Falsafah, Kelestarian Dan Keamanan

Oleh : Aliff Naif Mohd Fizam

Sedari awal kewujudan tradisi pemikiran dan falsafah – jika boleh kita dedikasikan kepada Thales – ia bertujuan untuk memahami alam ini dan segala sesuatu yang ada di dalamya. Ini termasuklah hal yang berlaku sehari-harian dan yang ghaib dari pandangan. Pentingkah memahami semua hal ini? Tak bolehkah jika hanya meneruskan sahaja kehidupan yang singkat ini dengan tenang tanpa pemikiran kompleks yang terkadangnya menyesakkan ini? Dari perspektif manusia sebagai satu kolektif, pilihan untuk mengabaikan falsafah itu bukanlah sesuatu yang kita mampu ambil. Kita mahluk yang punya akal. Selagi mana kita berfikir selagi itu falsafah akan wujud. Juga terlalu banyak hal yang bergantung kepada falsafah. Kita bergantung kepada falsafah. Sedar atau tidak pandang alam (weltanschauung) kita dicorakkan falsafah.


Matematik sebagai contoh, merupakan hasil dari pengamatan terhadap alam lalu diterjemahkan dalam bentuk dan digit yang memudahkan perkiraan. Pythagoras dan kultus matematikanya memberi manfaat kepada dunia berteknologi tinggi yang kita duduki sekarang. Burj Khalifa, Lebuhraya Utara-Selatan, malah komputer riba berjenama Acer yang kita gunakan untuk menyatakan sumbangan Pythagoras tidak mungkin wujud tanpa teorem yang diasaskan beliau. Matematik juga menjadi bukti bagaimana ilmu itu bersifat lestari – berkesinambungan tanpa mengendahkan peredaran zaman. Apabila Rom menjajah Yunani Kuno, Maharaja Augustus tidak perlu mencipta sistem kira-kira yang baharu. Bentuk digit berubah, dari digit Yunani ke digit Rom, tetapi sistemnya kekal. Satu tambah satu tetaplah dua.


Pengamatan idea dan falsafah menggunakan kekuatan rasional dan juga ilmu wahyu bertindak menjelaskan tentang ilmu itu sendiri, lalu membawa kepada perbincangan tentang kebenaran. Plato yang kerap menulis dialog menggunakan pemerhatian beliau terhadap kerja-kerja seperti nakhoda kapal, tukang masak dan juga penjaga kuda untuk dijadikan analogi Techne bagi menjelaskan tentang pembinaan negara. Apa agaknya bentuk penulisan beliau jika beliau hanyalah memerhati tanpa berfikir? Mungkin kita tidak dapat membaca Republik yang menjadi buah perbincangan sehingga 2000 lebih tahun lamanya, atau mungkinlah ia sekadar menjadi dialog kosong, sekadar sembang kedai kopi antara Socrates, Thrasymachus, Adeimantus, Glaucon, Cephalus dan Polemarchus.


Falsafah memerhati tentang kehidupan manusia itu sediri – melihat dan cuba memahami apa yang berlaku terhadap eksternaliti seseorang dan juga hal yang berada dalam mindanya. Pengamatan membentuk sesuatu idea dan falsafah, dan pengamatan terhadap idea dan falsafah ini membentuk idea dan falsafah yang baru, dan begitulah seterusnya. Pertembungan falsafah itu hal yang asasi; teramatlah asasi dan tidak salah jika dikatakan itu sebagai pacuan kepada sejarah dan peradaban manusia. Setiap zaman punya semangatnya yang membentuk faham dan idea, sesuatu yang kita sebutkan sebagai Zeitgeist.


Zeitgeist ini bukan sekadar memberi iltizam supaya idea dan falsafah sesuatu peradaban itu dikembangkan, ia juga membentuk jalan buat aliran dan tradisi falsafah baru yang muncul terkemudiannya. Falsafah Humanisme pada Zaman Renaissance memberikan jalan buat falsafah liberalisme yang mencorakkan tradisi pemikiran Barat yang akhirnya membawa kepada dunia modern kita. Kelestarian itu wujud dalam bentuk yang baru. Ia menjadi sintesis kepada idea yang wujud sebelumnya.


Lalu apa peri pentingnya memahami dan melihat kelestarian falsafah dan idea? Sepertimana semangat zaman sekarang didasari dan dibentuk masa lalu, begitu halnya dengan masa depan dan masa sekarang. Apa yang menjadi topik perbincangan kita dan perkembangan falsafah terkini akan mencorakkan masa depan. Marx ketika menulis risalah Manifesto Komunis tidak menjangka bahawa ia akan menjadi perbincangan teras umat manusia beraliran kiri – terutamanya ketika insan abad ke-21 cuba mengambil sikap kritikal terhadap sistem kapitalisme global. Mungkin idea falsafah yang paling tidak terkenal pada hari ini juga akan membentuk faham masa depan.


Kelestarian juga penting untuk kita menganalisa masa kini. Memahami permasalahan sosial dan keadaan manusia – tugas hakiki ahli falsafah – tidak boleh dilakukan hanya dengan melihat zaman kita sendiri. Seperti yang telah kita nyatakan, masa sekarang dibentuk masa lalu. Ada pengaruh dalam sistem nilai dan evolusi institusi. Fukuyama misalnya cuba menjelaskan perbezaan keadaan politik di negara-negara yang berbeza dengan melihat bentuk kefahaman penduduk tempatan yang dibentuk masa lalu – jauh ke masa lampau tatkala manusia juga masih berbentuk proto-manusia. Syed Hussein Alatas dalam menjelaskan kecenderungan ahli politik dan politik naungan melihat kepada kesinambungan sejarah dan idea feudalisme secara psikologikal. Mudah kata idea dan falsafah yang bersambungan ini membantu kita memahami keadaan kita sekarang.


Kita amati pula soal keamanan. Ahli falsafah punya satu obsesi yang sukar diubati – mencari kebenaran. Aliran pemikiran yang berbeza, konteks zaman yang tidak sama dan tradisi dari benua masing-masing tidak mengubah misi besar para filasuf untuk mencari kebenaran tentang manusia, ilmu, alam, ketuhanan dan lain-lain persoalan besar. Dari sekalian analogi dan pengamatan Plato menerusi Techne, beliau memberi tapak asas kepada epistemologi – dari ilusi (eikasia) sehingga ke tahap dialektika (noesis). Dari situ beliau menyatakan garis perbezaan tentang apa itu pendapat dan apa itu ilmu. Pendapat itu boleh salah, namun ilmu itu harus bebas dari kepincangan. Bukankah ini menjadikan dunia itu lebih baik – lalu lebih aman? Satu keadaan dimana pendapat dicanang tanpa diuji akan kebenarannya, lalu diterima mentah-mentah, adalah keadaan yang akan sarat dengan penipuan dan kelemahan. Tanpa kebenaran itu sendiri tidak akan wujud keadilan, dan dunia yang penuh dengan ketidakadilan bukanlah dunia yang aman.


Selain dari semangat, setiap zaman juga punya masalah yang tersendiri. Kes tertinggi yang wujud di setiap zaman adalah kes ketidakadilan. Ada jurang antara manusia yang kononnya setara (juga hasil pengamatan dan idea filasuf), baik sudut pandang keagamaan mahupun sekular. Ketidakadilan yang berleluasa semestinya menjerumuskan umat manusia ke alam kebinasaan – hak dicabuli, layanan dua darjat, jurang kekayaan yang meluas dan penguasa yang menzalimi orang yang di bawah tanggungjawabnya. Falsafah memikirkan akar kepada permasalahan ini; kalau benar kita dilahirkan dengan strata yang tidak setara, bukankah kita turuti saja kasta dan strata yang berbeza ini; atau, kalau kita dilahirkan setara, dan dunia yang tidak adil ini tidak boleh wujud, apakah yang boleh kita buat untuk mengubahnya?


Lumrah dunia yang menyesakkan ini diamati lalu difahami ahli falsafah, yang memformulasikan solusi atau ditinggalkan sebagai legasi untuk difikirkan generasi kemudian hari. Hari demi hari idea ini berkembang dan menapakkan penyelesaian – semuanya untuk misi keamanan.
Tidak dinafikan juga, ada idea yang memberikan inspirasi kepada kezaliman. Pemikiran ahli falsafah ini terkadangnya dikutip para diktator dan fasis untuk memberi justifikasi kepada tindakan jijik mereka. Namun ini lebih menunjukkan kesongsangan dalam pemikiran diktator yang tidak didasari metode falsafah, berbanding dengan sang pemikir asal. Jangan meletakkan asas tanggungjawab yang salah ke atas filasuf atas gambaran songsang yang wujud dalam minda diktator. Malah sewaktu kezaliman diktator berleluasa ahli falsafah cuba mengimbangi dengan idea yang menunjukkan kepincangan tindakan penguasa zalim. Howard Zinn, sang humanis yang berani, menentang kezaliman Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam dengan mendidik dan menjadi mentor kepada pelajar-pelajar beliau. Idea keingkaran awam beliau memberi inspirasi kepada generasi baharu zamannya untuk menilai tindakan negara mereka dan tidak menjadi nasionalis buta atau patriot yang tuli.


Kezaliman akan terus wujud lagi dan lagi, namun falsafah dan idea akan terus ada untuk membentuk dunia yang lebih aman dan adil. Bagaimana kita tahu perkara ini akan berterusan? Melalui kelestarian falsafah itu sendiri kita projekkan masa depan melalui pengalaman masa lalu. Selagi manusia berfikir – tentang dirinya, umatnya, alam yang didudukinya, ilmunya, akidahnya dan tentang fikiran itu sendiri – selagi itulah falsafah akan terus hidup.


Aliff Naif Mohd Fizam berasal dari Sungai Petani, Kedah. Beliau adalah Felo di Lestari Hikmah dan merupakan penuntut BA Sains Politik di International Islamic University Malaysia (IIUM). Penulisan dan penglibatan beliau banyak tertumpu dalam gerakan politik dan kepimpinan di Malaysia. Penulisan beliau diterbitkan di Malaysia dan Indonesia seperti IBTimes.id, Solidaritas dan Alternatif.Press.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *