4 Buku Islam & Kenegaraan : Dari Dahulu Hingga Kini

Oleh : Ahmet T. Kuru

Sejarah Islam adalah kompleks, terutama dalam aspek politiknya. Sebagai seorang penulis buku yang mengkaji hubungan antara Islam dan negara, saya mencadangkan empat buku utama bagi mereka yang ingin memahami topik ini dengan lebih mendalam.


Ali Abdel Razek, Islam and the Foundations of Political Power

Terdapat kepercayaan umum bahawa Islam menolak pemisahan antara agama dan negara, berbeza dengan Kristian. Buku Islam and the Foundations of Political Power (1925) oleh Ali Abdel Razek membantah idea ini secara langsung.

Abdel Razek (1888–1966), seorang lulusan Al-Azhar dan hakim mahkamah Islam di Mesir, berhujah bahawa Islam lebih menekankan moral berbanding sistem politik. Beliau menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW meninggalkan legasi ajaran agama, bukan doktrin politik. Jika Nabi mengutamakan politik, baginda pasti melantik seorang pengganti politik. Melalui analisa terhadap sejarah Umayyah dan Abbasiyah, beliau menegaskan bahawa kekhalifahan adalah institusi manusia yang bersifat pragmatik, bukan mandat ilahi.

Pandangan ini mengundang kontroversi besar sehingga jawatankuasa ulama al-Azhar menarik balik ijazahnya dan beliau dipecat daripada jawatan kehakiman, mengakibatkan beliau menganggur.


Ibn Khaldun, Muqaddimah


Ibn Khaldun (1332–1406) adalah seorang pemikir yang menganalisis dinamik kuasa dalam dunia Islam. Karya tersohornya Muqaddimah, berperanan sebagai suatu prolog kepada sejarah dunia yang beratusan jilid. Malahan, beliau tidak menganggap dirinya sebagai ahli falsafah atau ahli teologi, tetapi sebagai perintis dalam bidang sains sosial. Beliau juga mengungkapkan bahawa “Jika anda berminat dengan perspektif undang-undang Islam mengenai Islam dan negara, bacalah karya al-Mawardi,” merujuk kepada ahli fiqh Muslim abad ke-11. Ironinya juga, beliau menggambarkan karya beliau sebagai penilaian terhadap “ketamadunan manusia dan organisasi sosial”. Kini, beliau diiktiraf sebagai ahli sains sosial yang pertama.

Inti kepada analisis Ibn Khaldun ialah hubungan dialektik antara dua kelompok manusia: penduduk bandar yang menetap dan masyarakat nomad yang bersifat kesukuan. Setiap kelompok ini mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri:
• Masyarakat bandar maju dalam seni, sains dan falsafah, tetapi menjadi lemah dari sudut ketenteraan kerana terlalu bergantung kepada tentera profesional. Apabila ketenteraan mereka tewas, maka masyarakat bandar terdedah kepada ancaman.
• Masyarakat nomad pula kurang dari sudut kebudayaan dan nilai intelektual namun mempunyai perwatakan yang kuat dan bersidat berdikari. Mereka memiliki semangat asabiyyah (solidariti kelompok) yang menjadikan mereka lebih tahan lasak dan berpotensi untuk menggulingkan golongan elit bandar.


Menurut Ibn Khaldun, sejarah mempunyai suatu pola yang bersifat kitaran: kaum nomad menakluk bandar, kemudian menghadapi urbanisasi dan kehilangan semangat asabiyyah, lalu menjadi lemah untuk ditakluk oleh sekumpulan nomad yang baharu. Dinamika ini menerangkan asbab kepada kebangkitan dan kejatuhan dinasti dan tamadun menurut beliau. Melangkau teori politik, beliau juga memberi pandangan ekonomi . Beliau memberi amaran kepada pemerintah agar tidak terlalu mencampuri ekonomi kerana boleh membawa kepada korupsi dan ketidakcekapan. Idea beliau telah mempengaruhi pelbagai pemikir moden dan ahli politik. Misalnya, Ronald Reagan, seringkali mengungkap pemerhatian Ibnu Khaldun bahawa “Pada permulaan sesebuah empayar, kadar cukai adalah rendah, tetapi hasil kerajaan tinggi; pada akhir sesebuah empayar, kadar cukai tinggi, tetapi rendah.”


Malahan, sehinggai hari iini, teori Ibn Khaldun tetap relevan. Kerangka pemikirannya dapat membantu kita memahami isu-isu semasa seperti corak migrasi global dan kebangkitan pemberontakan, termasuk pengambilalihan oleh pemberontak baru-baru ini di Syria.

Marshall Hodgson, The Venture of Islam, Volume 3: The Gunpowder Empires and Modern Times


Seabad selepas zaman Ibn Khaldun, empayar Uthmaniyah, Safavid dan Mughal muncul sebagai kuasa dominan, membentuk sebuah wilayah luas yang merentang dari Balkan hingga Bengal antara abad ke-16 hingga ke-18. Salah satu analisis paling berpengaruh mengenai sejarah Islam ialah The Venture of Islam oleh Marshall Hodgson (1922–1968). Karya penting ini memberikan tinjauan menyeluruh terhadap peradaban Islam. Dalam jilid ketiga dan terakhirnya, Hodgson menumpukan perhatian kepada empayar Uthmaniyah, Safavi dan Mughal, merujuk kepada mereka sebagai “empayar mesiu” kerana kebergantungan mereka kepada senjata api dan teknologi ketenteraan.


Sesetengah umat Islam berbangga dengan empayar-empayar ini kerana kehebatan ketenteraan dan penggunaan teknologi mesiu mereka. Namun, saya mempunyai pandangan yang berbeza. Walaupun empayar Islam memberi keutamaan kepada pengembangan ketenteraan, negara-negara Eropah mencapai kemajuan besar—revolusi percetakan, penemuan geografi dan revolusi saintifik. Orang Eropah berjaya menyesuaikan dan memajukan tiga inovasi utama dari China: mesin cetak, kompas nautika dan mesiu.


Daripada ketiga-tiga inovasi ini, empayar Islam hanya mengadaptasi mesiu, satu perkara yang sangat ditekankan oleh Hodgson. Perkara ini menandakan satu pembalikan arus sejarah dalam perkembangan global. Antara abad ke-8 hingga ke-11, dunia Islam mengalami zaman keemasan dalam sains dan kemakmuran ekonomi, sementara Eropah jauh ketinggalan. Umat Islam menghasilkan kertas dan menubuhkan perpustakaan besar yang mengandungi ratusan ribu buku, manakala orang Eropah bergelut untuk menghasilkan kertas dan hanya mempunyai perpustakaan kecil.


Namun, menjelang abad ke-15 hingga ke-18, keadaan berubah sepenuhnya. Orang Eropah mencetak ratusan juta buku, mencetuskan revolusi intelektual dan saintifik. Sebaliknya, dunia Islam tidak mempunyai satu pun mesin cetak selama lebih tiga abad—dari pertengahan abad ke-15 hingga awal abad ke-18. Transformasi kritikal ini—dan kesannya terhadap kemerosotan intelektual dunia Islam—merupakan tema utama dalam buku saya sendiri.

Buku Ahmet Kuru Sendiri: Islam, Autoritarianisme Dan Kemunduran Bangsa


Dua buku saya baru-baru ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Yang pertama ialah koleksi esei yang diterbitkan oleh Lestari Hikmah, bertajuk Perikatan Ulama-Negara: Punca Autoritarianisme Dan Kemunduran Dunia Muslim. Buku kedua ialah karya saya yang diterbitkan oleh Cambridge University Press, kini diterjemahkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu oleh Islamic Renaissance Front dan Ilham Books dengan tajuk Islam, Autoritarianisme Dan Kemunduran Bangsa: Suatu Perbandingan Global dan Pensejarahan. Kedua-dua buku ini mengemukakan dan mempertahankan hujah teras yang sama. Mereka mengkaji cabaran berterusan autoritarianisme dan kemunduran dalam 50 negara majoriti Muslim.


Satu penjelasan yang sering dikemukakan mengenai cabaran ini ialah ia berpunca daripada Islam itu sendiri. Namun, saya menolak pandangan ini. Sejarah membuktikan bahawa antara abad ke-8 hingga ke-12, masyarakat Islam lebih maju dari segi intelektual dan ekonomi berbanding masyarakat Eropah Barat. Dalam zaman keemasan ini, dunia Islam melahirkan ramai ahli falsafah, saintis dan pedagang yang terkenal, manakala Eropah masih dikuasai oleh ortodoksi agama dan pemerintahan tentera.


Namun, satu titik perubahan berlaku pada abad ke-11: satu perikatan antara ulama ortodoks dan negara tentera mula terbentuk. Lama-kelamaan, perikatan ulama-negara ini menekan kreativiti intelektual dan ekonomi, mengetepikan para sarjana serta pedagang. Perikatan ini mula mendominasi Asia Tengah, Iran dan Iraq pada abad ke-12, kemudian merebak ke Syria, Mesir dan wilayah lain di dunia Islam dalam abad-abad berikutnya.


Menjelang zaman Ibn Khaldun pada akhir abad ke-14, Mesir diperintah oleh Mamluk, yang perikatan ulama-negara mereka amat kukuh. Kemudian, Uthmaniyah menginstitusikan perikatan ini, terus meminggirkan para saintis dan pedagang. Akibatnya Empayar Uthmaniyah gagal melahirkan ahli falsafah setaraf Ibn Sina, lambat menerima teknologi percetakan dan akhirnya mengalami kemerosotan saintifik.


Sesetengah sarjana moden—baik di Barat mahupun di dunia Islam—menafikan bahawa masyarakat Muslim pernah mengalami kemunduran saintifik. Mereka menolak perbincangan tentang “kemerosotan” sebagai satu bentuk Orientalisme. Namun, tokoh sejarah seperti Ibn Khaldun (abad ke-14) dan sarjana Uthmaniyah Kâtip Çelebi (abad ke-17) secara jelas mengakui kemerosotan saintifik dan intelektual dalam masyarakat mereka. Perbandingan antara abad ke-8 hingga ke-11 (zaman kreativiti saintifik yang hebat) dengan abad ke-16 hingga ke-19 (zaman stagnasi intelektual) menjadikan kemerosotan ini sesuatu yang tidak boleh dinafikan.


Zaman keemasan dunia Islam masih menjadi sumber inspirasi yang kuat untuk kemajuan sains dan ekonomi pada masa hadapan. Masyarakat Islam awal bersifat terbuka, dinamik dan pelbagai. Jika umat Islam hari ini ingin mencapai renaissance, mereka perlu menghidupkan kembali nilai-nilai sejarah ini. Masyarakat Muslim tidak perlu meniru model pembangunan dan demokrasi Barat. Sejarah Islam sendiri telah menyediakan asas yang kukuh untuk kemajuan—sebab itulah membaca buku sejarah amat penting.



Prof Dr. Ahmet T. Kuru ialah Profesor dalam Sains Politik di San Diego State University. Kuru memperolehi PhD dari University of Washington dan memegang jawatan pasca kedoktoran di Columbia University. Beliau merupakan penulis kepada buku yang menerima anugerah, Secularism
and State Policies toward Religion: The United States, France, and Turkey (Cambridge UP, 2009). Buku beliau pada tahun 2019, Islam, Authoritarianism, and Underdevelopment: A Global and Historical Comparison (Cambridge UP) telah menerima anugerah daripada International History and Politics Section, American Political Science Association. Buku ini telah diterjemah ke dalam Bahasa Arab, Bosnia, Indonesia dan Parsi. Terjemahan buku ini diterbitkan dalam Bahasa Perancis, Urdu dan Malaysia (oleh Islamic Renaissance Front). Pada 2022, Lestari Hikmah telah menerbitkan buku beliau bertajuk Perikatan Ulama-Negara : Punca Autoritarianisme Dan Kemunduran Dunia Muslim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *