Kemiskinan Melayu : Ratu Adil Di Zaman Edan

Oleh : Mohd Rashidi

Namun perkataan – perkataan berpuas hati (contented), bersederhanaan (modest), segan (inarticulate), adalah kata-kata sifat cantik yang harus dibanggakan oleh orang Melayu!

Kenapa ‘berpuas hati’? Oleh sebab mereka tidak tahu tentang keadaan yang lebih baik. Kenapa ‘bersederhana’? Oleh sebab kepercayaan jaya-diri memerlukan kelayakan sewajar yang hanya boleh diperolehi melalui pelajaran yang mencukupi. Kenapa ‘segan’? Oleh sebab mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan atau apa yang harus diperkatakan atau bagaimana hendak dilakukan. Kesemua tiga kelemahan itu adalah akibat daripada pelajaran yang tidak mencukupi, dan ia hanya boleh diatasi dengan mengatasi kekurangan itu. (Za’ba)

Jalan keselamatan bagi orang Melayu sentiasa terbuka luas bagi yang mahu mengerti. Untuk menyingkapi permasalahan ini adakah orang Melayu bersedia dan jujur untuk menghadamnya. Membaca karya dan menyelami percikan idea dari tokoh pembaharu Melayu seperti Syed Syeikh al Hady, Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), Prof Dr Syed Hussein Alatas dan Dr Shaharuddin Maaruf setentunya merenggut jiwa yang keras dan tidak hairan suara mereka sentiasa ditentang dari dahulu lagi.

Oleh kerana persoalan yang tidak mahu dijawab secara tuntas dan tidak diselami akar umbinya, maka bersedialah untuk melihat berabad lagi kehidupan yang miskin ilmu dan budaya, anti ilmu pengetahuan dan bersedia untuk ditindas. Maka hanya akan tinggal lagu dan syair rintihan untuk membuaikan hidup yang pilu.

Merintih Di Bumi Sendiri

Tidaklah orang Melayu itu sedar dia berada dimana melainkan hidupnya yang suka berhutang tanpa keperluan dan bermewahan ketika mempunyai wang yang banyak. Sikap tidak mahu berjimat cermat dan bersedia kemungkinan sesuatu perkara berlaku di kemudian hari jauh meleset. Kemajuan teknologi hakikatnya sedikit sebanyak membawa padah apabila manusia suka membandingkan kehidupan sendiri dengan kehidupan orang lain. Maka apa yang dimiliki oleh orang lain maka dirinya harus milikinya juga bahkan lebih hebat lagi. Dr Muhammed Abd Khalid menyebutkan didalam bukunya Antara Dua Darjat;

“Hampir 2/3 mereka dalam kumpulan umur 51-55 hanya mempunyai simpanan kurang dari RM50 000 di dalam simpanan wajib KWSP. Malah 1/5 hanya mempunyai simpanan kurang dari RM7000.”

Ada yang benar-benar tertekan dengan hutang kerana nak menampung hidup mereka. Mereka tidak ada modal untuk membangunkan perniagaan dalam masa yang sama jika ada perusahaan yang dilakukan pasti akan ada orang tengah mengambil kesempatan sentiasa pantas menekan golongan ini. Manakala sumbangan dan bantuan yang diberikan selalunya bersifat one-off tidak membebaskan seseorang dari kemiskinan. Koperasi Felda, Angkasa dan Tabung Haji merupakan suatu contoh pensyarikatan dan koperasi yang mengumpulkan duit dan usaha orang ramai seterusnya memberikan semula pulangan hasil dan keuntungan. Tabung Haji yang diasaskan oleh Prof Diraja Ungku A. Aziz misalnya terus berjasa dengan mempunyai rangkaian perniagaan di merata tempat, pengurusan haji yang efisyen, memberikan dividen tahunan kepada pencarum serta mampu memberikan subsidi hampir 50% kepada orang Islam yang menunaikan haji.

Suatu perkara yang harus kita jujur dan insaf bukankah kemajuan di semenanjung ini hasil dari kekayaan Sabah dan Sarawak terutamanya. Jikalau kita sedar dua negeri itu agak kurang membangun, banyak sekolah yang daif disana, masalah kemiskinan, komunikasi dan jalan perhubungan yang bermasalah seharusnya disanalah keutamaannya. Adakah kita bersedia memulangkan semula kekayaan itu kepada negeri asalnya. Alangkah peliknya selama puluhan tahun ini walaupun kerusi parlimen Sabah dan Sarawak agak banyak 56/222 kerusi keseluruhannya dan kebiasaanya ahli parlimen dari sana menjadi anggota kerajaan, tetapi portfolio kementerian yang utama selalunya tidak diberikan kepada mereka.

Kemiskinan Yang Sebenar

Kalau sudah tidak ada ilmu bagaimanakah mungkin akan ada cita-cita di dalam hidup. Bukankah itu suatu yang hina dan laih jangankan kata miskin wang dan harta, ditambah lagi dengan miskin pula cita-cita. Dengan ilmu dan pengalaman yang kayalah menyebabkan seseorang itu ada cita-cita.

Perasaan yang lemah dan tidak percaya kepada kebolehan diri lahir dari persekitaran yang tidak kondusif. Mereka tidak tahu apa itu kemajuan dan erti berlumba-lumba mengangkat darjat diri mereka. Jika menorah getah itulah selamanya, jika menangkap ikan itulah seadanya anak cucunya mengikut sahaja turun menurun.

Tetapi jikalau akal tidak mahu diasah untuk berfikir dan ilmu dianggap eksklusif pastinya jalan keselamatan bagi orang Melayu akan malap dan kabur. Bukankah Dr Ali Shariati mengingatkan bahawa;

“Kemiskinan bukanlah hari tanpa makanan tetapi hari tanpa pemikiran”

Pembunuhan ilmu dan daya berfikir bukanlah perkara baharu tetapi setiap zaman akan ada contoh semisalnya. Bukankah Imam Ahmad Bin Hanbal, Ibn Rusyd dan Ibnu Taimiyah dibungkam supaya jangan berkata perkara yang benar. Bukankah Dr Burhanuddin Al Helmy dan Hamka meringkuk di dalam tahanan kerana dirasakan merupakan ‘ancaman’ kepada pemerintah. Bukankah Za’ba dahulu ‘dipeti aiskan’ di Maktab Perguruan Sultan Idris dibawah selenggara Mr Hamilton supaya penanya tidak tajam pengkritik penjajah khususnya di dalam bidang pendidikan dimana beliau melihat sistem pelajaran orang Melayu “lemah dalam pengetahuan dan kebudayaan”. (Semasa ini Sir Richard Winstedt adalah Pengarah Pelajaran sehingga 1931)

Sikap tidak cintakan ilmu pengetahuan secara menyeluruh itulah yang benar merugikan. Ada yang hadir ke kelas dan belajar semata-mata untuk lulus peperiksaan. Ada yang apabila mula bekerja dan berkeluarga maka ilmu itu hanya diintai-intai sahaja. Ada yang minat membaca, tetapi cakupan hanyalah pada buku yang ringan dan kurang ilmiah. Lihatlah di pustaka dan toko, yang laris dijual itu seperti bercorak motivasi, cara untuk cepat kaya, novel, fiqh solat, buku zikir dan doa sahaja.

Cita Bencana & Korupsi Moral

Apabila sudah tidak ada ilmu untuk memimpin diri dan desakan kehidupan kadangkala menyebabkan manusia hilang pedoman. Bukankah apabila datang kesusahan ianya memberi keinsafan kepada kita dan seharusnya wujudnya kecaknaan kepada orang lain. Tapi peliknya ujian musibah Covid 19 muncul pula golongan yang meraih laba keuntungan dengan menjual face mask dan hand sanitizer dengan harga tak masuk di akal. Panic buying juga lahir kerana sikap mementingkan diri sehingga menafikan hak orang lain. Saya tidak fikir acara berebut Roti Gardenia dan mengejar lorinya sebagai suatu riadah sempena Perintah Kawalan Pergerakan. Sikap begini boleh mewujudkan harga makanan melambung tinggi apabila permintaan melebihi dari bekalan.

Belum diambil kira lagi golongan yang berkemampuan tetapi anehnya mereka juga menerima bantuan makanan dan sebagainya. Bukankah ini sama seperti yang menggunakan nama dan pangkat bagi memasukkan anaknya ke sekolah berasrama dan mendapatkan biasiswa. Hilang semangat asal keutamaan diberikan kepada bumiputera yang daif. Asas penyusunan masyarakat seperti yang disebut oleh Prof Diraja Ungku A. Aziz adalah keutamaan kepada yang miskin khususnya diluar bandar. Barulah kesenjangan ekonomi yakni jurang miskin-kaya itu tidak melebar.

Lihatlah bagaimana di sesetangah jabatan, korupsi dan ketirisan wang seperti telah difahami dan dipersetujui bersama oleh para staf. Maka akan dilihat kos pengurusan itu tersangat tinggi nak dibandingkan dengan bajet pembangunan. Kemana wang itu dibelanjakan? Biasanya akan digunakan untuk jamuan akhir tahun di hotel yang serba mewah. Kadangkala jamuan itu berulang kali diadakan. Kursus di luar negeri di kawasan peranginan yang indah. Ada yang menggunakan harta jabatan dan khidmat staf untuk urusan peribadi pula. Siapakah yang mengalibabakan lesen mereka dan memberikan projek kepada tauke-tauke cina? Siapakah yang terlibat memberikan IC palsu kepada pendatang yang ditangkap baru-baru ini? Siapakah yang menjual tanah-tanah yang begitu banyak di Malaysia ini? Bukankah itu semua hasil kerja tangan-tangan orang Melayu yang mulia, yang akram, intan payung, bangsa yang pantang kepalanya dipegang-pegang, terhunus keris menerpa musuh?

Di sisi yang lain pula dalam kehangatan Covid 19 ini, muncul pula sikap cita sempurna oleh sebahagian artis Korea seperti Lee Min Ho, IU dan So Ji Sub yang mendermakan jutaan wang (nilai ringgit Malaysia) bagi membantu kerajaan Korea menangani virus ini. Cita sempurna ini juga ada pada seorang wanita tua berumur 90 tahun Suzanne Hoylaerts dengan tajuk beritanya “Woman Dies of Coronavirus After Refusing Respirator: Save It For The Youngest”. Sikap cita sempurna keprihatinan ini bukan saja ada pada orang luar, lihatlah Mukmin Nantang beserta sahabatnya Borneo Komrad yang benar-benar istiqamah memberikan pendidikan kepada anak-anak yang tiada pengenalan diri dan dokumen melalui Sekolah Alternatif Semporna. Saya tidak fikir nama yang disebutkan mereka semua terdidik dalam bidang Usuluddin mahupun Syariah al Islamiyyah. Soal keinsanan dan kemanusiaan tidak mengenal erti agama dan warna kulit, cuma hanya perlu dipupuk sahaja.

Penutup

Jalan terus ke hadapan perlu dimulai dengan pengagihan kekayaan negara dengan baik dan sempurna. Pemusatan kekayaan pada individu tertentu perlu ditangani segera. 70% kekayaan di Malaysia ini hanyalah dimiliki oleh beberapa individu sahaja. Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa pendapatan B40 dan M40 di Malaysia pada tahun 2016 hanyalah sekitar RM309.6 bilion. Angka ini lebih rendah berbanding kekayaan 40 bilinair Malaysia yang berjumlah RM335 bilion. Di Indonesia mengikut Lembaga Oxfam kekayaan yang dimiliki oleh 4 orang terkaya di Indonesia setara dengan gabungan kekayaan 100 juta rakyat termiskin.

“supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dalam kalangan kamu”. (Surah al-Hasyr Ayat 7)

Ibn Khaldun menyebutkan di dalam Al Mukadimah bahawa pendidikan merupakan pelaburan jangka masa panjang di masa hadapan. Oleh yang demikian sudah tentu tidak harus ada individu yang tercicir dalam hal ini terutamanya di kawasan luar bandar. Ada masjid dan surau mengambil inisiatif mengadakan tuisyen percuma buat warga tercicir ini. Adakalanya anak-anak ini dijamu pula selepas dari kelas tuisyen. Ada Ngo dan individu tertentu juga turun ke rumah anak-anak yatim mengambil peranan yang sama. Sekolah dan universiti juga perlu direformasikan dengan mengambil kira pembelajaran nilai dan etika. Pelajar bukan hanya belajar untuk lulus peperiksaan sahaja. Kreativiti, kritis pemikiran dan daya saing untuk perjuangan hidup perlu diterapkan. Begitu juga dengan lambakan kolej swasta yang mengaut keuntungan perlu diambil kira.

Dalam masa yang sama perlu diperbanyakkan lagi agensi dan koperasi yang mengumpulkan dan menggerakkan duit dan harta orang Melayu ini. Dana bantuan yang disampaikan mestilah tidak bersifat one- off sahaja tetapi berupaya mengeluarkan individu dari kepompong kemiskinan. Latihan pengurusan dan teknikal juga perlu dibanyakkan.

Maka tidak perlu untuk pandang ke belakang lagi. Tidak ada lampu ajaib Aladdin mahupun mitos Ratu Adil untuk merubah segalanya. Kitalah sebenarnya Ratu Adil, perubahan di tangan orang yang benar-benar mahukan perubahan.

“Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah kaum itu mengubah keadaan diri mereka sendiri” (Surah al-Ra’du Ayat 11)

Rujukan

Haidar Bagir, Islam Tuhan Islam Manusia. Bandung: PT Mizan Pustaka, 2017.

Muhammed Abdul Khalid, Antara Dua Darjat. Kajang: Dubook Press, 2017.

Syed Hussein Alatas, Cita Sempurna Warisan Sejarah. Bangi : Penerbit UKM, 2001.

Syed Husin Ali, Orang Melayu : Masalah Dan Masa Depan. Kuala Lumpur: Harakah, 2008.

Syed Syeikh al-Hady, Ugama Islam Dan Akal. Selangor: Malaha Press, 2017.

Ungku A. Aziz, Jejak – Jejak Di Pantai Zaman. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 1987.

Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), Perangai Bergantung Diri Sendiri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1972.


Mohd Rashidi berasal dari Ipoh, Perak. Beliau menyampaikan syarahan di radio, universiti serta menulis dalam bidang Maqasid Syariah, tokoh, pemikiran dan gerakan Islam di Nusantara. Penulisan beliau diterbitkan di dalam dan luar negara seperti Kompas dan Suara Muhammadiyah. Mohd Rashidi merupakan Presiden Lestari Hikmah sejak dari awal penubuhannya. Melalui Lestari Hikmah, beliau menjalinkan kerjasama dengan universiti, NGO dan penyelidik dalam perkara kebudayaan, sejarah, literasi dan pendidikan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *