Renungan Terhadap Wacana Kesejarahan Farish Noor

Oleh : Ahmad Muziru Idham

Pengalaman saya, untuk membaca Farish Noor memerlukan penguasaan bahasa dan istilah akademik yang digunakan terlebih dahulu. Agak sukar untuk memahami wacananya jika tidak biasa berhadapan dengan istilah-istilah linguistik dari aliran pasca strukturalis. Sebab wacana sejarahnya banyak menggunakan kerangka analisis kritikal, yang banyak merujuk kepada tokoh-tokoh semisal Derrida, Foucault, Kristeva, Barthes dan Lacan yang kebanyakan peristilahan mereka diwacanakan dalam bahasa Inggeris tinggi.

Saya kira pendekatan sejarah Farish Noor agak menarik. Dia banyak melakukan dekonstruksi sejarah yang membuka ruang wacana sejarah yang lebih segar untuk difikirkan. Metod dekonstruksinya banyak menghubungkan hal-hal kesejarahan yang tidak banyak tampil dalam wacana sejarah arus perdana, tapi mewujudkan wacana alternatif sejarah untuk diperbincangkan. Kewujudannya menyebabkan sejarah-sejarah yang terpendam itu diteroka sedalam-dalamnya lalu mencabar hegemoni wacana sejarah arus perdana yang seringkali menjadi instrumen untuk mengawal cara fikir masyarakat.

Tetapi sudah tentulah orang sepertinya tidak akan disenangi oleh sejarawan lain sebab (1) Dilihat terperangkap dengan cara fikir orientalis; (2) Dianggap memakai kerangka wacana luar yang tidak sesuai dengan historiografi tempatan; (3) Dirasakan mengacau wacana kesejarahan yang telah terbangun dalam sistem dan fakta yang diterima umum; (4) Dituduh menganut faham relativisme yang menyebabkan kecairan identiti bangsa dan merosakkan tradisi budaya.

Perkara-perkara sebegini saya kira hanyalah sekadar ketakutan sejarawan yang sudah mencapai tingkat arus perdana dalam wacana sejarahnya tetapi tiba-tiba datang orang seperti Farish Noor yang membawakan fakta-fakta historiografi dan tafsiran yang melawan arus untuk mencabar teori sejarahnya.

Sebab itu Farish Noor berani mencabar teori Islamisasi Alam Melayu kerana ia memutuskan sejarah Melayu daripada zaman proto sejarah sehingga akhirnya masyarakat hari ini telah melupakan tradisi kebudayaan asal dan membawa masuk pengaruh Arabisasi yang telah mengikis kebudayaan Melayu sebenar. Farish Noor menegur perihal perendahan rasionaliti dan falsafah kebudayaan masyarakat Melayu era proto sejarah yang mana kesannya telah menyebabkan berlakunya penggelapan sejarah masyarakat era tersebut dalam kesejarahan Melayu arus perdana dan menghilangkan gambaran rantaian kesejarahan tersebut dalam masyarakat Malaysia hari ini.

Saya fikir tafsiran Farish Noor itu sendiri berdiri di atas landasan yang kuat sebab pendekatan dekonstruktifnya itu menyelongkar fakta-fakta sejarah yang lazimnya sejarawan anggap tidak penting dan kecil, tetapi Farish Noor angkat dan berikan tafsiran kepadanya sehingga ia dilihat besar. Dan fakta-fakta sejarah yang dianggap kecil ini lazimnya adalah fakta yang berkaitan kebudayaan masyarakat bawahan yang sering tidak dipandang ketimbang masyarakat bangsawan feudal atau perkembangan kolonial.

Hampir setiap makalah Farish Noor, pasti akan menyingkap tentang ‘the Other’, iaitu memberi tumpuan kepada perihal norma dan identiti sosial yang terpinggirkan daripada kanun-kanun sejarah akibat daripada faktor politik kolonial dan feudal. Setiap kepengarangan sejarah pasti akan mengangkat suatu naratif tertentu, dan dalam masa sama menggelapkan naratif lain pula yang dirasakan tidak memihak kepada naratif mereka.

Sebab itu Farish Noor selalu menekankan bahawa sejarah itu tidak neutral, justeru tafsiran tidak harus ditutup dan perlu sentiasa dibahaskan supaya dapat berlaku adil kepada sejarah golongan yang dipinggirkan ini. Dalam suatu makalah, Farish Noor mengkritik golongan sejarawan pascakolonial yang tidak mahu merujuk sumber-sumber sejarah kolonial, tapi ironinya wacana sejarah mereka tetap merujuk kepada kesejarahan tempatan yang berpusatkan kepada kenegaraan (state-centric) di mana batu asasnya diletakkan oleh kolonial itu sendiri.

Sudah tentu sumber-sumber kolonial tidak boleh dipinggirkan terus daripada korpus rujukan historiografi kerana mahu tidak mahu negara yang kita diami hari ini sistemnya itu wujud disebabkan oleh “imagined community” (meminjam istilah Benedict Anderson) yang dibayangkan oleh kolonial.

Jadi, dalam makalah Mea Culpa: Re-reading Nineteenth-Century Colonial-Era Works on South East Asia as Confessional Texts, Farish Noor mengajarkan metod bagaimana hendak membuat pembacaan semula terhadap teks-teks kolonial mengenai kebudayaan Asia Tenggara supaya dapat mengesani niat tersembunyi dalam tulisan-tulisan mereka justeru menawarkan peluang untuk mengkritik tulisan kolonial ini dengan lebih tepat dan padu.

Agak menarik sebab Farish Noor menggunakan pendekatan Roland Barthes untuk memahami tujuan buku ditulis dan niat penulis yang barangkali wujud di luar kesedaran penulis kolonial disebabkan faktor identiti yang telah sebati dengan dirinya (e.g. keberadaan mereka dalam struktur kolonialisme, keterlibatan mereka dengan projek perluasan empayar dan kolonial-kapitalisme.)

Jadi, berbanding meminggirkan terus teks-teks kolonial yang mencerap sejarah kita yang mungkin hanya merugikan, sebaliknya teks-teks tersebut didepani dengan kritis supaya kita tidak membuang terus faedah-faedah yang boleh diambil daripada teks tersebut untuk memahami sejarah kebudayaan bangsa.

Dengan pendekatan yang tidak apologetik sejarah sebegitu bagi saya adalah lebih ampuh untuk (1) melawan naratif kolonialisme dalam kesejarahan Melayu; (2) mengikis pascakolonialisme dalam kebudayaan masyarakat Melayu kontemporari; dan (3) membangunkan wacana kesejarahan Melayu yang tidak memutuskan diri daripada era proto sejarah supaya tradisi kesejarahan itu berlangsungan.

Tiga perkara tersebut saya fikir penting kalau hendak bangunkan wacana sejarah Alam Melayu ini seadilnya dan tidak bersikap seperti kolonial yang mengambil sejarah secara runcit-runcitan demi memenuhi naratif yang bertujuan politikal.

Bacaan Lanjutan

1) Mea Culpa: re-reading nineteenth-century colonial-era works on South East Asia as confessional texts, South East Asia Research, 2019, 27(1), 74-96

2) Innocents Abroad?: The Erasure of the Question of Race and Power in Contemporary Feminist and ‘Nostalgic’ Travelogues, South East Asia Research, 1997, 5(1), 57-88

3) From empire to the War on Terror : the 1915 Indian Sepoy Mutiny in Singapore as a case study of the impact of profiling of religious and ethnic minorities, 2010, RSIS Working Paper

4) How “fake news” was a tool of nineteenth century colonialism and conquest, Media Asia, 2018, 88-93

5) RE-ORIENTING THE ‘WEST’? The Transnational Debate on the Status of the ‘West’ in the Debates among Islamist Intellectuals and Students from the 1970s to the Present, Al-Jāmi’ah, 47(1), 1-47

6) 1. Locating Asia, Arresting Asia: Grappling with “The Epistemology that Kills”, dalam Andrea A., Kashshaf G., Murari K. J. & Sraman, M. 2019, Imagining Asia(s), 17-35

7) An Imperial Divorce: The Division of South and Southeast Asia in the Colonial Discourse of the Nineteenth Century, dalam Saran S. (Ed.), 2018, Cultural and Civilisational Links between India and Southeast Asia, 301-324

8) What Your Teacher Didn’t Tell You: The Annexe Lectures (Vol 1.). Petaling Jaya: Matahari Books

9) The Other Malaysia: Writings on Malaysia’s Subaltern History. 2005. Kuala Lumpur: Silverfish Books.

10) Rethinking Islamisation of the Malay world, 2001. Malaysiakini, 21 Julai. Dipetik di https://www.malaysiakini.com/columns/6919


Ahmad Muziru Idham berasal dari Terengganu dan merupakan pengasas bersama Jurnal Sang Pemula, iaitu kumpulan anak muda yang giat membawakan wacana alternatif sains sosial dalam mempromosi wacana yang mempertahankan kemanusiaan dan hak tertindas. Muziru memperoleh BA Kajian Antarabangsa di UNIMAS dan MA Analisis Strategi & Keselamatan di UKM. Seorang pencinta kesusasteraan Melayu dan pernah menerima beberapa anugerah kesusasteraan di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *