“Tuan Direktur” Karya Buya Hamka: Krisis Nilai Membentuk Kerakusan

Novel Tuan Direktur karya Buya Hamka adalah novel yang ringan tapi sarat dan mengalir kuat titipan nasihat dan hikmah didalamnya yang menarik untuk dikupaskan pada zaman kini yang penuh dengan pancaroba dari sudut budaya dan persekitarannya. Novel ini menggambarkan dua kehidupan yang boleh diertikan sebagai dua kutub yang berbeza iaitu sebuah kehidupan yang kaya dari segi kewangannya akan tetapi ketandusan dari sudut nikai akhlak dan peradabannya dengan sebuah kehidupan yang miskin dari sudut kewangannya akan tetapi kaya dari sudut nilai akhlak dan peradabannya.

Di dalam novel ini Jazuli seorang pemuda Banjar merupakan seseorang yang berjaya di dalam perusahaannya di Surabaya akan tetapi tamakkan harta, memperkudakan tenaga pekerja dan kerakusannya terhadap harta hanya semata-mata untuk mendapatkan penghormatan, kepujian dan kekayaan. Selain itu, di dalam novel ini watak Pak Yasin digambarkan sebagai seorang yang berpengatahuan agama, kaya dari sudut peradabannya dan peribadinya serta melakukan sesuatu tanpa mengharapkan apa-apa balasan mahupun sanjungan. Beliau juga sering menasihati rakan-rakannya termasuk Jazuli semasa di dalam penjara kerana mereka dituduh membina pakatan untuk menjatuhkan pemerintah. Di tanah Pak Yasin didirikan rumah sewa kecil bagi penjaja, kuli dan pekerja bawahan yang mana mereka kurang berkemampuan.

“Seorang tua yang bertabiat anih, terlalu pemurah dan ramah tamah. Mendirikan rumah-rumah petak untuk dipersewakan, tetapi segenap penyewanya yang terdiri dari kalangan rendah itu, tidaklah memandangnya sebagai majikan atau tuan tanah tempat mereka menumpang, bahkan dianggap sebagai bapa. Kadang-kadang setelah wang sewa itu mereka berikan, mereka pinjam kembali untuk modal kerana miskinnya, dan belumlah pula pernah pinjaman mereka yang bertolak. Kerana itulah agaknya maka semakin segan dan patuh pula mereka terhadap Pak Yasin”. 

Beliau juga seseorang yang tidak mudah diperdayakan dengan niat-niat jahat dan wang besar nilainya bukanlah menjadi ukuran untuk diperdayakan terhadap  ketika mana berhadapan orang suruhan Jazuli memujuknya menjual tanah namun ditolak olehnya dengan kebaikan dan rahmah. Dalam masa yang sama, beliau juga mempunyai cucu perempuan yang bernama Aminah dan pada masa yang sama jugalah seseorang anak muda yang bernama Fauzi telah manaruh hati dan harapan terhadap cucunya.

Tambahan pula, apa yang hendak diketengahkan lagi adalah sifat keperibadian yang wujud di dalam novel ini yang dijadikan sebagai teladan. Iaitu sifat ketamakan akan harta, kerakusan dalam jiwa, perlaksanaan sesuatu kerja semata-mata berobjektifkan harta dan penghormatan merupakan sesuatu barah atau virus berbahaya di dalam diri yang perlu dijauhi oleh semua manusia dari terendahnya sehingga terhormatnya. Konsep penerimaan atas kritikan yang membawa arus pembinaan diri dan penambahbaikkan ekosistem kehidupan merupakan keperluan dalam kehidupan dan menjadi pemangkin kearah arus yang lebih cemerlang dan sempurna. Buya Hamka juga membawa pendekatan bahawa konsep kekayaan dari sudut kewangan sahaja tanpa wujud kekayaan dari sudut peradabannya adalah miskin pada hakikat keperibadian individu tersebut. Malah mereka yang berbudi bahasa dan beradab menurut Buya itulah yang kaya pada hakikatnya kerana hakikat kehidupan mereka tanpa dibelenggu gangguan resah dan gelisah.

Dalam novel ini Buya Hamka juga menekankan seseorang yang menjalankan perusahaan berkonsepkan kapitalis dan mengaplikasikan dalam bentuk kezaliman dan penindasan terhadap golongan bawahan adalah ekosistem yang tidak sihat dan perlu dijauhi oleh mana-mana manusia kerana boleh menghasilkan perasaan berbentuk tekanan, ketidakadilan sistem, menimbulkan tidak puas hati dan pada masa yang sama akan menjatuhkan perusahaan tersebut sama ada jangka masa yang panjang mahupun jangka masa yang singkat. Seterusnya ditekankan juga kejayaan dalam bidang perusahaan iaitu “kekerasan jiwa” yang dijadikan tunjang penting terhadap pengusaha bagi memacu sesuatu perusahaan dengan bersifat dinamik dan menepis segala bentuk cabaran-cabaran dan halangan-halangan yang bersifat mencabar. Kekerasan jiwa ini adalah jiwa yang kental dalam menempuh segala cabaran dan bersemangat waja adalah sesuatu keperluan yang perlu ada dalam diri seseorang pengusaha untuk berjaya atau sampai ke penghujuang matlamat. Namun, kejayaan dari segi kewangan bukanlah kejayaan yang sejati, kejayaan yang sejati perlulah merangkumi budi pekerti yang mulia, elakkan kerakusan dan penganiayaan maka inilah kaya yang hakiki.


Muhamad Mirzan berasal dari Lenggong, Perak dan merupakan siswa BA Fiqh Dan Fatwa di Universiti Sains Islam Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *