Jose Rizal : Kemalasan Peribumi Filipina

Oleh : Dr Akram Ghafar

Manusia itu bekerja untuk sesuatu objek. Alihkan objek tersebut dan dia akan menjadi lesu serta tidak bermotivasi”.

José Rizal (1861 – 1896) anak muda terpelajar dan intelektual Filipina, hanya sempat menjalani hidup selama 35 tahun kerana terpidana mati di hadapan skuad penembak pada 30 Disember 1896, di atas tuduhan menghasut, berkhianat kepada negara dan cubaan mengobarkan api revolusi.

Buku kecil yang dibahagikan kepada 5 bahagian utama, menjadi gelanggang buat José Rizal mengutarakan persoalan kemalasan yang dinisbahkan kepada peribumi Filipina. Beliau telah menyinggung dan mengkritisi sebuah anotasi yang berjudul ‘Sucesos de la Islas Filipina’ (Peristiwa-peristiwa Sejarah di Kepulauan Filipina), karangan orientalis Sepanyol, Antonio de Morga yang telah 8 tahun bermukim di Manila, sebagai Leftenan Gabenor Jeneral dan pernah menjabat posisi hakim di Mahkamah Tinggi Manila.

Para Orientalis selalu sahaja mengungkapkan perihal malas dengan konotasi-konotasi buruk lagi menghinakan. Kaum peribumi Filipina seringkali dianggap sebagai separa manusia, bodoh, pengecut, pengotor, terlalu merendah diri, sentiasa tesengih-sengih tanpa tujuan, berpakaian compang camping, malas dan berperangai keji.

Hal ini telah mendapat perhatian José Rizal, yang selanjutnya mengemukakan sebuah antitesis bagi menyanggah dakwaan-dakwaan tidak berasas bersulam prejudis, yang dilemparkan oleh pihak kolonial (Sepanyol) terhadap kaum peribumi Filipina. Rizal dengan cermat, melalui analisis sosiologi mengungkapkan bahawa keadaan ‘malas’ yang melanda para warga peribumi bukanlah bersebabkan sifat mereka sejak azali. Persoalan yang paling mendasar beliau ajukan, benarkah peribumi Filipina ini pemalas?

Pada pengamatan José Rizal, faktor kolonialisasi dan indoktrinasi nan mencengkam oleh pemuka-pemuka agama (kepaderian Kristian Katolik yang fanatik serta sempit), justeru telah mengakibatkan segala kemunduran-kemunduran ini terjadi. Selain itu, keadaan cuaca tropika yang panas membahang serta taburan hujan yang begitu kerap, turut menyumbang kepada kelesuan-kelesuan fizikal dan biologi.

Perkara yang sedemikian mirip pula, tatkala sarjana besar negara kita, Prof. Dr. Syed Hussein Alatas menukilkan sebuah wacana tersohor, ‘Mitos Peribumi Malas’ yang diterbitkan pada tahun 1977, yakni 87 tahun setelah karangan Rizal ini dipublikasi. Bahkan Alatas, di dalam buku Mitos Peribumi Malas ada mendedikasikan sebuah bab yang berjudul “Apa Benar Orang Filipina itu Malas?”, sebagai suatu penghormatan untuk karya José Rizal dengan tajuk yang hampir sama.

Ulah kolonialisme yang menindas serta menzalimi warga peribumi, lalunya menzahirkan jua tindak-tindak negatif (kemalasan dan kejahatan) sebagai upaya perlawanan serta pembelaan terhadap anasir-anasir asing yang menjajah serta menjarah tanah air mereka. Situasi ini semakin memburuk, apabila institusi gereja juga turut mengambil kesempatan di dalam agenda memanipulasi hak-hak peribumi, dengan dalih-dalih wahyu dan alasan-alasan keimanan.

Saya amat tertarik dengan ulasan José Rizal di dalam buku ini, pada Bahagian IV, di saat beliau mencoretkan;

Adakah anda masih ingat tentang apa yang saya sebutkan mengenai bagaimana kekurangan modal dan kekangan lain, telah melumpuhkan semua aktiviti? Di sini anda akan lihat bagaimana orang peribumi itu terpaksa menjadi malas, kerana jika dia masih mempunyai wang setelah dicukai dan diperas ugut, dia harus memberinya pula kepada paderi-paderi untuk tongkat, lembu perarakan, lilin serta barang-barang perarakan yang lain.

Jika ini tidak cukup untuk membentuk sikap malas, jika cuaca nan membahang tidak cukup untuk membuatkan dia pening dan tidak bertenaga, kita harus ingat bagaimana agama Kristian telah mengajarnya untuk mengairi bendang pada musim kemarau bukan dengan terusan, tetapi dengan doa dan zikir.

Agama itu mengajarnya untuk memelihara ternakan daripada wabak dengan air suci dan upacara restu, serta menghalau hantu yang bernilai 5 dolar untuk setiap seekor haiwan. Agama itu juga menyuruh mengusir serangga perosak melalui perarakan dengan potret St. Augustine dan pendeta-pendeta Kristian yang lain.

Kita memang perlu meletakkan kepercayaan kepada Tuhan. Tetapi bukankah lebih baik untuk kita berusaha dan tidak menyusahkan Tuhan di setiap saat. Inikan pula apabila ia hanya memberi manfaat kepada paderi-paderi Kristian semata-mata.

Kita dapat lihat yang negara-negara yang sangat mempercayai keajaiban, adalah negara yang paling malas!, sepertimana anak-anak yang dimanjakan itu, sifatnya sangatlah buruk!

Sama ada mereka itu percaya kepada keajaiban untuk menutup rasa malas mereka atau mereka malas kerana mereka percaya akan keajaiban, tidak dapat kita simpulkan di sini. Cuma dapat kita sebutkan bahawa, orang Filipina itu kurang malas berbanding sebelum perkataan ‘keajaiban’ itu diperkenalkan ke dalam bahasa mereka”.

Ironinya, hal yang telah disinggung oleh José Rizal lebih 100 tahun sudah, kini membuana, membelenggu malah memasung fikrah-fikrah warga di negara kita pula. Kemajuan sememangnya memerlukan anjakan serta perubahan.

Untuk pemahaman dan pengetahuan yang lebih mendalam, saya syorkan untuk para pembaca mendapatkan serta mencermati naskah ini seadanya jua, Insha Allah.

Rujukan

José Rizal (2022). Kemalasan Peribumi Filipina (terjemahan ke dalam bahasa Melayu oleh Maryam Zakiah Mohamed Yusof). Petaling Jaya: The Biblio Press.


Dr. Saiful Akram Che Cob (A.M.S), sekarang ini merupakan Pensyarah Kanan di Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. Pernah menjawat jawatan pensyarah di University of Science & Technology, Sana’a, Republik Yemen, dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Putrajaya, yang membantu tugasan penyelidikan, penyelarasan serta penulisan teks ucapan dasar YAB Perdana Menteri Malaysia. Penulis berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Senireka Grafik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), seterusnya ke pengajian diperingkat sarjana, dengan beroleh kelulusan Sarjana Pendidikan (Seni) daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan selanjutnya, mendapat gelar Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Sejarah Seni, daripada universiti yang sama. Aktif menulis dipelbagai media yang berorientasikan sejarah, seni, kebudayaan, politik dan falsafah, penulis juga merupakan pengarang kepada buku Propaganda Visual di era Penaklukan Jepun (1942-1945): Manifestasi Simbolik, Retorik dan Satira Radikal, yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *