Dr Burhanuddin Al-Helmy Menggembleng Penyatuan Perjuangan Kemerdekaan dan Kebangsaan
Oleh : Muthanna Saari
Meneliti peranan dan sumbangan tokoh dan golongan tertentu dalam perjuangan kemerdekaan dan pembinaan negara bangsa kita mungkin sedikit terhijab daripada gambaran keseluruhan sekiranya diasaskan kepada sumber rasmi sahaja. Ini yang cuba diketengahkan oleh Dr Syed Husin Ali dalam bukunya, ‘Sejarah Rakyat Malaysia: (khususnya Perkembangan Nasionalisme)’. Sejarah rasmi, sejarah alternatif dan sejarah rakyat merupakan pendekatan penulisan sejarah yang sekiranya diharmonikan secara objektif, bakal memberi gambaran yang lebih baik terhadap peranan seluruh lapisan masyarakat dalam sesuatu pengkisahan sejarah.(1)
Dr Burhanuddin Al-Helmy merupakan contoh bagaimana peranan dan sumbangan seorang tokoh yang sangat hebat memperjuangkan kemerdekaan tanah air tidak ditonjolkan secara positif. Sejarah alternatif walau bagaimanapun mengiktiraf peranan dan sumbangan beliau serta Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpinnya sebagai gerakan yang berpengaruh dalam proses kemerdekaan tanah air. Kongres anjuran Dato’ Onn Jaafar di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru Kuala Lumpur bertarikh 1 Mac 1946 bagi membantah Malayan Union contohnya, menyaksikan PKMM hadir sebagai pertubuhan yang paling besar.(2)
Semangat perjuangan kemerdekaan Dr Burhanuddin boleh dilihat daripada kesungguhan beliau memantapkan gerakan menuntut kemerdekaan dari segenap penjuru. Dalam ucapan beliau di Dewan Rakyat menyokong usul ucapan takziah yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada 22 Januari 1962 berikutan kematian Dato’ Onn Jaafar, Dr Burhanuddin menyebut,
Saya sokong usul Yang Teramat Mulia Perdana Menteri Tunku ini yang telah menerangkan kapada kita jasa-nya yang telah di-tinggalkan oleh almarhum itu pada bangsa dan tanah ayer kita. Bagaimana nyata dalam perjuangan Tanah Melayu ini memakai sayap kanan dan sayap kiri bagi membentok bangsa dan negara kita. Apa yang telah di-terangkan oleh Yang Teramat Mulia Tunku ada-lah kenyataan yang tegas dan jasa yang berkesan yang menjadikan sejarah yang kekal bagi bangsa kita dari pehak perjuangan kanan.(3)
Sokongan beliau kepada mana-mana pihak yang memperjuangkan kemerdekaan walaupun berbeza pendekatan turut diserlahkan dalam ucapan berkenaan,
Dan dalam Kongres yang di-adakan di-Kuala Lumpur pada bulan December tahun 1945 yang dihadiri oleh beberapa orang terkemuka, boleh-lah saya sebutkan nama-nya diantara-nya Dato’ Sardon bin Haji Jubir. Dan dalam Kongres itu sa-telah kami dapati bahawa Parti Kebangsaan Melayu Malaya tidak dapat menukar langkah dan sikap daripada langkah kiri, dan masa itu kita belum ada langkah kanan hendak bergerak sa-chara positive dan negative perjuangan kebangsaan negeri ini. Maka di-antara beberapa penganjor2 Melayu yang datang ka-Kongres itu (Partai Kebangsaan Melayu) sa-lain daripada Dato’ Sardon ia-lah Tengku Mahmud Mahyudin dan Al-marhum Dato’ Panglima Bukit Gantang. Sa-sudah kita binchangkan maka kita bersetuju supaya di-adakan satu pergerakan kanan yang gagah dalam chara memperjuangkan chita2 kebangsaan negeri ini, dan Dato’ Sardon-lah yang membawa keputusan kita supaya menubohkan satu gerakan kanan yang kuat dan akan bekerjasama-lah kita.(4)
Sepertimana catatan sejarah, berlaku perbezaan pandangan antara Dr Burhanuddin dan PKMM dengan Dato’ Onn dan UMNO dalam memilih slogan perjuangan antara ‘Hidup Melayu’ dengan ‘Merdeka’ di samping warna bendera untuk mewakili perjuangan menentang Malayan Union ketika itu. Namun semua ini seperti yang dinyatakan oleh Dr Burhanuddin dalam ucapan takziah berkenaan,
Maka di-sini, Tuan Yang diPertua, saya dengan beliau telah berbalah hebat dengan ada mempunya’i tujuan untok kebaikan bangsa dan tanah ayer kita. Dan saya rasa perlawanan saya dengan beliau itu sa-mata2 berdasarkan atas perbezaan faham politik, tetapi ada-lah dalam chara peri kemanusiaan, peri kebangsaan dan peri keislaman, saya ada-lah rapat dengan beliau. Dan berbeza benar-lah dalam perbalahan politik bagaimana yang sudah pun di-ketahui oleh seluroh ra’ayat negeri
ini.(5)
Sikap beliau yang terbuka dan berlapang dada dalam memastikan agenda kemerdekaan dan perjuangan kebangsaan tanah air mencapai matlamatnya turut diserlahkan melalui peranannya sebagai seorang ahli Parlimen dalam perbahasan-perbahasannya dalam Dewan Rakyat. Walaupun hanya dipilih sebagai seorang ahli Parlimen bagi satu penggal iaitu bagi Parlimen Pertama 1959-1964, banyak ucapan-ucapan perbahasan beliau di Parlimen yang menggambarkan semangat cintakan tanah air yang tinggi.(6)
Selanjutnya, di tengah-tengah kehangatan ancaman konfrontasi luar negeri dan tegangnya hubungan Malaya dengan Indonesia dan Filipina ekoran penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Dr Burhanuddin mengutarakan pandangan beliau. Dalam perbahasan berkenaan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 1964 bagi membahaskan pembentangan Kertas Putih Hubungan Malaya/Indonesia dan Malaya/Filipina, Dr Burhanuddin dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada 21 dan 23 Disember 1963 telah menyeru kerajaan untuk mengambil pendekatan yang bijaksana dalam menangani ancaman berkenaan.
Jika Kerajaan Perikatan terus berdegil dengan langkah yang terbabas itu yang menjadikan keadaan negara saperti sekarang dan pehak Pembangkang terus berdegil dengan keyakinannya bagaimana yang telah di-lahirkan itu sa-makin besar-lah jurang bahaya dan binchana-nya akan timbul dalam negeri ini, sedangkan binchana konfrantasi terus berjalan. Makin besar-lah anchaman dan binchana akan menimpa kita bersama. Perikatan dengan pehak Pembangkang berpechah siapa yang beruntong. Kita bertengkar, berbalah, siapa yang beruntong.(7)
Menutup perbahasan yang direkodkan telah memakan masa lebih dua jam itu(8), Dr Burhanuddin menyeru kerajaan untuk merapatkan perhubungan dan persaudaraan dengan negara-negara jiran demi keselamatan dan keamanan negara dan rantau Asia Tenggara,
kebijaksanaan perlu sa-kali dalam tingkat ini bagi mengatasi anchaman2, bagi mengatasi keadaan2 dalam negeri kita, bukan-lah sa-mata2 dengan menggunakan undang2 kekuatan dalam negeri bagaimana yang telah berjalan sekarang ini yang menjadi alat untok kepentingan, menjalankan kepentingan2 “divide and rule” dalam negeri ini; menggunakan kebijaksanaan demi muslihat bangsa dan demi muslihat negara bagi mengatasi keadaan sekarang ini dengan jalan yang telah saya kemukakan ini.(9)
Namun ini semua seolah-olah tidak memadai buat seorang tokoh pejuang kemerdekaan dan kebangsaan seperti Dr Burhanuddin. Beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri pada 25 Januari 1965 dengan tuduhan berkomplot dengan Indonesia menentang penubuhan Malaysia serta menubuhkan kerajaan buangan pro-Indonesia(10). Adalah mudah untuk mengaitkan pertuduhan ini dengan idea Melayu Raya yang diperjuangkannya, namun perjuangan beliau dan akhirnya penahanan ini menggambarkan kejituan perjuangan Dr Burhanuddin dalam menggembleng kesatuan dalam perjuangan kemerdekaan dan kebangsaan tanah air.
Nota Hujung
- Syed Husin Ali (2017) Sejarah Rakyat Malaysia: (khususnya Perkembangan Nasionalisme). Petaling Jaya: SIRD
- Ibid., h.106.
- Parliamentary Debates Dewan Ra’ayat (House of Representatives) Official Report Volume III No. 34, Monday 22nd January, 1962, h.3415.
- Ibid., h.3417.
- Ibid., h.3418.
- Lihat Penyata-penyata Rasmi Dewan Ra’ayat bagi Parlimen Pertama sepanjang 1959 hingga 1964.
- Parliamentary Debates Dewan Ra’ayat (House of Representatives) Official Report Volume V No. 29, Monday 23rd December, 1963, h.3009.
- Ibid., h.3011.
- Ibid., h.3015-6.
- Mohamad Muzammil Mohamad Noor (2015) Pemikiran Politik Islam: Perbandingan antara pemikiran Dr Burhanuddin Al-Helmy dengan Muhammad Natsir. Kuala Lumpur: DBP, h.297.
Memperolehi Ijazah Sarjana Hak Asasi Manusia dari University Of Sussex,UK dengan penumpuan terhadap pembangunan, pendekatan, berbasis hak dan matlamat pembangunan lestari. Kini berkhidmat sebagai penyelidik di Parlimen Malaysia. Sebelum ini pernah bertugas di Institut Integriti Malaysia dan International Institute Of Advances Islamic Studies (IAIS). Beliau juga merupakan penulis kepada buku ‘Hak Asasi Manusia Dan Persoalan Budaya’ dan ‘Inteligensia Penyuluh Nusantara’.