Melayu Ditindas ‘Melayu’ : Catatan Tentang Rakaman Kajai
Oleh: Amier Suhaimi
Kekadang dalam kumpulan sendiri ada musang berbulu ayam, serigala menyamar biri-biri. Itu yang aku katakan pada kenalan aku sewaktu pertemuan kami di perpustakaan minggu lepas.
Sudah jadi semacam adat ya, kalau pilihan raya sudah hampir, akan ada suara-suara sumbang mengatakan yang bangsa sendiri terancam. Paling menjahanamkan sekali apabila suara-suara sumbang ini pula mengatakan yang bangsa mereka akan tertindas kalau memberi peluang kepada orang-orang berbangsa selain dan parti-parti politik tertentu memegang kuasa memimpin.
“Dey, kau tak perlu tunggu orang lain tindas bangsa kau. Kadang, dari kumpulan kau boleh tindas kau sendiri.” Jelas aku lalu keluarkan sebuah buku dari beg tote yang setia bila keluar kemana-mana.
Aku dan kenalan aku itu duduk bersebelahan. Cantik. Bolehlah aku dengan terang sekali dapat menyuluhnya dengan apa yang Abdul Rahim Kajai (Kajai) pernah sampaikan lewat cerpen-cerpennya.
“Kekadang yang datang dari kumpulan yang sama dengan kau boleh buat sial kepada kau.” Jelas aku lagi dan kali ini membiarkan dia merenung dalam-dalam ke dalam beberapa halaman dalam cerpen karangan Kajai.
Di zamannya, Kajai ada menulis beberapa cerpen menarik yang membicarakan tentang permasalahan takrif Melayu dan perhubungan takrif tersebut dengan orang-orang Arab (DKA) dan India Muslim (DKK). “Kekadang mereka yang gemar kau agungkan itu boleh ambil kesempatan dan buat aniaya pada kau.” Aku jelaskan lagi sambil menunjukkan salah satu cerpen Kajai kepada kenalan yang nampak peluang cerah untuk sedar itu.
Cerpen ‘Buang Bangsa, Buang Harta Keranamu Tuan’ mempamerkan kesombongan juga keegoan DKA. DKA ini menganggap keturunan mereka tinggi, mulia. Mereka ada gelar Sayid, Syarifah tapi hanya sekadar pada nama saja. Mereka angkuh, materialistik. Manakan tidak! Mereka dilayan istimewa lebih daripada masyarakat Melayu itu sendiri. Memetik sebahagian daripada cerpen:
…”Jikalau begini juga hal orang-orang awam Melayu Singapura layannya jauh daripada raja nescaya akan mati terpijak juga.”
“Cuba tengok!” katanya, “bila-bila raja-raja Melayu datang ke sini mana ada orang Melayu memberi keraian bahkan datang mengadap pun tak ada padahal DKK dan DKA ada yang menanti di perhentian keretapi, ada yang memberi jamuan bahkan ada yang dapat membawa raja menjadi dif di rumahnya. Adakah tidak kelak orang asing juga yang akan terpandang? Jarum mereka juga yang akan lalu? Takrif Melayu entah ke mana dan pergerakan kebangsaan Melayu entah di mana.”…
… “aku tak pelik! itu bukan fasal apa-apa. Cuba engkau fikir bagaimana orang Melayu boleh mengadap? Jikalau datang mesti berjumpa mata-matanya dahulu barangkali di pintu sahaja sudah kena tahan. Jikalau dapat masuk pintu pun mesti disembahkan kepada orang raja dahulu. Terkadang-kadang raja tak senang, terkadang-kadang kena tanya apa fasal mahu jumpa raja boleh jadi datang pagi disuruh datang petang datang petang disuruh datang pagi akhirnya tak dapat mengadap. Jikalau dapat mengadap pun bukan main punya susah hendak mengangkat sembahlah! Hendak berpatik berpacarlah, batuk pun tak boleh di hadapan raja padahal orang asing terus dapat naik. Bila berjumpa pula dia bilang hello! Habis raja pula jawab hello! Sila masuk! Habis,” kata orang muda ini. “Apa awak fikir? Bangsa Melayu bolehkah buat itu macam? Pendeknya tidak ada canlah mahu jumpa sama raja,” sambil gelak-gelak.
Dalam cerpen sama, Kajai juga gambarkan mereka (DKA dan DKK) sebagai perosak masyarakat Melayu. Mereka pemecah perpaduan. Mereka juga pencuri kekayaan orang Melayu.
Selain daripada DKA, kumpulan lain yang membuat ONAR terhadap kumpulan orang Melayu juga adalah DKK, iaitu orang Islam berketurunan India. Anehnya, hari ini, mana-mana kaum di sini yang masuk Islam boleh jadi Melayu! Maka kek orang Melayu itu akan dikongsi pula dengan mereka-mereka yang baru masuk Melayu.
Kumcer Kajai ini juga dalam cerpen (sebenarnya lebih wajar dipanggil Cerpan kerana panjang) ‘Peperangan Dengan Adat Perpatih’ mempamerkan seorang DKK yang berkahwin dengan perempuan Melayu berharta dan dengan kejinya memperdaya isterinya yang Melayu tulen itu untuk menukarkan namanya sendiri ke atas semua harta peninggalan Ibu Mentuanya.
Dalam cerpen yang sama, anak kepada watak DKK bernama Syed Nadir Ali, iaitu Khalid, ada berkata buruk kepada Melayu dengan mengatakan, “… Bagaimana ini orang Melayu boleh maju jikalau bual-bual Kesatuan Melayu di kedai kopi lebih besar kepadanya daripada bekerja.”
Berdesing telinga Cik Tiyana mendengar Si Khalid mengata Melayu. Dia tahu yang orang Melayu sudah tak gemar jadi drebar ayahnya kerana sudah meluat sama ayahnya dan Encik Khalid. Bukannya kerana Melayu itu bodoh (menurut Cik Tiyana yang mendengar ucap Khalid).
Dalam Kumcer ini juga, ada diterangkan yang dalam zaman sebelum Perang Dunia Kedua, kehidupan bagi sebahagian orang-orang Melayu di kota-kota besar seperti Singapura dan Pulau Pinang dikatakan sering terancam oleh tindak-tanduk orang-orang daripada kalangan DKA dan DKK dalam cara yang halus dan licin, mereka memperdayakan orang-orang Melayu supaya menjualkan tanah-tanah; akibatnya ialah orang-orang Melayu terpaksa berpindah ke daerah-daerah meleset dan terbiar. Anehnya, DKA dan DKK ini adalah kumpulan yang sama dengan masyarakat Melayu iaitu sama beragama Islam; Kalau diikutkan, mereka-mereka ini (DKA dan DKK) boleh digelar Melayu dan berkongsi nikmat sama orang Melayu (tulen) terima pada hari ini.
Begitulah penjelasan aku kepada kenalan aku di perpustakaan minggu lalu. Niat aku bukan untuk memburukkan satu kaum tertentu. Niat aku untuk beri ingatan bahawa mereka yang sama kumpulan dengan kau pun boleh buat aniaya dalam kehidupan kau.
Kalau dilihat dalam situasi hari ini, mereka yang berpura-pura alim itulah yang giat buat onar dalan hidup masyarakat kita. Seleweng wang, aniaya (liwat) anak-anak yang mahu belajar agama, menipu, mencuri.
Banyak lagi onar mereka-mereka ini tapi biasalah, yang tidak sama di mata kita itulah yang dijadikan bahan dan modal. Menyedihkan!
Kata akhir aku sebelum tinggalkan kawan aku di satu sudut dalam perpustakaan itu: “Aku cuma nak ingatkan, kau tak perlu rasa terpaling tertindas oleh mereka yang tak sama dengan kau. Kadang-kadang yang buatkan kau basah sebab sertai kau pun boleh buat onar dalam kehidupan kau.”
Amier Suhaimi merupakan pengarang amatur lahir di Kuala Lumpur. Pernah tinggal di kota suci Kelantan juga Pahang dan kini mengaji bisnes secara formal dan sastera secara informal di Selangor. Siar lukisan di @Olehamiersuhaimi dan mula kongsi catatan lewat #catatanamiersuhaimi — kedua-duanya boleh dicapai lewat Instagram. Cita-citanya mahu jadi orang bebas.