Abu Bakar al-Baqir, Gunung Semanggol : Pendidikan, Politik & Persidangan Ekonomi
Oleh : Sakinah Rosli
“Tuhan selalu mencela keras akan orang-orang yang hanya mengikut dengan buta tuli sahaja apa yang dikatakan orang atau apa yang biasa dibuat orang. Umpama mereka yang berdegil mengikut jalan nenek moyang atau pendapat orang dahulu-dahulu dengan tiada ditimbang lagi salah benarnya atas neraca timbangan akal sendiri, bahkan tiada dikira walaupun berlawanan dengan akal fikiran yang insaf dan bersalahan dengan ilmu pengetahuan yang sah betulnya.” – Za’ba, Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri
Abu Bakar al-Baqir, satu sosok yang namanya makin dilupakan dalam sejarah emansipasi ulama ketika perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Sosok ini adalah pendokong kaum muda yang sangat hampir kepada Dr Burhanuddin al-Helmy. Islam memperjuangkan kebebasan, pendamaian, kesatuan, keadilan, kebajikan dan kebijakan. Dan inilah apa yang ditonjolkan oleh beliau sebagai seorang guru agama dan juga penggerak politik tanah air bagi membebaskan negara dari jajahan kolonial mahupun pemimpin masyarakat yang bobrok. Penulisan ini akan melihat pemikiran beliau dari sudut pendidikan, politik dan ekonomi yang memanfaatkan masyarakat pada masa itu bahkan sehingga kini.
Abu Bakar al-Baqir Dalam Pendidikan
Pembaharuan dalam pendidikan yang dibuat oleh Abu Bakar al-Baqir boleh dikategorikan dalam empat aspek penting;
- Mengambil dan mengamalkan kaedah pembelajaran moden.
- Menolak dikotomi ilmu dengan memasukkan subjek-subjek moden dalam silibus madrasah.
- Menubuhkan lembaga pengurusan Madrasah bagi megurus kewangan madrasah.
- Terlibat menubuhkan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) bagi membincangkan hala tuju pendidikan rakyat seluruh Malaya.
Beliau bukanlah tokoh pertama yang melakukan perubahan bagi aspek satu, dua, dan tiga malah semua ini adalah hasil pengalaman pendidikan yang diterimanya dari Dairatul Ma’arit Wataniah dan Idrisiah. Tetapi bagaimana beliau terinspirasi dari semua aspek ini lalu menubuhkan Madrasah al-Ehya Assyariff (1934) dan LEPIR (1947) adalah sesuatu yang mengkagumkan. Beliau ibarat mengsistesiskan elemen-elemen dari madrasah-madrasah yang dudukinya dan mengaplikasikannya di al-Ehya Assyariff.
Ketika berada di peringkat menengah di Dairatul Ma’arit, Abu Bakar al-Baqir bersama beberapa sahabatnya atas nasihat gurunya, Ustaz Abdullah Pak Ahim telah menubuhkan kelas pendidikan berciri moden dinamakan Kanzil Ma’arif. Tidak seperti kaedah talaqqi pondok yang lazimnya ketika itu hanya menadah kitab di hadapan guru, mereka telah mengadakan perbincangan dan perbahasan dalam kelas ini. Perbincangan dan perbahasan ini tentu sahaja memperlihatkan sisi kritikal dan kesediaan untuk berlainan pendapat yang merupakan ciri penting pendidikan moden. Pengalaman ini yang membuatkan Abu Bakar al-Baqir melahirkan hasrat menubuhkan al-Ehya kepada al-Ustaz Abdul Rahman, Gunung Semanggol yang merupakan pengetua pondok al-Rahmaniah merangkap mertua beliau.
Seperti madrasah yang maju ketika itu, Abu Bakar al-Baqir juga memasukkan tidak hanya subjek-subjek teologi malah subjek moden (sekular dan vokasional) ke dalam silibus bagi memenuhi keperluan semasa. Hasil dari pengajaran ini beliau menggalakkan pelajar-pelajar al-Ehya untuk membuka kedai koperasi pelajar dan mengerjakan pertukangan tangan (perkara yang sama juga dapat diperhatikan di Sekolah ad-Diniah Padang Rengas). Ini bukanlah satu-satunya projek pemberdayaan komuniti (Community empowerment) yang dilakukan beliau, projek-projek lain akan dibentangkan kemudian.
Beliau telah menubuhkan Lembaga Pengurus al-Ehya kerana memerhatikan bagaimana Dairatul Ma’arit yang berkembang kerana adanya lembaga yang menguruskan kewangannya. Lembaga Pengurus al-Ehya ini seterusnya menjadi Persatuan al-Ehya Assyarif Berhad yang wujud hingga ke hari ini (hasil ladang kelapa sawitnya masih menjadi antara sumber kewangan sekolah). Al-Ehya Assyariff tidak hanya wujud hasil wakaf tetapi kewangannya diperkukuh dengan adanya syarikat bagi memperoleh pendapatan bagi operasi sekolah sehingga pelajar tidak perlu membayar atau dengan bayaran minima untuk mendapatkan pendidikan. Beliau sangat memahami bahawa untuk sesebuah entiti terus wujud, kewangannya harus kukuh dan tidak harus hanya bergantung kepada derma dan belas ikhsan orang ramai. Suatu sistem untuk menjana pendapatan secara berterusan (sustainable) harus dikerah. Pemikiran sebegini tidak banyak dihayati oleh banyak pengurusan Muslim.
Al-Ehya Assyarif terus terbangun hasil usaha beliau sehingga setahun sebelum perang dunia kedua, al-Ehya adalah satu-satunya sekolah pendidikan agama di Tanah Melayu buat pertama kali mempunyai kelas pra-universiti dan pengajian pengkhususan subjek-subjek. Al-Ehya Assyarif Gunung Semanggol yang ditubuhkan beliau tidak hanya menjadi pusat pendidikan agama yang maju dan mampu memberdayakan masyarakat, ia juga menjadi pusat pergerakan politik dan ekonomi di Tanah Melayu pada ketika itu. Ini terbukti dengan berlakunya Persidangan Ekonomi-Agama Semalaya 22-24 March 1947 bertempat di al-Ehya Assyarif yang dihadiri oleh seramai 65 orang wakil parti politik serta lain-lain dan beratus orang pemerhati termasuk alim ulama, golongan cendekiawan, dan ahli-ahli perniagaan dari seluruh negara. Persidangan ini nantinya akan melahirkan tiga komponen penting dalam menangani isu pendidikan, kemajuan institusi Islam, dan ekonomi rakyat Tanah Melayu melalui penubuhan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR), Majlis Tinggi Agama (MATA), dan Pusat Perekonomian Melayu Se Malaya (PEPERMAS).
Fokus utama LEPIR adalah untuk membentuk kurikulum pendidikan agama bagi seluruh Malaya. Ia cuba menghubungkan sekolah-sekolah rakyat bagi sama-sama memerah tenaga kearah pendidikan yang jitu dan selaras, mengeluarkan buku-buku agama untuk kegunaan sekolah dan bercita mendirikan sebuah universiti yang bakal dinamakan sebagai Universiti Hang Tuah di Gunung Semanggol sehingga diwujudkan tabung “derma pelajaran Rakyat”. Segala usaha ini dilihat begitu besar, begitulah wawasan yang Abu Bakar al-Baqir telah letakkan pada aspek pendidikan terutamanya dalam pendidikan agama di Malaya pada ketika itu. Beliau dan sahabat-sahabat perjuangannya sedar hanya dengan pendidikan ini akan dapat membuka mata orang Melayu akan ketidaksamaan sosial yang terjadi di Tanah Melayu dan mencapai kemajuan.
Abu Bakar al-Baqir Dalam Politik
Majlis Tinggi Agama (MATA) ditubuhkan pada hari terakhir Persidangan Ekonomi-Agama Semalaya 1947 merupakan satu bentuk manifestasi ketidakpuasan hati kaum muda terhadap raja dan ulama di bawah raja yang dilihat tidak endah dalam usaha memajukan institusi keagamaan. Seperti yang dipetik dari Nabir Haji Abdullah (1976, m/s 30);
“betapa pula lemahnya pegangan setengah pihak sehingga ada di antara ini yang di beri amanat untuk menjalankan tugas persoalan ugama telah tidak mengerjakannya dengan wajar”. Pihak MATA mengkritik pertubuhan ulama dan pejabat-pejabat agama negeri atas kelemahan mereka. Pihak MATA menekan supaya diwujudkan sebuah badan yang bersifat politik (bersifat bebas) dimana wakil dalam badan itu dipilih melalui undian untuk mengelola hal agama, bagi mereka kuasa agama tidak harus jatuh pada raja-raja “yang tidak berdemokrasi sama sekali dan ulama-ulama yang berada dalam pejabat ugama kerana memandang tinggi pada raja-raja yang feudal”.
Hal ini mengingatkan penulis pada ketika awal kelahiran pemerintahan Umaiyyah, tugas penting yang telah dilakukan muffasirun (ulama pentafsir al-Quran) pada masa itu adalah memperjuangkan pengasingan kuasa antara badan pemerintah (eksekutif) yang diketuai Sultan, dan badan perundangan (legislatif) serta badan kehakiman (judisiari) yang dikelola alim ulama supaya wujud third force yang akan melakukan check and balance kuasa pemerintah dalam negara. Melalui MATA yang nanti lahirnya Hizbul Muslimin di persada politik Malaya dipimpin oleh Abu Bakar al-Baqir. Tujuan penubuhan Hizbul Muslimin adalah bagi melahirkan Darul Islam dengan cara memberi kesedaran politik pada umat Islam Malaya dan menyatukan mereka dalam satu ideologi, supaya kesedaran dan kesatuan ini nantinya menjadikan umat Islam Tanah Melayu bertekad untuk mencapai kebebasan mencipta, bersidang, berfikir dan mengeluarkan idea fikiran, membanyakkan sekolah untuk rakyat, memperbaikan pelajaran supaya selaras dengan tuntutan semasa, dan menyusun penghidupan bangsa Melayu berdasarkan Islam.
Hizbul Muslimin yang diasaskan beliau mempunyai kerjasama rapat dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pelbagai parti haluan kiri yang lain seperti API dan AWAS. Ketika UMNO dan orang Melayu secara keseluruhannya masih tidak bersedia untuk merdeka malah orang Melayu pada ketika itu merasakan segala usaha ke arah kemerdekaan oleh pihak kiri hanya sia-sia, Hizbul Muslimin dan rakan politiknya memberi tekanan kepada British agar Malaya dapat segera dimerdekakan. Mereka mengkritik sikap British yang cuba menyekat pemikiran rakyat terhadap kebebasan dan keadilan. Hizbul Muslimin seakan mewakili suara ulama bagi memberitahu rakyat Malaya pada masa itu bahawa Islam memperjuangkan kebebasan sejagat dan kepatuhan kepada penjajah dan kemunduran adalah satu kehinaan dalam Islam. Abu Bakar al-Baqir ibarat mewakili ulama kaum muda pada zamannya dalam memperjuangkan kemerdekaan melalui penyertaan dalam ruang politik, dan ketika ulama dalam jalur tradisi masih tidak mempamerkan kepedulian mereka terhadap permasalahan rakyat.
Setelah lebih 60 tahun merdeka, ketika parti berjenama Islam di negara ini mempunyai keraguan bekerjasama dengan parti yang berlainan ideologi, bangsa dan agama, Hizbul Muslimin sebagai parti Islam pertama di negara ini menekankan kerjasama mereka dengan pelbagai parti politik yang wujud ketika itu. Malah Abu Bakar al-Baqir yang merupakan pengasasnya menyatakan tujuan penubuhan Hizbun Muslimin adalah untuk menyatukan UMNO dan PKMM. Ketika kedua parti berlainan kutub sering menyanggah, Hizbul Muslimin cuba untuk merapatkan ruang antara parti politik kiri dan kanan supaya kesatuan ini dapat memperdaya usaha kearah kemerdekaan Malaya. Malah ketika Parti Komunis Malaya (PKM) digemburkan sebagai memusuhi ketuhanan, Abu Bakar al-Baqir telah mengadakan hubungan erat bersama mereka. Malah Hizbul Muslimin mendapat sokongan padu dari organisasi dari Indonesia iaitu Majlis Syuro Muslimin Indonesia (Masyumi) melalui pemimpinnya, Kiyai Haji Mashoor Azahari.
Hizbul Muslimin sebagai sebuah parti Islam sangat memahami prinsip-prinsip kebebasan dalam Islam hingga mereka mengiktiraf demokrasi sebagai tunjang utama dalam pergerakan mereka. Ini dilihat melalui prinsip Bahagian Belia Hizbul Muslimin yang mempunyai lima perkara iaitu Islam, soleh, kemanusiaan, keadilan dan demokrasi. Keterbukaan Hizbul Muslimin dalam kerjasama politik serta kepercayaan kepada konsep kebebasan dan keadilan menunjukkan kematangan puncuk pimpinannya dalam memahami prinsip-prinsip asas agama.
Kepimpinan beliau tidak hanya terlihat ketika penubuhan al-Ehya, MATA dan Hizbul Muslimin malah pada tahun-tahun ketika Malaya didatangi Jepun dan seterusnya kawalan oleh pihak Bintang Tiga. Beliau telah aktif mengembangkan semangat nasionalisma dan mencadangkan kemerdekaan Malaya pada pihak Jepun. Beliau turut ke sidang pihak Bintang Tiga untuk menubuhkan Badan Pendamai dalam usaha menyelamatkan orang-orang yang didakwa sebagai pengkhianat. Seperti yang dirangkumkan oleh Nabir Haji Abdullah (1976), Abu Bakar al-Baqir adalah sosok yang penuh dengan tenaga, fikiran dan semangat. Selain menyebarkan pengetahuan agama melalui kuliyah-kuliyah hingga akhir hayatnya, beliau merupakan sosok pendamai yang mengamankan banyak pihak. Pesannya
“jalankan usaha yang baik dengan lembut dan sabar serta tidak mendadak- harus berilmu dan matang dalam budi bicara dan jangan suka melaga-lagakan orang, badan-badan atau parti-parti.”
Abu Bakar al-Baqir Dalam Persidangan Ekonomi Malaya
Penulisan ini sebenarnya berkehendak untuk mengangkat kembali usaha-usaha Abu Bakar al-Baqir dalam aspek ekonomi dan sosio-ekonomi yang jarang diperinci oleh kajian atau penulisan sejarah tentang beliau. Aspek ini penting untuk diangkat ke ruang akademik dan massa memandangkan agak jarang bagi seorang guru agama menitik beratkan persoalan pembangunan ekonomi dan Abu Bakar al-baqir adalah suatu sosok cemerlang yang memahami teks agama dan suruhan membangunkan ekonomi masyarakat. Hal ini berbangkit apabila penulis cuba merenung apakah di Malaya tidak mempunyai persatuan dagang seperti Sarekat Dagang Islam Indonesia yang mana tujuan utamanya adalah memberdayakan pedagang tempatan. Apakah di Malaya tidak mempunyai suatu gerakan khusus bagi memperjuangkan keadaan ekonomi rakyat tempatan di Malaya ketika itu yang banyaknya terlibat dalam aktiviti ekonomi sara diri dan mundur dalam segala segi kerana tiada kekuatan kewangan. Sehinggalah penulis terbaca tentang sosok ini.
Sumbangan Abu Bakar al-Baqir dalam aspek ekonomi dapat penulis klasifikasikan kepada tiga perkara;
- Menubuhkan lembaga khusus menyelia hal kewangan sekolah.
- Menggalakkan pertubuhan koperasi dan keusahawanan.
- Terlibat dalam pertubuhan Pusat Perekonomian Melayu Se Malaya (PEPERMAS).
Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, Abu Bakar al-Baqir telah menubuhkan sebuah lembaga khusus bagi menguruskan hal ehwal kewangan al-Ehya. Tindakan ini jelas menunjukkan beliau mendokong idea keusahawanan dan koperasi bagi menjamin kelestarian sesebuah organisasi atau masyarakat dengan tidak menumpukan kepada idea kebajikan yang difahami kebanyakan umat islam sebagai derma dan wakaf. Wakaf dan keusahawanan harus bergerak seiring dalam menjamin pengekalan sumber pendapatan individu atau masyarakat dan menyeimbangkan sosio ekonomi masyarakat.
Beliau telah menggalakkan pelajar-pelajar al-Ehya untuk membuka koperasi pelajar dan mengerjakan pertukangan tangan seperti kasut kayu dan barang-brang dapur. Setelah perang dunia kedua, beliau mengetuai penubuhan Usaha Tenaga Anak-Anak Melayu (UTAMA) yang objektifnya untuk mengembangkan ilmu pengetahuan dan daya mencipta serta berfikir bangsa dalam bidang perusahaan. Tegasnya UTAMA harus mengkaji bagaimana untuk meningkatkan mutu perusahaan dan produk tetapi dalam masa yang sama merendahkan kos dan memurahkan harganya. Jika ada guru agama yang sebegini berusaha dalam bidang perusahaan, tentu sahaja masyarakat tidak tersalah faham bahawa agama itu hanya untuk hal-hal akhirat dan berusaha memajukan diri dan komuniti setempat.
Pusat Perekonomian Melayu Se Malaya (PEPERMAS) telah ditubuhkan pada hari kedua Persidangan Ekonomi-Agama Semalaya 1947 untuk membincangkan secara khusus mengenai ekonomi rakyat Malaya.
Perbincangan tersebut telah membawa kepada tiga ketetapan iaitu;
- Menuntut hak-hak istimewa yang berpatutan dalam perniagaan dan perusahaan bangsa Melayu.
- Menuntut satu badan khas yang dipilih rakyat untuk mentadbirkan ekonomi bangsa Melayu.
- Menuntut supaya wakil-wakil bahagian bangsa Melayu dalam mesyuarat negeri dan lain-lain majlis yang dibentuk nanti adalah merupakan majoriti.
Abu Bakar al-Baqir telah dilantik sebagai Yang Di Pertua (YDP) PEPERMAS. Idea penubuhan PEPERMAS dan tuntutan-tuntutan yang dibuat dalam perbincangan itu merupakan hal termaju yang hanya mungkin lahir dari fikiran yang maju. Kesedaran meningkatkan ekonomi rakyat di seluruh malaya pada masa itu merupakan satu cabang yang tidak banyak alim ulama melibatkan diri dan beliau telah menunjukkan suatu kegigihan yang mengkagumkan. Beliau juga mengusulkan supaya Bank Peladang ditubuhkan bagi membantu menghapuskan beban petani, Bank Dagang dan menyusun atur cara untuk membantu Bank Kebangsaan pada masa itu.
Pergerakan LEPIR dan PEPERMAS tidak dapat dibangunkan sepenuhnya dan sekaligus tidak dapat menzahirkan hasilnya kepada rakyat Malaya apabila ramai pemimpin-pemimpin pergerakan ini termasuk Abu Bakar al-Baqir ditahan ketika Ordinan Peraturan Darurat 1948, hasil ketakutan British melihat sebuah gerakan politik Islam yang ‘merah’ semakin mendapat pengaruh. Mungkin disebabkan ini, naratif sejarah masyarakat massa kita hanya memberi perhatian terhadap sumbangan UMNO tanpa memperincikan tekanan yang dilakukan gerakan haluan kiri. Dan paling ajaib,
Kongres Ekonomi Bumiputera buat pertama kalinya diadakan oleh tokoh-tokoh nasionalis berhaluan kanan hanya selepas 18 tahun penubuhan PEPERMAS iaitu pada tahun 1965, selepas pelbagai perhimpunan lain berlangsung; kongress bahasa Melayu, perhimpunan parti politik, muktamar ulama, dan persidangan raja-raja yang sudah sering diadakan. Kongress ekonomi adalah perkara yang baru dan katanya selepas separuh abad Nasionalis Melayu mencapai kejayaan dalam politik negara. Mengapa PEPERMAS yang diperjuangkan Abu Bakar al-Baqir dan sahabat seangkatannya tidak direnung sebagai satu kemajuan pemikiran bangsa Melayu pada masa itu? PEPERMAS telah maju lebih 18 tahun dalam mengangkat permasalahan ekonomi rakyat tetapi tidak mendapat perhatian yang sepatutnya.
Ketika PEPERMAS mengusulkan cadangan-cadangan bagi memperkuatkan keadaan ekonomi bangsa Melayu, ia tidak berjaya mendapat perhatian British malah dikatakan gagal. Sebaliknya usul dan tokoh-tokoh haluan kanan seperti Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Hamzah Abdullah, dan Datuk Nik Ahmad Kamil mempunyai impak yang lebih besar dalam mempengaruhi kerajaan kolonial British dan berjaya membuahkan hasil, sebagai contoh melalui penubuhan Rural Industrial Development Authority (RIDA) pada 1950. Maka mari kita renung, betapa naratif sejarah dalam negara ini terlampau memihak kepada setengah pihak dan pihak itu adalah yang ‘menyandar’ pada kolonial British. Ia sangat mengecewakan apabila golongan haluan kiri ini dipadamkan sejarahnya, yang tinggal di ruang massa hanyalah nama dan bagaimana kerjasama mereka dengan PKM, menyebabkan mereka berbahaya kepada keselamatan negara dan wajar ditangkap.
Sehingga akhir hayatnya, Abu Bakar al-Baqir telah berusaha memajukan al-Ehya Assyarif dan menganggotai Majlis Agama Perak. Ketika temubualnya bersama Nabir Haji Abdullah setahun sebelum pemergian beliau, beliau masih menyebut tentang soal menghimpunkan modal untuk sebuah syarikat. Kepedulian beliau dengan masalah pendidikan, politik dan ekonomi bangsa Melayu tidak larut walaupun dipenjara dan menua.
Setelah meneliti sumbangan yang telah dibuat Abu Bakar al-Baqir, penulis menegaskan bahawa pemahaman tentang nilai kebebasan, keadilan, kemajuan, kemanusiaan dan kedamaian, serta kesatuan yang merupakan prinsip asas Islam telah difahami oleh beliau dan beliau bertindak mengikut pemahaman tersebut. Dan hasil tindakan beliau telah membuahkan hasil dan reaksi, iaitu tertubuhnya organisasi khas dalam membawa isu pendidikan, institusi agama dan ekonomi Malaya. Hasil dari tertubuhnya organisasi yang tersusun dan berobjektif ini, telah membuahkan reaksi dari rakyat Malaya yang seterusnya membuatkan British melakukan darurat dan penangkapan atas beliau. Maka persoalan tentang bagaimana pengunjuran Islam terhadap nilai-nilai yang telah disebutkan di atas berupaya membantu manusia dalam penghidupan mereka dapat dijelaskan melalui pemikiran dan sumbangan Abu Bakar al-Baqir.
Penulisan ini juga ingin menganjurkan bahawa tidak hanya wacana pendidikan agama dan politik beliau yang harus kita perhalusi, bahkan yang lebih utama adalah membawa kembali wacana ekonomi beliau dalam merubah paradigma umat melayu Islam tentang ulama, Islam dan kemajuan fizikal. Beliau sememangnya adalah ‘bahaya dari gunung‘.
Rujukan :
Abdullah, N. H. (1976). Maahad Il-Ihya Assyariff Gunung Semanggol 1934-1959.
Abdullah, N. H. (1976). Ustaz Abu Bakar al-Baqir Dalam Kenangan. Malaysia In History, 19 (2), December 1976, m/s 23-36.
Aziz, A., & Mokhtar, M. K. (2011). Transisi penting sistem berkerajaan di Alam Melayu: kes Malaysia (Major Transitions in the Government System of the Malay World: The Case of Malaysia). Akademika, 81(2).
Aziz, A., & Shamsul, A. B. (2004). The religious, the plural, the secular and the modern: A brief critical survey on Islam in Malaysia. Inter-Asia Cultural Studies, 5(3), m/s 341-356.
Haris A. H. (2014). Reaksi British Terhadap Kegiatan Majlis Agama Tertinggi (MATA) Dan Hizbul Muslimin Di Tanah Melayu, 1948-1949. Malaysia Dari Segi Sejarah (Malaysia In History), 42 (3), 2014, m/s 38-56.
Ishak S. (2012). Politik & masyarakat Melayu Perak. Penerbit UTHM, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Shamsul, A. B. (1997). The economic dimension of Malay nationalism. The Developing Economies, 35(3), m/s 240-261.
Sakinah Rosli berasal dari Ipoh, Perak. Beliau adalah graduan jurusan kejuruteraan awam dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan kini bekerja sebagai kontraktor pembinaan awam berpusat di Kerian, Perak. Sakinah Rosli juga adalah Felo Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) dalam kohort Isu Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Asli. Beliau memfokuskan penelitian pada isu-isu pembangunan, keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar.