Memikir Ulang Karya Syeikh Syakib Arsalan
Oleh : Zulhilmi Zakaria
PENGENALAN
Kenapa Umat Islam Tertinggal merupakan sebuah makalah monumental yang ditulis oleh seorang figura penting juga ulama’ yang melihat sendiri kejatuhan moral dan keterbelakangan umat Islam. Tulisan yang meskipun sudah berusia lebih separuh abad akan tetapi tetap kita tidak boleh mempertikaikan relevansinya buat umat harini. Keterbelakangan atau kemunduran ini berlaku baik dari aspek materi mahupun spiritual. Dari sudut keduniaan, umat Islam menjadi kelompok yang amat ‘lapuk’ meskipun tinggal di negara moden. Umat Islam sering gagal dalam persaingan. Dari sudut akhlak, umat Islam mengalami kelemahan himmah atau semangat bersungguh dalam perjuangan. Perjuangan ini meliputi dalam perihal menuntut ilmu, mencari rezeki, menerokai sains teknologi dan ilmu-ilmu keduniaan yang lain. Yang tinggal pada umat Islam pada ketika itu hanyalah kesalahfahaman tentang kehidupan beragama yang menatijahkan fatalisme yang parah. Fenomena kelemahan umat Islam ini melata keseluruh pelusuk dan belahan negara Islam. Umat Islam menjadi mundur dari segenap aspek. Tanah mereka tergadai, maruah mereka dijijak-jijak oleh tamadun lain, tiada lagi adab hanya tinggal biadab, tiada lagi ketamadunan hanya tinggal kehancuran. Dari semua barah yang dialami umat Islam ini, Syeikh Syakib Arsalan sepertinya ‘diutuskan Tuhan’ untuk mengembalikan semangat beragama, menulis dengan penuh kecerdasan akal sebagai peletak dasar kebangkitan Islam!
Tujuan buku ini ditulis adalah bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh Syeikh Basyuni Imran dari Jawa (baca:Indonesia) kepada Syaikh Rashid Ridha dalam melihat kemunduran umat Islam. Lalu Syeikh Rashid Ridha memanjangkan surat tersebut kepada Syeikh Syakib Arsalan. Soalannya seperti berikut:
Apa sebab keadaan yang dihadapi umat Islam saat ini (terlebih kami Muslim dan Jawa Melayu) mengalami kelemahan dan ketertinggalan di bidang keduniaan sekaligus keagamaan. Maka jadilah kami hina, tiada daya dan upaya. Bukankah Allah berfirman dalam Kitab-Nya:
Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin.
(Al-Munafiqun:8)
Mana kekuatan kaum beriman itu? Pantaskah umat Islam disebut kuat, meskipun sejatinya lemah dan tidak memiliki kekuatan apa pun selain kerana Allah berfirman, “Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin” saja?
Apa sebab yang mendongkrak kemajuan Eropa, Amerika, dan Jepang begitu pesat? Mungkinkah umat Islam meraih kemajuan seperti mereka, jika mengikuti usaha yang mereka tempuh dengan tetap berpegang pada agama Islam, atau tidak?
SEKILAS TENTANG SANG AMIRUL BAYAN
Dilahirkan pada tanggal 25 Disember 1869 dan wafat pada tahun 1946. Beliau sempat melihat sendiri kelangsungan Perang Dunia I. Beliau juga sempat melihat sebuah negara Islam sedang tenggelam perlahan-perlahan yang pada ketika itu ialah Khilafah Uthmaniyah. Gelaran Amirul Bayan itu datangnya dari dua perkataan, “Amir” yang bermaksud ‘ketua’, ‘Bayan’ oleh kerana kefasihan beliau dalam berpidato baik dari sudut penulisan atau percakapan. Gelaran Amirul Bayan ini dipersetujui oleh para ulama, pujangga, pemikir, intelektual dari segenap dunia Islam dalam memberi penghargaan dan penghormatan kepadanya.
Penulis Tafsir Al-Manar, Syeikh Rashid Ridha dikatakan sebagai orang pertama yang memberi gelaran tersebut kepada beliau. Syeikh Rashid Ridha merupakan ulama pembaharuan dari Mesir yang juga membawa idea-idea islah dan tajdid. Rashid Ridha dan Syakib Arsalan, keduanya dipengaruhi banyak oleh dua lagi tokoh reformis Islam yang menyinari dunia Arab, iaitu Sayyid Jamaluddin Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Masing-masing satunya membawa idea pembaharuan atau reformasi pandangan Islam dalam menanggapi idea-idea Barat.
Ada juga yang menggelar Syeikh Syakib seorang Nasionalis Arab, akan tetapi jika dicermati benar-benar tulisan dan seruan-seruan beliau dapatlah dilihat, ia ialah Nasionalisme-Islam atau Pan-Islamisme yang menyeru kepada kesatuan umat Muslimin keseluruhannya merentasi sempadan negara, warna kulit dan bahasa.
Dalam ilmu sains sosial yang mengkaji wacana-wacana Islam di Arab mahupun Asia, Syeikh Syakib Arsalan dikategorikan dalam kelompok muslim reformis sebaris dengan Afghani, Abduh, Syed Ahmad Khan, Fazlur Rahman, dan Asghar Ali Engineer yang mana sering dituduh ejen-ejen sekular Barat oleh kelompok tradisionalis kerana idea-idea mereka. Juga pernah dilemparkan tuduhan Muktazilah yang cuba meletakkan akal (reason) lebih tinggi dari nas-nas agama.
ALTRUISME VERSUS EGOISME
Seterusnya, mari kita wacanakan idea-idea yang cuba diketengahkan oleh Syeikh. Pertama ini ialah tentang sikap altruisme melawan egoisme. Saya tambahi disini, altruisme itu turut juga semangat untuk mementingkan masyarakat atau “the otherness” baik dari sudut harta dan jiwa raga. Pada beliau, kemunduran umat Islam bertitik tolak daripada kelemahan umat Muslimin yang takut untuk mengorbankan dua perkara ini. Beliau memberikan contoh dalam perang Palestin-Israel antara umat Islam dengan Yahudi. Dalam dana yang dikutip oleh kaum muslimin hanya mencapai 13 ribu Pound sedangkan kelompok Yahudi memperolehi sejumlah 1 juta Pound. Jika kita sendiri yang lihat, tersungguhlah malu. Bandingkan saja dari sudut geografinya, tanah Palestin itu dikelilingi oleh negara-negara Arab yang menganut Islam, sedangkan Israel hanya sebuah negara kecil ditengah-tengahnya. Tetapi semangat berkorban mereka itu lebih menjuarai.
Hal ini pada Syeikh Syakib adalah disebabkan hilangnya semangat berkorban dengan harta dan diri seperti yang disebut dalam Al-Quran serta yang dipamerkan oleh Sunnah Rasulullah dan para sahabat. Ini sebuah perkara yang kita perlu persoalkan akan dimana perginya semangat kita? Tidak usah disebut berkenaan dengan harta, soal untuk mengorbankan tenaga pun kita sudah gagal. Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quran:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (At-Taubah 111)
Mari kita renung sedikit tauladan yang dirakamkan dalam perjuangan sirah Rasulullah s.a.w. Misalnya, kisah dakwah baginda di Thaif. Tidakkah sahabat tahu berapakah jarak Thaif itu dari kota Mekah? Ia sejauh 60 batu atau 96 kilometer jaraknya. Dan Rasul kita pergi dengan keadaan berjalan kaki. Tidak lain pesanan baginda adalah untuk menyampaikan risalah Islam. Demikian selepas itu, Rasulullah menyampaikan risalah Islam kepada pembesar-pembesar Thaif. Baginda dihina dan dicaci. Terdapat seorang daripada mereka pembesar kaum Tsaqif mengatakan, “Demi Allah, aku tidak akan bercakap denganmu untuk selamanya. Sebab, jika kamu memang benar seorang Rasul , pasti kamu lebih mampu menolong dirimu sendiri daripada dibantu oleh kata-kataku. Namun begitu, jika ternyata kamu berdusta atas nama Allah, maka tidak layak aku bercakap denganmu.” Baginda juga dilempar batu dan kata-kata kesat saat mahu meninggalkan kota itu, lutut baginda berdarah sehingga memenuhi seliparnya. Zaid bin Harithah yang cuba untuk melindungi Rasulullah sehingga kepalanya juga berdarah.
Cuba-cuba kita fikirkan. Adakah apa yang baginda lakukan untuk dirinya sahaja? Tidak sama sekali. Baginda amat menyayangi umat manusia. Baginda ingin menyampaikan kebenaran risalah Tuhan, meskipun harta dan nyawa menjadi harganya. Demikianlah perjuangan dimana pun ia berada, jiwa raga dan harta perlu banyak sekali dikorbankan. Begitu jugalah perjuangan kita sehari-hari.
KERUNTUHAN AKHLAK
Dalam perbincangan seterusnya, faktor umat Islam menjadi mundur ialah kerana meluasnya kerosakan akhlak. Hal ini dibincangkan dengan serius sekali oleh Syeikh. Dan beliau menyatakan, faktor keruntuhan akhlak yang berlaku adalah disebabkan kejahilan umat Muslimin itu sendiri. Mari kita bincangkan disini tentang kejahilan yang dimaksudkan. Jika mengikut Professor Syed Muhammad Naquib Al-Attas, kejahilan atau kebodohan yang boleh melanda masyarakat itu ada dua macam:
- Jahl Al-Basit (Innocent ignorance).
Juga dipanggil Simple ignorance. Ialah apabila seseorang itu menyedari akan kebodohannya dalam sesuatu perkara. Lantaran daripada itu, membuatkannya untuk belajar dan menuntut ilmu. Barangkali sifat ini sememangnya negatif, akan tetapi usahanya untuk keluar daripada kepompong kebodohan itu merupakan positif. Kebodohan ini lebih mudah untuk dirawat.
2. Jahl Al-Murakkab (Compounded ignorance).
Kebodohan ini lebih sukar untuk dirawati. Seseorang yang dia sendiri tidak mengetahui bahawa dia itu tidak mengetahui. Malah tidak sedar akan kebodohan diri lalu membibitkan kesombongan untuk menuntut. Kejahilan di tahap ini lebih merbahaya. Misalnya, kelompok ekstrimis agama yang melakukan keganasan seperti pembunuhan dengan menggunakan dalil-dalil nas. Mereka merasakan perbuatan mereka benar tambahan suruhan Tuhan pula kata mereka. Sedangkan tiada yang benar melainkan kekeliruan mereka dalam memahami dalil agama.
Mengikut Syeikh Syakib, kejahilan inilah menjadi faktor keruntuhan akhlak. Kejahilanlah menyebabkan pandangan umat muslimin itu menjadi kabur. Persoalan tentang kebaikan (good) dan kejahatan (evil) kian sukar untuk dibezakan. Tambahan pula, fahaman yang sempit perihal apa itu amal perbuatan yang baik di dalam Islam juga sebab mundur umat muslimin dalam ilmu akhlak. Misalnya, menganggap ‘amal baik’ itu hanya perihal hukum syara’ seperti solat, zikir, puasa, mengeluarkan zakat. Sedangkan, menepati masa, sikap amanah, betul pada janji, menjaga kehormatan diri, itu juga semuanya termasuk dalam amal kebaikan malah diseru oleh syara’. Jika kita luaskan lagi skop amal baik itu, kenapa melawan rasuah dan korupsi itu tidak dianggap amal baik atau ibadah kepada Tuhan?! Mungkin kerana politik itu kotor, maka segala yang berkaitan dengannya adalah kotor. Inilah contoh budaya pesimisme yang melarat umat Islam.
KAUM JAMID DAN KAUM JAHID
Dalam perbincangan ini, Syeikh Syakib menerangkan dua kutub ekstrim yang wujud dalam kalangan umat muslimin. Satunya ialah ‘kaum jamid’ iaitu kaum yang jumud. Syeikh menerangkan kelompok inilah yang membekukan atau menjumudkan segenap pandangan Islam tentang kehidupan. Kita boleh katakan, mereka ini dari kelompok tradisionalis atau konservatif yang dilanda pesimisme. Fahaman agama mereka itu amat fatalis. Mereka kurang berusaha tetapi sering memberi dalih takdir Tuhan yang menetapkan mereka sedemikian. Mereka cenderung menolak unsur keduniaan. Syeikh Syakib menyelar kaum jamid itu:
“Adalah si jamid yang mengakibatkan umat Islam jatuh miskin. Sebab, ia memosisikan Islam sebagai agama akhirat saja. Padahal, Islam adalah agama dunia dan akhirat.”
Sambung beliau lagi perihal kesalahfahaman kaum jamid mengenai ilmu:
“Si jamid yang menabuh genderang perang terhadap ilmu-ilmu alam, matematika, filsafat, dan sebagainya, dengan dalih bahawa itu semua adalah ilmu-ilmu orang kafir.”
Kita lihat di sini, menjadi orang yang kuat berpegang dengan agama itu sepatutnya tidak melemahkan kita untuk mengkaji ilmu-ilmu keduniaan, tidak menghalang kita untuk maju dalam ekonomi dan politik, juga tidak menghalang kita untuk menjadi kaya dalam mengumpul harta.
Za’ba juga memberikan kritikan pedas kepada kelompok jamid ini dalam bukunya Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga menulis Aina Khalal. Muhammad Al-Ghazali menulis Kaifa Nafhamul Islam. Syed Hussein Alatas menulis Kita Dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah. Semua karya-karya ini mempunyai falsafah yang dikongsi bersama, yakni mengkritik kelemahan dan pesimisme yang melanda umat Islam.
Kedua ialah kaum jahid atau kaum yang ingkar. Mereka ialah yang sudah terikut-ikut dengan pembaratan (westernization). Malah mereka mempromosi sekular secara nyata. Mereka mengatakan umat Islam tidak akan maju jika masih berpegang dengan agama. Agama itu hanya memperihalkan berkenaan solat, puasa, zakat dan haji. Semuanya soal keakhiratan. Jadi, untuk maju di dunia ini, kita perlu tinggalkan agama. Juga kelompok jahid ini seolahnya tiada identiti sendiri. Mereka terlalu mengagungkan Barat sehingga mahu saja dibuka pakaian bangsa dan budayanya sendiri dan ditukar dengan pakaian-pakaian Barat.
Kaum jahid itu tidak mempunyai keyakinan diri dalam mahu membangunkan bangsa sendiri. Disini Syeikh Syakib memberikan beberapa contoh bangsa yang masih berpegang teguh dengan adat dan budaya sendiri meskipun sudah dijajah dan ditindas. Syeikh memberikan contoh negara Irlandia yang sudah lebih 700 tahun dijajah Inggeris yang cuba mengasimilasikan budaya Inggeris tetapi tidak berjaya. Masyarakat Irlandia masih mengekalkan bahasa, keyakinan, rasa, dan adat istiadat tersendiri.
Begitu juga konteksnya Asia, kita tidak perlu untuk meninggalkan agama, adat, dan budaya kita hanya kerana untuk maju. Kerana ia bukanlah syarat kemajuan sesuatuketamadunan. Malah kita akan lebih maju berbanding Barat sekiranya kita mampu mengekalkan agama dan budaya kita. Juga unsur jamak budaya dan masyarakat majmuk itu bukanlah menjadi penghalang untuk terus bangun kehadapan mengekalkan pendirian kita seperti perkataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bukunya Revolusi Kebangkitan Asia:
“….Asia baru akan tetap Asia kerana ia akan setia dan mempertahankan pandangan hidup, peradaban dan prinsip akhlaknya. Pandangan hidup dan prinsip akhlak yang diwarisi selama ribuan tahun akan mendapat pengucapan baru dan segar untuk menjadi panduan yang lebih berkesan kepada generasi baru.”
PENUTUP
Di akhir tulisan ini, suka untuk saya nyatakan buku ini amat wajar diamati oleh segenap kaum Muslimin dalam konteks abad ke-21. Kritikan-kritikan yang dibuat oleh Syeikh masih relevan untuk kita perbaiki dan berusaha melakukan penambahbaikan. Dari ilmu-ilmu keduniaan sehingga yang melibatkan agama, kedua-duanya perlu diseimbangkan malah tidak ada pemisahan keduanya itu. Ilmu-ilmu akhirat (baca: Al-Quran dan As-Sunnah) itu merupakan inti pencerahan akal umat manusia itu memahami ilmu-ilmu keduniaan. Syeikh menulis dalam epilog buku ini:
“Sejatinya, persoalan-persoalan ilmiah itu hanyalah cabang bukan akar; adalah hasil bukan premis. Sementara jihad dengan harta dan jiwa adalah ilmu tertinggi yang diserukan semua ilmu. Jika umat Islam mempelajari ilmu ini dan mengamalkannya, seluruh ilmu dan pengetahuan yang lain pasti bisa ditaklukkan.”
RUJUKAN
Al-Mubarakfuri, S. S. (2013). Ar-Rahiqul Makhtum. Kemilau Publika Sdn Bhd.
Arsalan, S. S. (2013). Kenapa Umat Islam Tertinggal. Jakarta: Pustaka Al-kautsar.
Anwar Ibrahim, (1997). Revolusi Kebangkitan Asia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Azhar Ibrahim, (2014). Contemporary Islamic Discourse in the Malay-Indonesian World: Critical Perspectives. Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development (SIRD).
Za’ba. (2009). Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
http://seekershub.org/blog/2013/07/ how-do-we-know-summary-of-lecture-by-syed-muhammad-naquib-al-attas
Zulhilmi Zakaria berasal dari Ipoh, Perak. Berkelulusan BA Pengurusan Muamalat dari Universiti Sains Islam Malaysia. Beliau juga merupakan mantan Presiden SisPro di USIM.