Kata Pengantar ‘Perikatan Ulama-Negara : Punca Autoritarianisme & Kemunduran Dunia Muslim’
Oleh : Prof. Dato’ Dr Mohammad Hashim Kamali
Saya mengalu-alukan penerbitan buku ini, bertajuk Perikatan Ulama-Negara: Punca Autoritarianisme dan Kemunduran Dunia Muslim, dan diterjemahkan oleh Muthanna Saari.
Hubungan antara agama dengan negara atau agama dengan politik sering menjadi perbahasan dalam dunia Muslim. Dari satu sudut, penyanjungan tinggi Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin negara Islam pertama dan Nabi dalam sejarah Islam seolah-olah telah menimbulkan pertanyaan bagaimana masyarakat moden perlu ditadbir. Dari satu sudut lain pula, pemisahan agama dengan negara pula dianggap penting pada masa moden kerana tiada lagi pemimpin suci seperti Nabi. Masyarakat moden perlu mempunyai pertimbangan sebenar terhadap bagaimana kehidupan semasa perlu dijalankan selagi mana prinsip-prinsip teras Islam kekal dipatuhi. Menjangkakan perubahan adalah selari degan kaedah fikah Islam yang terkenal yang menyatakan, “adalah tidak dapat disangkal bahawa hukum berubah dengan perubahan zaman” (la yunkaru taghir al-ahkam bi-taghir al-azman).
Doktrin saudara kembar (al-din wa’l-mulk taw’aman) muncul berikutan krisis besar semasa “Kebangkitan Abbasiyah” (920-932) yang menyaksikan khalifah menuntut semula autoriti politik mereka sebagai wakil Tuhan di bumi yang telah terdahulu dirampas oleh komander-komander tentera. Doktrin ini memberi penekanan untuk mengukuhkan autoriti agama dan politik di tangan Khalifah kerana tiada kerajaan yang bertahan tanpa agama dan undang-undang, dan tiada agama berfungsi tanpa kerajaan dan kawalan.
Tidak hairan bahawa konsep pemisahan kuasa sepertimana diperkenalkan oleh Baron Montesquieu secara meluasnya dianggap sebagai suatu sistem yang praktikal dan efisien dalam negara-bangsa kontemporari. Rukun yang mendasari pemisahan kuasa adalah terletak pada pencegahan pemusatan semua kuasa di bawah suatu organ negara. Pemusatan kuasa dan autoriti, sama ada dalam ruang politik atau agama dianggap telah menyekat agensi manusia dalam menjalankan kehidupan politik yang berkadaran dengan tahap pemikiran mereka selain tidak semestinya sebagai suatu dogma agama.
Melalui penulisan ini Prof. Ahmet T. Kuru telah menghuraikan dengan sangat terperinci perihal keterkaitan Islam dan Kristian dengan hubungan kenegaraan. Penguasaan beliau terhadap sejarah dan rujukan daripada turath agama menjadikan buku ini sangat bermakna. Menurut sejarah, ternyata kelas sarjana dan intelektual merupakan antara aktor utama disebabkan peranan penting yang mereka mainkan dalam jatuh bangunnya negara.
Dalam analisis yang teliti terhadap variasi perlembagaan dan ekonomi dalam dunia Muslim, Prof. Ahmet dengan berhati-hati telah menganalisis, mengkategori dan mengenal pasti keadaan semasa negara-negara majoriti Muslim. Beliau menyalahkan pendampingan antara perikatan ulama-negara dan ekonomi rentier sebagai punca rejim autoritarian menjadi semakin kukuh. Justeru, masa depan dunia Muslim menyerlahkan beberapa cabaran tertentu. Pelbagai faktor yang berkait rapat dengan amalan semasa ekonomi rentier dan pendemokrasian harus menjadi faktor penentu dalam mengubah kemunduran dan autoritorianisme yang telah membelenggu dunia Muslim beberapa dekad lalu. Ekonomi rentier yang kini mendominasi dunia Muslim adalah tidak berasaskan inovasi dan aturan keusahawanan daripada sumber-sumber ekonomi serta memanipulasi kekurangan aset untuk memperoleh keuntungan segera. Ia juga menyuburkan keadaan tidak produktif, mengekalkan keadaan tidak setara dan memihak secara tidak seimbang dengan golongan kaya.
Bagi dunia Muslim untuk mencapai kemajuan pada hari ini, akar sejarahnya yang panjang bukan sekadar dijadikan lipatan sejarah yang dibangga dan diagungkan. Sebaliknya, apa yang lebih penting adalah keupayaan dan keberanian untuk Muslim melakukan refleksi kendiri serta menyelami jiwa sendiri bagi mempelopori pembaharuan yang sangat diperlukan untuk mengangkat deprivasi dan ketidak tentuan yang dialami mereka sehingga hari ini. Dalam konteks ini, pembaharuan struktur kepada sistem terbuka, meriktorasi dan berdaya saing sepertimana dijelaskan dalam tulisan Prof. Ahmet adalah setepatnya yang diperlukan.
Prof. Dato’ Dr Hashim Kamali merupakan CEO pengasas International Advances of Islamic Studies (IAIS) sejak dari 2007 lagi. Beliau telah berkhidmat di pelbagai institut akademik seperti International Islamic University Malaysia (IIUM), International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), Senior Fellow di Academy of Sciences of Afghanistan, Senior Fellow of the Royal Academy of Jordan, Institute for Advanced Study di Berlin dan McGill University.