Renungan Ke Atas Buku Islam & Sosialisme Gagasan HOS Tjokroaminoto
Oleh : Ahmad Muziru Idham
Apabila menyebut buku Islam Dan Sosialisme, maka seringkali akan teringat juga pada buku yang ditulis oleh Syed Hussein Alatas dengan tajuk yang sama. Sebelum ini, saya sudah membaca versi Alatas, maka kali ini saya menyudahkan pula versi Tjokroaminoto.
Karya ini diterbitkan pertama kali pada sekitar tahun 1924, justeru kita dapat mengagak nuansa kepengarangan Tjokrominoto pada ketika itu yang dalam keadaan getir melawan penjajahan Belanda. Maka, kita segera faham kenapa naratif sosialisme itu dihadirkan sebagai ideologi perlawanan dan pembebasan daripada kapitalisme yang menjerut rakyat Indonesia.
Dengan wajah nusantara yang lebih kental berwajahkan Melayu dan Islam, Tjokroaminoto menghadirkan suatu naratif baru (pada ketika itu) yang menggabungkan antara unsur Islam dalam sosialisme sebagai perlawanan terhadap komunisme yang tidak kunjung kuat pengaruhnya.
Dalam buku ini, dua tokoh Islam yang Tjokroaminoto berikan penekanan dan panduan ialah Nabi Muhammad SAW dan Saidina Umar al-Khattab. Kepimpinan dua tokoh itu digali dan diangkat nilai-nilai perjuangan dan kepimpinan semasa pemerintahan mereka, lalu Tjokroaminoto menghimpunkannya sebagai nilai-nilai sosialisme yang selari dengan ajaran Islam dan wajar menjadi amalan kemasyarakatan. Nilai kebebasan, kesaksamaan, dan persaudaraan menjadi nadi kepada kesatuan masyarakat dan keamanan setempat yang lebih dekat dengan posisi keadilan sosial.
Dalam hal ini, percubaan Tjokroaminoto untuk mengasosiasikan sosialisme dengan Islam menyebabkan kedua-duanya tidak berkembang jauh lebih mendalam. Mungkin buku itu ditulis sebagai “blueprint” kepada Sarekat Islam, tetapi jika hendak diwacanakan hari ini, wacana sosialisme Islam Tjokroaminoto perlu didekonstruksi semula dan setiap nilai dan prinsip yang dibawanya perlu diperincikan dengan lebih struktural.
Namun begitu, ada sesuatu daripadanya yang wajar dinilai semula. Saya agak kritikal dengan projek-projek pengasosiasian mana-mana ideologi dengan keIslaman. Saya memahami dan tidak menolak semangat zaman pada ketika itu yang mungkin memerlukan Tjokroaminoto untuk membina projek sebegitu. Tetapi, projeknya tersebut memerlukan kepada perenungan semula, kerana yang akan membaca buku ini bukan lagi generasi Tjokroaminoto, tetapi generasi pascamoden yang telah membawa perbincangan sosialisme sudah jauh ke hadapan.
Begitu juga hal yang sama perlu dilakukan terhadap wacana sosialisme Islam oleh Syed Hussein Alatas yang menampilkan pewacanaan lebih menarik dengan kritikan terhadap Muhammad Asad, Muhammad Iqbal, dan Abu Hassan Ali Nadwi. (Ada banyak perkara juga wacana Alatas yang perlu dikritik, tetapi saya tidak berhajat untuk itu di sini).
Jadi, dalam berhadapan dengan konteks zaman kontemporari yang wacananya telah semakin rencam dan kompleks, apa yang perlu dipertimbangkan ialah wacana sosialisme itu harus diberi nafas dalam konteks kebudayaan masyarakat sekarang. Pada pandangan saya, sosialisme dalam konteks sekarang jikalau hendak diasosiasikan dengan Islam sekalipun, wacana Islam itu sendiri tidak lagi harus semata-mata berteraskan kepada nilai-nilai teras keagamaan seperti keadilan, kebebasan, persaudaraan dan sebagainya itu. Jika tidak, sosialisme itu akan terus berada pada perbincangan yang mendatar dan sekadar berselimutkan nilai-nilai keIslaman bagi membuatkannya kelihatan indah. Tetapi, paling utama adalah wacana Islam itu sendiri harus berpaksi kepada tauhid yang bersifat pembebasan sosial. Tauhid yang sebegini meletakkan Tuhan sebagai zat yang Maha Esa, justeru ia memberi suatu kekuatan spiritual untuk membangkitkan perlawanan yang membebaskan sosial daripada sebarang kemelut sistemik yang menghimpit mereka seperti kemiskinan, korupsi, penindasan, dan sebagainya.
Dengan wacana Islam yang berteraskan tauhid pembebasan sosial ini, maka ia membangunkan wacana sosialisme dengan semangat kesetaraan dan keadilan sosial yang lebih kuat. Sebabnya, sosialisme tersebut nantinya tidak sekadar berakar kepada perbicaraan materialisme, tetapi memiliki tunjang ontologi yang kuat dengan tauhid yang membebaskan sosial. Maka, idea sosialisme Tjokroaminoto ini akan kelihatan lebih segar sekiranya wacana Islam naungannya dapat dibentuk sebegitu
Tetapi, sesuatu yang tidak ternafikan projek Tjokroaminoto ini adalah lebih jauh ke hadapan melangkaui zamannya pada ketika itu, sebelum wacana kemasyarakatan dan kenegaraan ditarik mundur ke belakang oleh gerakan-gerakan pan-Islam. Sekalipun Tjokroaminoto sendiri mengakui bahawa dirinya adalah seorang pejuang pan-Islam, dan buku ini diterbitkan 4 tahun lebih awal daripada penubuhan Ikhwanul Muslimin, tetapi ideanya ternyata lebih maju (pada ketika itu) dengan membawa wajah nusantara yang moderat berbanding projek peromantisan yang dibawa oleh sebahagian gerakan Islam pada hari ini.
Tinggal sahaja, buku seperti ini memerlukan kepada pewacanaan semula dengan penilaian baru yang lebih kritis.
Ahmad Muziru Adham merupakan graduan BA International Relations dari Universiti Malaysia Sarawak dan pengajian MA di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau merupakan pengasas bersama kepada kolektif Jurnal Sang Pemula dan menghasilkan beberapa buah buku seperti Negeri Rausyanfikr dan Korpus. Ahmad Muziru juga merupakan penterjemah kepada buku Radical Reform karya Prof Tariq Ramadan.