Tiada Noktah Bagi Penggerak, Pencinta Perubahan

Oleh : Muhammad Syafiq

Menjadi penggerak dan pencinta perubahan adalah sesuatu yang tidak pernah berhenti dan terhenti.

Wacana berkait reformasi itu seringkali tiada noktahnya malah kita akan sentiasa dahaga diskusi baru berkaitannya.

Ya, namanya pun perubahan, masakan ianya ada tarikh luput selagi mana hidup idea-idea yang sakral atau sebaliknya. Mungkin saja yang mati adalah minda dan jiwa mereka yang tidak mahu berfikir.

Materi akal telah di ulang sebanyak 49 kali didalam Al-Quran. Malah perintah supaya manusia itu berfikir dan menghayati sesuatu itu termaktub sebanyak 100 ayat yang telah direkodkan kepada mukjizat besar Nabi Muhammad SAW iaitu Al-Quran.

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Al-Qamar:17)

Begitulah peri pentingnya akal untuk manusia bijak mengaplikasikannya dalam kehidupan dizaman yang penuh mehnah dan tribulasi. Kerosakan umat itu bukan berlaku kerana faktor luarannya, tetapi terbit dari pengaruh dalamannya sendiri.

Jika kita sebagai muslim menelusuri watak-watak dalam membawa gagasan revivalisme terhadap manusia di era mereka, maka tidak mustahil untuk kita juga menuju ke matlamat yang sama iaitu perubahan.

Pemikir seperti Muhammad Asad, Buya Hamka, Za’ba, Kyai Achmad Dahlan, Syed Sheikh Al-Hady, Sheikh Tahir Jalaluddin dan ramai lagi, mereka ini nama yang menyonsong arus hampir seluruh usia mereka bagi memperjuangkan pemikiran baru yang lebih segar dan progresif kepada umat.

Muhammad Asad misalannya boleh dijadikan sosok contoh reformasi pemikiran yang tuntas. Asad bukanlah lahir dari keluarga yang nuansanya Islam dan arab. Malah beliau adalah seorang yang berketurunan Yahudi yang mana kebanyakan tradisi susur galurnya adalah Rabbai (Ketua agama Yahudi). Setelah melalui fasa remaja yang penuh cabaran, Asad memilih untuk memeluk Islam ketika usianya 26 tahun.

Asad atau Leopold Weiss menjadi bukan sahaja pemikir kepada pembaharuan, malah dia juga menjadi pelayar kepada perubahan itu. Asad mula berkelana ketika dia melarikan diri dari rumah saat usianya belasan tahun. Memerhati dan meniliti pemikirannya yang dipandang kaget oleh sebahagian pihak dalam Islam adalah sesuatu yang bisa kita duga.

Pusingan pemikiran umat kita hari ini hanya memahami agama secara kosmetik, luaran dan zahir. Bagi Asad, sikap menyalahkan barat diatas apa yang menimpa dunia Islam dulu dan hari ini adalah suatu tindakan diatas pemikiran sempit mereka yang berada di kelas “ulama”. Inilah yang sering penulis sebutkan bagaimana umat Islam hari ini menerima mentah apa saja yang disampaikan oleh mereka yang berbaju agama.

Awal abad ke-19, seorang pegawai British didalam bukunya yang bertajuk Malay Sketches, Sir Frank Athelstane Sweettenham memberi gambaran yang mana masyarakat melayu yang terdahulu lama memeluk agama Islam masa lagi mengamalkan amalan khurafat pada ketika itu. Pada ketika inilah muncul pelopor perubahan kepada minda dan sikap umat Islam di Malaya ketika itu. Lapor Swettenham dalam jurnalnya juga menceritakan umat Islam pada ketika itu taat pada agama  tetapi tetap suka berjudi dan mengumpat.

Maka timbul pula nama Syed Syeikh Al-Hady dan Sheikh Tahir Jalaluddin dalam konteks Malaya. Mereka berdua ini merupakan penyambung pemikiran Afghani dan Abduh ketika itu. Pertembungan kaum tua dan kaum muda yang dinamai oleh Buya Hamka menjadi sesuatu permulaan akan reformasi pemikiran umat di dalam negara ini pada masa itu.

Dibawah adalah huraian yang dimaksudkan Buya Hamka berkaitan Kaum Tua:

“Golongan ulama tua yang memandang ke zaman lampau, masih di takuk lama dengan pemikiran tradisional ulama silam yang tidak memberatkan perkembangan pemikiran pada zaman moden.”                                                      (Hamka, Said Djamaluddin al-Afghani-Pelopor Kebangkitan Muslimin, 1970).

Begitulah hebatnya tokoh-tokoh pemikir dan pelayar perubahan kepada minda yang naratifnya Muslim. Asad, Sheikh Al-Hady, Buya Hamka dan seangkatannya berusaha dan bersemangat untuk berkongsi pandangan untuk umat di rantau ini umumnya dan khusus dinegara ini berani untuk mengubah nasib kehidupan mereka dengan tidak bergantung kepada manusia yang lain. Gunalah akal yang diberi kebolehan oleh sang pencipta untuk kita semuanya berfikir dan memahami.

Lihat junjungan Nabi Muhammad SAW berdiplomasi dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Baca dan contohi negosiasi yang dipandu Nabi Muhammad SAW, akhirnya hikmah dari toleransi yang ditonjolkan memberikan respon yang cukup baik. Islam itu sifatnya bawa rahmat seluruh alam.

Moga perubahan yang mahu disampaikan boleh diterjemah dengan tindakan yang baik untuk digunakan dalam kita memastikan masyrakat ini senantiasa berfikir dan memahami.

“Jiwa manusia itu mati bila akalnya tidak berfungsi.”


Muhammad Syafiq Bin Azmi berasal dari Bukit Katil dan kini bertugas sebagai Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Melaka.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *