Melihat Humor Melalui Perspektif Islam Di Nusantara
Oleh : Fairuzzaman Shaharuddin
Pada 9 Disember 2020 yang lalu, saya telah menyertai sebuah forum atas talian yang dianjurkan oleh Sisters In Islam dan Komuniti Muslim Universal, Malaysia (KMU) bertajuk Charlie Hebdo: Ripple Effect in Nusantara (Charlie Hebdo: Respon Dan Kesannya Di Nusantara). Antara barisan panelis yang terlibat ialah Dwi Rubiyanti Kholifah (Asian Muslim Action Network, Indonesia), Imran Taib (Centre for Interfaith Understanding, Singapura) dan Dr Imam Nahe’i (Komnas Perempuan, Indonesia). Forum ini telah dikendalikan dengan baik oleh Aizat Shamsuddin (KMU).
Sebagai seorang pelajar yang sedang mengkaji humor dan satira politik di Malaysia, forum ini memberi manfaat besar kepada kajian saya; khususnya dalam melihat subjek ini melalui dimensi-dimensi lain yang lebih dinamik.
Tiga orang panelis ini mengutarakan tiga dimensi berbeza, Imran menyarankan bahawa satira Hebdo harus dilihat daripada konsep laïcite (sekularisme) di Perancis, Dr Imam Nahe’i daripada segi konsep ‘mengolok-olok’ dalam Islam dan Dwi Rubiyanti melacak persoalan hak asasi manusia. Kesemua inti perbincangan ini bila diadun telah menjadi sebuah hidangan yang lazat untuk kita hadam – khususnya apabila memikir ulang tentang kedudukan jenaka dan sindiran dalam di rantau ini.
Sudah pasti, reaksi umat Islam seluruh dunia amnya dan Nusantara khususnya dapat kita telahi. Kemarahan yang meluap-luap ini dikatakan datangnya daripada sikap Barat yang sekular dan gagal menghormati Islam. Sudah tentu tulisan seringkas ini tidak dapat menghuraikan duduk letak perkara ini dengan lebih terperinci. Tetapi saya mahu mengajukan sebuah huraian ringkas; mengenai debat kartun Danish, Jyllands-Posten yang juga pernah mengundang reaksi marah daripada umat Islam pada tahun 2005 dahulu. Kes yang berbeza, tetapi mungkin mempunyai nuansa yang sama.
Huraian ini diambil daripada tulisan Arndt Graf (2006) yang tersiar di Asien 101 bertajuk: Debates on the Danish Cartoon Affair in Islamic Southeast Asia. Disini, Graf melihat sikap berbeza yang diambil oleh beberapa figura dan organisasi Islam di Indonesia. Analisis Graf bersandarkan kepada dua varians utama Islam di Indonesia oleh James Peacock (1978); pertama, terhadap kelompok tradisional dan kedua, kelompok yang ditafsir sebagai Puritan, modernis dan reformis.
Menurut Peacock, kelompok tradisionalis mempunyai sikap toleransi yang lebih tinggi terhadap humor berbanding kumpulan kedua. Sebagai contoh, Gus Dur daripada Nahdlatul Ulama (NU) misalnya menyarankan agar insiden karikatur ini tidak perlu dipandang terlalu serius. Malah, beliau menggesa supaya umat Islam tidak menyalahkan kedua-dua pihak rakyat dan kerajaan Denmark dalam hal ini. Malah lebih jauh lagi, beliau juga mengambil berat akan kekesalan yang telah diterjemahkan oleh Amerika Syarikat, Paus dan Kesatuan Eropah.
Gus Mus juga dilihat mempunyai sikap yang selari dengan Gus Dur. Malah, Gus Mus memberi amaran terhadap umat Islam supaya tidak meletakkan sikap negatif dan generalisasi terhadap Barat. Pada pandangan Gus Mus, masih terdapat ramai rakyat Denmark sendiri menentang karikatur Jyllands-Posten; dan terdapat ramai juga kaum Yahudi yang cakna dengan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin.
Namun begitu, pandangan ini tidak dikongsi oleh kelompok kedua. Malah, kelompok Puritan, modernis dan reformis ini dilihat lebih tegas. Misalnya, organisasi seperti Muhammadiyyah dan Majelis Mujahidin Indonesia (MMI) telah menganjurkan protes dan begitu vokal dalam mengambil posisi terhadap isu ini.
Dalam analisis terakhir Graf, beliau telah mengajukan suatu refleksi menarik yang diambil daripada Annuri Furqon. Menurut Furqon, kemarahan umat Islam ini wajar dilihat daripada sisi sejarah. Kemarahan umat Islam terhadap Denmark (atau Perancis dalam konteks Charlie Hebdo) dihilir melalui pertentangan antara Barat-Islam sejak daripada kejatuhan Empayar Uthmaniyyah ketangan Eropah dan konflik antara Arab-Israel yang menyaksikan penubuhan negara Israel di Palestin.
‘Kekalahan’ demi kekalahan yang dihadapi oleh umat Islam ini dilihat menjadi faktor pemangkin terhadap kemarahan mereka hari ini. Maka tidak hairanlah bahawa, pembulian demi pembulian yang dilakukan oleh organisasi atau individu tertentu di Barat keatas umat Islam – contohnya memperolok-olok simbol, amalan dan figura penting dalam ugama Islam – telah menaikkan kemarahan penganutnya.
Perpektif dan refleksi yang dianjurkan ini sebenarnya menarik untuk dikaji dengan lebih mendalam. Apatah lagi, jenaka dan sindiran memang sebati dan telah bertapak dalam tradisi Melayu di Nusantara. Tetapi sejauh manakah jenaka dan sindiran ini boleh dibawa tanpa menyinggung sentimen-sentimen yang sensitif? Khasnya dalam masyarakat kini yang lebih rencam. Dan paling penting, memikir ulang soalan yang pernah dilontarkan oleh Asef Bayat (2009), “Mengapa orang-orang ugama begitu menentang konsep hiburan?”
Fairuzzaman Shaharuddin pemuda asal Slim River, Perak. Sebuah pekan kecil yang damai dan tenteram. Tetapi ditakdirkan menjadi calon pengajian Doktor Falsafah di Universiti Frankfurt, Jerman dalam bidang Pengajin Asia Tenggara. Disertasi yang sedang dalam pembikinan beliau bertajuk; Malaysian Political Satirist: Experiences and Motives (1998-2018). Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah matapelajaran Sejarah dan Politik selama tiga tahun disebuah universiti swasta—sebelum nekad berhenti dan mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran. Beliau mencintai muzik. Spektrum muziknya daripada Ensiferum hingga ke Agus Wisman. Daripada As-Sahar hingga ke Ella Mai dan daripada Koplo hingga ke Paganini.