Dr. Burhanuddin Al-Helmy: Cekal Memperjuang Kemerdekaan
Oleh : Muthanna Saari
Sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu tidak akan lengkap tanpa pengkisahan perjuangan golongan kiri yang tidak berada dalam aliran utama sejarah kemerdekaan tanah air. Dr Burhanuddin Al-Helmy adalah salah seorang tokoh yang walaupun tidak dicatatkan sejarah sumbangannya dalam rekod kemerdekaan rasmi negara ini, tetap dianggap sebagai seorang pejuang kemerdekaan yang secara konsisten menentang penjajahan dan berjuang untuk penubuhan sebuah negara yang bersatu. Falsafah ini diperjuangkannya melalui konsep Melayu Raya sebagai suatu cara bagi orang Melayu bersatu menjadi kuat dengan bergabung dengan semua keturunan Melayu Nusantara. Pandangan beliau ini dijelaskan dalam penulisannya dalam buku Perjuangan Kita (1946) dan Falsafah Kebangsaan Melayu (1951).
Melayu Raya atau Indonesia Raya adalah suatu gagasan untuk menubuhkan negara merdeka yang menggabungkan Tanah Melayu dan Indonesia. Satu persetujuan telah dicapai di Taiping antara Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ibrahim Haji Yaacob dengan Soekarno dan Muhammad Hatta agar kemerdekaan diisytiharkan secara serentak di Tanah Melayu dan Indonesia pada 17 Ogos 1945. Walaubagaimanapun, tindakan Jepun yang menyerah kalah secara mengejut dalam Perang Dunia Kedua pada 14 Ogos 1945 ekoran pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki telah menggagalkan hasrat perisytiharan kemerdekaan tersebut. Soekarno tetap mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia dari Belanda pada tarikh yang dipersetujui, tetapi Dr Burhanuddin Al-Helmy tidak berbuat seperti perancangan asal atas beberapa perubahan situasi politik dan pertimbangan yang lain. Oleh itu, konsep Melayu Raya atau Indonesia Raya yang diperjuangkannya terhenti di situ.
Dr Burhanuddin atau nama penuhnya Amir Burhanuddin bin Ungku Muhammad Nor dilahirkan di Changkat Tualang, Perak pada tahun 1911. Bapanya Haji Muhammad Nor berasal dari Batu Sangkar, Minangkabau, Sumatera dan ibunya pula adalah seorang berketurunan Arab. Pada tempoh awal pendidikannya, beliau belajar Al-Quran dan agama di samping bersekolah di beberapa buah sekolah Melayu. Ketika mengikut ayahnya pulang ke kampung halaman di Sumatera, Dr Burhanuddin telah dihantar oleh ayahnya menuntut di Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatera Barat. Pendidikannya diteruskan di Tanah Melayu di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah dan Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang.
Beliau seterusnya menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang sastera dan falsafah di Universiti Aligarh, India dan seterusnya memperolehi ijazah kedoktorannya dari universiti yang sama. Selepas pengajiannya, Dr Burhanuddin bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Arab Al-Juned Singapura dan di sini beliau mempelajari ilmu perubatan homeopati daripada Dr Rajah. Kelulusan dalam bidang homeopati ini diperolehi selepas beliau lulus ujian berkenaan yang diambil di Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India.
Kesedaran terhadap perjuangan membebaskan negara dan bangsa daripada cengkaman penjajah sememangnya merupakan agenda pembabitan awal aktivisme politik Dr Burhanuddin. Ketika belajar di Sumatera Barat, beliau dikatakan telah menerima pengaruh Sarekat Islam melalui gurunya, Haji Nuruddin di samping aliran pemikiran Kaum Muda melalui guru-gurunya yang lain. Manakala di India, beliau telah mendekati pergerakan Mahatma Gandhi, Muhammad Ali Jinnah, Pandit Nehru dan pemimpin kemerdekaan India lain. Selepas pengajian di India, Dr Burhanuddin mengembara ke Palestin dan Turki dan ketika berada di Palestin, beliau telah ditahan selama beberapa hari oleh pihak British ekoran terlibat dalam bantahan terhadap Perjanjian Balfour pada tahun 1936. Kesemua pemerhatian, pengalaman dan penglibatan awalnya ini yang telah mencorakkan sikapnya terhadap penjajahan British di tanah air.
Fokus perjuangannya untuk menentang imperialisme dan penindasan terhadap masyarakat Islam di dunia dan nusantara mengakibatkan beliau ditahan dan dipenjarakan sekali lagi. Pada tahun 1937, beliau telah menerbitkan sebuah majalah “Taman Bahagia” yang mengutarakan nasib orang Palestin yang ditindas oleh tindakan British yang membentuk negara Israel. Satu jam selepas majalah ini diterbitkan, beliau telah ditahan oleh British namun berjaya diikat jamin oleh seorang keluarga al-Sagoff dengan bayaran sebanyak $1,000. Melalui perbicaraan, Dr Burhanuddin telah didapati bersalah oleh Mahkamah Singapura dan dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan. Pemenjaraan ini menunjukkan pengaruh besar penulisan dan penerbitan yang diusahakan oleh Dr Burhanuddin dalam menyuburkan semangat kemerdekaan dan anti-British dalam kalangan masyarakat tanah air.
Penyertaan awalnya dengan gerakan politik tanah air adalah melalui Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang diterajui oleh Ibrahim Haji Yaacob pada tahun 1939. Sebagai ahli biasa pada peringkat awalnya, Dr Burhanuddin tidak terlibat dengan perancangan dan gerakan KMM yang jelas menentang British dan telah mengakibatkan sejumlah 130 orang pengikut dan pemimpin KMM ditahan oleh British di Singapura. Setelah Jepun berjaya menduduki Tanah Melayu termasuk Singapura, tahanan KMM ini telah dilepaskan oleh Jepun berikutan kerjasama yang telah dilakukan antara KMM dengan Jepun. Dr Burhanuddin semasa pendudukan Jepun telah dilantik sebagai Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu di Markas Tentera Jepun, Taiping, Perak disebabkan keanggotaannya dalam KMM, hubungan baiknya dengan Ibrahim Haji Yaacob serta pengetahuan agamanya yang baik.
Atas kapasitinya dalam pentadbiran Jepun, Dr Burhanuddin telah mengusahakan satu Persidangan Ulama Malai-Sumatera di Singapura pada tahun 1943. Antara ulama yang turut hadir adalah Buya Hamka (Kesultanan Deli), Tengku Yafizham (Serdang), Sheikh Abdullah Afifuddin (Langkat), Tengku Daud Beurueh, Teungku Muhammad Hasbi dan Tuanku Abdul Aziz (Acheh), AHA Mun’im, Haji Abdul Aziz dan Marah Bagindo (Tapanuli), KH Chik Wan (Palembang), KH Nawawi dan Taha (Lampong), Sheikh Ibrahim Musa, Sheikh Sulaiman Rasuli, AR St. Mansor, H Sirajuddin Abbas dan Mahmud Yunus (Sumatera Barat), Haji Ali (Singapura), dan wakil kerajaan Tanah Melayu termasuk Sheikh Tahir Jalaluddin. Dianjurkan melalui Senden-Bu (Jabatan Propaganda Jepun), Dr Burhanuddin memainkan peranan yang besar dalam mengumpulkan ulama-ulama dari seluruh Tanah Melayu dan Sumatera. Pada tahun berikutnya, atas cadangan Dr Burhanuddin kepada Jepun, suatu Persidangan Majlis Agama Se-Malaya telah diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dengan kehadiran wakil Majlis Agama Negeri, ulama, mufti dan wakil institut pengajian Islam seluruh Tanah Melayu. Antara hasil persidangan ini adalah penubuhan Majlis Agama Serantau untuk mentadbir perkara tentang umat Islam. Namun begitu, perancangan Dr Burhanuddin untuk mengadakan persidangan kedua Majlis Agama Se-Malaya pada tahun 1945 telah dibatalkan oleh Jepun atas kerisauan Jepun terhadap kesan majlis dan persidangan tersebut dalam menghidupkan semangat kemerdekaan dalam kalangan orang Islam di Tanah Melayu.
Dr Burhanuddin juga telah memimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Raya (KRIS) pada tahun 1945 atas arahan Ibrahim Haji Yaacob. KRIS berhasrat untuk menubuhkan sebuah negara merdeka dan dinamakan Malaya Demokratik Rakyat dengan perisytiharan kemerdekaan bersama Indonesia. Berikutan tindakan mengejut Jepun menyerah kalah beberapa hari sebelum perancangan perisytiharan kemerdekaan secara bersama itu, Dr Burhanuddin telah muncul sebagai tokoh pejuang Tanah Melayu yang penting selepas peristiwa tersebut. Hal ini disebabkan Ibrahim Haji Yaacob yang sebelumnya merupakan pemimpin utama KMM dan KRIS telah meninggalkan Tanah Melayu untuk pergi ke Indonesia.
Perjuangan politik Dr Burhanuddin lebih menonjol selepas itu apabila memimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1946. Penubuhan PKMM sebagai parti pertama ditubuhkan selepas Jepun keluar dari Tanah Malaya pada dasarnya adalah untuk mewujudkan suatu platform menentang penindasan serta melahirkan kesedaran politik dalam kalangan orang Melayu. Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa PKMM telah diasas dan dipengaruhi oleh Parti Komunis Malaya (PKM) melalui pimpinannya Mokhtaruddin Lasso selaku Ketua Rejimen 10 PKM. Pada peringkat awal penubuhan PKMM, Jawatankuasa parti itu dianggotai oleh pemimpin berlatar belakang PKM seperti Arshad Ashaari, Rashid Maidin, Abdullah CD di samping pemimpin Melayu lain seperti Dr Burhanuddin, Dahari Ali, Ahmad Boestamam dan Aishah Ghani.
Walaupun perjuangannya dalam PKMM adalah bersifat membela bangsa Melayu, namun jelas melalui penulisannya dalam Falsafah Kebangsaan Melayu, bahawa pengertian kebangsaan Melayu mencakupi makna yang lebih luas,
“Kebangsaan Melayu bukan dibina semata-mata kerana seseorang itu bangsa Melayu atau bapanya Melayu, datuknya Melayu, tetapi kebangsaan Melayu itu adalah diasaskan dan dibinakan di atas kebangsaan Melayu iaitu kebangsaan yang mengikut tabiat semula jadi kedudukan bumi, keturunan pusaka, kebudayaan baka dan penduduk hak mutlak bumi pertiwi ini. Yang bersatu hasrat pada azamnya, bersatu padu dalam ideologi kebangsaannya…”
Pendirian politik Dr Burhanuddin turut dijelaskan beliau dalam buku tersebut,
“Perjuangan kita memilih jalan yang sederhana dan di tengah-tengah, yang saya sebutkan selalu dengan Kebangsaan Yang Bulat. Kita menentang penjajahan tetapi tidak pula pro-Komunis. Kita mahu balik hak keadilan tanah air kita dan kebangsaan kita dan kebangsaan kita yang berdaulat, sebagaimana kita belum dipengaruhi dan dijajah dahulu”.
Salah satu pendirian PKMM yang kontroversi adalah sikap mereka terhadap gagasan Malayan Union yang dicadangkan oleh British. Malayan Union dianggap selari dengan hasrat perjuangan PKMM untuk menyatukan Tanah Melayu, mewujudkan sebuah negara Melayu yang besar dan suatu bangsa Melayu yang agung dan bersatu di seluruh Tanah Malaya. Apabila Kertas Putih Malayan Union diisytiharkan pada Januari 1946, PKMM walaupun berpandangan bahawa adalah tidak sesuai bagi negeri-negeri dan wilayah di Tanah Melayu terus kekal sebagai entiti politik dan pentadbiran yang berasingan, PKMM tetap tegas dalam agenda mereka untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Pendirian PKMM ini akhirnya membawa kepada penolakan mereka terhadap Kertas Putih Malayan Union atas alasan-alasan berikut:
- Cara Sir Harold MacMichael yang mendapatkan persetujuan raja-raja Melayu secara tidak demokratik di samping mengabaikan terus pandangan orang Melayu.
- British membuat keputusan bersendirian tanpa perbincangan dan pandangan daripada penduduk Tanah Melayu.
- Singapura disisihkan daripada Malayan Union tanpa perundingan dengan penduduk Tanah Melayu.
- Hak kewarganegaraan tidak ditakrif dengan jelas dan tidak memuaskan.
Satu peristiwa penting bagi Dr Burhanuddin adalah penahanannya pada tahun 1950 akibat Peristiwa Natrah (Maria Hertogh) di Singapura. Dalam isu ini, keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang menolak kesahihan perkahwinan Natrah dengan Mansur Adabi dan seterusnya memerintahkan Natrah dikembalikan kepada keluarga asalnya, telah mencetuskan bantahan besar-besaran masyarakat Islam. Dr Burhanuddin telah memainkan peranan yang besar khususnya melalui Jawatankuasa Tindakan Perkara Natrah yang telah memobilisasi puluhan ribu orang Islam untuk berdemonstrasi membantah keputusan tersebut. British menganggap bantahan ini sebagai suatu tindakan yang menggugat kestabilan politik mereka dan akibatnya Dr Burhanuddin bersama pimpinan PKMM lain telah ditahan di bawah Undang-Undang Darurat Singapura. Selepas PKMM dibubarkan pada tahun 1948 atas tekanan pentadbiran British ekoran perisytiharan darurat, Dr Burhanuddin terlibat pula dalam penubuhan Partai Rakyat Malaya. Peranan Dr Burhanuddin pada peringkat awal penubuhan parti ini sangat besar walaupun bukan beliau sendiri yang memimpin parti ini. Bahkan, Dr Burhanuddin sendiri yang telah mencadangkan supaya Ahmad Boestamam untuk mengetuai parti tersebut walaupun Ahmad Boestamam baru sahaja dibebaskan daripada tahanan selama tujuh tahun di bawah Undang-Undang Darurat dengan pelbagai syarat dan sekatan dikenakan. Pengaruh Dr Burhanuddin amat penting dalam siri jelajahnya ke seluruh Malaya bagi meyakinkan dan mendapatkan sokongan rakan-rakannya terhadap penubuhan parti baharu tersebut.
Ketokohan Dr Burhanuddin sememangnya amat terserlah atas signifikannya sumbangan dan kesan perjuangannya terhadap agenda kemerdekaan tanah air. Dianggap sebagai sebahagian daripada ‘orang kita’ dalam gerakan perjuangan kiri pada ketika itu, latar belakang agamanya yang kuat juga membuatkan beliau turut dianggap sebagai tokoh orang Islam yang utama. Penerimaan imej Islam Dr Burhanuddin terbukti apabila beliau dipelawa untuk memimpin Parti Islam Setanah Melayu (PAS) pada tahun 1956 bagi menggantikan Dr Abbas Alias yang tidak dapat berfungsi dengan berkesan atas kekangannya sebagai seorang pegawai perubatan kerajaan. Ketika itu, Dr Burhanuddin tidak menganggotai mana-mana parti politik selain terlibat rapat dengan Partai Rakyat Malaya di awal penubuhannya.
Ahmad Boestamam menceritakan bagaimana Dr Burhanuddin telah datang meminta pandangan rakan-rakannya dalam Partai Rakyat Malaya terhadap pelawaan yang telah diterimanya untuk memimpin PAS. Hasrat Dr Burhanuddin menerima permintaan PAS, walaupun pada awalnya beliau berat untuk menerimanya, adalah untuk ‘memasukkan jiwa kiri kepada PAS’ dalam pengertiannya untuk menjadikan PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang progresif. Tujuan ini akhirnya disokong dan diberi restu oleh Ahmad Boestamam dan rakan-rakan Partai Rakyat Malaya dengan kesedaran bahawa ‘lawan’ mereka akan berkurangan sekiranya PAS diterajui oleh Dr Burhanuddin sepertimana jawapan Dr Burhanuddin ini,
“Kalau saya hendak membawa PAS bermusuhan dengan Partai Rakyat Malaya, saya tidak datang ke sini pada hari ini untuk meminta fikiran dan restu saudara-saudara”
Pada tahun 1959 dalam pilihanraya pertama Persekutuan Tanah Melayu, Dr Burhanuddin telah berjaya memenangi kerusi parlimen Besut, Terengganu bersama-sama calon PAS yang lain iaitu Haji Hassan Adli (Kuala Terengganu Utara), Khadijah Sidik (Dungun), dan Harun Pilus (Terengganu Tengah) di samping Dato’ Onn Jaafar yang mewakili Parti Negara di kerusi Kuala Terengganu Selatan dan rakannya, Ahmad Boestamam di kerusi Setapak. Kedudukannya selaku ahli parlimen telah terbatal setelah didenda oleh mahkamah sehingga $25,000 atas pertuduhan melakukan kesalahan teknikal dalam urusan syarikat perniagaan. Namun sepanjang penggal pertama sebagai ahli parlimen, Dr Burhanuddin bersama-sama ahli parlimen pembangkang yang lain telah memainkan peranan yang aktif dan berkesan terhadap kerajaan Perikatan ketika itu. Salah satunya adalah cadangan penubuhan Malaysia yang kuat ditentang oleh Dr Burhanuddin. Pendirian beliau terhadap konsep Melayu Raya masih kuat dan ini diterjemahkan ke dalam bantahannya terhadap penubuhan Malaysia,
“Melayu Raya mengandungi sebelas buah negeri dalam Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak dan negeri Republik Indonesia dan Filipina serta Gugusan Pulau-pulau Melayu yang lain, dan menuntut supaya kerajaan berusaha pada menjalankan langkah-langkah untuk mencapai tujuan ini dan sebanyak mana telah dijalankan langkah itu akan dimaklumkan kepada Majlis ini oleh Yang Berhormat Perdana Menteri dari satu masa ke satu masa”.
Penubuhan Malaysia pada tahun 1963 yang mendapat tentangan hebat dari Indonesia melalui gerakan Ganyang Malaysia turut memberi kesan kepada Dr Burhanuddin. Beliau yang konsisten dengan idea penyatuan negeri-negeri yang lebih besar melalui Melayu Raya, pada tahun 1965 telah ditahan di bawah Undang-Undang Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act – ISA). Pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau adalah terlibat membantu Indonesia dalam usaha menubuhkan kerajaan buangan di Indonesia. Penahanan beliau kali ini telah menyebabkan kesihatannya merosot dan sepanjang penahanannya beliau kerap dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan. Akhirnya pada tahun 1969, kerajaan telah membebaskan beliau tanpa syarat setelah keadaan kesihatan beliau semakin buruk.
Coretan akhir Ahmad Boestamam tentang Dr Burhanuddin adalah sebagai tanda penghargaan, penghormatan dan persahabatannya terhadap Dr Burhanuddin ketika menerima berita pemergian Dr Burhanuddin menghadap Ilahi pada 10 Oktober 1969 iaitu kira-kira sebulan selepas Dr Burhanuddin dibebaskan daripada tahanan ISA,
“Doktor Burhanuddin: Pembawa Obor Chita2 Kemerdekaan Bapak Kebangsaan Melayu Putera Setia ‘Melayu Raya’
Diatas segala-galanya mendiang Dr Burhanuddin Al-Hilmy adalah seorang patriot. Dan kalau kepada beliau hendak diberikan suatu gelaran maka gelaran yang tepat, layak, sesuai dan hak sekali bagi beliau ialah BAPAK KEBANGSAAN MELAYU.
Serangkap madah beliau yang pasti tidak akan dilupakan oleh setiap patriot tanahair, iaitu madah yang dihamburkan beliau dalam Kongres Partai Kebangsaan Melayu Malaya (mendiang) di Melaka dulu sebagai sifatnya beliau Yang Dipertua Agungnya, berbunyi:
Diatas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu padulah segenap baka
Membela hak keadilan pesaka
Hak keadilan pesaka yang beliau maksudkan itu tidaklah lain dari KEMERDEKAAN
Pada ketika itu beliau dipersenda-sendakan orang kechuali orang yang menjadi pengikut beliau yang setia – sechita-chita dan seperjuangan menurut istilah sakti yang sering beliau pergunakan.
Orang2 yang mempersenda-sendakan beliau ini berkata: Membuat sebilah jarum pun tak tahu, hendak merdeka konon.
Akhirnya bukankah beliau terbukti benar?”
RUJUKAN
Abdul Rahman Haji Ismail, 2016. Sokong untuk Merdeka: Sikap Parti Kebangsaan Melayu Malaya terhadap Malayan Union. Dalam: Azmi Ariffin dan Abdul Rahman Haji Ismail, ‘Di Sebalik Tabir’ Sejarah Politik Malaysia 1945-1957. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Ahmad Boestamam, 1972. Dr Burhanuddin: Putera Setia Melayu Raya. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Kejora.
Ramlah Adam, 2003. Burhanuddin Al-Helmy: Suatu Kemelut Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hh.27-29.
Ramlah Adam, 2013. Gerakan Politik Melayu 1945-1957. Kangar: Penerbit Universiti Malaysia Perlis.
Riduan Mohamad Nor dan Mohd Fadli Ghani, 2007. Ulama dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan. Batu Caves: MHI Publication
Saari Sungib, 2005. Tokoh Gerakan Islam Malaysia. Sg Buloh: Focus Approach Sdn Bhd .
Memperolehi Ijazah Sarjana Hak Asasi Manusia dari University Of Sussex,UK dengan penumpuan terhadap pembangunan, pendekatan, berbasis hak dan matlamat pembangunan lestari. Kini berkhidmat sebagai penyelidik di Parlimen Malaysia. Sebelum ini pernah bertugas di Institut Integriti Malaysia dan International Institute Of Advances Islamic Studies (IAIS). Beliau juga merupakan penulis kepada buku ‘Hak Asasi Manusia Dan Persoalan Budaya’.