Menghidupkan Kemahasiswaan Dengan Memanusiakan Pendidikan Tinggi

Oleh : Ammar Syabil

Pindaan AUKU 2023 tidak mencukupi untuk memperkasakan mahasiswa kerana pengajian tinggi perlu dimanusiakan secara menyeluruh.

Dehumanisasi Akademik

Kesukaran cabaran terhadap kebebasan kita yang ditimbulkan oleh Rang Undang-undang ini (AUKU) tidak boleh dipandang remeh. Dalam pertukaran untuk peluang pendidikan tinggi, belia kita perlu melepaskan hak-hak asasi mereka sebagai warga negara…Sebuah negara yang menerima pakai undang-undang ini juga tidak boleh berpura-pura menjadi demokrasi lagi. Hanya dengan satu pukulan ia memusnahkan semua kepura-puraan autonomi universiti kita, merampas kebebasan belia dan meremehkan pensyarah universiti kepada status pekerja dalam perkhidmatan Kerajaan Pemerintah..” – Abdullah Ahmad

Meminda AUKU semata-mata tidak mencukupi untuk memberdayakan pelajar kita dan tidak seharusnya dilihat sebagai suatu titik tolak untuk menghidupkan kembali peranan pelajar dalam masyarakat kita. Universiti kita sedang menghadapi fenomena yang dipanggil dehumanisasi akademik seperti yang dinyatakan oleh Dr Khairuddin Al Juneid, di mana universiti telah dijadikan alat untuk politik menyebabkan para akademik semakin tersisih, termasuk perkembangan mahasiswa/i. Kita perlu memperlakukan dan memandang pelajar dan akademik kita bukan sekadar alat untuk pengeluaran modal, tetapi sebagai individu yang intelektual, moral dan berperikemanusiaan dengan tujuan menyumbang kepada keperluan dan transformasi sosial masyarakat. Masalah ini perlu ditangani dengan memulakan reformasi sosial dalam budaya universiti. Ini memerlukan kemahuan politik yang kukuh, kerana tidak dapat dinafikan bahawa universiti telah disusun dan disesuaikan menjadi institusi korporat daripada pusat intelektual yang berasaskan budaya idea, kritikan dan kreativiti.

Politisasi Universiti

Universiti telah terjerumus dalam budaya subordinasi politik yang telah tertanam dengan kuat. Punca masalah ini terletak pada pemusatan universiti kepada kuasa Menteri. Menteri mempunyai kuasa untuk melantik Naib Canselor, yang memberi pengaruh kepada Menteri ke atas autonomi universiti. Hal ini membenarkan lantikan politik dilakukan dalam memegang jawatan-jawatan yang berpengaruh dalam pentadbiran universiti.

Dengan itu, jarang untuk melihat Lembaga universiti bersuara menentang kerajaan kerana mereka bergantung kepada kuasa Menteri itu sendiri. Ini meletakkan suatu standard yang rendah di universiti, menghalang pembentukan suatu ekosistem kolaboratif yang berasaskan integriti, kreativiti dan tadbir urus yang baik di kalangan pemegang taruh universiti. Laporan Audit Jeneral yang terkini boleh menjadi bukti yang menyokong ke atas pernyataan ini yang mana terdapat penyalahgunaan dana oleh Majlis Profesor Negara. Hal ini semestinya bertentangan dengan visi universiti itu sendiri dalam menghasilkan pelajar dan ahli akademik yang jujur dan adil.

Ketidakjujuran akademik juga berleluasa di universiti, di mana pensyarah eksploitasi hak milik cipta ke atas kertas penyelidikan pelajar, mempraktikkan plagiarisme, memanipulasi hasil penyelidikan dan duplikasi kajian secara tidak beretika. Masalah ini telah terlalu jelas dengan berita terkini bahawa Malaysia menduduki tempat ke-8 untuk mempunyai jumlah jurnal yang ditarik balik tertinggi dengan figura 17.2% daripada 10,000 jurnal. Beban kerja pentadbiran ke atas pensyarah pula memberi kesan yang buruk kepada kesihatan mental dan kepuasan kerja mereka. Ini menyekat kreativiti intelektual pensyarah untuk menyampaikan pengetahuan kepada pelajar dengan cara yang paling berkesan malah menjadi tembok halangan kepada pencernaan idea-idea yang bernas demi pembangunan dasar negara dan awam yang lebih efektif.

Ketidaksamaan Sosial dalam Pendidikan Tinggi

If Equality is Important

Tambahan pula, suatu analisis kritikal juga telah dilakukan oleh Raewyn Connel yang menjelaskan bahawa universiti telah menyimpang daripada tujuan sebenar mereka, kerana universiti menghasilkan lebih banyak ketidaksamaan dan ketidakadilan sosial. Ini telah diterangkan dengan baik melalui isu PTPTN yang berpanjangan di Malaysia, di mana penghapusan pinjaman tidak terpakai untuk pelajar yang tidak menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama. Perkara ini meletakkan graduan-graduan univesiti kita dibeban oleh hutang yang berpanjangan terutamanya dalam ekonomi yang masih lagi dalam proses pertumbuhan dan sistem gaji yang masih lemah.

Perlu difahamkan bahawa sistem pengecualian PTPTN adalah bersifat meritokrasi, di mana peminjam yang lebih kaya mampu membayar balik hutang mereka berbanding mereka yang kurang berkemampuan. Berdasarkan kajian oleh Institut Penang mengenai isu PTPTN, graduan yang mencapai ijazah kelas pertama lebih tinggi kemungkinan untuk mendapatkan pekerjaan yang bergaji tinggi, sementara mereka yang dari keluarga yang serba susah lebih sukar untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang mencukupi malah ada yang mendapat gaji bawah daripada RM2000. Ini menyumbang kepada peningkatan jurang ekonomi dan sosial antara yang kaya dan miskin.

Peranan Sains Sosial dan Kemanusiaan Yang Semakin Pudar

Technology has the power to disrupt society until society decides what it really wants and then controls the power of technology. Many countries will only use technology and never question how they might rethink their values and social constructs” – Prof Tajuddin Mohd Rasdi

Universiti juga berat sebelah kepada subjek STEM kerana ia menghasilkan penyelidikan yang lebih menguntungkan dalam ekonomi pasaran kita terutamanya dalam skop R&D. Ini telah menimbulkan masalah bagi peranan kemanusiaan yang mendapat perhatian yang amat kecil untuk menjadi pemangkin dalam pembentukan moral, intelek dan semangat pelajar. Ini berakar umbi dalam kecenderungan pendidikan tinggi kita untuk menaikkan kedudukan global pada harga menggadaikan tujuan asal universiti iaitu untuk manifestasi “universiti yang baik.”

Malahan secara umum, matlamat fakulti sosial dan kemanusiaan adalah untuk menyediakan ruang dan mempersiapkan pelajar kita agar lebih terlibat dalam membentuk dasar untuk masa depan negara kita, tetapi graduan sains sosial adalah antara yang tertinggi dalam pengangguran menurut Kajian Jejak Graduan 2022 oleh MOHE. Tidak ketinggalan, kebanyakan pelajar dari bidang ini juga bekerja di bidang yang jauh daripada pengajian mereka. Ini menunjukkan kemunduran dalam peranan sains sosial dalam universiti untuk mempersiapkan pelajar kita sebagai pemikir dan penggerak kepada dasar negara dan sosial. Idea mereka mengenai budaya, politik dan isu sosial adalah asas dan tulang belakang pembangunan negara kita.

Perkara yang lebih membimbangkan adalah apabila universiti lebih banyak melabur dalam STEM, ia menghasilkan pekerja terus memegang nilai-niai neoliberal Barat yang menekankan keuntungan, mengabaikan peranan pelajar dalam membina nilai kemanusiaan. Ini adalah menjadi asbab kita masih melihat belia kita terjerumus dalam keadaan yang keliru dalam isu-isu 3R dan politik menistakan manusia yang berbeda ideologi politik kerana kita tidak diajar tentang falsafah politik Malaysia dengan cukup penghayatan. Sejarah Perlembagaan Persekutuan, nilai perpaduan sosial, politik Islam, soalan kapitalisme-sosialisme dan lain-lain perlu diajarkan kepada belia kita agar mereka dapat mengemudi diri mereka dalam dunia moral yang dalam keadaan genting. Ini adalah penting untuk menerapkan sifat manusiawi agar dapat melindungi mereka daripada terjebak dalam keruntuhan moral atau sekurang-kurangnya pembodohan diri akan soal politik dan sosial.

Langkah Ke Hadapan

1. Membuang sekatan Akta Badan Berkanun 605 ke atas akademik untuk menjamin kebebasan akademik dan akauntabiliti yang lebih kuat terhadap akademik yang mengamalkan ketidakjujuran akademik.

2. Memperkukuh kerjasama antara masyarakat sivil dan universiti untuk penglibatan pelajar dalam kehidupan komuniti terpinggir.

3. Merangka pelan tindakan holistik yang merangsang inisiatif untuk pelajar dari bidang sains sosial dan kemanusiaan.

4. Memencarkan kawalan Kementerian ke atas pentadbiran dan pelantikan pemegang taruh universiti.

5. Mengkaji semula kriteria untuk menyasarkan pembatalan hutang PTPTN kepada graduan yang susah dengan berdasarkan kepada gaji graduan, kos komitmen, anggota isi rumah dan lokaliti.

Cadangan ini, jika dilaksanakan dengan teliti dan berhemah, akan mampu meningkatkan kepuasan pekerjaan akademik kita, merangsang keunggulan intelektual, melonggarkan belenggu rasionaliti pasaran ke atas pengajian tinggi, melemahkan politisasi pengajian tinggi kita dan memacu peranan kemanusiaan dalam ekonomi kita yang akan dapat membawa kepada realisasi universiti berorientasikan kemanusiaan demi menghasilkan pelajar-pelajar yang bersifat manusiawi.


Ammar Syabil merupakan Timbalan Speaker daripada Kesatuan Mahasiswa UKM, aktivis Demokrat UKM dan graduan Psikologi dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Beliau banyak menghasilkan penulisan berkaitan aktivisme belia dan dunia akademik yang kritis. Ammar Syabil juga seorang yang aktif dalam memacu aktivisme intelektual di dalam dan luar kampus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *