Negara Tanpa Ulama
Oleh : Syazreen Abdullah
KAJIAN oleh Ahmet T. Kuru dalam buku “Perikatan Ulama Negara Punca
Autoritarianisme” dan “Kemunduran Dunia Muslim” terbitan Lestari Hikmah mengesahkan ulama tidak lagi relevan berfungsi dalam iklim demokrasi hari ini. Mereka gagal menilai demokrasi dan pembangunan sosioekonomi. Pertautan ini terjadi dengan fenomena autoritarianisme atas nama kekuasasaan dan agama sebagai punca kemunduran dunia Islam.
Kuru dalam kajiannya menyalahkan pendampingan perikatan negara-ulama dan ekonomi rentier sebagai punca rejim autoritarian menjadi kukuh. Tulisan ringkas ini tidak akan membahaskan punca kemunduran perihal ekonomi rentier. Sejarah pengamalan Islam yang nostalgik dan mabuk kuasa ini bukan berlaku sehari dua. Perikatan ini dibina selepas pertengahan abad ke-11 dan proses kemunduran itu berterusan sehingga abad ke-18. Terdapat usaha untuk memisahkan keterikatan tersebut pada abad 19 dan awal abad ke-20 dari reformis tetapi nyata gagal. Menurut Kuru, pendampingan perikatan itu diasaskan bukan berpandukan teks-teks suci Islam mahupun sejarah awal Islam. Sedangkan Muslim pernah mencapai kegemilangan ketika abad ke-8 dengan abad ke-11. Namun pemusatan negara dan sifat autoritarian menyebabkan perikatan ini menjadi kukuh yang sukar diganggu gugat oleh kelompok pembaharuan.
Kesannya ternampak pada hari ini. Ulama gagal faham bahasa kemodenan dan perundangan di tengah pendemokrasian. Hal ini dibuktikan perolehan kajian Kuru terhadap penghalang kemajuan di 50 buah negara majoriti Muslim. Aspek-aspek kemunduran ini disimpulkan banyak faktor seperti aspek sosiopolitik, proses islamisasi perundangan dan amalan ekonomi (rentierisme). Beliau juga berjaya membuktikan bagaimana aktor seperti ulama berjaya mempromosikan projek islamisasi sebagai projek sosial, politik dan legislatif sekali gus penyumbang kepada kemunduran.
Mabuk kuasa dan agama
Menurut Kuru, penyebab mabuk kuasa dan agama ini berpunca daripada banyak sebab. Secara ideologi negara yang disegandingkan dengan ulama ini sering berlaku banyak masalah menerima kepelbagaian pandangan. Khususnya pendapat mengenai hal-hal agama. Kebanyakan negara yang terbukti kemunduran ini mengikat tali mati dalam soal pengambilan hukum agama. Metodologi digunakan al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas menjadi sumber pengetahuan Islam yang tidak boleh dicabar dalam mentafsirkan Islam. Bahkan pandangan ini memaksa kita mengikuti disiplin tersebut dalam demokrasi tanpa sempadan hari ini walaupun hukum perundangan tersebut tidak lagi relevan zaman kini.
Akhirnya sikap jahil dan mabuk kuasa menjadi lesen kepada mereka dalam mendefinisikan syariah, kuasa legislatif dan kehakiman secara semberono. Aturan ini bertentangan dengan semangat demokratik rakyat yang cuba dipertentangkan para reformis agama. Undang-undang selera tekak ulama yang malas memahami kedinamikan syariah dan perundangan akhirnya membunuh perundangan Islam manusiawi. Mereka senang-senang menjatuhkan hukuman terhadap pandangan yang dianggap mahu mencabar autoriti syariah. Mereka mahu penafsiran agama digenggam dan dikawal oleh tangan-tangan mereka demi kekuasaan dan agenda politik tertentu. Hal ini bertentangan dengan sifat demokratik. Sebaliknya sifat autoritarian. Tidak Islamik
Justeru, perangai kemunduran ini sudah lama wujud sebagai ciri-ciri model yang berdampingan negara-ulama dan terbukti wujud dalam 50 buah negara Muslim kajian yang dimaksudkan oleh Kuru, sama ada negara tersebut mengamalkan perundangan syariah atau sekular dan rentier atau tidak, namun sikap bercirikan perikatan negara-ulama benar-benar terbukti merosakkan amalan demokrasi dan kebebasan.
Seruan Kuru
Apakah mahu disampaikan oleh Kuru dalam bukunya ini? Kuru menyimpulkan bahawa orang Islam hari ini harus sedar betapa bahaya amalan autoritarian dan kesannya dalam dunia Islam hari ini. Masalah menjadi lebih besar apabila Muslim sendiri tidak menyedari malah merelakan amalan demikian. Dan kemunduran yang berlaku akibat daripada tangan ulama ini dianggap kesalahan berpunca dari Barat dan orientalis. Umat Islam terus menerus dimomokkan kemunduran itu datang dari penjajahan Barat. Selamanya kita terus berfikiran seperti itu. Hal ini berisiko menyumbang kepada penyakit islamofobia dan anti-Barat.
Sebaliknya Kuru menyeru pentingnya untuk tidak meminggir golongan intelektual dan usahawan ekonomi dalam dunia Muslim. Malangnya seruan pembaikan ini sama sekali tidak wujud di Malaysia. Sebaliknya ciri-ciri kemunduran yang dimaksudkan oleh Kuru lebih ternyata terang lagi bersuluh memang wujud sedia ada. Jadi apakah masalah ulama di negara kita Malaysia sehinggakan ciri-ciri kemunduran dan autoritarian berlaku seperti yang dikaji oleh Kuru nyata wujud dalam kalangan mereka?
Tidak faham dunia
Tidak pelik masyarakat kita hari ini tidak pernah menyedari masalah kemunduran ini kerana kita hidup dalam budaya masyarakat yang cintakan ulama, sehingga membenci ulama dianggap membenci Islam. Sedangkan banyak ulama tidak punya kemampuan dalam memahami masalah dunia tanpa sempadan hari ini.
Malangnya mereka cuba untuk menunjuk pandai dalam semua segi sudut. Amalan ini mengganggu kehidupan beragama hari ini. Ulama kita tidak pandai ekonomi tetapi mahu jadi pakar ekonomi. Ulama kita gagal faham sains tetapi mahu jadi pakar sains. Ulama kita tidak faham soal falsafah metafizik tetapi sibuk meminta dalil. Realitinya kita tidak hidup berdampingan dengan ulama yang sejati sebagaimana tingginya keilmuan para ulama dahulu kala pernah kita kecapi.
Sebaliknya ulama yang didampingi hari ini adalah mereka yang malas mengkaji, hilang sabar, tiada hikmah dan bijaksana dalam soal kehidupan beragama. Ulama hari ini tidak berani mengkritik kebobrokan sistem yang menindas. Ulama tidak berani menyatakan sikap bantahan terhadap perilaku patriarki dalam keganasan rumahtangga. Lebih jijik kita rela hidup di bawah ulama berdampingan negara yang bersekongkol dengan segala kezaliman serta membenarkan korupsi.
Penenang masyarakat
Ulama tidak menjadi penenang kepada masyarakat. Tiada solusi dalam hal
kemanusiaan dan kehidupan rakyat. Sebaliknya ulama yang hanya bertempik, bergaduh dan memenangkan perangai ego serta mahu dijulang kebenaran dengan membangkitkan amarah para pentaksub masing-masing.
Mengapa perlu hormat dan memuliakan ulama seperti ini? Negara sama sekali tidak akan maju bersama ulama begini. Kita harus belajar dari kajian Ahmet T. Kuru ini betapa sikap ulama begini mendatangkan mudarat besar kepada umat. Negara yang mendambakan keamanan dan kemajuan tidak perlukan kepada ulama. Sebaliknya negara aman memerlukan manusia yang punya kebijaksanaan mengurus tadbir, simpati kemanusiaan, etika yang tinggi tanpa sempadan agama, budaya dan bangsa!
Buktikan kita mampu hidup tanpa ulama! – 23 Februari 2022
Mohd Syazreen merupakan graduan dari timur tengah. Beliau aktif dalam menulis tentang isu sosial dan keagamaan yang juga merupakan kolumnis The Malaysian Insight. Bercakap Dengan Quran, Membebaskan Allah Dari Islam dan Syahadah Kedua merupakan karya yang pernah dihasilkan.