Mudarat Ulama Politik Bebani Dunia Islam
Oleh : Mohd Syazreen Abdullah
Menegur penguasa zalim supaya berlaku adil amalan terbaik dalam Islam. Keberanian sedemikian termasuk dalam sunah nabi bagi mencegah kemungkaran dan menyeru kebaikan.
Perundangan Islam membenarkan kritikan terhadap penguasa zalim. Hal ini disebut dalam Hurriyat al-Mu’aradah. Ini penting supaya penguasa sentiasa berhati-hati dalam memimpin. Prestasi pemerintahan harus dipantau dan semak imbang harus dibuat dari semasa ke semasa.
Kerajaan yang terbukti gagal dalam mentadbir tidak harus terlepas dari kritikan. Setiap penyelewengan dan kelemahan mesti didedah demi kebaikan umum. Justeru, setiap pihak mesti diberi kebebasan penuh untuk melakukan teguran. Pintu pendebatan antara penguasa dan rakyat juga mesti dibuka seluas-luasnya. Undang-undang pula harus mencerminkan kemaslahatan awam dan cenderung bersifat manusiawi seterusnya tidak mewujudkan sebarang penindasan.
Namun, di sebalik riuhnya teguran rakyat, akan ada suara-suara tipikal ulama politik yang muncul mempertahan kebatilan penguasa. Mereka bahkan mempertikai kebebasan untuk mengkritik pemerintah secara terbuka. Lazimnya, mereka membentang hujah agama yang tidak lagi releven. Hatta ada tergamak menyebar hadis palsu asalkan rakyat berasa gusar melontar kritikan. Suara mereka hanya lidah penyambung hayat pemerintah zalim untuk terus kekal berkuasa. Golongan ini sudah wujud sekian lama dalam sejarah.
Kelompok ini membawa kemudaratan besar jika suara seumpama itu kekal dipraktik pada zaman ini. Sejarah telah menunjukkan antara faktor kemunduran Islam adalah kewujudan ulama politik atau agamawan yang mempertahan kezaliman pemerintah.
Inilah fokus penting yang disampaikan Ahmet T. Kuru, seorang sarjana ilmu politik yang juga pengarah Center For Islamic and Arabic Studies di San Diego University. Dalam bukunya Islam, Autoritarianism, and Underdevelopment: A Global and Historical Comparison, beliau membuktikan analisis betapa kemunduran dunia Islam terjadi antaranya akibat kebisuan suara-suara ulama terhadap pemerintah zalim bahkan lebih parah mereka menyatu menjadi sebahagian daripada penguasa. Ulama rela membisu terhadap penyelewangan dan penindasan dengan memilih pendekatan yang terang-terang menyebelahi penguasa. Lebih-lebih lagi, mereka menggunakan dalil agama yang tafsirannya bersifat ortodoks.
Kemusnahan Manusiawi
Buku Ahmet T. Kuru penting kerana ia bersandar kepada bukti dan data analisis yang membuka mata betapa perilaku ulama politik yang menjilat penguasa bukan hal remeh-temeh. Perbandingan analisis perkembangan sejarah yang dilakukan Ahmet T. Kuru juga telah menemukan model terbaik peranan ulama seperti perkembangan zaman Islam pada abad ke-8 hingga abad ke-11 yang menyaksikan peranan ulama ketika itu jauh berbeza dengan pendekatan ulama pada zaman kejatuhan dan kemunduran bermula pada abad ke-11.
Peranan ulama pada awal abad ke-8 hingga ke-11 begitu terkehadapan dalam urusan keilmuan dan sosioekonomi. Ketika itu, pintu kebebasan dan berfikir dibuka seluas-luasnya. Para ulama begitu mandiri dalam mempertahan kebenaran. Mereka ulama bersikap, berpendirian dan bermaruah. Tidak sesekali bungkam terhadap kleptokrat.
Sebaliknya, umat Islam selepas itu dilanda kelesuan dan kemunduran dek masalah keilmuan, politik dan ekonomi. Ahmet T. Kuru mendapati pengaruh hubungan teologi dan politik antara kelas keagamaan politik sunni dan pemerintah berleluasa demi kepentingan kekuasaan. Bahkan, hubungan sedemikian menyebar ke beberapa negara Sunni lain.
Di sinilah tapak kemunduran bermula. Ulama politik bersatu dengan kekuasaan penguasa hingga segala kelemahan pemerintah ditutup rapat-rapat. Kemerdekaan berfikir tidak lagi dipraktik. Mereka yang bertentangan dengan aliran kekuasaan diperangi. Kerjasama erat antara ulama politik dan penguasa juga mengakibatkan berlaku monopoli agama. Tentunya diselarikan dengan selera penguasa. Ia kemudian memberi legitimasi agama terhadap sikap totalitarian pemerintah.
Akhirnya, penafsiran altenatif terhadap Islam terhalang manakala penguasa memperalat agama yang dilegitimasi ulama politik untuk membenarkan tindakan keras terhadap lawan mereka. Nyatalah, para ulama politik ini tidak bersikap dan hanya mempertahan epistemologi Islam yang kaku. Natijahnya, umat menjadi jahil sehingga mereka tidak berani bersikap apatah lagi mengkritik penyelewengan penguasa.
Kajian ini sekali gus mengubah paradigmatik berfikir sebilangan golongan Muslimin yang selama ini beranggapan dunia Islam mundur semata-mata faktor Barat seperti penjajahan pemikiran atau ghawzul fikr. Walau ada benarnya dari sudut kolonialisme dan penjajahan budaya yang tidak tersangkal tetapi kajian ini menunjukkan umat Islam tidak harus menyalahkan Barat semata-mata. Kegagalan dunia Islam juga berpunca daripada sikap ulama dan khususnya kelemahan umat sendiri.
Lihatlah gejala eksploitasi, perhambaan, penindasan etnik, tiada kebebasan berfikir dan menakut-nakutkan kritikan, semuanya datang dari pengaruh dunia Islam suatu waktu dahulu. Sikap-sikap tidak manusiawi penguasa ini ditutupi ulama politik yang tunduk patuh kepada penguasa zalim. Kebetulan, era kegagalan dunia Islam waktu itu merupakan zaman kebangkitan Barat. Jadi, kita harus insaf betapa kecemerlangan yang pernah diraih musnah sekelip mata atas sikap kita. Kita tidak perlu menuding jari kepada Barat atas kemusnahan yang kini ada depan mata kita.
Ulama Idaman Rakyat
Melalui kajian Ahmet T.Kuru, kita mempelajari ulama politik yang berdampingan dengan penguasa zalim membawa kecelaruan dalam dunia Islam terutama dalam sudut keilmuan, pemikiran dan perkembangan manusiawi. Ia tidak mendatangkan kebaikan sebaliknya musibah. Sikap ulama politik pada zaman kemunduran Islam sejak abad ke-11 memberi dampak besar terhadap kehidupan masyarakat hari ini. Sebagaimana disebut Ahmet T. Kuru, kita menyaksikan kejahatan yang berulang-ulang dalam kehidupan yang kian dibelenggu kekerasan, autoritarianisme dan serba ketinggalan. Justeru, jalannya terbaik hanyalah mengembalikan peranan sebenar ulama.
Ulama mesti menjauhkan agama daripada legitimasi politik kekuasaan. Menjauhi tidak bermaksud agama tidak ada kena mengena dalam urusan negara. Bahkan menurut penulis, wujud persepsi jahat mengatakan agama menolak pemisahan agama-negara adalah tidaklah benar. Sebaliknya, ulama harus merancang atau memikir kembali hubungan antara agama dan negara dengan cara yang lebih segar dan lebih manusiawi. Penulis buku ini mengingatkan betapa penting menghidupkan kembali kreativiti intelektual dan ekonomi sebagaimana pernah terjadi pada sejarah dan reformasi di zaman kegemilangan dunia Islam. Misalnya, sejak abad ke-8 hingga abad ke-10, para ulama umumnya didanai oleh perdagangan sekali gus ia dapat menghindari pekerjaan menjadi hamba abdi atau pak turut kepada negara. Lebih hina lagi bersekongkol dengan pemerintah zalim. Kesannya ulama merdeka daripada belenggu politk negara, menjadikan kemerdekaan berfikir dapat dinikmati. Oleh kerana itu, ketika abad ke-8 sampai pertengahan abad ke-9, lahirnya empat mazhab Sunni utama dalam ilmu fikah. Mereka daripada ulama independen seperti Abu Hanifah, Malik, Syafii, dan Ahmad bin Hanbal. Mereka semua menolak menjadi ulama abdi negara. Bahkan demi agama dan kemaslahatan umat, lebih rela dipenjarakan kerana menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah zalim
Jauh sekali sikap ulama dahulu dan ulama masa kini. Ulama hari ini tidak mampu mengembangkan potensi keilmuan, bahkan menjadikan ilmu dan agama sebagai perisai kekuasaan politik. Ulama seperti ini tidak layak mendapat kehormatan. Mereka telah menghinakan dirinya di lembah kekotoran najis kezaliman penguasa.
Maka dunia Islam, sebagaimana analisis yang ditawarkan oleh Ahmet T. Kuru bahawa khususnya Muslim perlu kepada ulama atau intelektual yang kreatif, manusiawi, dan para ahli ekonomi independen yang mana ia dapat mengimbangi masalah kekuasaan autoritarian dalam negara.
Hal ini penting, kerana musibah dalam sejarah yang mengangkat ulama politik dan tidak mendatangkan kebaikan, sebaliknya membawa sebesar-besar mudarat. Demikian sejarah mengajarkan kepada kita untuk mengimpikan susuk ulama yang berani menyatakan kritikan terhadap pemimpin kerajaan. Peranan ulama harus diletakkan kedudukan bermaruah. Bebas mandiri, bergerak, menafsir dan bersikap dalam menangani kebatilan. Amalan mu’aradah (mengkritik) mesti hidup dalam jiwa ulama yang benar-benar ikhlas menjulang kebaikan dan kebenaran.
Pesan Rasullullah SAW, “sebaik-baik jihad (perjuangan) adalah berkata benar di depan pemerintah yang zalim.” (Riwayat Imam Termizi)
Mohd Syazreen merupakan graduan dari timur tengah. Beliau aktif dalam menulis tentang isu sosial dan keagamaan yang juga merupakan kolumnis The Malaysian Insight. Bercakap Dengan Quran, Membebaskan Allah Dari Islam dan Syahadah Kedua merupakan karya yang pernah dihasilkan.