, menegah amalan pencabulan hak oleh pihak kapitalis, dan hal ini adalah sejajar dengan ideologi sosialisme.


Selain itu, penulis juga menukilkan pendapat lain-lain tokoh yang menyokong Islam dan sosialisme seperti Mustafa Husni Assiba’i (tokoh Ikhwanul Muslimin dari Syria), Mohammad Rasjidi, (Menteri Agama Indonesia), Syed Qutb dan lain-lain. Menurut penulis, masih ramai sarjana-sarjana Islam yang menolak keterkaitan Islam dengan kapitalisme mahupun sosialisme kerana Islam itu sendiri adalah merupakan satu sistem yang sudah sempurna. Tetapi, menurut praktisnya, sikap ini yang bakal menguatkan status quo kapitalisme untuk berdiri megah di sebahagian dunia Islam. Islam sentiasa berjuang ke arah keadilan sosial dalam masyarakat dari segi penghapusan kemiskinan, kejahilan, rasuah, kemunduran, penindasan dan lain-lain.


Pada zaman beliau, Syed Hussein Alatas mendapati bahawa ada tiga aliran yang nyata. Pertama dan yang paling berkuasa adalah pembela ideologi kapitalis dan separuh-feudal yang tersorok dalam kata-kata keIslaman dan nasionalis. Kedua, nasionalis, sosialis dan komunis berkiblatkan barat dan yang ketiga, aliran reformasi Islam yang memegang cadangan sosialisme Islam dalam satu bahagian. Dan aliran Sosialisme Islamlah yang paling lemah tetapi mempunyai potensi besar pembangunan masa depan. Beliau menggulung bab ini dengan menyatakan bahawa sosialisme tidak terhad kepada kepedulian terhadap kebajikan masyarakat tetapi yang lebih utama adalah perancangan ekonomi yang memanfaatkan golongan terbanyak dan bukan memperkaya golongan terkecil.


Dalam bab ketiga, ‘Sekali Lagi Dr. Mahathir’, sepertinya penulis mengalami pertentangan pendapat dengan Tun Dr. Mahathir pada sekitar tahun 1970an. Syed Hussein Alatas menyatakan bahawa punca Dr Mahathir tidak bersetuju dengan keterkaitan Islam dan sosialisme adalah kerana beliau memfokuskan kepada aliran sosialisme Eropah yang tidak mengutamakan agama. Selain itu, penulis mempersoalkan kenyataan Dr. Mahathir berkenaan polemik. Dr. Mahathir membangkitkan tabiat berpolemik dalam kalangan orang Melayu yang menulis buku dengan tujuan melancarkan satu siri polemik. Syed Husein Alatas berpendapat kenyataan itu ditujukan kepada beliau kerana beliau telah menulis buku ‘Siapa Yang Salah’ sebagai bantahan terhadap buku Revolusi Mental dan karya Dr. Mahathir, The Malay Dilemma. Menurut Syed Hussein Alatas, Dr. Mahathir bukanlah sarjana ilmu masyarakat dan pengetahuannya tentang banyak perkara adalah terbatas. Namun begitu, beliau menganggap bahawa tulisannya tidak patut dibiarkan tanpa kritikan kerana berupaya mempengaruhi sekurang-kurangnya sedikit golongan pembaca. Syed Hussein Alatas juga tidak bersetuju dengan huraian Dr. Mahathir yang menyamakan golongan yang mengkritik kerajaan dengan komunis yang menentang kerajaan. Hal ini adalah kerana mereka yang mengkritis kerajaan hanyalah menggesa kerajaan bertindak adil, membasmi rasuah dan mencipta peluang pekerjaan. Untuk menyanggah pendapat Dr. Mahathir, beliau telah membawa pelbagai ayat Quran dan hadith nabi ke medan perbahasan. Penulis juga menerangkan bahawa perjuangan melawan komunis hanya akan berhasil sekiranya pemimpin yang terlibat dalam gejala rasuah disingkirkan. Nampaknya gejala rasuah telah berakar dalam kalangan pemimpin sudah sekian lama dan pembanterasan terhadap amalan ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak. Sebagai penutup kepada buku ini, pengarang berharap Dr. Mahathir tidak menganggap kritikan beliau sebagai membazir kerana Dr. Mahathir juga telah mengkritik beberapa nilai masyarakat Melayu.


Secara peribadi, saya beranggapan bahawa Islam mempunyai keterkaitan yang tinggi dengan sosialisme. Ciri-ciri sosialisme banyak didapati dalam ajaran al-Quran dan melalui praktis Nabi Muhammad SAW. Namun begitu, mereka yang seringkali beranggapan bahawa sosialisme dan Islam adalah dua entiti yang berbeza barangkali tidak mempunyai cakupan pengetahuan yang luas dalam cabang sosialisme itu sendiri lalu memalitkan pendapat Karl Marx ‘agama adalah candu masyarakat’ sebagai penolakan ideologi sosialisme dengan Islam. Saya bersetuju dengan penulis yang berhikmah membahagikan sosialisme kepada dua iaitu sosialisme yang ada elemen keagamaan dan sosialisme tanpa kehormatan terhadap agama. Pembahagian ini akan jelas mengulas lanjut ciri-ciri sosialisme yang terdapat dalam Islam. Islam selari dengan ajaran kemanusiaannya yang sentiasa mementingkan semangat ukhuwah terhadap masyarakat sejagat.

Selain itu, Islam dan sosialisme seiring dalam memperjuangkan keadilan dan kebajikan rakyat tanpa diskriminasi terhadap kaum, agama, dan warna kulit. Ideologi sosialisme mendidik bahawa kemiskinan wajar dibasmi dengan menggunakan pelbagai kerahan tenaga serta daya fikir pihak pemerintah untuk rakyatnya. Ia selari dengan ajaran Islam yang telah mewajibkan zakat dan menggalakkan pengagihan harta melalui pelbagai cabang seperti infaq, sedekah, wakaf dan sebagainya dalam usaha mencapai keadilan sosial. Tambahan lagi, pembatasan terhadap kuasa pemilikan harta juga wajar dilakukan pihak pemerintah untuk membataskan eksploitasi terhadap pihak ploretar. Melalui praktis Nabi Muhammad yang berpandukan ajaran al-Quran, baginda bijak dalam pengagihan kekayaan supaya tidak berlegar dalam kalangan kaum pemodal sahaja. Hal ini adalah selari dengan ayat 7 dalam Surah al-Hashr “supaya harta itu tidak berlegar dalam kalangan orang kaya di antara kamu sahaja”.


Walaupun karya ini telah ditulis beberapa dekad yang lalu, perbahasannya masih relevan sehingga kini. Masyarakat dalam era 2020-an ini kebanyakkannya masih berkiblatkan materi dan mengangkat kapitalisme sebagai ideologi yang dominan. Penerapan ajaran Islam dan pemahaman ideologi sosialisme sepatutnya disematkan dalam diri supaya masyarakat yang adil dapat dicapai. Pihak pemerintah pula perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh ikhlas dan mengagihkan kekayaan negara dengan adil kepada semua rakyat jelata tanpa memilih kecenderungan kepada penyokong parti politik mereka. Tambahan lagi, anggota masyarakat perlu cakna akan keperluan sesama ahli masyarakat supaya semangat kemanusiaan itu wajar dipelihara demi keharmonian negara. Sekiranya semua pihak mempraktik elemen sosialisme yang wujud dalam Islam, isu ketidakadilan sosial akan dapat diselesaikan. Isu ketidakadilan sosial tidak seharusnya dipandang sebagai ihsan atau anugerah yang kita kurniakan kepada golongan tertindas tetapi ia perlu dilihat sebagai tanggungjawab sosial yang harus kita tunaikan. Bantuan bersifat sementara masih belum dikira sebagai mendirikan keadilan sosial yang sebenar kerana ia bersifat jangka pendek. Yang lebih utama adalah kajian berterusan terhadap punca permasalahan dan merangka penyelesaian yang bersifat pragmatik demi mengangkat taraf hidup mereka melalui persaingan peluang dan akses yang adil.


Selain itu, dari segi sudut pandangan terhadap barat, saya juga berkecenderungan untuk menerima pendapat Syed Hussein Alatas berkenaan sikap adil terhadap tamadun barat. Tidak semua yang tamadun barat tawarkan adalah bertentangan dengan Islam. Sikap yang terlalu anti barat dapat memundurkan umat Islam sendiri. Namun, ia tidak bermaksud tamadun barat perlu diikuti secara melulu tanpa penapisan nilai-nilai berpaksikan al-Quran dan Sunnah. Jati diri keislaman perlu wujud dalam diri seseorang dan umat Islam perlu berhikmah dalam mengambil sesuatu pandangan daripada barat. Islam hanya mengenal antara hak dan batil dan tidak melagakan antara kewujudan tamadun dan perspektif yang berbeza.


Juliyana Junaidi adalah merupakan felo siswazah dari Universiti Sains Islam Malaysia yang sedang menyambung pengajian doktor falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang keadilan sosial menurut perspektif sunnah. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sunnah dengan Pengurusan Maklumat dari Universiti Sains Islam Malaysia dan menyelesaikan ijazah sarjana beliau dari universiti yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *