Sikap Kita Terhadap Sejarah
Oleh : Dr. Chandra Muzaffar
Hakikat penjajahan minda adalah bagaimana ia mempengaruhi cara kita melihat diri kita sendiri, cara kita melihat orang lain, dan dunia secara keseluruhannya. Cara kita melihat diri kita sendiri, misalnya, dalam hierarki yang lebih besar. Orang Muslim, seperti orang Hindu, atau orang Kristian, atau orang Buddha yang telah dijajah melihat dirinya lebih rendah dibandingkan dengan Barat.
Saya rasa persepsi ini adalah sesuatu yang sangat serius, kerana ia bermakna sejarah anda, warisan anda, patrimoni anda, seolah-olah tidak memiliki status yang sepatutnya. Anda mulai menilai segala sesuatu yang anda miliki berpaksikan kepada Barat. Itu menjadi ukurannya. Itu menjadi kriteria utama untuk menentukan sama ada sesuatu itu baik atau buruk.
Anda melihat sesuatu yang sangat mudah tetapi mendalam, seperti konsep kecantikan. Mengapa jika anda pergi ke Shanghai, misalnya, patung-patung sekarang kelihatan sangat Caucasian ? Mereka tidak kelihatan Cina sama sekali. Jadi ada konsep kecantikan tertentu yang telah dikaitkan dengan Barat. Dan yang lain tidak dapat mencerminkan konsep kecantikan itu kerana secara fizikal, mereka berbeza. Walaubagaimanapun, mereka melihatnya sebagai sesuatu yang paling utama dalam hal kecantikan. Jadi ada yang tidak kena…
Dan ia berlanjutan, misalnya, jika anda melihat bagaimana penjajahan minda menerangkan dirinya dalam hal-hal seperti ekonomi. Kita telah menerima pasaran dan cara pasaran berfungsi sebagai suatu kebenaran yang dianugerahkan oleh Tuhan, jika anda suka. Anda tahu bahawa ini adalah satu-satunya cara di mana ia boleh berfungsi. Kita tetap lupa bahawa ini adalah sesuatu yang sangat baru dalam sejarah manusia. Pasaran telah wujud untuk masa yang sangat lama, tetapi pasaran beroperasi dengan cara yang berbeza. Tetapi, hari ini anda mempunyai konsep pasaran tertentu yang telah menjadi meresap secara keseluruhan.
Seseorang sewenang-wenangnya bercakap dalam segala hal. Dan saya fikir inilah yang dinamakan penjajahan minda. Jika anda melihat buku teks yang digunakan di banyak bahagian dunia pasca-kolonial, anda akan mendapati bahawa cara mereka melihat sejarah dunia ini dipengaruhi oleh ini. Cara mereka melihat sejarah masyarakat mereka sendiri didefinisikan dan ditentukan oleh pengalaman kolonial.
Ketika saya bersekolah, misalnya – dan kebanyakan sekolah rendah dan menengah saya adalah selepas kemerdekaan [Malaysia], selepas 1957 – buku-buku sejarah memberitahu generasi saya bahawa Francis Light telah membuka Pulau Pinang, Stamford Raffles telah membuka Singapura. Ini adalah suatu kebohongan. Kerana Pulau Pinang dan Singapura telah wujud sebelum Francis Light dan Stanford Raffles tiba di tempat-tempat ini. Mereka memiliki masyarakat yang berkembang maju. Mereka berdagang. Mereka melakukan semua perkara ini. Mereka adalah sebahagian daripada empayar-empayar yang lebih besar. Dan, buku-buku sejarah akan memberitahu anda bahawa mereka menemui tempat-tempat ini. Ini adalah mitos penemuan yang sangat berbahaya kerana ia bermakna anda tidak mempunyai sejarah sebelum itu. Anda tidak wujud. Inilah yang tersirat. Dan jika anda melihat mitos sejarah ini, mitos penemuan, adalah suatu idea yang sangat, sangat berbahaya.
Jadi saya biasa memberitahu pelajar-pelajar saya ketika saya mengajar bahawa bukan Francis Light yang membuka Pulau Pinang; tetapi orang-orang Pulau Pinang lah yang menemui Francis Light berdiri di pantai mereka pada suatu hari. Itulah yang sebenarnya terjadi.
Jadi saya fikir proses menulis semula sejarah ini perlu berlaku. Tetapi pada masa yang sama, kita harus berhati-hati tentang hal ini. Kita tidak boleh menjadi ekstrem, menafikan segala yang telah terjadi dan cuba mengkultuskan masa lalu yang sepatutnya tidak dikultus. Ada pelbagai masalah dan kecacatan pada wajah kita sendiri dan kita harus mengakuinya. Saya mendapati bahawa terkadang orang Muslim, apabila mereka berbicara tentang masa lalu dan kemuliaan masa lalunya, mereka cenderung mengabaikan sisi gelap sejarah. Ini salah, pada pandangan saya.
Mereka juga harus mengakui terang-terangan bahawa jika anda melihat, katakanlah, empat khalifah pertama, tiga daripadanya telah dibunuh. Itu adalah fakta sejarah yang anda tidak boleh lari daripadanya. Ada faksi, ada pergaduhan. Anda tidak mempunyai kestabilan untuk jangka masa yang panjang. Anda mempunyai khalifah-khalifah yang korup. Semua perkara ini adalah sebahagian daripada sejarah kita, dan kita harus bersedia untuk mengakuinya.
Dan saya fikir ini benar bagi setiap orang. Kita harus bersedia untuk berlaku jujur akan masa lalu kita.
*Penulisan penuh di dalam Bahasa Inggeris boleh dicapai dengan pautan berikut : https://www.pbs.org/wgbh/pages/frontline/shows/muslims/interviews/muzaffar.html
*Penulisan ini merupakan siri kedua bagi projek ‘Sekolah Ilmu Mandiri’
Dr. Chandra Muzaffar merupakan ahli akademik terkenal yang telah menulis puluhan karya seperti The Protector, Islam Resurgence in Malaysia dan Rights, Religion and Reform. Berpengalaman luas dalam dunia aktivisme khususnya berkaitan hak asasi manusia dengan memimpin ALIRAN dan JUST. Dalam dunia akademik beliau pernah menjadi tenaga pengajar di Universiti Sains Malaysia dan Profesor di Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya.