Sybil Kathigasu : Wanita Penentang Penjajahan Di Bumi Perak

Oleh : Mohd Rashidi

12 Jun yang lalu genap 72 tahun mendiang Sybil Kathigasu meninggalkan dunia ini setelah pihak penjajah Jepun memberikan suatu “layanan buruk” untuk memasung pergerakannya sekitar 1943 sehingga 1945. Sybil akan sentiasa dikenang sebagai seorang jururawat yang kental dan berhati waja, melawan penjajahan tanpa mengangkat senjata.

Sybil Medan Daly yang berasal dari Medan, Indonesia mendapat latihan dalam bidang kejururawatan pada tahun 1920 iaitu ketika ianya berumur 21 tahun. Keterlibatan dalam bidang perubatan mempertemukannya dengan Dr Abdon Clement Kathigasu sekaligus mendirikan rumahtangga selepas itu. Keduanya menguruskan sebuah klinik di Ipoh sebelum berpindah ke pekan Papan semasa penjajahan Jepun.

Semasa di tempat barunya, dia dan suaminya tidak pernah lupa untuk tetap berbakti kepada masyarakat khususnya kepada kaum Cina yang majoritinya mendiami pekan Papan itu. Ada di antara mereka adalah tentera Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA). Sybil dan suami bertindak menyampaikan maklumat yang diperolehi dari siaran radio dan merawat tentera yang tercedera ketika itu.

Dari dulu sehingga kini pekan Papan dan pekan yang berdekatannya Batu Gajah merupakan kawasan yang majoritinya terdiri dari penduduk berbangsa Cina. Seperti diketahui dalam sejarah, perseteruan di antara Jepun dan China sangatlah panjang. Dahulunya orang-orang Cina yang ditangkap akan dikerahkan untuk membina landasan kereta api maut ataupun lebih dikenali sebagai “Burma-Siam Death Railway”. Landasan sepanjang 415 kilometer itu dicadang dibina dari Ban Pong, Thailand ke Thanbyuzayat, Burma. Termasuklah kini permusuhan timbul kerana pihak Jepun dan US ingin membela Taiwan sekiranya mendapat serangan dari China yang dipimpin oleh presidennya, Xi Jinping.

Apabila Jepun mula menjarah pekan Papan banyaklah orang-orang dari MPAJA yang ditangkap dan dibunuh, tak terkecuali juga pasangan Katighasu itu. Walaupun Sybil hanyalah seorang wanita tetapi tentera Jepun menunjukkan tiada belas ihsan dan terus menyiksanya seboleh mungkin bagi menekan Sybil untuk membocorkan rahsia.

Selama 2 tahun Sybil membisu, selama itulah dia terus disiksa tanpa henti. Setiap hari dia diseksa dengan badannya dipukul dan dilecurkan dengan besi panas. Tidak itu sahaja kukunya dicabut dan jari-jarinya ditusuk dengan jarum pula. Semuanya itu tidak mampu untuk memaksa Sybil membocorkan apa-apa rahsia pun. Semua pengorbanan itu terpaksa dibayar mahal oleh Sybil sendiri. Tengkoraknya retak, kukunya dicabut dan mengalami lumpuh separuh badan. Segala keperitan itu membawa kepada kematiannya beberapa tahun kemudian.

Apabila Jepun menyerah kalah pada 1945 dan British kembali semula ke Tanah Melayu, sedikit sebanyak ini menghentikan penyiksaan yang dialami oleh Sybil. Dengan segera ketika itu pihak British telah menghantarnya ke England menggunakan pesawat bagi mendapatkan rawatan. Walaupun begitu hayat Sybil ternyatalah tidak panjang apabila beliau meninggalkan dunia ini 4 tahun kemudian. Pihak perubatan mengesahkan Sybil telah mengalami penderitaan fizikal dan mental sebelum itu dan organ dalamannya telah rosak teruk.

Segala penderitaan dan perjuangan Sybil Katighasu akan terus dikenang tanpa henti. Sekurangnya penerbitan memoir beliau bertajuk “No Dram of Mercy” dan drama bersiri “Suatu Ketika : Sybil Apa Dosaku” dapat dijadikan bacaan dan tontonan bagi lebih mengenali wanita besi ini. Di negeri Perak satu jalan di Fair Park, Ipoh berhadapan hospital telah diabadikan dengan namanya disitu. Setahun sebelum pemergiannya raja British iaitu Raja George VI telah mengurniakan Pingat George sebagai menghargai segala pengorbanan dan baktinya kepada negara. Walaupun uzur beliau tetap menghadirinya bagi menerima penghormatan tersebut.


Mohd Rashidi berasal dari Ipoh, Perak. Beliau menyampaikan syarahan di radio, universiti serta menulis dalam bidang Maqasid Syariah, tokoh, pemikiran dan gerakan Islam di Nusantara. Penulisan beliau diterbitkan di dalam dan luar negara seperti Dewan Ekonomi, Ibtimes, Kompas dan Suara Muhammadiyah. Mohd Rashidi merupakan Presiden Lestari Hikmah sejak dari awal penubuhannya. Melalui Lestari Hikmah, beliau menjalinkan kerjasama dengan universiti, NGO dan penyelidik dalam perkara kebudayaan, sejarah, literasi dan pendidikan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *