Fazlur Rahman & Tujuan Penurunan Al-Quran

Oleh : Sakinah Rosli

Penafsiran al-Quran selalunya dibuat berdasarkan baris demi baris ayat. Fazlur Rahman bagaimanapun mengsintesiskan tema-tema kunci yang terdapat dalam al-Quran dengan mengelompokkan ayat-ayat secara tematik dan kemudiannya membuat penafsiran atas tema-tema tesebut. Ia seumpama melihat dari persoalan-persoalan dalam al-Quran secara ‘helicopter view’ bagi mengunjurkan al-Quran sebagai sumber etika yang utama.

Tujuan utama al-Quran menurut Fazlur Rahman adalah untuk membangunkan tata sosial di dunia berdasarkan keadilan dan keadaban. Malah konsep taqwa sendiri sentiasa dan hanya bererti di dalam sebuah konteks sosial. Baginya, gagasan tentang zhulm al-nafs (menzalimi diri sendiri) sehingga rosakknya individu dan masyarakat itu diertikan sebagai kerosakan dalam konteks sosial dan historis.

Konsep Taqwa Menurut Fazlur Rahman

Rahman mentakrifkan taqwa sebagai kemampuan bagi membezakan yang benar dan yang salah. Seperti tafsiran mainstream, iaitu taqwa bermaksud takut kepada tuhan yang akhirnya membuahkan takut untuk melakukan kemungkaran dan senang berbuat kebaikan. Menurut Fazlur Rahman untuk memahami al-Quran daripada perspektif “moral” merupakan keutamaan dalam konsep taqwa.

Untuk menjelaskan bagaimana taqwa adalah konsep moral dalam al-Quran, konsep takdir harus terlebih dahulu difahami. Al-Quran tidak menyatakan konsep takdir sebagai konsep yang menyerah diri secara membabi buta, Tuhan yang penuh rahmat mengukur segala sesuatu dan menganugerahkan segala sesuatu dengan potensi-potensinya dan hukum-hukum yang mengatur perilakunya. Oleh itu qadar yang dimaksudkan dalam al-Quran adalah kekuasaan yang diatur tuhan kepada makhluk, dan istilah lain yang digunakan al-Quran adalah amr ataupun perintah.

Sebagaimana yang disebutkan di atas, Tuhan telah memerintahkan bagaimana alam semesta bergerak. Perintah kepada alam semesta tidak memungkinkan bangkangan, sedangkan perintah kepada manusia memungkinkan bangkangan, kerana manusia diberi pilihan dan kehendak bebas. Oleh itu manusia mempunyai kebolehan untuk menjalankan ketakwaaan. Seseorang yang mempunyai persepsi yang tepat, dia akan dapat menjaga dirinya dari hawa nafsunya sendiri dan godaan syaitan. Dan disinilah fungsi al-Quran sebagai risalah yang dikirim Tuhan kepada manusia untuk dijadikan panduan.

Walaupun secara primordialnya (fitrah) manusia mampu membezakan baik dan jahat tetapi manusia sering mengabaikan hal ini terutama ketika krisis moral. Manusia memiliki sesuatu yang membolehkannya menerima petunjuk atau membiarkan dirinya tersesat. Rahman menolak bahawa manusia sepenuhnya bebas dan menidakkan terus peranan tuhan, Rahman juga menolak bahawa manusia tiada kuasa atas perilakunya sendiri dan pasrah. Al-Quran baginya adalah untuk mengimbangkan antara dua titik extreme ini.

Oleh kerana itulah orang yang bertaqwa bererti orang yang memiliki rasa tanggungjawab dunia akhirat, dan sebab rasa tanggungjawabnya inilah menjadikan dia orang yang bertaqwa, sebagaimana dikatakan Rahman disebut sebagai makhluk yang bermoral. Dalam konteks inilah Rahman memandang taqwa sebagai konsep sentral moraliti bagi manusia.

Al-Quran menekankan berulang kali bahawa setiap manusia baik lelaki mahupun perempuan secara individu dan setiap kelompok secara kolektif bertanggungjawab sendiri atas apa yang mereka kerjakan. Seperti yang dinukilkan Fazlur Rahman:

“Menganggap al-Quran menggariskan determinisme absolut atas perbuatan manusia dan menolak kebebasan memilih sebagai bagian dari jati diri manusia, berarti bukan hanya menolak hampir keseluruhan kandungan ayat al-Quran, tetapi juga meniadakan landasan keberadaanya yang paling dasar: al-Quran mengklaim dirinya sebagai ajakan kepada manusia untuk memilih jalan yang benar (hudan li al-nas).”

Al-Quran berbahasa seolah-olah manusia memilih secara sedar bagi dirinya jalan yang benar atau salah, dan Tuhan akan menilai berdasarkan perbuatannya itu. Dua perkara ini iaitu manusia bertanggungjawab sendiri atas diri mereka dan secara kelompok (dosa pahala yang ditanggung) dan juga manusia yang dikurniakan kebolehan untuk memilih jalan hidupnya menunjukkan bahawa manusia mempunyai autonomi ke atas dirinya sendiri. Autonomi diri ini perlu difahami dengan baik, bahawasanya ia bukan untuk manusia berbuat sesuka hati malahan supaya manusia itu sentiasa berjuang dalam kehidupannya untuk mencari dan memihak kepada kebenaran.

Bagaimana manusia dapat membezakan yang salah dan yang benar dalam mencari arah tuju hidupnya?

Dalam pergelutan dalam kehidupan ini, Tuhan adalah sosok yang aktif merespons pada manusia. Dan respons tuhan itu akan dijelmakan dari kesedaran atau suara hati (conscience) manusia itu sendiri. Oleh itu, manusia harus sentiasa mengingati tuhan bagi menguatkan hati nuraninya. Dan inilah fungsi ibadah, kesedaran manusia itu harus dibangkitkan dengan interaksi terhadap realiti tertinggi.

Setiap individu dan setiap kelompok manusia harus secara terus menerus mencari kesedaran mereka, malahan tugas utama para nabi adalah membangunkan kesadaran manusia sehingga mereka berupaya untuk memahami tulisan primordial (fitrah/alami) dalam hatinya secara jelas.

Secara fitrahnya manusia itu memang bersifat mulia, tetapi akan ada penentangan yang menariknya ke arah yang berlawanan atau disebut sebagai tegangan (tension), manusia senang tertarik pada arah ekstrem yang belawanan iaitu sama ada ia bersifat bongkak dan sombong ataupun terus putus asa dan merasa tiada daya atas apapun. Pergerakkan ke kutub manapon di antara dua ini akan menghasilkan efek moral yang sama, iaitu nihilisme moral (tiada moral).

Oleh itu, al-Quran diturunkan bagi memaksimalkan energi moral manusia. Al-Quran mendorong kesedaran moral yang seimbang. Al-Quran menganjurkan jalan pertengahan yang positif bagi mengimbangkan antara dua titik ekstrem manusia ini. Keseimbangan inilah yang al-Quran sebutkan sebagai taqwa.

Terdapat 3 jenis pengetahuan bagi manusia yang dilakarkan dalam al-Quran iaitu :

1) Pengetahuan tentang alam yang telah ditundukkan bagi manusia iaitu ilmu-ilmu fisik (natural science).

2) Pengetahuan sejarah dan geografi di mana kita diajak untuk ‘mengadakan perjalanan di muka bumi’ dan melihat sendiri apa yang terjadi pada peradaban yang lepas.

3) Pengetahuan tentang manusia itu sendiri. Pengetahuan jenis ketiga ini adalah bagi membentuk persepsi dalam diri manusia yang akan membuatkan manusia mampu mengendalikan ilmu jenis pertama dan yang kedua dengan persepsi moral. Tanpa persepsi moral ini, kecekapan ilmiah dan teknologi bakal mengundang bahaya (seperti yang terlihat pada hari ini). Al-Quran bukan sekadar memberi gambaran (deskriptif) tetapi yang paling utama adalah ia memberi petunjuk (preskriptif), bentuknya memang dirancang bukan sekadar untuk memberi informasi kepada manusia melainkan untuk membentuk karakter mereka.

Manusia sebagai individu tak boleh dilihat terpisah dari manusia sebagai makhluk sosial, tetapi sebelum berbicara manusia dalam masyarakat, kita harus mengakui manusia sebagai individu terlebih dahulu yang mempunyai autonomi dan disuruh untuk terus menerus berjuang mengimbangi halangan yang ada untuk membentuk tatanan sosial yang bermoral.

Manusia Dalam Masyarakat

Manusia dipertemukan pada dua sisi kesedaran. Pertama, kesedaran pada keberadaan (eksistensi) dari diri sendiri sebagai satu orang (individu), dan Kedua, kesedaran pada keberadaan (eksistensi) bersama orang lain atau kebersamaan (sosial). Kedua ini harus dihidupkan bagi menggalang kerjasama dalam membangun sebuah sistem etika-sosial di muka bumi.

Ketempangan ekonomi dan kesenjangan sosial (economic and social inequality) yang terjadi dalam masyarakat Makkah yang komersial mendapat kecaman berat dalam al-Quran yang lalu mengunjurkan sebuah tata masyarakat yang berakhlak dan berkeadilan. Al-Quran mengkritik dua aspek yang saling berkait iaitu gejala perpecahan masyarakat dan kesenjangan sosial-ekonomi yang terjadi dalam masyarakat musyrik. Maka tugas nabi ketika itu adalah menggalang suku-suku yang terpecah itu menjadi sebuah kesatuan politik dan membaiki ketempangan ekonomi masyarakat.

Apa permasalahan dan jalan keluarnya?

1. Ruang Ekonomi

Makkah adalah sebuah kota perdagangan yang makmur tetapi penuh dengan amalam eksploitasi kaum lemah (seperti orang yang tidak mempunyai suku, hamba dan orang-orang sewaan) dan berbagai penipuan dalam perdagangan dan kewangan. Berlaku penyalahgunaan kekayaan yang tidak memanfaatkan orang terbanyak. Al-Quran malah memberi ancaman kepada orang yang tak memperdulikan kecurangan yang berlaku dalam masyarakat – para ahli ibadah bahkan boleh menjadi munafik kerana tidak memperhatikan nasib orang-orang miskin. Al-Quran menekankan bahawa kurangnya perhatian pada orang-orang memerlukan adalah ekspresi jengkel dan kesempitan berfikir yang paling puncak. Al-Quran menyatakan salah satu penyebab utama kerosakan masyarakat adalah ketidakpedulian yang akhirnya membuatkan orang kaya raya menjadikan masyarakat berkasta.

Dalam pengurusan kekayaan, al-Quran menekankan bahawa seluruh kekayaan yang diperolehi seseorang tidak sepenuhnya miliknya sendiri, bahkan ada dalamnya hak-hak orang yang memerlukan. Pelarangan riba dan perintah zakat datang bagi mengimbangkan sosio-ekonomi masyarakat demi kesejahteraan sosial. Zakat adalah sebuah instrument distributif yang adil seperti perintah Tuhan “Kemakmuran seharusnya tidak hanya beredar dalam kalangan orang-orang kaya.” (59:7). Ia merangkumi keseluruhan penyelenggaraan sebuah negara, namun pada hari ini umat Islam memahami fungsi-fungsi tersebut secara terbatas dan akhirnya zakat menjadi sebuat ritual yang tertutup.

2. Kepimpinan

Dalam level sosio-politik, al-Quran bermaksud memperkuatkan unit dasar yang asas iaitu keluarga. Kebaktian kepada orang tua diberi penekanan kuat malah keberlangsungan sesebuah keluarga itu sangat penting sehingga dibolehkan pernikahan kembali, demi anak-anak. Semua Muslim dideklarasikan sebagai saudara. Mahupun begitu, tunjangnya tetaplah kepada amar makruf dan nahi mungkar.

Dalam urusan kolektif, al-Quran meminta digunakan syura (dewan atau perwakilan konsultatif) di mana aspirasi masyarakat disalurkan melalui perwakilannya. Syura adalah lembaga demokrasi masyarakat arab pra-islam yang didukung oleh al-Quran. Al-Quran jelasnya mensyaratkan kepemimpinan dan tanggungjawab kolektif. Al-Quran bertoleransi terhadap peranan seorang individu yang kuat hanya sebagai pemimpin sementara sahaja jika sebuah masyarakat masih belum dewasa atau matang.

Hak-Hak Asasi Manusia

Al-Quran mempertegaskan bahawa basis kepada hak-hak asasi manusia adalah kesetaraan umat manusia, al-Quran menghapuskan semua berbezaan di antara umat manusia kecuali atas dasar keimanan dan ketakwaan. Melalui keimanan dan ketakwaan seperti yang disebut al-Quran sifat para rasul Allah yang dengan kemurnian hati nurani, sensitiviti, ketajaman intelektual dan kesolehan mereka berdepan dengan sekumpulan manusia yang berwatak “seperti binatang ternak”. Binatang digunakan sebagai bandingan kerana di dunia binatang terdapat superiority di antara satu spesies ke spesies yang lain. Tetapi bahkan umat manusia mampu mengeksploitasi kekuasaan dan diskriminasi terhadap manusia yang lain.

Oleh itu kita harus selalu membangkitkan peringatan bahawa kita semua dari Adam, bahawa tiada perbezaan apa pun di atas bumi ini. Para ahli hukum Islam merumuskan empat hak asasi manusia yang fundamental iaitu hak hidup, hak beragama, hak memiliki harta (terkait dengan isu keadilan ekonomi dan zakat), dan hak atas kehormatan diri atau ‘irdh, dan negara wajib melindungi hak-hak ini. Dalam bab ini juga dibicarakan tentang hak anak yatim dan perempuan termasuk tafsiran-tafsiran progresif tentang poligami, kesaksian wanita, dan wanita sebagai pemimpin.

Fazlur Rahman menegaskan bahawa ayat mengenai perintah poligami dalam al-Quran mengandungi idealisme moral yang mendorong masyarakat bergerak ke arah monogami, kerana mustahil menghapuskan poligami secara hukum hanya dengan sekali langkah, dan kita menemui fenomena yang sama berkenaan perintah membebaskan hamba dan larangan arak. Setiap pernyataan hukum disertai ratio-legis yang menjelaskan mengapa sesuatu hukum diperintahkan demikian. Dan untuk memahami ratio-legis ini secara kukuh, pemahaman mengenai latar sosio-historis diperlukan.

Ini juga diaplikasi pada hal berkenaan kesaksian dua perempuan yang bersamaan dengan kesaksian seorang lelaki. Kesaksian dua perempuan diperlukan kerana pada masa itu jarang sekali dilibatkan perempuan dalam transaksi hutang, jadi para perempuan tidak mahir dan mungkin melakukan kesilapan dan oleh itu diperlukan teman untuk menyemak kembali. Menurut kaum tradisionalis, hukum ini bersifat tetap dan final. Adapun pada Fazlur Rahman, perubahan sosial yang memungkinkan seorang perempuan berpartisipasi dalam kegiatan awam dan mahir melakukan transaksi, hukum juga berubah. Ketika para perempuan semakin mahir dalam urusan tersebut, kesaksian mereka boleh disetarakan dengan kesaksian kaum lelaki. Al-Quran tidak melarang perempuan memperoleh kekayaan dan mandiri secara ekonomi walaupun secara umum al-Quran menggambarkan pembagian kerja & perbezaan fungsi antara lelaki dan perempuan. Al-Quran mengakui hak-ekonomi seorang isteri atau anak perempuan secara penuh dan independen. Fazlur Rahman ketika mengulas ayat 34 dari surah an-Nisa berkenaan “kaum laki-laki adalah pemimpin bagi kaum wanita, karena Allah melebihkan sebagian mereka (laki-laki) atas sebagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) menafkahkan sebagian dari harta mereka” menyatakan bahawa ayat tersebut menunjukkan lelaki memiliki superioriti yang bersifat fungsional bukan inheren atas kaum perempuan kerana mereka diberi tanggungjawab mencari harta dan menafkahkannya untuk kaum perempuan. Jika seorang perempuan mandiri secara ekonomi, dan menyumbang pada urusan pembiayaan rumah tangga maka superioritas lelaki pada urusan kewangan tersebut akan berkurang. Sebagai seorang manusia, lelaki sesungguhnya memang tidak memiliki superioriti atas isterinya, secara religius lelaki dan perempuan memiliki kesetaraan yang absolut.

Seperti yang dinukilkan Fazlur Rahman tema khusus yang terus-menerus disinggung al-Quran adalah tentang kelompok kuat selalu berusaha mempengaruhi atau menekan kelompok lemah. Keburukan yang dimaksudkan dalam al-Quran itu mencangkupi penindasan ekonomi dan eksploitasi kaum miskin, atau penindasan atas kaum miskin dan kelas-kelas sosial tertentu secara politik dan ekonomi. Tema ini berakar dalam masyarakat Makkah, di mana secara umum para pengikut awal Muhammad SAW. berasal dari kelas sosio-ekonomi bawah yang mengalami tekanan kuat dari kelompok aristokrat (al-mala’) agar menentang nabi.

Ketika suatu umat tersesat ke jalan negatif dan batil sehingga mereka kehilangan kemampuan untuk membezakan benar atau salah, menjadikan mereka tak berdaya untuk memberikan penilaian yang benar, maka mereka tiada lagi kemampuan mengetahui tujuan hidup selain sekadar terseret arus sahaja. Ketika para pemimpin agama diharap menjadi sumber kekuatan dan regenerasi spiritual, bahkan sebaliknya golongan ini juga melakukan penyelewengan dan penyewengan golongan ini merupakan langkah terakhir dalam proses pembusukan masyarakat. Seperti yang disinggung Fazlur Rahman;

“Penyelewengan semacam ini bermula ketika kesedaran mereka mulai mengendur dan mereka mulai berkompromi dengan kebenaran dengan pelanggaran (ahwa’) yang dilakukan orang kaya atau masyarakat umum. Dalam kes manapun, mereka pertamanya menyerah pada tekanan dan selanjutkan kesedaran mereka melemah dan akhirnya mereka berkompromi, entah dengan imbalan wang atau popularitas atau keduanya. Kita telah memperlihatkan ayat-ayat al-Quran di mana para pemimpin agama gagal memberikan nasihat yang benar kepada masyarakat yang berbuat salah kerana hal itu bakal membuat mereka menjadi tidak popular. Al-Quran juga sering mengecam para pemimpin Yahudi dan Kristian atas pelanggaran semacam itu.”

Di zaman ini juga berleluasa keburukan-keburukan tersebut yang memerlukan kita berpihak pada yang benar. Maka untuk memperkuatkan kemampuan melihat perbezaan benar atau salah dan agar penilaian yang benar tidak mati dan seterusnya menghidupkan rasa tanggungjawab moral (taqwa) maka inilah tujuan mempelajari nasib umat-umat terdahulu. Ketika suatu bangsa dibinasakan dan digantikan dengan peradaban baru yang lebih bermoral, maka orang yang baik di kalangan mereka (bangsa yang dibinasakan) akan turut ditimpa malapetaka yang sama sebagaimana orang-orang yang jahat apabila orang-orang baik tidak berusaha menghentikan orang-orang jahat. Tugas mencegah terjadinya keburukan ini, adalah tugas setiap masyarakat yang dinyatakan setiap rasul, melalui Nabi Muhammad SAW. tanggungjawab ini beralih ke masyarakat muslim yang dibebani sebagai “saksi umat manusia” dan “amar makruf dan Nahi Mungkar”.


Sakinah Rosli berasal dari Ipoh, Perak. Beliau adalah graduan jurusan kejuruteraan awam dari Universiti Teknologi Petronas (UTP). Beliau adalah Felo Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) dalam kohort Isu Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Asli. Sakinah memfokuskan penelitian pada isu-isu pembangunan, keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *