Populisme Untuk Pemula

Oleh : Aliff Naif Mohd Fizam

Corak – corak politik yang kita sedia maklum bersifat dinamik. Para politikus tanpa segan dan silu akan mengambil pelbagai inisiatif bagi mengekalkan diri di kerusi empuk kekuasan. Terdapat sejenis pendekatan yang semakin kerap digunakan oleh politikus; populisme. Pemerintahan Donald Trump di Amerika Syarikat menyemarakkan lagi perbincangan tentang Populisme ini. Antara sebab utamanya adalah bagaimana Trump membentuk polarisasi yang sangat jelas di negaranya. Ini menarik minat saya untuk mendalami tentang politik populisme melalui pembacaan.

Mengamati bagaimana para sarjana memberi label kepada para populis, saya sedar label ini digunakan dengan sangat longgar, tanpa melalui pendekatan para sarjana. Sarjana sebenarnya sangat berhati-hati dalam menyatakan ciri populisme dan populis. Ciri-ciri populis, kalau dinyatakan dalam konteks yang sangat longgar dan pengamatan yang sempit, akan membuatkan kita berlaku tidak adil kepada para pemimpin, sekaligus menonjolkan lagi polarisasi dalam masyarakat. Saya akan menceritakan 3 jenis pendekatan yang dinyatakan oleh seorang sarjana dan pengkaji populisme, Francisco Panizza.

Pendekatan Empiris

Pendekatan ini cuba meletakkan definisi-definisi yang bersifat positivis dan cuba mencirikan populis dan populisme secara jelas. Pendekatan ini melihat kepada kes-kes populisme yang digunakan pemimpin dan politikus, dan menyatakan apa ciri-ciri pemimpin dan gaya yang dibawa dalam corak politik mereka.

Namun, sentiasa akan ada limitasi dalam memberi atribut yang khas untuk populis. Limitasi tersebut adalah hasil dari pemerhatian yang tidak berlandaskan suatu teras konseptual yang terkadang menjadikan ciri-ciri populis itu sekadar penyataan yang bersifat intuitif dan bukan analitikal. Sekiranya atribut yang diberikan tidak jelas dan bersifat membezakan (distinguishing), kita akhirnya akan menyamaratakan mereka yang ikhlas berjuang untuk rakyat dan para populis, akhirnya akan membawa kepada generalisasi dan ketidakadilan dalam meletakkan label. Kebanyakan masa, pendekatan ini lebih bersifat intuitif berbanding analitikal.

Pendekatan Empiris

Pendekatan ini akan meletakkan populisme dalam konteks khas dalam susur galur sejarah, dan kesinambungan proses sejarah. Secara tipikal, populisme akan dikaitkan dengan politik di Amerika Latin pada 1930-an dan krisis ekonomi yang berlaku di benua tersebut sehingga tahun 1960-an. Atribut populisme ini sudah tentu diberikan kepada politikus Amerika Latin pada waktu tersebut seperti Juan Domingo Perón di Argentina, Getúlio Dornelles Vargas di Brazil dan Lázaro Cárdenas del Río di Mexico.
Pendekatan ini bersifat terhad kerana ruang perbincangan termaktub kepada konteks geografi, konteks masa dan juga nama-nama pemimpin yang terlibat.

Malah, pendekatan ini juga tidak boleh digunakan untuk menjelaskan populisme dalam politik yang berlaku di tempoh masa lain di kawasan yang berbeza. Bagaimana pendekatan Historisis mampu menjelaskan populisme yang diamalkan Donald Trump di Amerika Syarikat sehingga berlaku perpecahan dalam masyarakat AS. Bagaimana pula dengan populism Nigel Farage di United Kingdom yang akhirnya membawa kepada Brexit? Pendekatan ini sudah tentu sangat sesuai untuk menganalisa perubahan politik di Amerika Latin kerana ia bersikap analitikal dan pemerhatian yang mendalam, namun wujud limitasi untuk mengkaji populisme secara keseluruhan.

Pembacaan Simptomatik

Pembacaan Simptomatik ini menggabungkan sesetengah ciri dalam pendekatan Empirisis dan Historisis. Namun, ditambah dengan konsep asas analisis, iaitu peranan “rakyat” sebagai aktor politik. Pendekatan ini melihat populisme sebagai satu bentuk perlawanan sosial dan anti-status quo dan membahagikan masyarakat kepada dua, “the people” dan “the other”.

Kedua-dua pihak dilihat sebagai konstruk politik yang dimudahkan. Mengapa konstruk politik? Ini kerana kewujudan “the people” dan “the other” adalah percubaan untuk mewujudkan perlawanan sosial lalu memudahkan struktur politik yang sebenarnya sangat kompleks. Sedangkan, politik wujud hasil interaksi pelbagai pihak dan ideologi,
Para populis dilihat cuba mewujudkan pertembungan supaya mereka dilihat sebagai pejuang untuk “the people”. Dengan menjadikan mereka wira untuk “the people”, mereka memisahkan masyarakat kepada dua kumpulan yang mudah dikawal. Pemisahan ini bersifat homogenus dan hanya bertujuan untuk memudahkan politik populis.

Namun siapa yang dimaksudkan dengan “the people” itu adalah terhad. Bukan semua rakyat sesebuah negara dibawah seliaan politikus dianggap sebagai “the people”. Politikus juga bersikap selektif kerana mereka hanya akan memilih kumpulan yang sesuai dengan agenda mereka. Tambahan lagi, populisme adalah sejenis idelogi “nipis” yang mengharapkan ideologi yang sedia ada bagi menyokong prinsip populisme. Oleh tu, wujudnya populisme sayap kanan dan populisme sayap kiri. Bagi populis sayap kanan, “the people” itu menolak golongan minoriti, imigran dan golongan rentan. Perjuangan mereka berkisarkan kumpulan majoriti sesebuah negara.

Bagi sayap kiri pula, mereka mengasingkan “the people” dari kalangan proletariat dan golongan pekerja atau kelas menengah daripada “the other”, iaitu para kapitalis dan golongan elit dalam masyarakat. Namun, harus diingatkan bahawa populisme adalah ruang yang sentiasa didebatkan. Tanpa definisi yang jelas dan positivis, juga tanpa pendekatan analitikal berteraskan makna konseptual, kita tidak akan mampu menunding siapa antara politikus kita yang bersikap populis. Malah, ciri populis paling nyata iaitu “berjuang demi rakyat” sudah menjadi slogan dan retorik umum dalam dunia politik. Boleh jadi kita juga mempunyai ciri seorang populis.

Rujukan: Populism and the Mirror of Democracy, Panizza Et Al.


Aliff Naif Mohd Fizam berasal dari Sungai Petani, Kedah. Beliau adalah Felo di Lestari Hikmah dan merupakan penuntut BA Sains Politik di International Islamic University Malaysia (IIUM). Penulisan dan penglibatan beliau banyak tertumpu dalam gerakan politik dan kepimpinan di Malaysia. Penulisan beliau diterbitkan di Malaysia dan Indonesia seperti IBTimes.id, Solidaritas dan Alternatif.Press.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *