Literasi Sastera Dan Revitalisasi Kemasyarakatan
Oleh : Muhamad Muslim
Kunjungan Pertubuhan Lestari Hikmah ke Universitas Negeri
Malang, Kota Malang, Indonesia pada 30 Ogos 2018 disambut mesra oleh Prof Dr
Djoko Saryono Guru Besar Sastra Universitas Negeri Malang serta rakan yang lain
dari Pelangi Sastra Malang. Perbincangan hampir dua jam itu bertempat di Kafe
Pustaka iaitu kafe yang sering diadakan program kelolaan Prof Djoko dan rakan
yang lain. Antara rakan lain yang turut serta aktif berwacana sastera di Kota
malang ini antaranya Komunlis dan Kalimetro.
Ketika disoal oleh teman dari Lestari Hikmah perihal peranan sastera di Indonesia, Prof Djoko menyebutkan bahawa sastera itu bukan sahaja mainan bahasa yang puitis dan mengasyikkan, tetapi sastera itu menjadi wadah kemerdekaan, penyatuan masyarakat, pembebasan dan membela serta menjadi suara masyarakat kecil. Sastera juga senjata ampuh penyatuan dalam keberagaman manusia dan beraneka pemikiran.
Penulis sempat menanyakan perihal kesan filem indonesia yang diadaptasikan dari karya sastera. Adakah filem itu memberi kesan yang kuat untuk orang meminati sastera. Balas Prof Djoko kesannya tidak menyeluruh dan hanya dekat dengan individu yang meminati filem dan warga kota sahaja.
Sebagai seorang peminat kepada Buya Hamka, Pramoedya Ananda Toer, Chairil Anwar dan Sutardji Calzoum Bahri, Prof Djoko melihat tokoh sastera seperti mereka dapat menyulam dengan sangat baik pemikiran-pemikiran tradisi dengan dunia moden. Sastera mempunyai nilai spiritual, humanistik dan fungsi sosial yang menyedarkan hati budi manusia.
Tambahan lagi dua komponen sastera iaitu estetika dan etika umpama dua pasangan kekasih yang menemani sastera di Nusantara. Itulah keunikan sastera di Nusantara dimana perlu diperhebatkan lagi wacana budaya dan silang sastera daerah kejiranan Nusantara ini.
“Sastera merupakan rumah teduh bagi akal budi dan fikiran yang selalu haru biru dengan permasalahan dan persoalan masyarakat yang membuat kita panas. Rumah yang teduh itu adalah sastera dengan keindahannya, estetika dan etikanya”. Kesimpulan dan khatimah oleh Prof Djoko Saryono ini benar-benar menunjukkan keindahan sastera selaku komponen wacana ilmu yang sangat penting dan perlu dihargai.
Muhamad Muslim Bin Bukhari, kelahiran Ipoh merupakan Kordinator Program Pertubuhan Lestari Hikmah. Berkelulusan BA Syariah Perbandingan Mazhab dari Universitas Islam Negeri Ar-Raniry, Acheh.