Ketika Segelintir Agamawan Khianat

Oleh : Zarif Asyraf

“Bukankah tuan-tuan itu perikutan yang patut bersuara dan mengadakan ikhtiar bagi membaiki hal sekalian mereka itu yang bodoh dan lalai itu; kerana tuan-tuanlah konon orang besar-besar Islam… Apakah makna orang besar-besar itu? Apa untuk hendak mendada di dalam majlis sahajakah? Atau hendak mintak orang mencium tangan yang harum itu sahajakah?”[1]

    -Syed Syeikh Al-Hady, Saudara (27 Oktober 1928)

Pada ketika ini, negara berhadapan dengan musibah besar iaitu akibat tularnya COVID-19 yang dapat menggugat keamanan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta negara. Usaha yang pelbagai dilakukan dari semua pihak tanpa terkecuali ditambah pula keadaan yang semakin parah sehingga hampir semua rakyat menjadi binggung dan panik. Di tengah-tengah badai yang melanda, muncul keadaan yang sangat kurang saya senangi apatah lagi berdiam diri melihatnya.

Di saat masyarakat digesa untuk memainkan peranan masing-masing buat menjaga diri sendiri dan orang lain daripada dijangkiti wabak dengan mengehadkan pergerakan ke merata tempat termasuklah penutupan sementara rumah-rumah ibadah seperti masjid dan pemberhentian segala aktiviti terkait dengannya, timbul pula omong-omong kosong orang yang pada zahirnya waras tetapi tidak. Pada zahirnya mengenakan imej agama yang murni pada kenyataan mereka itu tetapi sebetulnya sangat lari daripada apa yang diperintahkan Tuhan. Bercakap seolah-olah ingin membela agama dan bangsa tetapi sebaliknya hanya menjelikkan pandangan masyarakat terhadap agama Islam itu sendiri.

ANTARA VIRUS DAN RUMAH TUHAN

Mereka membuka gelanggang dakyah dengan menyeru “Usahlah takut kepada virus berbanding takut akan Tuhan” lantas membawa kepada kenyataan-kenyataan yang jelas salah seperti mempersoal dan menentang langkah penutupan masjid dan larangan melakukan solat berjemaah serta solat Jumaat bagi membendung wabak ini daripada tersebar lebih luas. Ada juga yang mempertanyakan dengan sinis mengapa masjid yang ditutup, dan bukannya pasaraya-pasaraya besar, gedung-gedung membeli belah mahupun panggung wayang yang tidak pula dihentikan operasinya? Kata mereka, ini adalah petanda akhir zaman bahawa umat Islam membenci syiar agama dan menjauhi masjid.

Ada yang mengatakan bahawa masjid merupakan ‘Rumah Allah’, maka mengapa kita takutkan virus memasukinya sedangkan Allah berkuasa melindungi ‘rumahnya’. MasyaAllah, termenung panjang saya mendengar kenyataan tersebut.

Bagi saya, cakap-cakap seperti ini jelas terpesong daripada seruan agama yang sepatutnya. Bukankah Tuhan telah berfirman di dalam kitabNya bahawa jangan sesekali mencampakkan diri kita ke lembah kebinasaan.[2]Dan di tempat yang lain Tuhan berfirman bahawasanya Dia tidak mengubah keadaan sesuatu kaum melainkan kaum tersebut yang mengubah keadaan dirinya sendiri.[3]

Maka bukankah langkah untuk mengawal pergerakan umat Islam ke masjid yang nyata berisiko tinggi adalah sangat wajar bagi menghentikan gelombang kedua serangan COVID-19 di Malaysia yang salah satu penyebabnya adalah apabila seorang ahli perkumpulan Jemaah Tabligh di Masjid Sri Petaling baru-baru ini disahkan positif virus tersebut, lantas para ahli Jemaah yang lain pula telah pulang ke kariah masing-masing dengan dikhuatiri terjangkiti virus yang sama hasil daripada contact rapat sesama mereka.[4] Dan hal ini benar-benar terjadi dengan peningkatan jumlah pesakit yang terkena virus tersebut sejurus selepas perhimpunan itu selesai.[5]

Penulis tidak berniat untuk memburukkan dan menyalahkan Jemaah Tabligh jauh sekali membenci institusi yang bernama masjid, tetapi yang ingin ditunjukkan di sini adalah kerasionalan penutupan rumah ibadah termasuk juga rumah ibadah agama lain dalam hal ini. Penularan wabak COVID-19 mampu menjangkiti siapa sahaja tanpa mengira latarbelakang agama. Makanya, segala aktivti yang dapat menjurus kepada sebaran penyakit perlu dibendung walaupun ia melibatkan aktiviti keagamaan.

Malah, dalam prinsip Maqasid Syariah sendiri, sesetengah ulama’ menyebutkan keutamaan menjaga nyawa berbanding agama yang mana ianya kena pada situasi yang ada. Kerana jika nyawa tidak diselamatkan terlebih dahulu, siapa yang akan menjaga agama ini? Bahkan, dengan menjaga nyawa juga, ianya secara tidak langsung dapat menjaga prinsip-prinsip Maqasid Syariah yang lain. Penulis bukanlah orang yang mahir dalam hal keagamaan dan tidakpun mendapat pendidikan agama yang formal. Tetapi, sebagai seorang Muslim, tidak perlu ilmu agama yang tinggi dan kitab turath yang tebal-tebal untuk memahami maslahat ini, cukup hanya sekadar berfikir secara rasional dan waras.

Sementelahan mereka yang mempersoalkan mengapa masjid yang menjadi sasaran penutupan dan bukannya premis-premis lain tidak berfikir dengan panjang. Memang benar bahawa bukan masjid sahaja yang perlu ditutup tetapi bukankah langkah penutupan ini menunjukkan bahawa Islam adalah sebuah agama yang sangat mementingkan keselamatan dan kesejahteraan penganutnya dari segenap aspek? Bukankah hal ini menunjukkan bahawa Islam sebagai agama yang lebih terkehadapan dan maju berbanding yang lain dalam menghadapi satu zaman?

Bagaimana kiranya kita ingin melawan naratif bahawa ‘Islam Sebagai Agama Teroris’ yang kononnya suka melakukan pembunuhan dan menyia-nyiakan nyawa manusia jika bukan umat Islamlah dan para pemuka agamanya yang perlu bertanggungjawab menghakis kesalahfahaman tersebut dengan mencontohkan hal yang sepatutnya, yakni betapa Islam itu sebagai sebuah agama yang amat menghargai kehidupan makhluk dan serius menyeru kepada perdamaian dan keamanan.

Ini belum lagi kita berbicara tentang seorang agamawan yang mendakwa bahawa Masjidil Haram ‘disucikan’ setelah disentuh oleh seorang maknyah yang bertelekung mengerjakan umrah dan penjualan produk-produk yang di’Islamkan’ jenamanya dan diklaim dapat menjadi penyembuh kepada virus ini. Sebenarnya banyak lagi tindakan-tindakan para ketua-ketua agama ini yang nyata jijik apabila berhadapan sesuatu isu bahkan sebelum kita semua menghadapi keadaan seperti sekarang. Maka penulis terpanggil untuk bersuara menyatakan kepincangan-kepincangan yang ada ini agar pemikiran yang sebenarnya jelas memundurkan umat Islam dibendung segera.

KETIKA SEGELINTIR AGAMAWAN KHIANAT

Penulis amat kesal kerana apa yang terjadi seperti yang telah penulis sebutkan sebelum ini datangnya daripada mulut dan tulisan segelintir para pemuka agama yang tidak bertanggungjawab dalam memandu masyarakat menghadapi bencana dengan sewajarnya. Malah, kata-kata mereka yang jelas salah ini disokong, ditelan dan diterima bulat-bulat oleh masyarakat tanpa berfikir, mentelaah lebih dalam malah jauh sekali ingin mengkoreksinya. Para pemuka agama tersebut atas kapasitinya dan imejnya sebagai seorang yang berilmu agama yang sangat disanjungi segelintir masyarakat yang sangat takut “melawan ulama” sebenarnya telah khianat dalam tugas mereka untuk mencerah akal budi masyarakat.

Dalam usaha membangunkan umat Islam yang bijak, pintar dan berkemajuan, malang pula bagi kita dikawal oleh sesetengah agamawan jumud dan berfikiran sempit. Tulisan ini bukanlah hendak menuduh golongan agamawan sebagai penyebab virus ini tular dan meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada mereka. Tetapi dalam hal ini mendidik masyarakat agar tahu bertindak dengan benar pada waktu ini dan waktu-waktu lain, wajarlah para pemuka agama ini menjadi sasaran penggesaan penulis.

Hal ini demikian kerana, selain politikus, imej mereka yang bergelar ustaz, daie, pendakwah dan para kiyai mahupun gelaran moden kini seperti Pencetus Ummah, Daie Muda, Ustaz dan Ustazah Pilihan sememangnya merupakan figura yang sangat mempengaruhi orang kebanyakan. Maka apabila mereka melakukan sesuatu perkara, tak kira seberapa besar salahnya, tetap saja ada yang mempertahankan tindakan mereka itu bermati-matian. 

Perkara ini telah lama disuarakan oleh Syed Syeikh Al-Hady dalam penulisannya dalam akhbar Saudara pada tahun 1928 yang menempelak golongan yang membawa pengaruh besar kepada masyarakat selain pemerintah iaitu ketua-ketua agama seperti berikut:

Wahai sekalian ketua-ketua agama dan orang kaya-kaya dan orang besar-besar. Daripada apakah kejadian hati tuan-tuan sekalian? Apa daripada jolok apikah atau daripada besi khursanikah atau memang tuan-tuan sekalian tidak beriman dengan hari kiamat? Maka tiada perasaan dan tiada peringatan kepada agama dan bangsa dan kaum dan tanah air yang akan lebur sama sekali ini di dalam hati tuan? Inna lillahi wainna ilaihi rajiun…”[6]

Syed Syeikh Al-Hady berpendapat bahawa tugas untuk memandaikan bangsa terletak di pundak para agamawan yang mempunyai kebertanggungjawaban sosial:

Tiadakah tuan-tuan sekalian mengetahui ubat bagi penyakit ini melainkan mengumpat mengata sahaja orang-orang Islam ini bodoh dan lalai menurut perkataan sekalian bangsa-bangsa yang lain. Bukankah tuan-tuan itu perikutan yang patut bersuara dan mengadakan ikhtiar bagi membaiki hal sekalian mereka itu yang bodoh dan lalai itu; kerana tuan-tuanlah konon orang besar-besar Islam… Apakah makna orang besar-besar itu? Apa untuk hendak mendada di dalam majlis sahajakah? Atau hendak mintak orang mencium tangan yang harum itu sahajakah?”[7]

Jika diteliti kenyataan beliau itu, ia jelas masih relevan dengan sikap pemuka-pemuka dan ketua agama pada hari ini. Mereka selalu menyatakan bahawa umat Islam jauh ketinggalan dan terancam dek bangsa lain jika tidak oleh Cina yang menyokong sesebuah parti politik pilihan mereka, maka Yahudilah yang akan dipersalahkan. Tetapi, para agamawan yang bercakap sedemikian tidak pula tahu membentangkan solusi kepada umat Islam untuk mencari jalan keluar daripada permasalahan dan mencapai kemajuan seperti yang ada pada bangsa-bangsa yang lain–yang dicercanya itu. Hal ini jelas dan lantang disuarakan oleh Syed Syeikh;

“Bahkan tuan-tuanlah yang dituntut pada ikhtiar dan berusaha mencari jalan pada menuntun akan mereka itu kepada jalan yang kesempurnaan supaya tertinggal daripada mereka itu malas dan segan, tiada berilmu dan amal, suka bergantung kepada angan-angan yang karut-karut, meninggalkan sebab-sebab yang sebenar umpama berkehendakkan sembuh daripada penyakit atau berkehendakkan harta bagi memintak ke kubur atau kepada segala dajjal-dajjal penjaja agama dan seumpamanya…[8]

BERAGAMA DAN BERAKAL

Hairan. Beragama seharusnya menjadikan seseorang itu lebih menggunakan akal fikiran yang dikurniakan Tuhan dengan sebaiknya dan bukan hanya tahu mengangguk dan mentaklid membabi buta sahaja segala perkataan yang datang dari sesiapa pun termasuklah seberapa besar gelar keagamaan yang diperoleh oleh seseorang, tetapi pada saat mereka menjadi orang yang dungu, maka tinggalkanlah orang seperti itu.

“Adapun Kaum Muda berkata kita wajib perchayakan akan perkataan Allah dan Rasul-Nya sahaja, dan bermula sekalian ‘ulama’ itu tiada seorangpun yang ma’sum, ertinya terpelihara daripada tersalah dengan sebab ini wajiblah di atas kita yang diberi oleh Tuhan sedikit ‘aqal dan sedikit pengetahuan memeriksa apa-apa yang dikatakan wajib atau haram itu…[9]

Melihat kepada situasi semasa, jadi benarlah apa yang diperingatkan oleh Syed Syeikh Al-Hady, bahawa kaum agamawan perlu menjadi agen pencerahan buat masyarakat atas kapasiti dan wibawa yang ada pada mereka dalam masyarakat dan juga bahawa umat Islam perlu banyak menggunakan akal fikiran yang luhur serta tidak hanya terikut-ikut perkataan orang lain yang tidak membawa faedah langsung kepada diri.

PENUTUP

Kata hukama, “jika engkau ingin menguasai orang yang bodoh, maka bungkuslah segala sesuatu yang batil dengan kemasan agama”. Segala projek pembodohan dan pendunguan umat Islam yang berpunca daripada pengkhianatan segelintir agamawan yang menggunakan nama Islam bagi menghalalkan tindak tanduk mereka perlu ditentang sama sekali. Pengkhianatan ini tidak boleh diterima dan tidak ada tempat dalam masyarakat Islam yang benar-benar menginginkan kehormatan diletakkan kepada agama dan faham bahawa Islam tertegak atas dasar ilmu sepertimana wahyu pertama yang diturunkan kepada Muhammad SAW.

Akhirul kalam, memetik Syed Syeikh Al-Hady sekali lagi;

Tiada syak lagi sekalian penjaja-penjaja agama dan penjual-penjual azimat atau penjinjit tasbih atau pemusing akal perempuan dan segala pengikutnya akan mengatakan saya dengan sebab karangan saya ini seberapa daya upayanya daripada segala perkataan yang jahat-jahat, tetapi tiada saya endah akan perkataan mereka itu selama saya menyeru dengan seruan Qur’an. Kepada Allah jua saya bergantung”.[10]

*Artikel ini turut diterbitkan di portal ibtimes Indonesia dengan pautan berikut: https://ibtimes.id/omong-kosong-covid-19-1-antara-virus-dan-rumah-tuhan/

https://ibtimes.id/omong-kosong-covid-19-2-ketika-segelintir-agamawan-khianat/


(1) Abdul Rahman Haji Ismail memetik tulisan Syed Syeikh Al-Hadi dalam Akhbar Saudara, 27 Oktober 1928. Lihat ‘Syed Syeikh Al-Hadi: Penggerak Kebangkitan Melayu Abas ke-20” dalam Syed Syeikh Al-Hadi: Cendekia dan Sasterawan Ulung, disunting oleh Sohaimi Abdul Aziz (Pulau Pinang: Penerbit USM, 2003), hal. 23.

(2) Rujuk QS Al-Baqarah, ayat 195.

(3) Rujuk QS Ar-Ra’d, ayat 11

(4) Astro Awani, 11 Mac 2020. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid-19-kkm-jejaki-5-000-jemaah-tabligh-masjid-sri-petaling-233338

(5) Astro Awani, 15 Mac 2020. https://www.bhplus.com.my/berita/nasional/2020/03/665578/190-kes-baharu-covid-19-majoriti-punca-ijtimak-tabligh

(6) Akhbar Saudara, 27 Oktober 1928. Lihat ‘Syed Syeikh Al-Hadi: Penggerak Kebangkitan Melayu Abad ke-20” (Pulau Pinang: Penerbit USM, 2003), hal. 23.

(7) Ibid

(8) Ibid

(9) Lihat ‘Perchayakan ‘Ulama’: Perselisihan Di Antara Kaum Tua dengan Kaum Muda’ dalam Seruan Islam Syed Shaykh Al-Hady disunting oleh Alijah Gordon, terjemahan Mohd Rashidi Nasharuddin dan Shuhaib Ar-Rumy Ismail (Kuala Lumpur: Islamic Renaissance Front (IRF), 2018), hal. 181.

(10) Ahmad Farouk Musa memetik tulisan Syed Syeikh Al-Hadi dalam Akhbar Saudara, 27 Oktober 1928. Lihat ‘Syed Shaykh Al-Hady-Akal Disisi Kaum Muda’, laman web Islamic Renaissance Front (IRF), 14 November 2019, https://irfront.net/post/others/syed-shaykh-al-hady-kaum-muda-dan-akal/


Zarif Asyraf berasal dari Sandakan, Sabah dan merupakan Felo Lestari Hikmah. Beliau merupakan mahasiswa Universiti Sains Malaysia dalam bidang pendidikan bermajorkan ilmu sejarah dan berminorkan sastera. Penumpuan beliau adalah sekitar ilmu sejarah dan pensejarahan, sastera, seni dan budaya nusantara. Beliau juga merupakan salah seorang penulis bagi buku Inteligensia Penyuluh Nusantara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *