Syahadah Dan Perdamaian Sosial
Oleh : Mohd Rashidi
‘Syahadah merupakan intipati al-Islam, iman dan ihsan – Formula moral. Syahadah Kedua ialah langkah menuju manusia universal – Beriman kepada kebebasan akal, keadilan, kemanusiaan, keamanan dan kedamaian. Demikian, buku ini mendiskusikan hubungan antara Tuhan, alam dan manusia tentang berbagai persoalan kehidupan moden pada hari ini.’ – Syahadah Kedua
Setiap insan ada pengalaman tersendiri dalam beragama. Kadangkala jalan menuju Tuhan itu aneh dan unik. Pelbagai pengalaman yang harus ditempuhinya itu hakikatnya semua insan cuba ingin merasai apakah kemuncaknya dari perasaan berTuhan dan beragama itu.
Membunuh Atas Nama Tuhan
Adakah beragama dan berTuhan itu eksklusif sehingga hanya insan terpilih sahaja yang layak mengecapinya. Adakah Tuhan itu ‘mahal’ sehingga tidak layak orang miskin dan daif untuk menerima rahmat dan kasih sayangNya. Kalau benar Tuhan itu rahmat dan berkasih sayang bagaimana pula dengan sifat orang beragama dan berTuhan. Adakah laungan Allahuakbar dan lafaz syahadah menjadi tiket untuk menghantar seseorang yang lain ke lembah neraka Jahanam.
Atas nama Tuhan berapa ramai manusia yang dibunuh, difitnah dan dipenjarakan. Konsep al wala’ wal bara’ yang sering disalah erti melahirkan ramai kelompok puritan dan ekstrem. Imam Bukhari, Imam Al Ghazali dan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah antara nama-nama yang terpahat menjadi mangsa di zaman masing-masing. Mengambil satu sisi yang berbeza sehingga menafikan sumbangan dan keimuan dari sisi yang lain ternyata telah merugikan banyak pihak.
Begitu juga apa yang disebut The Golden Age of Islam di zaman Abbasiyah yang dipelopori ramai tokoh Muktazilah di zaman itu. Bukankah hari ini Muktazilah kekal sebagai persona non grata seperti kubur tidak bernisan dan sejarahnya seperti digelapkan. Sisi ilmu kalam (yang selalu disebut negatif) dipasak kuat dalam minda sehingga menafikan sumbangan ahli ‘mazhab akal’ yang membangunkan radas rasional dan kemerdekaan cara fikir. Hakikatnya pertarungan Asyairah-Muktazilah tidaklah difahami orang awam dan adakah benar pertarungan itu menguntungkan tamadun Islam.
‘Agama memang menjauhkan kita dari dosa. Tapi berapa banyak dosa yang dilakukan atas nama Agama’ – R.A. Kartini
Tuhan Dalam Lapangan Manusiawi
Apabila manusia berusaha kemudiannya akan disusuli dengan doa dan tawakal kepadaNya. Itulah jiwa manusia yang bergantung harap pada Tuhannya. Manusia mahukan kedamaian mahukan ketenangan dalam hidupnya. Manusia sentiasa mahu yang dikasihinya itu sentiasa rapat dan bersamanya selalu. Jiwa yang kosong dan Tuhan jauh darinya sentiasa mendatangkan keluh kesah, gelisah.. Suatu penyeksaan.
Kita sentiasa sedar kita ni tiada apa-apa. Hanyalah hamba Allah Tuhan Yang Maha Agung. Tiada manusia mahupun makhluk lain layak memakai mahkota keagungan itu.
Surah Al Ikhlas diturunkan bukanlah semata-mata untuk menjelaskan sifat Allah Yang Esa tu bagaimana, tetapi Al Ikhlas membungkam faham ‘syirik’ yang menjadikan ada makhluk lain setara dengan Allah Yang Esa. Bagaimana mungkin orang memahami Al Ikhlas, sekiranya masih menganggap ada manusia lain yang setara Tuhan, sakral, tidak boleh disentuh dan dikritik. Memahami hakikat Al Ikhlas adalah Allah Yang Esa tiada yang setanding yang tinggi dariNya. Manusia pula adalah makhluk biasa, bukanlah berhala ‘baru’ untuk disembah, semua manusia adalah sama disisi Allah. Yang terbaik yang mulia sekiranya bertaqwa kepada Allah. Datang Al Ikhlas menebas ‘syirik jahiliah’ mengubah perhambaan sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah Jalla Waalla.
Mohd Rashidi berasal dari Ipoh, Perak. Beliau menyampaikan syarahan di radio, universiti serta menulis dalam bidang Maqasid Syariah, tokoh, pemikiran dan gerakan Islam di Nusantara. Penulisan beliau diterbitkan di dalam dan luar negara seperti Kompas dan Suara Muhammadiyah. Mohd Rashidi merupakan Presiden Lestari Hikmah sejak dari awal penubuhannya. Melalui Lestari Hikmah, beliau menjalinkan kerjasama dengan universiti, NGO dan penyelidik dalam perkara kebudayaan, sejarah, literasi dan pendidikan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.