Ust Zainal Abidin Zam Zam Martapura : Pertautan Malaysia – Indonesia
Oleh : Mohd Rashidi
Rumpun Melayu Nusantara merupakan suatu rumpun yang luas dan kaya dengan khazanah ilmu, sejarah dan kebudayaannya yang tersendiri. Dahulunya di kepulauan ini menjadi tumpuan oleh pedagang-pedagang dari Timur dan Barat untuk berdagang (intreport) khususnya di Melaka yang diihat sebagai pelabuhan yang strategik. Sesudah semua itu berada di dalam lipatan sejarah, kepulauan yang sedia ada ini tetap menjadi tumpuan sama ada dari pelancong luar mahupun pengkaji budaya, kesenian, sejarah dan arkeologi.
Malaysia ataupun dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu dan juga Indonesia merupakan 2 negara yang berada di kepulauan Nusantara. 2 negara ini walaupun dipisahkan dengan sempadan negara tetapi hakikatnya saling berhubungan erat sejak dari dahulu lagi. Sebelum dari kemerdekaan 2 negara ini sering dikaitkan dengan semangat Melayu Raya yang dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Hj Yaakob, Sukarno dan Muhammad Yamin.
Pertautan diantara dua “adik beradik kembar” ini bukanlah semata-mata dalam konteks politik dan kemerdekaan, tetapi juga dalam hal ehwal agama dan pendidikan. Dahulunya ada tokoh seperti Syed Syeikh al Hadi dari Melaka yang mendapat asuhan di Pulau Penyengat Riau. Disana beliau mendapat pendidikan yang baik dengan mendampingi Raja Ali Haji. Begitu juga dengan rakan seperjuangannya Syeikh Tahir Jalaluddin, seorang ahli falak kelahiran Sumatera yang berkelana ke Tanah Melayu dan sempat menjadi Mufti Perak.
Jalinan seperti ini menjadi semakin erat dengan kehadiran tokoh-tokoh dari Acheh ke Tanah Melayu pada awal 50an khususnya di Pulau Penang iaitu Ibrahim Aqibi, Haji Mukhtar dan Hj Ahmad Acheh. Mereka ketika itu dikenali sebagai kumpulan Acheh Sepakat. Maka ketika itu ditubuhkan persatuan Muhammadiyah Pulau Pinang dibawah pimpinan Haji Mansor Arif pada 1954. Digarisbawahi Muhammadiyah di Pulau Pinang bukanlah cawangan Muhammadiyah Indonesia yang diasaskan oleh Kiyai Hj Ahmad Dahlan, tetapi hanyalah mengambil inspirasi kerana mempunyai cita-cita dan matlamat yang sama.
Gerakan Islah Kaum Muda yang dipelopori di Pulau Pinang mendapat suatu suntikan semangat dengan kehadiran Putera Terbilang Minangkabau iaitu Buya Hamka. Dikatakan Buya Hamka sempat ke Pulau Pinang sekitar 4 kali disamping ke Chemor, Ipoh untuk menziarahi sanak saudaranya. Begitu juga pernah diadakan Muzakarah Alim Ulama di Pulau Penang dengan menghadirkan Ust A Hasan Bandung tokoh Kaum Muda dan Syeikh Fadhlullah Suhaimi tokoh Kaum Tua dari Singapura. Individu yang berusaha keras menjayakan program semua ini adalah Ust Zainal Abidin.
Ust Zainal Abidin Zam Zam Martapura merupakan individu yang mendapat didikan langsung dari 3 orang tokoh ulama Nusantara iaitu Buya Hamka, Ust A Hasan Bandung dan Prof Hasbi As Siddiqi. Ust Zainal Abidin juga merupakan guru yang mengajar di Madrasah Muhammadiyah Air Hitam yang ditubuhkan pada 1954. Dengan didikan yang lemah lembut dan berhemah berhujah dengan dalil yang kuat dan meyakinkan, Ust Zainal Abidin menarik ramai orang untuk mendekati dakwah sunnah yang dibawa oleh Muhammadiyah. Antara anak murid Ust Zainal Abidin yang cemerlang dan terkenal di peringkat antarabangsa adalah Syeikh Hussein Yee. Melalui Ust Zainal Abidin, Muhammadiyah Pulang Pinang membina jambatan perkenalan dengan Muhammadiyah Indonesia. Maka ketika Muktamar Muhammadiyah Indonesia pada tahun 1973, Ust Zainal Abidin dan Prof Rahmatullah Khan diundang sebagai pemerhati disana. Sehingga tahun-tahun yang berikutnya Ust Zainal Abidin tidak jemu juga untuk memenuhi undangan berceramah di Indonesia khususnya di Sumatera. Acap kali dalam ceramahnya, Ust Zainal Abidin akan menitipkan pesan supaya berpegang teguh dengan ajaran Al Quran dan Al Sunnah, menjauhi perkara khurafat, tahyul dan syirik. Yang menjadi ingatan kepada sahabat rapat dan pelajarnya adalah sifat akhlak yang Ust Zainal Abidin tonjolkan. Itulah bagi beliau sebesar-besar perkara yang patut ditunjukkan bagi pencinta sunnah. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas almarhum Ust Zainal Abidin yang baru saja mengadap ilahi beberapa hari yang lalu.
Mohd Rashidi berasal dari Ipoh, Perak. Beliau menyampaikan syarahan di radio, universiti serta menulis dalam bidang Maqasid Syariah, tokoh, pemikiran dan gerakan Islam di Nusantara. Penulisan beliau diterbitkan di dalam dan luar negara seperti IBtimes, Kompas dan Suara Muhammadiyah. Mohd Rashidi merupakan Presiden Lestari Hikmah sejak dari awal penubuhannya. Melalui Lestari Hikmah, beliau menjalinkan kerjasama dengan universiti, NGO dan penyelidik dalam perkara kebudayaan, sejarah, literasi dan pendidikan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.