Falsafah Ilmu & Faham Keinsanan
Oleh: Mohd Ashraf
Zaman moden ini, Abu Hasan Ali an Nadwi berkata tentangan iman datang dalam bentuk yang sangat berbeza dari perkara sebelumnya. Perkara ini dihuraikan secara terperinci menurut Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam masalah luaran kaum Muslimin dan ancaman sekularisasi yang datang hasil dari kebudayaan dan tamadun barat. Kaum Muslimin yang hidup dalam hegemoni dan cengkaman peradaban Barat yang sekular, liberal dan materialistik dipaksa untuk menelan ide-ide Barat itu – suka atau tidak suka. Faham-faham yang bertentangan dengan Islam diisi dalam pemikiran umat Islam menyerang masuk kedalam rumah, keluarga, institusi pendidikan. Kerana ianya bukan lagi serangan bentuk fizikal, serangan bentuk pemikiran tidak mudah dikenali apatah lagi faham-faham itu diperkemas dengan istilah jargon, sangat indah menawan, memukau banyak orang. Sungguh mengerikan penyataan An-Nadwi “.. Hampir tak ada keluarga yang masih beruntung tak memiliki anggota kepercayaan ini..”
Lebih sukar, para mufsidun (pelaku fasad) dan penjaja kemungkaran itu juga menggunakan ayat al-Quran untuk menyesatkan manusia. Perkara ini disokong dan dijaja melalui cap-cap kemasan yang didukung promosi besar-besaran melalui jaringan media massa global. Seperti sukarnya kita membezakan minyak babi dan minyak sapi, daging anjing dan daging kambing. Apatah lagi minyak babi memakai “Cap Minyak Unta”. Menjadi cabaran bagi golongan al-muslihun harus berhadapan dengan golongan al-mufsidun (kelompok pelaku fasad/ kerosakan) yang selalu tampil berselindung di balik retorik dan slogan islah. Ayat 11 dan 12 surah al-Baqarah mendedahkan tipu daya kaum al-mufsidun mengabui mata rakyat massa.
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.
Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.
Mereka membungkus fasad dalam kemasan islah, menyebar mafsadah yang diberi label maslahah. Ini adalah manifestasi dari kekeliruan ilmu, Kehilangan adab dan kelahiran pemimpin palsu yang membentuk “vicious cycle” (terj : kitaran setan?) . Kekeliruan ini menatijahkan keruntuhan adab dalam kalangan umat Islam sendiri. Ini berlaku apabila perlakuan, tindakan dan keputusan yang diambil bertentangan dan tidak menepati ilmu yang benar dan tidak didasari oleh Pandangan Alam Islam yang ditanzilkan melalui shariatNya. Kehilangan adab ini yang membawa kelahiran pemimpin yang tidak layak memikul tanggungjawab. Pemimpin palsu ini mengulangi kitaran ini dengan mengajarkan segala kekeliruan ini kepada masyarakat, murid yang mendapat didikannya, pemimpin politik para pengikutnya, ibu bapa kepada anak dan keluarganya.
Mengambil manfaat dari karya Prof Dr al Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin memperlihatkan bagaimana al Attas menghuraikan ma’na agama yang berlatar belakang cabaran yang dihadapi masyarakat Islam terutama perkara yang dapat dari tamadun barat moden yang mendakyahkan kefahaman agama yang keliru dan sekular. Kesan kemelut pertentangan antara gereja dan ahli-ahli falsafah dan sains, penyelewengan dalam kalangan kelompok agama dan tindak balas keras dari kelompok sekular di Barat, agama akhirnya di singkirkan dari kehidupan duniawi dan dianggap sebagai kepercayaan yang serba nisbi (relatif).
Agama dianggap hanya sebagai himpunan kepercayaan tahyul termasuk cara-cara melangsungkan ibadat atau penghambaan diri, atau sehimpunan pendapat-pendapat dan undang-undang yang disusun dan direka oleh para bijaksana dan failasuf bagi keperluan kesejahteraan dan ketenteraman khalayak ramai masyarakat insan, bagi mencegah nafsu dan bagi membina serta menjamin tatatertib dalam pelbagai golongan dan lapisan masyarakat (pengertian sebegini dipegang oleh mereka yang “bersikap tiada peduli” terhadap agama sebagai “agama”, tetapi anggap agama itu penting hanya kegunaannya sebagai alat negara). Walhal faham agama yang sebenar adalah penegasan agama adalah kepercayaan dan keyakinan terhadap kebenaran yang dipercayai berasakan dari satu tanzil dari Tuhan Yang Hak yang diturunkan kepada Insan yang dilangsungkan dengan perantaraan wahyu yang diturunkan olehNya kepada Nabi dan RasulNya.
Prof Dr al-Attas mengetengahkan latar belakang pengalaman dan permasalahan dalam tradisi agama Kristian adalah sebagai iktibar dan ingatan kepada masyarakat Islam mengenai bahaya pengaruh yang bakal melanda mereka hasil dari apa yang berlaku dalam tradisi Kristian. Pengaruh sekularisasi yang bermatlamatkan akhir penyisihan nilai-nilai kerohanian dan keagamaan dari kehidupan dan perungkaian semua pandangan alam yang baku dan tetap, bukan sekadar menjadi musuh perosak kepada agama Kristian akan tetapi bakal menyerang semua agama termasuk Islam.
Antara lain utama dihuraikan oleh Prof Dr al Attas dalam karyanya Islam : Faham Agama Dan Asas Akhlak adalah berkenaan Perjanjian Asali (Al-Mithaq – Covenant) dengan asas ruhaniah ni seluruh manusia dengan Allah Maha Agung sebelum manusia dijadikan dalam bentuk jasmaniyyah ke dunia ini. Perjanjian pra-kewujudan jasmani manusia dengan Allah apabila Allah mengeluarkan semua zuriat Bani Adam dari belakang sulbi mereka (min zuhurihim) meminta persaksian dari setiap mereka tentang ketuhananNya. Lalu mereka akur. Peristiwa Hari Alastu ini dirakamkan Allah melalui wahyunya Al-Quran;
“… Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam daripada belakang mereka dan mengambil persaksian atas diri mereka seraya berkata “Bukankah Aku Tuhan kamu?” lantas mereka menjawab “Bahkan, kami bersaksi” supaya kamu tidak berdalih pada hari Kiamat (dengan mengatakan) sesungguhnya kami tidak tahu menahu tentang hal ini…” (Surah al Araf : 172).
Perjanjian asali ini penting sebagai dasar kepada matlamat agama untuk mengembalikan manusia tunduk menghambakan diri dan mengangkat persaksian tentang ketuhanan Allah sebagaimana telah diisbatkan manusia kepada kita melakukan perjanjian asali, ia juga cerminan kepada hakikat asal dan fitrah kejadian manusia.
Hasil dari faham ini lah kita akan fahami Islam bukan agama budaya (cultural religion), sebab Islam tidak tunduk oleh budaya, meskipun Islam sangat memerhatikan aspek budaya dalam pelaksanaan ajaran-ajarannya. (contohnya menutup aurat, boleh saja memakai jubah arab, baju Melayu, baju kurung, berkot Turki, T-Shirt atau pakaian lain mengikut adat setempat asalkan menepati syarat-syarat menutup aurat, bahkan Islam datang memberi kebudayaan baru yang menjurus kepada kesempurnaan dan keindahan nilai). Islam juga bukan agama sejarah (historical religion) yang mana konsep-konsep ritualnya berkembang mengikut perkembangan sejarah. Teologi Islam adalah berdasarkan wahyu (Islam Agama Tanzil) dan sepanjang zaman Tuhan tidak berubah kerana itu Allah mengutuskan Nabi terakhir untuk menyembahNya dengan cara tidak tunduk oleh perubahan zaman dan budaya.
Dari aspek makna “Islam” itu sendiri tidak tunduk oleh penamaan manusia. Islam adalah agama nama khusus (proper name/ismul ‘alam) disebut oleh kitab sucinya al-Quran.
“.. Sesungguhnya agama yang diredhai oleh Allah adalah Islam..” (Surah Ali Imran : 19)
“…Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi..” (Surah Ali-Imran : 85).
Nama-nama agama selain Islam diberikan oleh para pengamat keagamaan oleh manusia seperti ; agama Yahudi (Judaism), Katolik (Catholicism), Protestan (Protestanism), Buddha (Buddism), Hindu (Hinduism). Pada awal abad 20, cendekiawan di Barat ada yang masih menyebut dan menulis Islam dengan “Mohammedism” (isme atau faham yang dibawa oleh Muhammad), sebagaimana mereka memberi nama “Christianity” untuk agama Kristian yang disandarkan pada nama pembawannya. Syariat Islam ditandai sebagai “Mohemmedan Law”, hukum yang dibawa oleh Muhammad. Ada juga memberi Islam sebagai “Arabism” (isme yang datang dari Arab), sebagaimana mereka menyebut Hinduism yang disandarkan pada nama Sungai Indus di India, sebagai tempat awal mula agama berkembang. Tetapi kaum muslimin di seluruh dunia sepakat menolak penamaan agama Islam selain nama yang diberikan oleh Allah dalam Al-Quran;
“… Wa radhitu lakum Islama dina…” (dan Aku redha Islam sebagai agamamu) (Surah al-Maidah : 3)
Turut dibincangkan juga tentang Ilmu (dibezakan antara Ilmu, Maklumat dan kemahiran), saluran meraih ilmu – pancaindera, akal, khabar sadiq (true report ,apakah syarat-syarat sesuatu itu layak disebut sebagai Ilmu, apa yang disangka ilmu, semuanya berkaitan epistemologi Ilmu – sumber, jenis-jenis, perolehan, hierarki, aplikasi yang berkait rapat diri Insan yang menerima dan pentafsir ilmu, makna dan kebenaran. Dihuraikan lagi apa yang disebut sebagai sains, alam, insan, nilai baik dan buruk, perkara akhlakiah dalam tradisi keilmuan Islam dan sekular. Contoh pandangan kelimuan sekular dan ateistik mendefinikan manusia sebagai identiti jasadiah semata; menolak entiti “ruh” sebagai fakta dan objek ilmu yang harus difahami berdasarkan wahyu (mereka memandang wahyu bukan sebagai sumber ilmu). Mereka menelaah manusia hanya tulang belulang, kalau mahu disimpulkan akhirnya bukan “Sejarah Manusia” tapi “Sejarah Tulang Manusia”. Manusia dipandang sebagai kelas tertinggi dari binatang, bukan dari keturunan Nabi Adam (Bani Adam) yang tujuan utamanya adalah ibadah kepada Allah.
Satu perkara lagi tentang konsep kenabian dan “uswatun hasanah” Nabi Muhammad SAW iaitu sumber kepada suri teladan bagi Muslim dan manusia seluruhnya. Model yang lengkap, setiap Muslim berusaha mencontohi Nabi dalam segala aspek kehidupan. Bermula cara/adab bangun tidur, makan minum, mandi, mengenakan pakaian, menghormati wanita, melayani isteri, menyantuni anak yatim dan orang miskin, berbuat baik kepada kaum kerabat, cara berdagang, menguruskan keluarga, mendidik masyarakat, hingga sebesar-besar perkara memimpin perang dan memimpin negara. Ini adalah satu keistimewaan dalam Islam. Kita ada panduan langsung dari utusan Tuhan agar kita tidak meraba-raba dan berspekulasi. Disebutkan di dalam kitab oleh Ibnu Asakir dan Imam Abul Nuaim Asfahani; “addabani rabbi fa ahsana ta’dibi – Tuhanku telah menyantuniku, maka ia (Tuhan) telah memperelok pekertiku”. Tidak ada satu umat, bangsa atau peradaban yang memiliki suri teladan yang terbaik sebagaimana kaum muslimin yang sentiasa meneladani Muhammad saw dalam semua aspek kehidupan. Lihat saja sekagum kaum Komunis terhadap Karl Marx, mereka tidak menjadikan Karl Marx sebagai teladan dalam seluruh aspek kehidupan. Mereka tidak bertanya cara Karl Marx tidur, berjiran, berkeluarga dan lainnya.
Mohd Ashraf berasal dari Kuala Terengganu dan mendapat pendidikan di dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor. Sekarang beliau bertugas sebagai jurutera di Shah Alam, Selangor.