Bahasa Boleh Hidup, Bahasa Juga Boleh Mati

Oleh : Sakinah Rosli

Bahasa yang hidup adalah bahasa yang bergerak dengan zamannya, digerakkan oleh anak zaman itu. Bahasa tidak pernah wujud dalam kekosongan, ia berevolusi seperti juga budaya manusia yang lain, mengikut rentak dan keperluan zaman dan kemanusiaan. Bahasa yang mati pula bukan setakat bahasa yang semakin mengecil lalu hilang, bahasa yang mati juga adalah bahasa yang tidak dapat lagi mengembangkan kemanusiaan dan kemajuan dalam manusia yang menggunakan bahasa tersebut.

Bahasa boleh membebaskan. Bahasa juga boleh disalahgunakan untuk menindas.

Bahasa yang membebaskan adalah bahasa yang mengungkapkan emansipasi, progresif sehingga mampu menampung idea-idea kompleks. Manakala bahasa yang diguna untuk menindas adalah bahasa yang telah dibataskan fungsinya dan dijadikan simbol kekuasaan sekelompok orang.

Bahasa boleh dikorupkan dan dineutralkan sehingga warga yang menggunakan bahasa tersebut tidak terbangun nilai emansipasi dan kemanusiaannya. Jika dahulu, feudalisme telah merosakkan nilai-nilai ini dan membentuk bahasa yang membesar-besarkan pemerintah dan bangsawan dan mengkerdilkan golongan rakyat terbanyak, zaman sekarang pun tiada kurangnya apabila bahasa telah didomestikasikan oleh ekonomi pasaran bebas neoliberalis. Terbentuknya pemikiran yang tidak kritis, apolitical, asocial, ahistorical, dan amoral.

Nilai-nilai feudal ditanam dalam pemikiran masyarakat Melayu lampau melalui penggunaan bahasa feudal iaitu penggunaan bahasa yang beza diantara golongan bangsawan dan rakyat biasa sehingga menciptakan jarak perbezaan. Bahasa ini menitikberatkan hierarki dan larangan beberapa ungkapan untuk digunakan oleh rakyat biasa sehingga terterapnya dalam pemikiran rakyat itu budaya feudal yang bersifat authoritarian. Kesannya yang pertama, jurang perbezaan diciptakan atas dasar keturunan dan pangkat antara manusia, bukan atas dasar kebolehan dan peribudi manusia itu sendiri. Kedua, timbul sikap yang beranggapan manusia biasa itu kerdil, hina, dan tak berdaya apabila berhadapan dengan golongan atasan.

Karya-karya intelektual klasik yang kerap diangkat-angkat sampai sekarang juga adalah jenis karya intelektual yang dinaungi istana yang menekankan kecenderungan wacana untuk memperkuatkan isbat pemerintahan dan disebabkan itulah perkembangan bahasa terjurus kepada wacana ideologi atau seni sastera yang mengikut selera pemerintah. Peranan istana selalu diperbesarkan sebagai pusat intelek, ya sejenis intelek yang memperbesarkan pemerintahan feudal.

Malangnya warisan feudal ini masih bertahan dalam dunia moden walaupun corak pemerintahan sudah berubah. Masih sahaja wujud aliran pemikiran yang menyekat pembebasan dan mengkerdilkan semangat, serta nilai-nilai kemanusiaan sehingga menjadi halangan besar kepada pembangunan budaya demokratik. Begitulah bagaimana feudalisme menyelinap masuk dalam ranah bahasa dan seterusnya pemikiran.

Jadi apa cabaran masakini untuk membangunkan bahasa kita untuk menampung kebudayaan baru?

1. Bahasa hanya dianggap sebagai warisan bangsa

Apabila bahasa hanya dianggap sebagai identiti dan pertahanan warisan budaya maka ia diterima sebagai sesuatu yang sedia ada diperturunkan dari tok nenek dahulu kala, sesuatu yang tidak perlu diciptabarukan. Malah lebih memburukkan keadaan, makna budaya itu sendiri telah dikosongkan menjadi sesuatu yang terbatas pada hal-hal yang diwarisi, bukan pula pada hal-hal yang manusia hadapi dan tantangi masa kini. Sebab itulah kita tidak mampu mencipta kebudayaan baru yang maju untuk hadapi cabaran hari ini.

Malah kerana ia dianggap budaya warisan, kita tidak mahu ia dinodai oleh pengaruh luar kerana menganggap bahasa itu benteng kepada identiti dan warisan. Inilah gejala romantisme bahasa.

2. Terlalu fokus pada keteknikalan bahasa

Disebabkan gejala romantisme bahasa itu tadi, terlahirnya sikap memberi keutamaan kepada hal estetik dan formalistik melebihi isi. Sehingga penggunaan istilah baru pon dianggap sebagai pencemaran bahasa. Terlalu menitik beratkan kegramatisan, nahu, ejaan dan sebutan baku ini akhirnya menyebabkan kita kurang memperkenalkan istilah baru terutamanya di peringkat bahasa Melayu tinggi. Tiada konsep dan istilah sains/falsafah/analisis sosial yang dapat diungkapkan dalam bahasa kita menyebabkan kita gagal membincangkan perkara-perkara tersebut dengan baik. Kerana Korpus bahasa kita ini tidak terbangun dengan baik, ramai yang memilih untuk menggunakan bahasa Inggeris untuk berwacana atau bertesis.

Inilah yang disebut sebagai konservatisme bahasa, menjadi ‘gatekeeper‘ kepada bahasa. Cepat melatah atau dalam buku ini dipanggil gejala panik bahasa. Kalau-kalau orang kita menggunakan istilah yang tidak pernah wujud diambil dari Inggeris contohnya, terus dicop merosakkan bahasa kerana tidak cinta bahasa sendiri. Padahal bahasa Melayu ini sifatnya dinamik, ia bergerak mengikut perubahan sosial, demografik penduduk dan jurang generasi.

3. Nasionalisme bahasa yang bersifat defensif

Bahasa sering diseiraskan dengan identiti etnik/ras. Dan idea ini dperjuangkan nasionalisme yang defensif dan sempit agenda bahasanya. Merpertahankan martabat bahasa dilaungkan sebagai menjaga maruah bangsa. Tetapi sayangnya hanya setakat itu sajalah perjuangan bahasanya sehingga tiada usaha membangunkan bahasa sebagai wadah ilmu, dan dapat mengungkapkan idea-idea masakini tinggalnya hanya menjadi instrumen politik. Laungan-laungan retorik yang sempit itu juga menjadikan bahasa kita simbol kekuasaan hanya pada satu kelompok sehingga tak terbangun dalam bahasa ini wacana pembebasan dan kemanusiaan, akhirnya pemikiran masyarakat pemakai bahasa pun menjadi kecil dan jumud.

4. Kurang peranan elit dan golongan terpelajar

Golongan elit pemerintah yang tidak menghargai tradisi pemikiran dan kebudayaan sendiri seterusnya membiarkan pembangunan bahasa tempatan terencat kerana merasakan bahasa tempatan tidak mempunyai nilai ekonomi yang bagus setanding bahasa Inggeris. Bahasa kita juga tidak terbangun dalam aspek sains dan ilmu kerana kemandulan intelektual golongan terpelajar dalam masyarakat. Kurang stamina untuk mengadakan perwacanaan sains dalam bahasa Melayu, maka tak berguna juga kalau istilah baru diciptakan saban hari tapi tak digunakan.

Kerana halangan-halangan sebegini maka bahasa kita tidak terbangun dan tidak mampu menampung kebudayaan baru. Kebudayaan baru yang dimaksudkan adalah kebudayaan yang mampu merintangi cabaran-cabaran dunia masakini dan memperkuatkan ketamadunan sedia ada.

Kita harus memperkuatkan usaha bagi menjadikan bahasa kita berdaya. Usaha yang harus kita bangunkan adalah seperti berikut:

1. Membangunkan budaya berfikir

Dr. Azhar Ibrahim mengajukan supaya pedagogi kritis usulan Paulo Freire diaplikasikan dalam pembelajaran Bahasa Melayu supaya bahasa menjadi bukan sahaja sebagai alat komunikasi, dan untuk memperturunkan nilai kebudayaan dan warisan silam, tetapi bahasa harus menjadi wadah yang menggerakkan budaya berfikir kerana budaya berfikir adalah asas kepada peradaban yang teguh. Aspek pedagogi kritis ini adalah antaranya adalah mengaitkan antara kata yang kita baca/fahami dengan kehidupan yang kita alami/lalui. Setiap kata makna/kata itu harus dihubungkan dengan realitas yang ada di sekeliling pelajar dan bukan dilayan seperti objek yang mati. Pokoknya pembelajaran bahasa harus menjurus bahasa yang boleh melahirkan pemikiran yang kritikal dan membumi, yang boleh mengaitkan kehidupan seharian dengan masalah-masalah masyarakat.

2. Menggerakkan elit bahasa

Bahasa tidak bergerak begitu sahaja, ia perlu ada human agency untuk menggerakkannya. Inilah peranan elit bahasa – perlu membuka wacana bahasa dalam persoalan kebudayaan seperti perihal agama, estetika, sosial, ekonomi dan politik masyarakat. Perlu juga mengkaji perhubungan psikologi sosial dan sejarah ideologi zaman penjajahan yang menyebabkan rasa kerdil dengan bahasa sendiri sehingga membantutkan pertumbuhannya. Ilmu linguistik tidak harus terpisah dari sains sosial sehingga tidak dapat menjelaskan permasalahan penggunaan bahasa secara menyeluruh. Perlu bersedia untuk menyelongkar ideologi di belakang bahasa yang ditunjangi kelompok berkepentingan (seperti patriarki dan authoritarian) dan retorika bahasa yang muflis citarasa intelektualnya yang diciptakan kelompok berkenaan.

Elit bahasa yang dimasukkan disini bukan sahaja pakar linguistik, tetapi juga para pengkaji, penyusun, dan perancang yang bertugas di pusat bahasa atau pusat media, para guru Bahasa Melayu yang mengajar di kesemua peringkat pendidikan, terutamanya di IPT.

3. Merancakkan wacana

Seperti yang telah disebutkan di atas, tiada gunanya istilah baru dicipta saban hari tanpa ada wacana untuk menampung istilah-istilah tersebut. Dan perbendaharaan bahasa kita mencerminkan konsep-konsep yang wujud dalam pemikiran kita. Makanya ketidakmampuan kita menggarap dan memikirkan sesuatu permasalahan atau pemahaman kerana ketiadaan konsep-konsep tersebut dalam pemikiran kita itu tercermin dari penbendaharaan bahasa kita.

Pengintelektualan bahasa memerlukan kesediaan untuk mengapungkan konsep-konsep ilmu kritis. Kita perlu ada keberanian untuk membahaskan idea-idea baru/kritis dalam ruang sosial supaya terbangunnya wacana.

Soal bahasa ini harus diangkat oleh orang yang mempunyai kapasiti untuk berwacana, yang mengajarkan bahasa, dan terutamanya yang mengaku pencinta dan pejuang bahasa Melayu. Isu bahasa tak seharusnya dijadikan alat untuk memenangkan naratif kelompok nasionalis sempit, lebih dari itu persoalan bahasa perlu diangkat supaya bahasa itu sendiri kukuh untuk menampung ilmu dan budaya baru yang progresif dan memajukan pemikiran masyarakat yang memakai bahasa itu sendiri.


Sakinah Rosli berasal dari Ipoh, Perak. Beliau adalah graduan jurusan kejuruteraan awam dari Universiti Teknologi Petronas (UTP). Beliau adalah Felo Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) dalam kohort Isu Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Asli. Sakinah memfokuskan penelitian pada isu-isu pembangunan, keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *