Persepsi Terhadap Kebangkitan Semula Muslim

Oleh : Prof Dr Syed Hussein Alatas

Penterjemah : Hasyir Husam

Semasa saya sedang menyiapkan penghujahan yang menjadi asas kepada penulisan ini,(1) soalan pertama yang saya bangkitkan kepada diri saya adalah: “kepada golongan manakah yang saya akan tujukan?” dan “Soal apakah yang saya akan bicarakan?” Saya tidak berhasrat mahu bercakap sebagai ahli akademik atau sarjana; kerana golongan sarjanalah yang mewujudkan kekeliruan mengenai perkara yang saya ingin bincangkan. Saya memilih untuk tidak bercakap kepada pihak kerajaan, kepada mereka yang berautoriti dan mereka yang mempunyai kuasa. Mereka boleh jadi terlalu degil untuk mengubah pandangan mereka dan mereka selalunya tidak begitu menyukai orang lain yang memberitahu bahawa yang mereka itu salah. Oleh itu, satu-satunya golongan yang tinggal adalah peserta persidangan ini. Mereka bukanlah badan kerajaan dan juga tidak mewakili mana-mana kumpulan sarjana profesional. Sehubungan dengan itu, saya lebih selesa untuk menggunakan pendekatan refleksi saya sendiri keatas masalah tersebut, memandangkan saya telah mula memikirkan tentang isu-isu ini sejak saya berusia 14 tahun lagi, iaitu semasa penjajahan Jepun. Pada waktu itu saya berada di Indonesia. Pencerobohan itu telah memeranjatkan saya dan mendorong saya untuk memikirkan tentang pelbagai perkara.


Seperti kebanyakan anak muda pada masa itu, saya sebenarnya tidak begitu faham tentang apakah sebenarnya perang tersebut. Ianya adalah pengalaman kami yang pertama. Secara tiba-tiba, kami melihat askar-askar datang menyerang kedalam bandar dan bekas pemerintah pula hilang; perkara-perkara yang berkaitan dengan mereka juga turut hilang. Kami mula mengalami sikap baharu dan juga kefanatisme politik. Kami mendapati bahawa kami sedang berada didalam masyarakat yang begitu kuat rasuahnya. Kemahuan saya untuk mengkaji tentang rasuah mula timbul selepas berdepan dengan pengalaman tersebut.(2) Saya mendapati ianya tidak masuk akal bahawa mereka-mereka yang korup ini berbangga dengan dirinya yang korup, dan mereka memandang rendah terhadap mereka yang tidak sepertinya. Ini adalah perkara yang benar dan pengalaman yang tidak tercatat di dalam penulisan. Tidak terdapat isu perbincangan ini di dalam buku. Satu isu yang tersangat penting bagi perbincangan ilmiah yang belum diutarakan sehingga sekarang ini adalah mengenai keruntuhan sesebuah negara disebabkan amalan rasuah.


Apabila berlaku keruntuhan pada negara, tidak kiralah berapa jangka hayatnya, ianya akan menjadi saat yang unik dan menarik di dalam sejarah. Atas pengalaman inilah yang memberi impak kepada saya bahawa betapa pentingnya peranan pemimpin agama dalam menjaga keamanan. Di Indonesia, keruntuhan negara berlaku sebelum 17 Ogos 1945, yang merupakan hari pengisytiharaan kemerdekaan.(3) Semasa askar Jepun menyerah kalah, di Indonesia pada ketika itu belum mempunyai kerajaan. Semasa kejadian itu, saya berada di daerah yang dipanggil Sukabumi dan secara tiba-tiba tidak ada mereka yang berautoriti dan juga kerajaan. Berlaku huru-hara kerana terjadinya peningkatan kes rompakan dan lain-lain jenayah. Orang Belanda telah dikejar dan dibunuh. Tampaknya, pintu pagar di kem tumpuan yang mana ramai orang Belanda dikurung itu telah dibiarkan terbuka dan sesetengah daripada mereka telah melarikan diri, merasakan yang mereka sudah terbiasa dengan selok belok disitu dan bahawa keadaan telah kembali seperti biasa, iaitu pada sebelum kemasukan Jepun. Malangnya, sesetengah mereka yang melarikan diri telah dibunuh.


Saya sendiri yang menyaksikan kejadian pembunuhan tersebut. Semasa saya sedang berbual dengan rakan saya, yang merupakan seorang pegawai jurutera elektrik di stesen jana kuasa. Pada malam itu, seorang pekerja beliau datang dengan basikalnya dan memasuki bilik dengan perasaan ghairah dan sedikit sombong. Kenapa beliau itu sedemikian rupa kerana beliau telah membunuh seorang Belanda tua pada petang itu menggunakan lembing buluh, kemudian mayatnya telah dihumban ke dalam telaga. Beliau kelihatan begitu bangga atas tindakannya. Saya terkejut atas kegembiraanya. Kemudian saya mula menyedari bahawa didalam situasi seperti ini, ada yang berubah menjadi samseng dan ada pula yang menjadi beradab. Mereka yang kehilangan adab akan menampakkan dirinya, dan begitu juga mereka yang tidak.


Saya sendiri menyaksikan fenomena ini. Semasa berlakunya huru hara dan ketiadaan kerajaan, saya bertanyakan kepada diri saya, “Apakah yang menjadikan rakyat kekal stabil dan menahan diri mereka dari melakukan perkara jenayah? ”Semasa adanya perbuatan seperti yang disebut diatas, kebanyakan mereka tidak berbuat sedemikian, meskipun terdapat banyak peluang untuk mereka melakukannya. Kehidupan ini secara relatifnya adalah teratur, dengan pengecualian beberapa keadaan. Seterusnya saya menemui siapakah yang memainkan peranan dalam menjaga keamaan semasa ketiadaan para pemerintah, ianya adalah guru agama di kampung. Merekalah yang memberi nasihat kepada masyarakat. Merekalah yang menjadi pusat rujukan tentang perkara benar dan salah.


Selang seketika sebelum berlakunya penjajahan Jepun, tercetus satu kejadian rusuhan di Singapura. Berlaku rompakan dan penduduk dibunuh. Saya mengenali secara rapat dengan mangsa yang terselamat dari kejadian itu. Beliau telah meninggal dunia beberapa tahun yang lepas. Di leher beliau itu terdapat kesan parut. Meskipun tempoh ketiadaan kerajaan hanya berlangsung beberapa hari, perkara-perkara sedemikian tetap berlaku di Singapura. Berbanding apa yang saya lihat di Sukabumi, yang telah berterusan berminggu-minggu dan berbulan-bulan tanpa adanya kerajaan. Puak Jepun telah menyerah diri sebelum 17 Ogos, iaitu Hari Kemerdekaan. Walaupun selepas pengisytiharan itu berlaku, ia mengambil beberapa seketika untuk pemerintah menetapkan peraturan.(4) Tidak lama selepas itu, pemerintah kolonial Belanda pun kembali. Masyarakat menjadi bingung tentang siapakah yang mengawal kerajaan. Pemeliharaan kestabilan dan ketertiban bergantung kepada kepimpinan pemimpin agama.


Saya sendiri juga mempunyai hubungan dengan beberapa guru agama di kawasan tersebut, dan saya sudah terbiasa dengan madrasah dan pesantren dan juga pelajar-pelajar mereka. Guru-guru agama di institusi-institusi ini merupakan golongan konservatif dan bukanlah apa yang digelar seperti hari ini iaitu sebagai Muslim “moderat” atau “liberal”. Mereka merupakan Muslim tulen, yang mengamalkan Islam secara konservatif, yang berjaya memelihara keamanan semasa keruntuhan undang-undang dan ketertiban. Pada hari ini, kita terdengar ada orang mengaitkan Islam dengan terorisme. Dengan kata lain, adanya kecenderungan dalam Islam untuk melakukan keganasan. Ini kerana ramai yang telah menafsirkan perkataan “jihad”.(5) Terdapat Muslim yang melaung “jihad” dan sesetengah pengebom berani mati pula melaung “Allahu Akbar”, yang menyebabkan orang telah melibatkan Islam dengan keganasan dan pembunuhan.

Pada sebahagian besarnya, penyelewengan persepsi terhadap Islam dan prejudis menentang Islam itu berasal dari media Barat. Sikap berat sebelah di dalam media barat itu sendiri sudah berakar dalam sejarah Eropah. Islam sering kali disebut sebagai penyebab berlakunya ekstremisme. Pandangan sebegini berasal pada masa Perang Salib kemudian berterusan semasa zaman Renaissance. Islam sering kali dijadikan sebagai contoh yang buruk dalam membandingkan dengan orang Eropah. Sebagai contoh, Islam selalunya dilihat sebagai agama “palsu” dalam membandingkan dengan agama Kristian. Manakala Marx dan Engels pula menganggap semua agama adalah palsu, bagaimanapun mereka menerima bahawa agama Kristian sebagai agama universal, sambil beranggapan yang Islam sebagai agama orang-orang timur, oleh itu ianya adalah “palsu”.(6)


Islam dikatakan sebagai agama perang, yang dahagakan darah. Orang Islam digambarkan sebagai penjajah yang kejam manakala agama Islam pula dituduh sebagai kemunduran.(7) Penyair dan sarjana terkemuka pada ketika itu telah menggambarkan watak yang mengerikan tentang Islam untuk menakut-nakutkan orang ramai. Terdapat amat sedikit pengecualian dalam hal ini.


Pada hari ini, terdapat gambaran yang lebih halus dan penyebaran yang lebih canggih mengenai Islam sebagai penyebab tidak langsung kepada ekstremisme. Namun begitu, terdapat pandangan yang disebar luas oleh sesetengah sarjana yang terkeliru yang mengkaji tentang gerakan pelampau, bahawa sesetengah dalam kalangan mereka ada gerakan yang bersifat orientasi reformis. Apabila mereka menukilkan mengenai gerakan ini, mereka gunakan terma “reformis”.(8) Dengan kata lain, mereka yang bersifat ekstrimis orientasi itu dikelaskan sebagai reformis. Mereka cenderung untuk membaca sejarah Muslim mengikut istilah yang sama mereka faham dari sejarah Eropah. Dalam sejarah Eropah, mereka yang tidak bersetuju dengan pihak berkuasa pada Zaman Pertengahan adalah golongan pembaharu, yang mereka anggap sebagai penentang dan pemberontakan Martin Luther. Oleh itu, mereka (golongan pembaharu) telah dilihat sebagai reformis dan juga menganggap dirinya seperti berikut. Sebagai contoh, golongan gereja Belanda, yang memanggil diri mereka sebagai Gereja Pembaharu adalah merupakan pengikut Calvin. Mereka ini patuh terhadap prinsip-prinsip yang tersangat ketat, bahkan lebih ketat berbanding gereja yang mereka ingin reformasikan, iaitu Gereja Katolik.
Istillah “reformasi” yang terdapat didalam perisitiwa ini merujuk kepada mereka yang tidak bersependapat dengan pihak gereja. Ianya bukanlah merujuk kepada ideologi itu sendiri tetapi lebih kepada fenomena perselisihan pendapat dengan mereka yang lebih berkuasa.

Apakah baharunya yang terkandung di dalam gereja diperbaharui ini? “Reformasi” disini sekadar bermaksud perselisihan pendapat dengan puak majoriti. Juga terdapat konsep keselamatan yang eksklusif, dimana menurutnya hanya yang tertentu sahaja akan terpilih untuk diselamatkan dan mereka itu sudah pun ditakdirkan. Tiada apa yang boleh mengubah status seseorang dalam perkara ini. Tuhan sudah menentukan segalanya dan tidak kiralah seseorang itu berbuat baik atau jahat, ia tidak akan mempengaruhi ketentuan Tuhan tersebut. Kebanyakan mereka dari gereja dan gerakan bukan-pembaharuan walaubagaimanapun percaya bahawa segala perbuatan boleh mempengaruhi keselamatan (keselamatan atau salvation/redemption disini membawa maksud memelihara manusia dari dosa dan dihukum). Kepercayaan itu diperlukan, namun perbuatan juga dapat mempengaruhi keselamatan.


Sekiranya kita menggunakan logik akal sebagai kriteria untuk menilai yang manakah lebih rasional dan bermanfaat untuk manusia, makanya tidak dapat dinafikan bahawa yang kononnya dipanggil “reformis” itu tidaklah begitu reformis. Ianya akan lebih tepat sekiranya kita menganggap mereka sebagai deformis. Kebanyakkan daripada gerakan Muslim hakikatnya adalah gerakan deformasi bukanlah reformasi. Sesetengah sarjana Barat, walaubagaimanapun, konsisten untuk menganggap mereka sebagai reformis. Sudah beberapa dekad mereka mengatakan tentang keadaan tertentu di semenanjung Arab itu sebagai reformis. Namun begitu, mengikut amalannya, ianya tidak boleh mengatakan yang mereka itu adalah reformis.


Masalah lain pula adalah tentang persamaan gerakan Muslim dengan pergerakan puak Protestan. Timbul satu usul yang mengatakan bahawa apa yang diperlukan pada dunia Islam hari ini adalah gerakan semacam puak Protestan, iaitu Islam Protestan yang menentang keatas puak ortodoks, yang merupakan puak penguasa sedia ada. Malangnya, sesetengah Muslim juga mengambil idea ini kemudian sertakan dengan beberapa konsep baharu yang lain, iaitu konsep yang secara hakikatnya merupakan sebahagian daripada perebutan kuasa politik. Tujuan perebutan kuasa politik ini adalah untuk memerintah. Sebagai contoh, pada ketika ini kita sering terdengar ungkapan-ungkapan seperti “Islam liberal” dan “Islam moderat”. Tetapi hakikatnya, tidak wujud Islam sedemikian. Islam itu sendiri tidak dapat diungkapkan sebagai “liberal”, “radikal”, “moderat” atau “ekstrimis”. Sungguhpun ada yang ekstrimis, ada yang pengganas, ada yang penjenayah, dan ada pemimpin yang tidak amanah dalam kalangan orang Islam, tetapi kita tidak seharusnya membiarkan mereka jenamakan mereka sebahagian daripada Islam dengan istilah agama “moderat”, “liberal” ataupun “ekstrimis”.


Apabila bercakap soal agama Kristian di Eropah, orang tidak berbicara sedemikian rupa. Orang tidak menggunakan istillah “ektrimis Kristian”; mahupun “moderat Kristian”. Terdapat banyak gerakan ekstrimis di Eropah dan juga di Amerika Syarikat. Di Amerika sebagai contoh, terdapat satu gerakan yang mempunyai pengaruh keatas jawatan presiden dan telah memberi kesan kepada keputusan pilihan raya, namun mereka sama sekali tidak dilabel dengan nama-nama sedemikian. Istilah “Kristian terroris” tidak digunakan dengan kerap. Sekarang ini, adakah ianya tepat untuk mengatakan bahawa Kristian terrorisme sudah pun wujud sekian lama di dalam dunia moden? Dimanakah Kristian terrorisme ini ditemui? Di Ireland! Ini boleh jadi untuk dipanggil sebagai bentuk Kristian terrorisme. Perjuangan yang ganas sudah berlaku selama bertahun-tahun, namun sehingga sekarang tiada siapa pun menggunakan istilah tersebut keatas mereka. Tiada seorang pun menggunakan istillah “Hindu terrorisme” didalam peristiwa di Sri Lanka. Gerakan Tamil Tigers sama sekali tidak dipanggil sebagai “Hindu terroris”. Perkara yang sama berlaku terhadap keganasan dalam kalangan penganut Buddha. Orang tidak bercakap mengenai “Buddha terrorisme”. Tetapi apabila ia berlaku pada Islam, istillah sedemikian telah digunakan secara kerap. Ini kerana kedudukan sejarah yang ganjil, yang mana dunia Islam itu sendiri mendapati ia mempunyai hubungan dengan dunia Barat.


Dunia Barat dan Islam telah mempunyai hubungan yang saling bertentangan sepanjang sejarah dunia. Kebanyakkan hubungan ini adalah dalam keadaan damai; berlaku perdagangan dan lain-lain bentuk kerjasama antara mereka. Namun begitu, Perang Salib dan yang terbaru, imperialisme Eropah telah berfungsi membangkitkan semangat penentangan antara orang Islam. Menjelang kemuncak perluasan Eropah pada abad ke-19, hanya terdapat satu sahaja penentangan antarabangsa keatas perluasan Eropah, iaitu penentangan daripada orang Islam. Di Afrika, India, Asia Tenggara, dan dimana sahaja yang didominasi oleh orang Islam, akan ada penentangan. Banyak yang telah beranggapan bahawa sebelum revolusi Rusia, satu-satunya musuh imperialisme antarabangsa adalah gerakan pan-Islam. Hanya selepas keruntuhan gerakan pan-Islam pada sekitar akhir Perang Dunia Pertama, barulah orang mula bercakap mengenai “imperialisme komunis” dan “ancaman komunisme”. Tetapi saat ini, selepas pembubaran Kesatuan Soviet, maka terdapat keperluan untuk kembali menggambarkan Islam sebagai ancaman dunia. Islam telah pun diasing-asing: kita mempunyai Islam yang ektrimis, terroris dan moderat. Dimanakah Islam yang asal? Dan apakah yang dimaksudkan dengan “moderat”?


Dalam peristiwa ini, saya teringat akan beberapa kejadian semasa saya masih belajar di Belanda. Pada hari minggu saya biasanya akan hadir ke perjumpaan tertentu di The Hague. Semasa menyambung pengajian doktor falsafah di Univesiti Amsterdam, Haarlem yang berada berdekatan di Amsterdam itulah tempat saya tinggal. Saya kerap kali juga makan malam dengan pelajar-pelajar di Institut Pengajian Sosial di The Hague. Bangunan institut itu dahulu sebenarnya adalah istana. Saya juga pernah bertemu dengan ramai professor dan para pelajar dari Belanda, termasuklah pelajar-pelajar dari India, Indonesia, Iran dan juga dari dunia Arab. Kadang-kala isu memakan babi akan di diskusikan. Ujar saya, sebagai seorang Islam, saya tidak makan babi. Salah seorang pelajar Belanda, yang merasakan beliau boleh makan apa sahaja telah dengan bangganya mendengus dan bertanya “kenapa tidak?”, seolah-olah ianya adalah sesuatu yang bodoh untuk mengelak dari memakan babi.

Oleh itu, saya membalas, “Sebab saya tidak makan babi kerana saya tidak mahu memakannya. Bagaimana dengan kamu?Kamu makan kuda?” beliau sekadar berdiam. Saya menambah, “Ianya dibenarkan untuk memakan kuda. Kamu boleh makan daging kuda. Adakah kamu akan makan anjing?”Beliau membalas, “tidak”.“Kucing?” “tidak”. “tikus?” “tidak”. Sambung saya lagi, “Terdapat ramai didunia ini yang memakan tikus.Tetapi kamu juga mengelak dari makan beberapa makanan. Namun sekiranya saya mengelak dari memakan sesetengah makanan, kamu akan anggap saya tidak rasional? Bagaimana dengan kamu pula? Kamu sendiri tidak mampu memakan banyak perkara yang ada. Kamu mempunyai pilihan kamu”. Kemudian saya jelaskan kepada beliau, “Apa yang benar-benar membezakan antara kamu dan saya ialah bahawa pilihan kamu itu bergantung kepada imaginasi kamu sendiri. Kamu boleh memilih apa yang kamu mahu makan dan apa yang kamu tidak mahu. Ianya bergantung kepada kamu. Pilihan saya pula berdasarkan daripada ajaran agama saya dan menurut bimbingan orang ramai yang sama fikrah. Kamu menurut diri sendiri. Saya pula, telah dibimbing oleh ramai orang. Ianya bukan soal rasional atau tidak”. Ujar saya lagi, “ianya soal pilihan”. Tiada orang Islam yang akan kata sekiranya seseorang itu memakan babi, beliau itu seorang yang jahat. Sama seperti seorang vegetarian. Seorang vegetarian tidak akan mengatakan hanya kerana bukan seorang vegetarian maka kita adalah orang yang jahat. Mereka hanya akan mengatakan bahawa bukan cara hidup mereka untuk memakan daging. Ianya tidak berkaitan dengan menjadi jahat. Ia hanyalah tentang pilihan.


Berkenaan penggunaan gelaran dan istilah, wujud linguistik bias didalam kajian mengenai femonena tertentu, seperti femonena kebangkitan semula dan terrorisme. Bagi mengelak daripada menjadi berat sebelah sedemikian, menjadi keperluan untuk mendengar daripada orang Islam terlebih dahulu. Alasannya, sekiranya kamu mendengar daripada orang Islam dan kamu pula bukan seorang Islam, makanya kamu dapat menentukan dari dua belah manakah yang kamu akan memihak. Sama juga apa yang berlaku pada orang Islam. Apabila orang Islam mendengar dari orang bukan Islam, maka dia mesti putuskan dua kedudukan manakah yang akan dia sebelahi. Seseorang haruslah melakukan penyelidikan secara terbuka dan rasional untuk mencapai kebenaran dari apa yang diberitahu orang Islam kepadanya, kemudian menilai fakta itu dengan betul, atau tempatkan diri sebagai orang yang dungu, yang tidak mempunyai rasa minat dan minda yang tertutup, kemudian mengutip satu atau dua konsep dari sini dan sana kemudian gunakannya. Inilah apa yang berlaku sekarang ini didalam media antarabangsa. Ahli politik di seluruh dunia juga mula melakukan perkara yang sama. Ini termasuklah pada ahli politik didalam OIC (The Organization of the Islamic Conference). Mereka itu sendiri yang menggunakan istillah seperti “Islam radikal”, “Islam moderat”, dan lain-lain lagi. Mereka juga mula merasa bersalah dan khuatir atas alasan adanya persepsi bahawa komuniti agama merekalah asalnya terorisme dan budaya negatif.


Saya telah libatkan diri saya menentang pemikiran ekstrimis sejak saya masih pelajar lagi. Bahkan saya masih dapat mengingati tahun pertama saya berdepan dengan orang-orang Islam yang ekstrimis, pemuda lelaki yang berjanggut jarang, yang saya yakin mereka berasal dari Mesir. Mereka itu adalah pendokong Ikhwanul Muslimin, yang sedang bersidang di London pada tahun 1950. Ditakdirkan pada ketika itu saya sedang bercuti di London, kemudian saya hadirkan diri ke dalam persidangan yang mereka anjurkan. Kemudian saya mengajukan soalan semasa persidangan itu. Mereka tidak menyukai soalan tersebut. Soalan saya adalah, adakah menjadi kewajipan untuk mengikuti semua hadis yang terdapat didalam al-Bukhari. Selesai persidangan, maka saya mula untuk berangkat, kemudian saya ditegur oleh dua orang. Dengan perasaan ingin tahu, maka mereka bertanya mengapakah saya mengemukakan soalan tersebut. Mereka merenung tajam dan saya mula merasa bahawa tiada gunanya berhujah dengan mereka, malah saya keseorangan dan tidak merasakan yang mereka akan mendengar hujah saya. Oleh itu, saya hanya memberikan alasan bahawa saya sekadar ingin tahu. Maka mereka benarkan saya pergi tanpa menyoal apa-apa lagi. Sejak dari itu, saya menolak keras sikap sedemikian. Semasa tahun 1970-an, di Singapura, pemengaruh-pemengaruh ini berasal dari luar negara, terutamanya dari Mesir dan Pakistan. Tetapi pemengaruh ini tidak terkait dengan penyebaran kegananasan dan terorisme.


Dunia Islam kontemporari pada ketika ini sedang dilanda dengan dua masalah. Satunya masalah terorisme, kemudian satu lagi masalah pemikiran yang jumud. Kita seharusnya menyelesaikan kedua-dua masalah ini dengan serius. Berkenaan terrorisme ini, ia sebenarnya lebih kepada masalah keselamatan. Pada masa yang sama, ianya adalah menjadi keperluan wujudnya orang untuk menentangnya. Kesemua pemimpin agama haruslah libatkan diri untuk menggerakkan perkara ini. Sama ada para imam di masjid, guru-guru di madrasah – semuanya harus terlibat dalam memberitahu kepada orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan pemahaman jihad menurut teroris.


Tafsiran Islam mengenai jihad adalah sangat jelas didalam al-Qur’an. Jihad hanyalah terpakai sekiranya anda diserang, atau diusir keluar dari rumah dan anda terpaksa mempertahankan diri. Setiap masyarakat yang waras di dunia ini akan bersetuju bahawa anda boleh pergi berperang sekiranya ia bersifat pertahanan. Jihad sama sekali tidak lebih dari itu. Selain itu juga, perkataan tersebut mempunyai pelbagai maksud lain. Ianya tidak terbatas pada pertempuran fizikal semata.(9) Masalahnya adalah untuk melakukan sesuatu bagi mengurangkan pengaruh puak teroris dan mereka yang bersifat jumud, tanpa gangguan daripada pihak luar. Menggunakan istillah-istillah yang mengelirukan akan mewujudkan tentangan daripada sesetengah orang Islam dan perselisihan dalam kalangan masyarakat Islam. Penggunaan terminologi sedemikian akhirnya tidak menjadi produktif. Ianya akan menghasilkan pandangan negatif terhadap dunia Islam dan kemudian menggagalkan usaha untuk menguatkan gerakan dalam kalangan dunia Islam, iaitu gerakan untuk menentang terorisme. Oleh yang sedemikian, puak Barat sepatutnya harus lebih berdamai dengan orang-orang Islam yang cuba memerangi terorisme.


Contoh penggunaan istilah yang mengelirukan serta tidak tepat malahan juga tidak produktif adalah istilah “pertembungan peradaban”. Ianya agak bernasib baik apabila tiada gerakan yang didominasi orang Islam percaya kepada “pertembungan peradaban”. Ianya hanyalah Huntington dan sesetengah pengikutnya yang percaya kepada konsep sedemikian. Mereka yang terlibat di dalam konflik ini tidak memperakui akan istilah tersebut. Bagaimana boleh ada pertembungan sekiranya mereka yang sepatutnya terlibat tidak berfikiran sedemikian? Mereka percaya itu adalah perkara politik. Sebagai contoh, lihat pada serangan Muslim teroris terhadap pemerintahan Islam. Atas lesen intelektual, ahli akademik cuba mencipta konsep perihal konflik ketamadunan. Apa pun yang berlaku, samaada ia logik atau tidak, sesuai atau tidak dengan kenyataan, pada saya ini adalah salah satu aspek terorisme – iaitu terorisme intelektual. Apa sahaja yang berlaku, letupkannya. Mengejutkan orang ramai, letak beberapa bahan letupan intelektual di merata tempat, kemudian menakluk mereka demi kepentingan objektif hegemoni global.


Saya berharap perbincangan mengenai terorisme akan membawa kepada rasa minat yang selari dalam terorisme intelektual.

Nota Hujung

1. Ini adalah versi semakan semula bagi Keynote Address, Conference on Globalization and Religious Resurgence, Singapura, 28-29 September 2005.
2. Karya pertama saya mengenai korupsi adalah The Sociology of Corruption (Singapura: Donald Moore, 1968). Karya-karya yang seterusnya adalah Sosiologi Korupsi (Jakarta: LP3ES (2nd ed., 1982) [dalam bahasa Indonesia]; The Problem of Corruption (Singapura: Times Books International, 1985); Corruption: Its Nature, Causes and Functions (Aldeshot: Avebury, 1990) dan Corruption and the Destiny of Asia (Petaling Jaya: Prentice Hall (M) dan Simon & Schuster (Asia), 1999).
3. Pada 17 Ogos 1945, tiga hari selepas askar Jepun menyerah kalah, Soekarno dan Mohammad Hatta pun mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia.
4. Untuk lebih terperinci semasa tempoh ini, sila rujuk George M. Kahin, Nationalism and Revolution in Indonesia (Ithaca: Cornell University Press, 1952); C. Smit, De Indonesische Quaestie (Leiden: Brill 1952) dan Alastair M. Taylor, Indonesian Independence and the United Nations (Ithaca: Cornell University Press, 1960).
5. Untuk pemahaman yang lebih tepat mengenai konsep dan amalan jihad, sila rujuk Moulavi Cheragh Ali, A Critical Exposition of the Popular “Jihad” showing that All the Wars of Mohammad were Defensive; and that Aggressive War, or Compulsory Conversion is not allowed in the Koran (Karachi: Karimsons, 1977); dan Karim D. Crow, Jihad: ‘Peaceful-Striving’ & ‘Combative-Struggle’, Monograph Series, No 7, Centre for Civilizational Dialogue, University of Malaya, 2005.
6. Rujuk Karl Marx dan Frederick Engels, Selected Correspondence (Moscow: Foreign Language Publishing House, 1953), 96.
7. Pandangan ini masih wujud sehingga ke hari ini. Sebagai contoh, Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi pernah berucap di Berlin yang “kita sepatutnya menyedari akan keunggulan peradaban kita”. (Washington Post, 28 September 2001, ‘Muslim Call Italian’s Take on Islam ‘Racist”). Alex Standish, pengarang di Janes’ Intelligence Digest, telah menyatakan bahawa Islam adalah agama ketenteraan di BBC Hardtalk (17 September 2001).
8. Untuk contoh, sila rujuk Natana J. DeLong-Bas, Wahhabi Islam: From Revival and Reform to Global Jihad, (Oxford: Oxford University Press, 2004).
9. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai jihad, sila rujuk Ali, A Critical Exposition, dan Crow, Jihad.


Syed Hussein Alatas merupakan ahli akademik khususnya di dalam bidang sosiologi. Beliau pernah berkhidmat di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Kebangsaan Singapura. Intelektual Masyarakat Membangun, Rasuah dan Mitos Peribumi Malas merupakan karya beliau tersohor yang dikaji sehingga hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *