Syed Syaikh Al-Hady & Kesedaran Emansipasi Wanita

Oleh: Nur Arif Isa

Pemikiran masyarakat di Tanah Melayu dan Singapura selepas Perang Dunia Pertama telah banyak mengalami perubahan dan anjakan. Golongan wanita yang dulunya dianggap lemah, tidak memberi sumbangan dan tidak berdaya dalam isu politik, ekonomi dan sosial telah bangkit menuntut hak bersuara yang dinamakan Gerakan Emansipasi Wanita. Emansipasi berasal dari bahasa latin iaiu “emancipatio” yang bermaksud pembebasan dari suatu bentuk kongkongan atau dari tangan kekuasaan.

Proses emansipasi yang dilalui wanita Melayu banyak digerakkan oleh kesedaran diri kaum wanita sendiri sekalipun seruan awal  dicetuskan oleh reformis-reformis lelaki. Namun, perbincangan tentang peranan wanita dan pemodenan sebenarnya merupakan fenomena global yang memuncak pada 1930-an.

Perjuangan ke arah mendapat hak wanita sebenarnya tidak diiringi oleh gerakan atau pembentukan persatuan pembebasan wanita yang jelas, sebaliknya dirintis oleh golongan intelektual lelaki dan wanita melalui wacana dalam bidang penulisan. Hasil daripada wahana mereka, di tangan intelektual dan pemikir termasuk golongan guru, wartawan dan penulis awal abad ke-20 inilah, bayang feminisme mula terasa. Meskipun istilah tersebut belum wujud namun semangatnya tetap ada.

Wanita melayu yang celik huruf sebenarnya telah berusaha menulis dengan cara dan buah fikiran tersendiri demi menyampaikan reaksi mereka terhadap perubahan Tanah Melayu ke arah pemodenan. Meskipun jauh daripada berbau reformasi, tulisan-tulisan seperti petua rumahtangga dan buku resepi sebenarnya mengandungi aspirasi kaum wanita sendiri. Salah satu buku petua rumahtangga yang popular dan dicetak beberapa kali ialah tulisan Sarifah Allwiah Syed Teh Alhabshi berjudul Syair Nasihat Perempuan yang diterbit pada 1903 dan dicetak kali kedua pada 1906.

Di Tanah Melayu, golongan gerakan reformis yang disebut juga sebagai kaum muda telah mengerakkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan untuk anak-anak perempuan melalui penerbitan akhbar dan majalah Melayu yang mengangkat aspirasi harakah islah dan tajdid di Tanah Melayu. Semisalnya, majalah Al-Imam dan akhbar Saudara.

Majalah Al-Imam yang diterbitkan di Singapura pada 1906 hingga 1908 yang memperkatakan hak wanita dan amat menyokong kepada pendidikan kaum wanita.

Selain itu, kaum muda turut menggunakan novel untuk menyedarkan masyarakat Melayu tentang pentingnya memberi pendidikan kepada anak-anak perempuan sebagaimana yang diketengahkan dalam Hikayat Faridah Hanum dan Hikayat Puteri Nurul Ain karangan Syed Shaykh Al-Hady.

Justeru di atas dasar penindasan dan penafian hak golongan wanita terhadap pengamalan adat yang kuat, seruan kepada pembebasan wanita daripada kongkongan adat jelas kelihatan.

Reformise Wanita dalam Hikayat Faridah Hanum karya Syed Shaykh Al-Hady

Syed Shaykh Bin Syed Ahmad Al-Hady merupakan seorang tokoh reformis di tanah Melayu ini. Al-Hady dianggap sebagai khalifah kaum muda yang tidak hanya tumpuannya terhadap kritik pemimpin feudal Melayu, tetapi juga terhadap aliran konservatif serta penjajah British. Al-Hady antara yang bicarakan hak pendidikan terhadap kaum wanita, seperti mana yang terdapat dalam Hikayat Faridah Hanum.

Saduran islah dan tajdid menerusi karya Hikayat Faridah Hanum ini menyuluh secara langsung kepada permasalahan masyarakat dan persoalan bagaimana Syed Shaykh al-Hady menanggapinya. Bermula dengan teknik pelukisan watak-watak yang digunakan oleh Al-Hady dalam mengarang novel ini, sehinggalah beberapa simbolisme dan mesej tersirat yang menjurus kepada usaha pembaikan masyarakat marginal.

Secara ringkasnya, Hikayat Faridah Hanum mengesahkan percintaan antara Faridah Hanum yang merupakan anak perempuan seorang saudagar yang kaya dan terpandang dalam masyarakat Mesir dengan pemuda yang bernama Syafik Affandi berkelulusan tinggi dari sebuah sekolah tinggi di Kaherah. Syafik Affandi jatuh cinta pandang pertama kepada Faridah Hanum kerana kecantikan wajah dan ketinggian budi anak gadis tersebut. Tercetuslah pelbagai cabaran, konflik dan pertentangan yang menguji ketulusan cinta masing-masing. Permulaan cinta mereka diuji apabila ada paksaan terhadap Faridah Hanum untuk berkhawin dengan sepupunya Badaruddin Affandi.

Beberapa tempat plot cerita dalam hikayat ini terdapat suasana keghairahan yang ditimbulkan atas objektif-objektif kritikan yang mahu dilontarkan oleh pengarang.

Hikayat Faridah Hanum mengambil latar negeri arab iaitu Mesir dan para wataknya bukan berbangsa Melayu tetapi orang Mesir yang beragama Islam yang sudah diresapi nilai kemodenan.

Aspek-aspek islah dan tajdid yang dapat dicedok dari Hikayat Faridah Hanum, yang hanya difokuskan kepada soal reformise wanita dapat dibahagikan; 1) hak pemilikan jodoh dalam kalangan perempuan Islam, 2) hak pendidikan buat anak-anak perempuan dan 3) hak untuk bergiat aktif dalam bidang politik.

Hak pemilikan jodoh dalam kalangan perempuan Islam; Syed Sheikh al-Hadi cuba menyedarkan kembali masyarakat tentang apakah kerangka asas agama yang seharusnya diikuti dan hak pemilikan jodoh yang seharusnya diberikan kepada wanita Islam. Seperti di dalam karyanya (dikekalkan gaya bahasa dan ejaan oleh pengarang);

“…tidaklah begitu ibu. Bukankah beta ini telah dipelihara dan diberi pelajaran agama dan dunia masa ini, maka apakah guna pelajaran yang ada kepada beta ini jika sampai tidak boleh beta memberi fikiran beta di dalam perkara yang semata-mata berganting bagi kehidupan beta sendiri pada masa akan datang. Bukankah berkahwin ertinya bersyarikat hidup sama yang dikehendaki daripada mula hingga tua atau sampai ke mati. Maka jika syarikat itu tiada bersetuju sama satu tabiat perangai dan peraturan bagaimanakah boleh hidup kekal syarikat itu dengan sejahteranya. Disinilah penyakit yang datang ke atas kebanyakkan bangsa kita kita kaum Islam fasal perkara kehidupan laki isteri, sebab kebanyakan bapa-bapa itu menggunakan kekerasannya yang diberi oleh Tuhan kepadanya di atas anak perempuannya yang anak dara itu dengan tidak memilik tabiat perangai anaknya dengan tabiat perangai laki-laki yang disukainya itu, hanyalah yang ditilik oleh mereka itu kesukaan hatinya sendiri sahaja. Apabila suka pada hatinya dihukumkannyalah di atas anaknya mesti menerima laki-laki itu, sekalipun, sebab konon ianya bapa ada kudrat kuasa memberi kahwin anaknya yang anak dara itu dengan tiada mengambil izinnya.”

Syed Shaykh Al-Hady dengan tegas menolak konsep kahwin paksa yang berleluasa dari kalangan masyarakat Melayu. Selain itu, Al-Hady juga memperjuangkan hak pendidikan terhadap anak perempuan Islam. Anak-anak perempuan Islam tidak hanya disuruh duduk di dapur dan berlawa di dalam rumah dan dinafikan peluang menuntut ilmu sebaliknya ruang mendapatkan pendidikan agama yang sesuai dan sama rata dengan anak-anak lelaki. Perkara ini dapat lihat menerusi dialog Faridah Hanum di bawah;

“….tetapi tidaklah kita sekalian perempuan reda akan hukuman sekalian laki-laki di atas kita sekalian perempuan bahawa kita sekalian ini tidak berguna sama sekali di dalam kehidupan perhimpunan kaum dan bangsa dan watan lain daripada kegunaan kuda tunggang atau tukang masaknya dan tukang basuh kain bajunya, kerana kita sekalian perempuan mengetahui yang kita ini manusia, sama juga bagaimana laki-laki dan diberi oleh Tuhan kita akal yang boleh kita mendapat apa-apa pengetahuan yang boleh didapati oleh sekalian laki-laki itu.”

Hikayat Faridah Hanum dengan pelukisan watak yang teliti terhadap sosok perempuan bernama Faridah Hanum tidak terlupa menyedari kelompangan emansipasi wanita dalam bidang politik. Hal ini begitu ketara kelihatan apabila Faridah Hanum bersedih dengan apa yang terjadi dalam negaranya disebabkan pemerintah dari kalangan bangsa lain. Masalah yang berlaku bukan semata kerana doktrinisasi penjajah sebaliknya pandangan cetek terhadap ketua kerajaan wanita yang tidak dapat memerintah sendiri. Pemikiran ini dapat dilihat seperti berikut;

“Faridah Hanum berkata-kata itu seumpama air yang deras tidak tertahan sedikit jua pun dengan merah padam warna mukanya serta berlinang ling air matanya oleh teringatkan kaum dan bangsa dan tanah airnya di dalam pemerintahan bangsa yang lain kerana kebodohan orang besar besar dan ketua ketua agamanya yang telah meninggalkan perkataan Allah dan RasulNya berpegang kepada segala perkataan orang yang tidak diturunkan oleh Tuhan wahyu wajib ianya yang telah membawa pecah belah kaum Islam ini di dalam perkara agama dan perkara dunianya.”

RUJUKAN

  1. Alijah Gordon, The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady, terj: Seruan Islah Syed Shaykh al-Hady, Kuala Lumpur: Islamic Renaissance Front, 2018.
  2. Rosnah Baharudin, Wacana Wanita Melayu dan Sastera, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2003
  3. Syed Shaykh Al-Hady, Faridah Hanum, Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1985.

Nur Arif Isa berasal dari Melaka dan merupakan Felo Lestari Hikmah. Beliau berkelulusan Pengajian Islam dengan Pembangunan Sumber Manusia dari Kolej Universiti Islam Melaka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *